Memburu mimpi

Dahulu, sewaktu usia kanak-kanak, kitalah yang paling banyak memiliki angan-angan.

Ingin menjadi seorang yang dihormati masyarakat; menjadi seorang doktor, arkitek, peguam.
Tidak kurang juga yang mahu menjadi hebat dan gagah perkasa; bomba, polis, dan angkawasan! Paling tidak dilupakan, mahu menjadi sekaya-kaya manusia. Ingin memiliki segala macam aset idaman.

Pendek kata, hidup ingin menjadi segala-gala yang boleh memberikan kepuasan dan keseronokan.

Sudah pasti, hidup dalam mengejar tujuan, pasti ada jatuh bangun,penat dan lelah yang tak mungkin dilupakan. Maka, beruntunglah bagi mereka yang telah mengejar cita-cita, dan menggapainya di pengakhiran.

Berpeganglah pada pesan Nabi,
Jadikan dirimu sebaik-baik manusia yang boleh memberi manfaat kepada umat.

Sebab itu, cita-cita bukanlah semata-mata pekerjaan.

Cita-cita mengisi kehidupan. Cita-cita mendorong diri kepada kejayaan. Cita-cita membawa kepada Tuhan.


Setiap yang apa yang dirancang, pasakkan keyakinan yang dalam; betapa Allah itu adalah sebaik-baik punca kepada penyerahan.

Sebagai hamba, mintalah sebanyak-banyaknya kepada Tuhan. Sebagai khalifah, berilah sebanyak-banyaknya kepada manusia.

Jadilah apa sahaja yang didambakan. Bina kerjaya yang mampu menjadi wasilah kepada kebaikan. Semoga ada cahaya yang mengukir di akhir pemburuan mimpi yang diidam-idamkan!


p/s: Lautan kasih buat Ma dan Abah yang paling bersusah-payah memberikan yang terbaik sepanjang hidup ini. Semoga Allah memberi rahmat seluas hamparan langit kepada mereka berdua. Kudos juga buat guru-guru dan rakan-rakan seperjuangan.

Terus berjuang!


Bicara dari Tuhan

Ramadhan kali ini benar-benar mengusik hati.

Meniti hari-hari terakhir Ramadhan, diri banyak terdorong  untuk kembali merenung dalam-dalam akan seribu macam perasaan yang bersarang di hati.

Rasa gundah dan sebu, ada sendu dan ada hiba yang begitu mengharukan. Hati mana yang tak senang kalau lembaran iman yang disangka suci, rupa-rupanya kusam dan berkeronyok dengan palitan dosa dan maksiat.

Lebih memilukan, diri sendiri sebenarnya sudah menyedari akan hakikat itu namun sengaja tidak dipedulikan. Saat itu, istidraj rakus menerpa mendakap hati, dan nikmat-nikmat kurniaan Tuhan seolah-olah didustakan dengan mudah sekali.

Hati cepat merasa baik, lekas menilai dan menghukum manusia selain diri sendiri, akhlak lantas mula disamari riya' dan hipokrit.

Bangun dan sedarlah!

Barangkali Itu bicara Tuhan buat hamba yang kufur akan nikmat. Ramadhan tidak semata-mata hadir untuk mencurah dan menyubur, tapi nyata ia datang dengan tegas menghambur dan mengacah hati agar tidak sentiasa selesa dengan amal yang dusta dan iman yang palsu.

Ramadhan kali ini, Allah benar ingin membisik dan menegur.

Jangan letih untuk melawan nafsu.
Jangan cepat mengalah pada hambatan dunia.
Jangan mudah putus asa dari rahmat Tuhan.
Jangan hanyut dan mati dengan perasaan.

Setiap hari yang mendatang, biarlah ia masak dan mematangkan jiwa. Pengalaman silam letakkan sebagai pengajaran, dan jadikan ia kekuatan untuk menggenggam impian hari-hari kemudian. Menangislah dengan kejujuran, bukan dengan iringan perasaan yang berat terpendam. Tajamkan kembali daya taakulan lewat pembacaan dan pengamatan.

Terima kasih kerana menghadirkan lagi Ramadhan, hadir dengan hikmah yang jelas dan terang.

Barangkali ini teguran Tuhan, bicara tegas untuk hamba-Nya yang sudah lama sepi dari bercinta dengan Tuhan.


p/s: Banyakkan istighfar, kerna istighfar itu melebur dosa.

Menanti semilir Ramadan




Manusia kalau tak diuji, akan cepat lupa.

Mudah berbangga-bangga dengan kelebihan yang ada. Cepat merasa bagusnya diri, baiknya kami. Hakikatnya, Allah jua yang menganugerah segala, untuk dinikmati buat sementara.

Sekali diberi dugaan, maka barulah bingkas jiwa untuk kembali tersedar, menangis dengan hati sebu. Meminta merayu-rayu mohon dosa-dosa yang terbeban itu berlalu.

Manusia, memang perlu duji. Jika tidak, hati cepat mati. Khayal dengan alam sendiri.
Entah benar entah tidak, diri sendiri tidak pasti. 

Sebab itu Allah kurniakan taubat.

Tuhan tahu, hamba-Nya yang mana leka berbuat, dan hamba-Nya yang mana mahu mendekat. Diberi peluang untuk kembali meraup nikmat, meski hati berbalam-balam hitam gelap zulumat.

Tuhan campakkan cahaya, biar hati benderang dengan kasih tak terbandingkan.
Tuhan teduhkan hati yang panas gersang, agar kembali redup dengan lindungan iman.
Biar manusia sedar, apa-apa juga kebaikan, datang daripada lubuk hati yang dalam.

Hati yang merasa erti hidup dengan ihsan.
Hati yang mengenal hakikat penciptaan.

Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku. Semata-mata.


Sejauh ini sudah ku kenal kebesaran-Mu

Sedekat ini sudah ku rasai kewujudan-Mu

-FT (2005)

Berdoalah, mohonlah moga-moga dikurnia kesempatan masa untuk disapa semilir angin Ramadan yang mententeramkan. Persiapkan diri dengan muhasabah, taubat dan puasa. Bulan seribu kebaikan yang tersimpan, pasti mengundang kerinduan dan kenikmatan taabud yang berpanjangan.

Selamat meraikan kedatangan Ramadan.

Gejala pelajar tahun akhir

K.A.H.W.I.N.

Salah satu gejala yang sedang berleluasa di kalangan pelajar tahun akhir sekarang ini.

Jika dihimbau sewaktu kecil dahulu, 'kawen-kawen' adalah agenda wajib tatkala bermain pondok-pondok. Berpasangan dan mempunyai anak-anak, ia kenangan yang melucukan.

Zaman kanak-kanak bukan zaman yang memberahikan, apatah lagi zaman untuk memikir tentang soal tanggungjawab dan kepimpinan. Tetapi, kanak-kanak itu sendiri melihat berkeluarga itu suatu keseronokan yang perlu dialami dan dirasai dengan riang.

Itulah lumrah.

Perkahwinan dan berkeluarga itu adalah fitrah.
Semua mengakui ia sebagai suatu yang menggembirakan. Perkahwinan itu dinantikan dalam hidup semua manusia yang normal, manusia yang waras fikiran dan sihat luar dan dalam.

Alhamdulillah, ramai kawan yang selesai mendirikan rumahtangga dengan insan tersayang. Kini tiba pula fasa mengurus dan mengatur kehidupan yang baharu dan berbeza berbanding sebelumnya.

Siapa menyangka, kita di ambang usia dewasa.
Siapa juga menyangka, kekasih hati yang sekian lama dipendam rindu.
Siapa pun tak sangka, peminat rahsia dalam diam-diam.
Juga teman tapi mesra yang bertukar rasa kasih mendalam.
Ah, hati pun tak tertahan!

Bergulat dengan cinta lama-lama, maka nikahlah penyelesaiannya.
Debar pun hilang, jiwa pun senang.
Segala puji bagi Tuhan!

Tahniah buat teman-teman sepersekolahan yang baharu bergelar pengantin baharu - Nik Muhammad Hanis, Azizi, Shahrul Azani - dan teman-teman sekuliah di kampus - Azim Mazlan, Afifah, Zaki - semoga penikahan kalian berkekalan dan beroleh berkah dan rezeki yang melimpah.




Ketenangan sepasang kekasih terpancar apabila berkahwin. Bahkan, lebih untung, penyakit pun beroleh penawar sebaik bernikah. Alangkah besarnya hikmah perkahwinan. Bukan semata-mata menyempurnakan naluri bernikmat sesama pasangan, bahkan menyalurkan rezeki kesihatan, keberkatan usia dan ketenteraman jiwa.
Maka nikmat Tuhan yang manakah, kamu ingin dustakan?

Berkahwin sememangnya menyeronokkan, bagi yang sudah selesai.

Bagi yang belum, terutama yang masih berhempas-pulas di semester akhir pengajian, uruskan masa serta lunaskan tanggungjawab terakhir di kampus sebaik mungkin. Nasihat yang paling tepat untuk kalian, sabar dan berpuasalah.

=)

Kita kini pada semester akhir. Usah dirunsingkan. Tak perlu tertekan dan menekan. Teruskan bergembira dan menikmati alam dan waktu bujang bersama-sama teman-teman.

Selamat menduduki peperiksaan!



Berseronok sepuas-puasnya menghabiskan sisa-sisa bujangan yang bakal berakhir tak lama lagi...

Alangkah malangnya negeri ini...



Alangkah malangnya negeri ini,
punyai media ampu
dan karyawan kaku,
mulut, telinga, mata,
disumbat berita palsu.

Alangkah malangnya negeri ini,
suara menyekat dan menyesak,
akal marhaen terus layu,
pejuang rakyat dikekang lesu,
dan negara semakin rosak,
dalam catur politik
sang aparat.

Alangkah malangnya negeri ini,
jika seruan tak bersahut,
suara keramat dilaung semangat,
membawa maksud baik
yang didamba rakyat.

Alangkah malangnya negeri ini,
ubah tiada, kecundang rakyat!
Ini-kali-lah! 

-Penafaqir
15042013.0800pm.Nilai

Bersama kerabat istana berjiwa rakyat, YM Raja Tengku Bahrin

Apa bacaan politik Tok Mun?

Maimun Yusuf atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mun, diramal bertanding sekali lagi dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan berlangsung nanti.

Tiada sesiapa yang mampu menebak maksud tersirat di sebalik hasrat wanita berusia 94 tahun ini. Pada 2008, Tok Mun bertanding atas tiket calon bebas bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu,  menentang Mohamad Sabu (PAS) dan Allahyarham Razali Ibrahim (BN).

Beliau tewas dalam pertandingan tiga penjuru tersebut dan kehilangan deposit RM30,000 dengan meraih 685 undi sahaja.

Jika pilihan raya dianggap suatu bentuk pelaburan, ternyata ia sememangnya suatu pelaburan yang radikal dan berisiko tinggi. Ibarat kata-kata Husam Musa apabila ditanya tentang 'pertaruhan' beliau untuk bertanding di Putrajaya, ia boleh diungkapkan sebagai "high risk, high return".

Ternyata dengan rekod kerugian yang pernah diperoleh, keputusan untuk bertanding lagi sekali merupakan  pelaburan yang sangat merugikan untuk Tok Mun.

Mengapa beliau masih lagi bersungguh-sungguh untuk terus bertanding?

Adakah beliau ada menyusun strategi tersendiri di sebalik percaturan tersebut?


Ini jawapan Tok Mun apabila ditanya:

"Saya lakukan semua ini kerana orang (masyarakat). Saya takut jika saya tidak cuba tolong orang di sekeliling saya, saya akan dipersoal di sana nanti."

Adakah kemunculan beliau ditaja oleh parti-parti tertentu?

Jika diihat rekod penampilan Tok Mun dalam pilihanraya umum lalu, prestasinya tidak dianggap bagus, malahan merugikan dua parti dominan yang bertanding. Tok Mun telah memecah undi yang cukup bernilai bagi kedua-dua parti yang bertanding. Tidak mungkin untuk parti-parti tersebut sengaja membiarkan undi-undi bermanfaat untuk mereka diserahkan kepada Tok Mun atas dasar 'undi kasihan'.

Justeru, agaknya apakah perkiraan logik yang Tok Mun gunakan?

Secara mudahnya, ia sebenarnya tiada kaitan langsung tentang strategi politik.

Jauh sekali berkaitan dengan aspirasi politik untuk membentuk kepimpinan atau governans baru. Seperti suatu yang mustahil untuk wanita seusia beliau memikirkan agenda besar bagi sesebuah visi untuk meneraju perubahan kepada masyarakat ke Parlimen.

Bertanding kerusi Parlimen adalah tanda kesediaan untuk berhujah mewakili rakyat. Mampukah Tok Mun untuk fikirkan semua itu?

Apa yang jelas untuk dinyatakan di sini, penyertaan beliau dalam pilihan raya sebagai calon hanyalah satu perlambangan pemikiran unik dalam masyarakat tradisional Melayu yang masih wujud di Terengganu.

Kelompok masyarakat ini boleh dinyatakan sebagai kelompok yang sangat kurang mengamati denyut politik tanah air, tidak menghadam inti isu-isu yang berlaku dan lebih sederhana dalam mengambil pendirian untuk berpihak kepada mana-mana parti politik.

Pada hemat mereka, apa yang difikirkan baik untuk mereka sejak dahulu, mesti dikekalkan dan tidak perlu merumitkan kepala memikirkan bentuk konflik untuk diselesaikan. Lingkungan pemikiran sebegini masih berlegar di kalangan kaum veteran di Terengganu, khususnya wanita yang lebih memilih untuk selesa dengan cara fikir mereka sendiri serta tidak kritis dalam menilai sesuatu.

Begitulah gaya Tok Mun. Hasrat untuk tampil ke depan tidak ada kena-mengena dengan misi untuk mencabar survival parti politik yang bertanding, jauh sekali untuk tampil sebagai ejen arus baru untuk mencipta perubahan.

Sebaliknya ia adalah zahir pemikiran yang sudah tersebati lama di kalangan golongan tradisi. Pada beliau, tidak perlu mengharapkan rentak orang lain untuk memikirkan masalah kita, melainkan kita sendiri tampil bersama idea kita yang difikirkan mampu membantu orang di sekeliling.

Sebab itu, bacaan politik di kalangan rakyat Terengganu sangat rumit untuk ditelah. Faktor demografi dan sosio-budaya yang lebih selesa untuk berada di negeri sendiri, menyebabkan corak pemikiran berbeza dengan masyarakat di Kelantan yang terkenal dengan kesetiaan mereka terhadap satu-satu pihak dan keterbukaan mereka menerima perubahan yang selari dengan aspirasi agama rakyat secara majoriti.

Jika dilihat secara analitikal, salah satu faktor parti PAS belum mampu untuk menang di kerusi-kerusi DUN di Terengganu adalah disebabkan faktor pengundi tradisi. Kekuatan PAS mungkin berada di Parlimen Marang dan Kuala Terengganu, namun di kawasan-kawasan pinggir bandar dan kampung pedalaman, pengundi tradisi masih mendominasi angka pengundi, yang rata-ratanya adalah wanita.

Sebab itu juga, pengundi-pengundi tegar di Terengganu adalah terdiri daripada golongan pengundi yang memilih untuk tidak mahu kepada perubahan, enggan mencabar diri kepada idea-idea baharu, dan lebih selesa untuk membawa pemikiran mereka sendiri.

Tok Mun adalah salah satu contoh perlambangan pemikiran sekelompok kecil rakyat yang masih ada. Beliau bertanding bukan untuk sibuk memikirkan buah kilas menentang agenda pihak lawan, sebaliknya beliau muncul dengan yakin akan upaya buah fikiran beliau sendiri  dan penuh azam untuk tidak mahu berganjak menerima cara fikir baharu.

Ia mungkin suatu yang sukar diterima. Cara politik Tok Mun mungkin sudah tidak relevan untuk digunapakai., tetapi itulah keunikan pemikiran tradisi yang masih membelenggu sebilangan kecil rakyat.

Selamat berjuang buat Tok Mun, jika masih bertanding sekali lagi, 

Ceritera Tiga Mimpi

Barangkali ini hanya cerita pendek. Mungkin ini sekadar catatan ringkas yang membosankan. Dan aku ingin mengingat-ingat semula.

Pada aku, aku berharap dengan berkongsikan sesuatu, ia mampu mengembalikan kekuatan. Kekuatan diri yang sekejap datang, dan sekejap pergi.

Aku sedari usia aku mulai meningkat. Dari usia remaja ke usia dewasa yang lebih debar, lebih mencabar. Tempoh usia di mana aku harus bersedia untuk berdepan dengan perkara-perkara yang merangsang, jua yang mematangkan.

Dan, aku ingin mengingat-ingat semula...

Tiga perkara.

Tiga perkara yang pernah aku cita-citakan suatu ketika dahulu.

Tiga impian yang pernah hadir menggembirakan mimpi malam-malamku. Impian yang dipupuk, dipasak sejak enam tahun lalu. Ia memang mimpi-mimpi indah. Mimpi-mimpi tersebut seringkali dirangkul dan dihangatkan sehingga kadang kala tabir mata membenih manik-manik kesyukuran, lalu diri bersujud dengan sedu kehambaan.

Dan mimpi-mimpi ini juga masih lagi hadir menyapa minta digagahkan untuk dicapai, meski hari demi hari jiwa letih diasak dengan pelbagai perkara yang melonglai jiwa.

Bukan menyalahkan masa dan keadaan, tetapi barangkali ini bentuk muhasabah yang perlu untuk menyaring diri, dan untuk aku kembali akui, betapa fitrah seorang yang beriman sememangnya inginkan nikmat berakraban dengan Tuhan.

Aku ingin mengingat-ingat semula, mimpi-mimpi itu.

Satu.
Menjadi seorang hafiz al-Quran.
Pernah diri tergamam melihat beberapa rakan yang dahulunya bersama bernakal-nakalan, telah berjaya menghafaz dan memelihara kalam al-Quran. Kerja mulia warisan sahabat dan amalan salafussoleh. Hati mana yang tidak terkesan tatkala mendengar satu persatu mutiara kalam Tuhan dihafal, dilantun dan diulang-diulang saban hari. Dalam diam, hati berbisik mahu menuruti langkah teman.

Mimpi ini hampir menjadi kenyataan. Namun atas sebab yang tidak mampu dielakkan, tawaran diterima masuk ketika masih di pertengahan sekolah akhirnya ditolak dengan berat hati.

Tawaran kedua hadir selepas tamat persekolahan. Hati membunga. Lulus dalam ujian dan temuduga, namun pilihan keluarga menuntut diri mengambil pilihan selain daripada mimpi itu. Tawaran itu juga terpaksa ditolak dengan berat hati.

Benar, tidak semestinya menanti tawaran untuk merealisasi impian. Jika benar-benar bersungguh, pasti diberi ruang dan kesempatan. Dan aku masih menyimpan hasrat itu, meski enam tahun berlalu...

Dua.
Hasrat memasuki pondok.
Cita-cita yang diam, segan, dan dibiarkan begitu sahaja. Hati jadi redup melihat kesederhanaan mereka dalam hidup bersunnah. Mengamati tingkah laku yang bersulam kerendahan hati, sesama ahli-ahli seperguruan dengan tertib adab yang disantuni penuh hemah. Berada dalam lingkungan soleh mampu membentuk akhlak dan hati berdekat-dekat dengan agama.

Betapa berkatnya hidup tanpa keresahan dunia. Hidup mereka ikhlas menekuni ilmu. Aku sering mengintai-intai dari kejauhan, menanti mimpi itu hadir membuka jalan.

Tanpa lekang berdoa, aku setia dengan secebis harapan yang masih kukuh terpendam, meski enam tahun berlalu...

Tiga.
Hasrat untuk bergiat aktif dalam sastera. Minat itu menyerap jiwa dalam-dalam. Minat yang disemai sejak dahulu, tanpa disengajakan. Entah bagaimana, hati terasa puas dan bebas dengan mengungkap makna lewat penulisan. Lantas, angan-angan mahu mengekori jejak sasterawan Islami tersohor terpapar dalam benak fikiran. Mahu berkarya, berkarya, berkarya.

Mahu turut serta berperanan mendidik masyarakat pembaca dengan estetika bahasa. Ya, dengan diri yang memilih untuk bersifat pendiam dan tidak banyak bicara, penulisan dilihat mampu mengukuh pemikiran, dan memperkaya nuansa.

Mimpi itu malangnya terkekang di pertengahan. Kesibukan mungkin bukan satu bentuk alasan yang baik. Namun, itulah hakikatnya. Hati masih kuat untuk menerpa mimpi itu, walaupun langkah itu mulai suram, namun tetap menghampiri, perlahan-lahan.

Mimpi ini juga, masih kekal tersimpan, meski enam tahun berlalu...

------------------

Aku mengamati dalam-dalam.

Hidup ini kurniaan Tuhan yang menginsafkan.

Tidak semua yang kita inginkan akan dicapai. Ini tidak bermakna Tuhan menafikan, sebaliknya Dia menggantikan sesuatu yang lebih mengundang erti dalam kehidupan.


Lewat enam tahun, aku akhirnya mengenali ramai teman dan kenalan yang bergelar pemelihara al-Quran. Bersahabat dengan teman-teman yang bergulatan dengan kehidupan pondok dengan tradisi keilmuan. Berteman dan berkesempatan dengan penggiat karya sastera yang baik, berdisiplin dan berpotensi besar dalam penulisan.

Benar, Tuhan sebaik-baik perancang. Dia merencana sesuatu yang lebih layak untuk kita. Enam tahun sudah, kini menginjak fasa yang lebih mencabar pemikiran dan menguntai hikmah.

Tiga mimpi yang diidam-idamkan, masih kekal tersimpan. Jika tidak sempat sekalipun, semoga waris-waris mendatang akan tampil menyulam mimpi-mimpi tersebut untuk dihiasi dalam kehidupan mereka.

Tiga mimpi yang masih kekal tersimpan.

Semoga Allah mengurnia kekuatan untuk bernikmat dengan mimpi-mimpi tersebut.

Anak muda dan Siasah

Pilihanraya Umum ke-13 digelar 'ibu segala pilihanraya'.

Dalam konteks anak muda, terutama pengundi baru, ia harus difahami, dihayati dan dicermati dengan baik.

Landskap politik di Malaysia sudah sekian lama dalam keadaan tidak teratur, kurang sihat serta celaru metod perjuangan, sehingga menimbulkan kebingungan di kalangan generasi baharu.

Anak mudalah yang harus memperbetul kembali jalur demokrasi dalam medan siasah di negara kita.


Sudah tiba masanya anak muda sama ada yang bergelar siswa,pelajar, atau sudah bekerjaya, meneraju dan menghidupkan budaya politik nilai di Malaysia.

Politik Nilai.
Politik yang mengangkat hujah dan fakta yang sahih sebagai asas.
Politik yang rasional dengan pemahaman ilmu, bukannya bersandarkan emosi melulu.
Politik yang mengambil ibrah Rasulullah SAW, bukannya politik cacamerba yang menjatuhkan nilai Islam.
Politik yang mendokong asas syariat dan teras kenegaraan.

Anak muda harus mengerti, survival politik dalam pilihranraya adalah sebahagian daripada rencana kecil pembentukan negara. Oleh sebab itu, penyertaan dalam politik adalah wajib dalam Islam.

Bahkan, kita dituntut untuk bergabung dalam satu gerakan yang sihat dan mempunyai matlamat jelas bagi mengangkat Islam sebagai ad-Din (cara hidup) dalam asas negara.

Menafikan peranan politik dalam konteks pembentukan negara adalah satu sisi pandang yang menyimpang dan harus diperbetul.

Politik bukan semata-mata merebut kuasa. Ia wasilah atau saluran untuk memastikan sistem yang betul dipertegak, pemimpin yang adil diberi mandat dan menjaga kemaslahatan yang bersifat sejagat.

Sedarlah, PRU-13 tidak seharusnya diberi konotasi negatif dalam kehidupan anak muda. 
Untuk menyatakan sokongan atau dokongan terhadap mana-mana pihak, itu terpulang. Untuk mengundi mana-mana parti juga adalah hak masing-masing, kerna Malaysia kekal sebagai negara demokrasi.

Budaya politik anak muda haruslah diurus dengan sikap yang matang, pemikiran yang jelas dan cerdas, serta menjaga adab dan tatakelola yang baik.

Semoga perubahan yang kita inginkan diredhai Tuhan.

Selamat memaknakan Islam dan melaksanakan kebijakan dalam pilihanraya nanti.


p/s: saya pilih mengundi.

Nikmat berbahasa

Benarlah kata pepatah; Orang berbudi, kita berbahasa.

Bahasa ternyata mengasyikkan, juga menggembirakan.

Bahasa mampu mengungkap rasa, mengirim emosi dan menyalur cinta.
Peri pentingnya bahasa kerna ia teras dalam menghubungkan jiwa dan menyantuni manusia.

Namun, tidak ramai yang benar-benar menghargai nikmat berbahasa.

Salah satu cara adalah lewat jalur sastera.

Menggemari dan bernikmat dengan sastera adalah suatu yang patut diselami dengan kesedaran jiwa. Mesrakan pembacaan dengan pengamatan. Hidupkan jiwa kala menekuni setiap patah kata yang diuntai dan terjemahkan makna tersirat di sebalik nuansa.

Sebaik-baik bahasa sastera adalah bahasa sastera Al-Quran.

Saat itu, kita akan mula menghargai kehidupan kala mengecap manisnya nikmat berbahasa!



*Sekadar menggamit memori lama. Aku mengenal dunia bahasa Melayu yang indah sejak di bangku sekolah rendah. Sekalung kasih kepada tiga guru Bahasa Melayu terawal:

Cikgu Sabrina, guru berwajah manis yang tidak lekang dengan senyuman. Beliau sering mendorong kami supaya mencermati penulisan dengan langgam bahasa yang betul. Aku pernah dimarahi kerana suka bernakal-nakal ketika mengarang di dalam kelas, dan aku terkesan dengan teguran beliau. Sejak peristiwa itu, cinta pada bahasa memutik. Cinta dalam-dalam. 

Cikgu Mohd Noor Sulaiman. Tidak mungkin untuk aku lupakan guru lelaki dengan tampang kurus berkaca mata bulat. Guru yang pernah menyulam kata-kata semangat khusus untuk aku mengarang dengan lebih baik. Beliau guru lelaki yang santai, sering menyelitkan isu-isu semasa ketika mengajar. Beliau guru yang memberi galakan berkualiti, dan aku benar-benar menghargainya.

Cikgu Sabariah, antara guru Bahasa Melayu yang dihormati kerana ketegasan beliau mendidik anak murid agar bijak berbahasa. Hasil asuhan beliau, aku diajar memperkemas tatabahasa dan berhati-hati mengadun isi ketika mengarang. Beliau umpama ibu yang tidak jemu memperbetul kesalahan. Aku cuba mengingat-ingat, dan ia ternyata guru yang berjiwa pendidik sejati.

Apapun, sebaik-baik guru bahasa yang paling aku sanjungi dan menjadi contoh terbaikku, tiada lain melainkan ayahku sendiri, Harun Mohamad

Terima kasih kerana mengasuh dan mengasah mindaku untuk terus bernikmat dengan bahasa!

p/s: terhimbau kenangan silam kala di semester akhir. Selamat memulakan pengajian sebelum melangkah ke alam dewasa. 

Selamatkan Pasar Payang


Ini bukan isu politik.

Orang Terengganu yang mempunyai akal dan budi pasti memahami mengapa Pasar Payang sinonim dengan rakyat negeri Pantai Timur ini.

Cukuplah dengan anekdot-anekdot Awang Goneng lewat tulisan beliau dalam Growing Up in Trengganu, pasti kita akan terkesan tatkala mengetahui perihal betapa banyaknya warisan di Terengganu sebelum ini telah dimusnahkan secara perlahan-lahan.

Kali ini, YM Raja Tengku Kamarul Bahrin sendiri tampil bersama gerakan rakyat menyelamatkan salah satu tempat menyimpan budaya yang juga pusat ekonomi marhaen tempatan daripada dimusnahkan oleh aparat penguasa.

Apabila mereka yang ahli dalam seni bina hadir mempertahankan warisan...

Bila pemimpin rakus melahap kuasa,
Bila buta hati pada silau harta,
tak diendah suara budi menangis,
tak dihirau tegah bicara menangkis,
rumah sendiri dicaras habis,
tiada peduli resah naluri
rakyat yang sepi.

Maka biarlah kali ini
aku tampil memberi erti,
bukan mahu mengukir arca
atau megah dengan menara,
tapi aku hadir menghulur luhur
demi pertahankan warisan
dari lenyap binasa.

Penafakir

19/2/2013

 p/s: Kredit foto kepada Dalyana Yusof.

Tribut cinta buat teman bahagia

Izinkan diri memuncul bicara,
hati muda terurai kata,
tiba saat membunga jiwa,
terlihat muda bertemu dara.

Bila dua hati bersua gembira,
tersenyum gadis disapa teruna,
setelah izin ayah dan bonda,
setelah kasih bertemu cinta.

Kalau kelapa sudah berlonggok,
kalau pinang tidak bertampuk,
kalau padi sudah bertumbuk,
itulah tanda hari bahagia.

Orang muda naik takhta,
anak dara dihias rupa,
duduk bersanding di pelamin,
masuk berpimpin membuah senyum.

Madah bertukar sumpah,
janji berselang puji,
jika bukit sama didaki,
kalau lurah sama dituruni.

Si suami mesra bertingkah kata,

Kasihku,
biar melambai teratai di kolam,
melayang berjuntai di dahan mempelam,
biar runtuh langit yang tinggi,
biar punah seisi alam
kasihmu dan kasihku bercerai tiada.

Si isteri tersipu malu, seraya menyambut,

Abangku,
beralih lautan menjadi daratan,
berubah daratan menjadi lautan,
biar malam menjad siang,
biar siang tak akan malam,
ataupun,
terbongkar kubur di hutan, ataupun
bercakap semua haiwan, ataupun
binasalah seluruh alam,
kasihku dan kasihmu tetap satu,
kerana inilah niatku!

Begitu indah cinta luar biasa.
Nikmat Tuhan disalur naluri,
pada yang sudi,
pada yang mengerti,
betapa murni cinta hakiki.


Selamat pengantin baru buat teman-teman yang sentiasa akrab dalam ingatan. Semoga kalian dikurnia berkat dan kasih sayang Tuhan.


p/s: Dedikasi khas untuk sahabat-sahabat yang selamat melangsungkan pernikahan baru-baru ini.

Mesej politik dalam Argo

Awal minggu ini, sempat menonton dua filem.

Kedua-dua filem mempunyai satu persamaan - subjek utama perihal ejen perisik CIA.

Hollywood dan propaganda. Ibarat aur dengan tebing.

Apa yang membezakan, barangkali pada asas plot kedua-dua filem. Satu filem aksi thriller bermotif komersial. Satu lagi adalah filem drama thriller bermotif politik.

A Good Day to Die Hard

Sekuel terbaik untuk dinikmati penggemar filem aksi. Penceritaan yang pantas dan dramatik, dengan kekuatan plot yang berjaya membawa penonton kepada konklusi di luar kebiasaan (dan kelogikan fikiran juga!).

Menonton filem ini sangat berbaloi terutama bagi mereka yang setia mengikuti Bruce Willis dalam koleksi siri Die Hard sebelum ini.

Filem kelima Die Hard ini mungkin tidak ketara mesej-mesej kritikal untuk disuguh, melainkan unsur propaganda AS yang tidak pernah lari dalam mana-mana produk Hollywood.

Berpadanan dengan tajuk filem ini sendiri, ia tidak lebih daripada menyatakan, adalah terlalu bagus untuk menjadi hero yang susah untuk mati. Saranan aku, cukup sahaja ia ditonton sebagai salah satu sajian filem aksi yang menghiburkan.



Argo

Sebuah filem thriller berat yang baru sahaja memenangi Screen Actor Guild Awards.

Seperti biasa, Hollywood berperanan sebagai industri yang aktif mempamerkan kehebatan dan kepintaran Amerika sebagai kuasa besar dunia yang dominan dalam mesej keamanan sejagat.

Filem ini mengangkat peristiwa benar yang berlaku sewaktu Revolusi Iran pada 1979 di mana krisis diplomatik AS-Iran berada di era kemuncak.

Pencerobohan ke atas kedutaan Amerika di Tehran dan penawanan rakyat Amerika ketika itu dipaparkan dengan berkesan. Latar tempat, masa dan suasana masyarakat yang ditonjolkan berjaya menimbul debar penonton.

Argo mengkisahkan kembali bagaimana misi Canadian Caper oleh CIA untuk membawa keluar (exflitration) enam diplomat AS dari negara Iran ketika krisis kian memuncak.

Misi yang dianggap paling kreatif pernah dilaksanakan oleh CIA ini dengan penyamaran  ejen perisik sebagai produksi filem bertujuan mengaburi pihak Iran untuk mengeluarkan diplomat AS tersebut.

Bagi sesiapa yang mahukan lebih penghayatan, elok dibuat sedikit pembacaan umum berkaitan bagi mendapatkan pemahaman yang lancar ketika menonton.

- sejarah pembabitan AS di Iran (kudeta dan monopoli telaga minyak)

- pentadbiran AS di zaman Presiden Jimmy Carter;

- hubungan diplomatik Iran-AS sebelum dan selepas revolusi Iran; dan

- undang-undang antarabangsa berkaitan perlindungan diplomatik dan kedutaan.


'Mesej-mesej Politik' Argo

Beberapa pesan tersirat dapat dihidu daripada pengamatan tatkala menonton Argo.

Sebagai sebuah filem non-satira politik, sudah pasti ia sarat dengan paparan mesej kritikal, terutama dalam mengangkat sesuatu ideologi dan mainan persepsi bagi menjatuhkan ideologi yang lain.

Serangan politik pemikiran lewat naskhah filem seperti Argo ini awal-awal lagi akan dapat dikesan di permulaan filem.

Argo mewajahkan saat-saat getir pentadbiran White House yang menerima tekanan daripada pelbagai pihak terutama rakyat untuk membebaskan warganegara mereka yang ditawan Iran.

Konflik yang mengakibatkan Washington memutuskan hubungan diplomatik dengan Tehran itu dikisahkan secara mendatar. Pun demikian, kemelut politik yang dialami oleh Presiden AS ketika itu jelas memperlihatkan kononnya setiap keputusan yang ingin diambil oleh Amerika akan memberi kesan kepada landskap politik antarabangsa.

Hakikatnya, Amerika sebenarnya sentiasa dilihat angkuh dan enggan mengakui kesilapan mereka.

Dasar luar (foreign policy) Amerika

Antara yang sengaja disinggung adalah situasi tegang ketika Presiden AS bergolak untuk mempertahankan kedudukan beliau. Iran Hostage dianggap portfolio kritikal yang perlu ditangani Carter ketika itu.


Ia terlihat sebagai satu 'amaran' kepada mana-mana Presiden dalam mengingatkan kembali bahawa setiap keputusan yang melibatkan dasar luar negara AS sangat dipengaruhi dengan desakan kepada keutamaan rakyat.

Perlindungan dan keselamatan rakyat Amerika yang menjadi teras konflik dan misi ketika itu cukup memberi kesan kepada reputasi kepimpinan AS. Peralihan kepimpinan kepada Ronald Reagen selepas itu juga dikatakan terkesan dengan insiden tersebut, di mana Carter mengalami krisis keyakinan di kalangan rakyat akibat dasar luar negara beliau yang tidak konsisten.

Dalam konteks semasa, Argo dianggap sebilangan pengamat politik secara diam menempelak sikap Obama yang sama dengan Carter ketika menangani krisis di Libya beberapa tahun lalu. Bahkan, sewaktu debat ketiga Presiden dalam siri kempen pilihanraya AS, ia menjadi topik hangat antara Obama dan Romney.

Kematian 4 warganegara dan diplomat AS di Libya misalnya, dipersoalkan di samping mempertikaikan komitmen sebenar AS dalam penyelesaian sesuatu konflik antarabangsa.

Sama ada ianya kebetulan atau disengajakan, ia tetap membawa satu jalur maksud yang tersirat tentang sikap AS dari dulu sehingga sekarang.

Amerika sentiasa bertindak opportunis dalam setiap kemelut politik negara-negara luar, dan ia masih kekal angkuh tanpa mengakui bahawa mereka tidak mampu untuk berperanan problem solver di peringkat antarabangsa.

Pengaruh Khomeini dalam gerakan Revolusi Iran

Sebuah coup d' etat (gerakan pemberontak bagi menggulingkan kerajaan) akan dipandu arah oleh satu kepimpinan yang berpengaruh. Revolusi Iran pimpinan Ayatollah Khomeini digambarkan telah menyebabkan seluruh rakyat bencikan Amerika.


Protagonis dalam filem ini digambarkan sedang berdepan dengan satu misi pengasingan daripada suatu lingkup dunia yang menekan dan boleh mengancam nyawa, dengan paparan Khomeini yang sentiasa membayangi.

Khomeini secara tersirat ingin dilihat oleh khalayak seakan-akan menjadi antagonis utama dalam filem ini.

Ia menjadi suatu mesej yang sengaja dipaparkan bagi menyatakan pendirian politik AS sehingga kini sentiasa memusuhi pimpinan spiritual Iran itu.

Secara tuntas, beberapa babak dalam Argo seolah-olah membuat perlambangan betapa pemikiran konservatif dipelopori Syiah Iran ketika itu begitu menggusarkan AS yang tidak berupaya untuk mengekang revolusi yang meningkat dan turut merebak ke negara-negara Islam lain.

Penggulingan Shah Iran yang merupakan sekutu rapat AS oleh revolusioner pimpinan Ayatollah Khomeini mengakibatkan pemberontakan anti-Amerika di kalangan rakyat Iran begitu membuak-buak.

Kebencian melampaui sentimen keagamaan, hingga digambarkan rakyat Iran mengabaikan hak kemanusiaan. Suntikan babak-babak yang memerihal situasi genting dilihat bertujuan menyusup pemikiran penonton betapa radikalnya rakyat Iran.


Babak rakyat dan pelajar Iran menceroboh kedutaaan AS dan menangkap rakyat Amerika.

Babak rakyat Amerika digantung dengan kren di tengah bandar.

Babak wanita dan kanak-kanak bertungkus-lumus menyusun balik carikan kertas-kertas yang terkandung maklumat sulit dari kedutaan AS.

Babak demonstran yang agresif mengutuk tindakan Amerika memberikan suaka politik kepada Shah.

Babak demonstran yang agresif dan marah apabila gambar Khomeini di kedutaan AS dijadikan papan dart.

Babak peniaga Iran yang bengang dengan warga asing yang mengambil gambar, semata-mata emosi dengan kematian anaknya.

Ternyata, Argo berjaya 'merebahkan' imej Khomeini secara halus lewat filem itu. Ia lantas meneruskan kelangsungan 'psycho-war' antara Amerika dan Iran. 

Wajib tonton

Benar, Argo filem propaganda.

Jika tidak, masakan Iran memilih untuk tidak sekadar berdiam diri dan sudah bersiap untuk merencana sebuah filem versi mereka sendiri bagi menyaingi naskhah filem versi AS tersebut.


Ataollah Salmanian, aktor dan sutradara Iran memaklumkan bahawa Pusat Kebudayaan iran telah bersetuju untuk peruntukan bagi penggambaran sebuah filem yang akan menjawab kembali fakta-fakta yang menyimpang dalam Argo.

Menurutnya, pengkisahan Argo bertentangan dengan sejarah kerana lebih menumpukan kepada peranan CIA, tanpa melihat pentingnya peranan kedutaan Kanada di Tehran ketika itu.
Sudah tentu ianya suatu yang menarik apabila isu diplomatik dan dasar politik luar dikisahkan secara nyata, ia bakal mengundang wacana filem yang lebih matang untuk ditonton khalayak.
Bagi penggemar filem sejarah (a true-based story film), aku sangat mengesyorkan filem ini.
Skala : 8/10.

p/s: Masih belum terlihat filem-filem cerdik dari produser Malaysia untuk 2013. Hanya ada lambakan hantu dan lelucon. Oh...

Rancang wang dari....sekarang!

Program Pelabur Underground baru-baru ini, memang lain dari yang lain.

Boleh dikatakan antara seminar terbaik yang pernah aku hadiri.

Hadir dengan matlamat mahu mengutip pengetahuan kewangan dan mendapatkan pendedahan seluas mungkin berkaitan perancangan pelaburan.

Niat untuk melabur? Belum ada.

Masih belajar, dan terus belajar. Jadi, apa yang harus dibuat sekarang?

"A good investor is a good saver."



5 sebab mengapa seminar ini aku kira cukup terbaik:

1. Himpunan pelabur Muslim underground terbesar
Semua peserta terdiri daripada Muslim daripada pelbagai karakter, kerjaya dan usia.
Ada ustaz, ada profesional, ada pakar motivasi, ada ahli perniagaan, ada surirumah, ada pelajar.
Dengan matlamat yang sama; mereka mahu kayakan umat Islam dengan cara yang sah, selamat dan terjamin, mereka hadir berkumpul untuk berkomunikasi, membina networking dan belajar.

2. Pembentangan yang tajam dan membina.
Isi pembentangan sepanjang seminar adalah berfokus dan kena dengan apa yang disasarkan peserta. Pembentang-pembentang juga merendah diri, serta senang berkomunikasi dan membantu hadirin.

2. Seminar santai bersifat strategic-based dan problem-solving.
Teori difahamkan, kemudian langkah-langkah strategik yang praktikal dikemukakan.
Tidak perlu berteori panjang lebar, sebaliknya terus kepada akar masalah dan penyelesaian isu dengan c`ra santai. Kebanyakan pembentang memfokuskan pelan solusi secara langsung dengan bimbingan dalam sesi mentoring.

3. Seminar mengurus masa depan.
Tidak ramai yang menitikberatkan proses pengurusan kewangan dan harta dengan baik, sedangkan kebanyakan masalah yang berlaku dalam masyarakat berpunca dari kegagalan mengurus harta.
Mengurus masa depan adalah penting kerana kesusahan dan kesempitan bukan suatu pilihan kehidupan.

4. Perkongsian idea perniagaan.
Peserta yang hadir datang daripada berbagai-bagai latar belakang. Sepanjang seminar, mereka turut tampil memberi hujah dan mempromosi perniagaan.
Pelbagai idea dan cadangan dikongsikan. Setiap yang pulang pasti beroleh idea baharu untuk perniagaan. 

5. Medan 'siap siaga' untuk anak muda.
Sebilangan besar yang hadir adalah anak muda. Ada yang sudah berkerjaya, ada juga yang masih menuntut.
Kebanyakan yang hadir membina perancangan hidup tersendiri. Ia ternyata medan untuk bersiap dengan 'peluru' dan 'meriam' untuk suatu perjuangan jihad ekonomi.

Ternyata, ia bukan semata-mata tentang dunia pelaburan.
Ia lebih kepada pengurusan dan perancangan.

Tidak ramai yang celik kewangan, meski mereka menyedari sebahagian besar hidup mereka dilingkari dengan masalah kewangan.

Kebocoran saku, beban hutang, harga barang naik, gaji kecil, risiko kebankrapan.
Tapi berapa ramai yang mahu membebaskan hidup mereka dari belenggu masalah sebegitu?

Ia juga program yang mendidik masyarakat, khususnya Melayu.
Isu makro-ekonomi, isu pemasaran strategik, isu bebas kewangan, isu pasaran masa depan, isu hayat matawang dan isu pelaburan patuh syariah dirangkumkan dan dibincangkan bersama.

Program ini sememangnya 'underground' sehinggakan tidak ramai tahu wujudnya komuniti Pelabur Underground yang bercita-cita besar ini.

Meskipun biasa-biasa dan tidak ternama, tetapi mereka betul-betul kaya dan berjaya.

Kuncinya? Masa dan tindakan.

Rancanglah wang anda dari...sekarang!

Dana Ilmu

Kira-kira tiga bulan lepas, aku berkesempatan menyertai satu diskusi strategik berkaitan pengurusan kewangan peribadi. Diskusi yang dikendalikan oleh Tuan Mior Isfandy, seorang perunding kewangan Islam. Sesi itu turut dihadiri beberapa teman kampus aku yang lain.

Perkongsian pada malam tersebut berkisar tentang model AboutNumbers. Tuan Mior memperkenalkannya sebagai satu model pengurusan kewangan yang mengikut aturan yang dianjurkan Islam.

Model tersebut pada hemat aku adalah satu model pengurusan kewangan yang ideal bagi para graduan yang baharu memasuki alam kerjaya, atau bagi anak muda yang sudah berkarier dan pendapatan sendiri.

Menurut model ini, dengan berasaskan formasi pembahagian 5:3:2, seseorang mampu menyusun aliran tunai bulanan mereka secara teratur tanpa meminggirkan aspek sedekah atau infak yang ditetapkan sebanyak dua bahagian.

Model ini mempunyai tiga fasa utama, dengan sesi pengenalan pada malam tersebut, Tuan Mior hanya berkongsikan dua fasa sahaja yang berkadaran dengan tahap ekonomi kebanyakan daripada kami.

Untuk gambaran ringkas berkenaan model tersebut, disertakan infografik oleh seorang sahabat, Daing Fadzil yang turut sama dalam diskusi pada malam tersebut.


Sebelum berakhir sesi tersebut, Tuan Mior Isfandy sempat menyarankan model tersebut dipraktikkan terlebih dahulu bagi melihat sejauh mana keberkesanannya membantu mengurus kewangan.

Beliau turut mengalu-alukan sebarang idea untuk mengembangkan lagi model ini menjadi lebih strategik, dengan matlamat mencapai bebas kewangan dapat dicapai meskipun kita berpendapatan biasa sahaja.

Model untuk pelajar di kampus?

Sewaktu sesi perkongsian berlangsung, aku tergerak untuk bertanyakan sesuatu. Adakah model ini sesuai dipraktikkan oleh para pelajar/siswa di kampus?

Secara konsepnya, aku bersetuju untuk dipraktikkan kepada pelajar, dengan syarat sedikit pengubahsuaian pada kadar pembahagian domain.

Jika dilihat situasi masa kini, kebanyakan pelajar atau mahasiswa agak tempang dalam mengurus kewangan sendiri. Misalnya, budaya berhutang menjadi perkara biasa bagi pelajar meskipun belum bekerjaya. Itu belum termasuk hutang mendatang yang sudah pasti akan ditanggung pelajar seperti hutang PTPTN.

Begitu juga masalah kebocoran wang akibat kesilapan dalam berbelanja. Oleh sebab itu, kesedaran untuk mengurus kewangan peribadi perlu didedahkan kepada pelajar.

Pada aku, model AboutNumbers sebenarnya boleh diaplikasikan kepada pelajar. Memang kekangan utama adalah pelajar tidak mempunyai sumber pendapatan tetap. Sebaliknya, sumber kewangan pelajar selalunya diberikan sekali dalam satu tempoh semester.

Pun begitu, ia tetap boleh disesuaikan mengikut kadar dan 'nature' pelajar itu sendiri.

Satu cadangan adalah dengan mengurangkan salah satu berikut:

- bahagian Perbelanjaan (expenses) daripada 50% kepada 40% sahaja; atau
- bahagian Tabungan (saving) daripada 30% kepada 20% sahaja.

Manakala Satu bahagian (10%) lagi yang berbaki digunakan untuk Dana Ilmu.

Dana Ilmu : Pengetahuan adalah Kuasa

Kecerdikan kewangan tidak datang secara tiba-tiba. Apatah lagi untuk mengekalkan momentum pengurusan yang sentiasa berdepan dengan sebarang kemungkinan pada masa depan.

Salah satu aset yang perlu dibajai sedari awal adalah Ilmu.

Dunia kampus dilingkungi budaya keilmuan. Hidupkan dan bugarkan budaya sebegitu dengan memperluas ruang lingkup kepada ilmu pengurusan kewangan.

Memetik kata-kata Tuan Hadfizi Othman, Fasilitator Pembelajaran Profesional dan seorang usahawan, kita memerlukan baja cerdik untuk terus subur setiap hari.

Inilah rahsia mereka yang berjaya dalam pengurusan kewangan. Mereka tidak jemu belajar. Mereka tidak serik berguru. Mereka tidak malu diasuh dan ditegur. Paling penting, mereka tidak lokek dan berkira dengan ilmu.

Pelaburan yang terbaik adalah pelaburan masa dan ilmu, menurut Robet Kiyosaki.

Justeru, bagi yang masih dalam fasa pengajian, di awal karier dan masih bujang, boleh diperuntukkan sedikit daripada sumber kewangan untuk melabur secara strategik ke saluran-saluran yang boleh memanfaatkan diri.

Peruntukkan 10% untuk menghadiri seminar, memperkaya bahan-bahan bacaan bermutu dari toko-toko buku, menyertai bengkel intensif yang membina motivasi kendiri, menyertai latihan berkala bagi menggilap potensi sedia ada atau digunakan untuk mendanai kos bertemu dengan mentor atau guru dalam lapangan yang kita sasarkan.

Harus diingat, Dana Ilmu ini mempunyai kuasa gandaan (leverage), dan ia mampu merawat 'sakit-sakit' kronik yang menghalang dan melambatkan proses bina diri. Semua jangkaan yang bermasalah mungkin boleh berlaku.

Jika tiada pengetahuan untuk mempersiapkan diri, bagaimana mungkin kita hendak berhadapan dengan semua itu?

Kembali kepada pokok asal persoalan. Adakah AboutNumbers boleh diaplikasikan kepada pelajar di kampus?
Aku melihat model 5:2:2:1 mungkin ideal bagi pelajar di kampus.

Ia tidak akan membebankan pelajar.
Tidak perlu menjejaskan bahagian perbelanjaan dan bahagian infak.
Ia mendidik pelajar untuk bersederhana.
Ia juga akan melatih diri untuk berjiwa usahawan dan business-minded.

Apapun model yang kita ingin laksanakan, kunci paling penting adalah disiplin dan konsistensi.

Sekadar mencetuskan pengembangan idea untuk manfaat bersama.

Teruskan bereksperimen!