Tarbiyah jiwa


Hamba yang sering melampaui batas terhadap diri sendiri adalah hamba yang berbangga dengan amalan ibadat, lupa pada dosa dan keaiban diri terdahulu, banyak mengulangi maksiat, sedikit bersyukur dengan nikmat, bahkan lebih teruk, bersenang-senang dengan hati yang penuh mazmumah.

Wahai jiwa, malulah kepada Allah. Usah berbangga dengan sendu seloka atau bait puisi yang kamu garapkan tentang cinta kepada Allah. Sedangkan hati kamu langsung tidak dipandang oleh Allah. Kamu biarkan kegelapan dalam hati kamu, tanpa kamu berusaha ke arah pencerahan. Kamu mengetahui nafsu itu menggila, namun iman yang lesu kamu hanya biarkan.

Bayangkan, di belakangmu terpikul beban dosa yang tersangat-sangat banyak. Lalu kamu hadir merendahkan diri, mengosongkan hati dari segala benda melainkan ingatan kamu hanya pada Allah. Betapa manisnya iman apabila hati melebur dengan tangisan, bersujud penuh keharuan, ikhlas mendakap maghfirah daripada-Nya.

Wahai jiwa, merasa diri adalah seorang yang baik, adalah bala besar kepada jiwa yang bertaubat. Mohonlah agar tetap dengan iman. Mohonlah agar kuat dalam mujahadah. Bencikan pada bisikan nafsu. Sunyikan diri bersama bisikan zikir yang menggumam kalbu.

Perjuangan dalam kehidupan tidak pernah lari dari kesilapan. Setiap keterlanjuran mesti disucikan dengan taubat. Berjalanlah kembali kepada fitrah untuk melengkapi hakikat ubudiyyah. Ketahuilah, itulah tarbiyah jiwa yang mendamaikan.

"Maka sesiapa Yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan itu dan memperbaiki amal usahanya, Sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Al-Maidah:39)

Tadabbur jiwa


Setiap hari, kita bangkit dari tidur dengan selesa. Setiap hari, kita hidup bermesra, sapa-menyapa sesama sahabat dan masyarakat. Setiap hari, kita rancak berbicara tentang pelbagai perkara. Setiap hari, kita menikmati makan dan minum yang enak menyelerakan. Begitulah kita setiap hari, menjalani kehidupan dengan rutin yang sama.

Menakutkan sekali, dalam kita berpergian, meneruskan pengajian, bergelak tawa bersama taulan, melakukan sujud dan rukuk sehari semalam, dan lain-lain, kita semakin meminggirkan hadaf atau matlamat hidup kita. Dalam erti kata lain, kita semakin jauh daripada menghayati tujuan kehidupan kita.

Menjadi seorang hamba, bukan bererti menjadi seorang yang leka. Tak dinafikan, zaman serba canggih seperti sekarang banyak mendorong kepada kelalaian yang besar dalam jiwa setiap Muslim. Kita terlalu asyik dan leka dalam mengejar dunia. Betapa sikap ghaflah dalam menekuni dan mentadabbur hakikat ubudiyyah semakin parah, semakin membesar.


Maka, atas fitrah Islam, dengan bekal iman, serta berqasadkan ihsan, tersangat wajar bagi sekalian jiwa yang mengaku Muslim untuk duduk merenung, menghadirkan hati yang hening dan menangisi kegersangan jiwa. Ratapilah kelalaian hati kita yang jauh dengan Allah. Redupkan hati dengan lembayung cinta Allah yang sering kita maniskan dalam tutur bicara kita, tetapi dusta dalam qasad kalbu kita.


Beresak tangis atas kemiskinan hati kita yang lalai ini. Hindarlah daripada menjadi hamba yang suka membesar diri, bermegah dengan nikmat kurniaan Tuhan dan sering bersangka bahawa kitalah hamba yang terbaik. Sedangkan ubudiyyah dalam diri kita semakin mengikis, dan melebur dalam kenikmatan dunia.


Sungguh malang bagi kita, hamba yang sering leka! Astaghfirullah!


"Dan tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku" [51:56]

Janji Allah : Islam tetap menang


Berpuluh ribu rakyat Palestin di Gaza telah keluar waktu tengahari Selasa(20/1/2009) ke perarakan besar yang dianjurkan HAMAS untuk merayakan kemenangan.

Perarakan itu bermula selepas solat Zohor, apabila berpuluh ribu penduduk Palestin mula keluar dari semua daerah di Gaza untuk menyertai perarakan gergasi itu, semata-mata bertujuan menyampaikan pesan dan ucapan sesama mereka selepas perang yang berlaku di Gaza selama 3 minggu.

Perarakan itu berjalan dari sekolah El-Fakhurah di Mukhayyam Jabaliya, di barat Gaza, tempat mulanya penyembelihan berlaku, mengorbankan 45 orang dan 150 yang lain cedera, perarakan besar itu kemudiannya menuju ke rumah pimpinan HAMAS yang syahid Dr. Nizar Rayyan yang dibedil bersama-sama dengan keluarganya.

[Sumber:Palestinkini.info]

Allahuakbar!

Mungkin ada yang sinikal membaca apa yang dinyatakan oleh pimpinan Briged Al-Qassam, sayap pejuang Hamas yang mengisytiharkan kemenangan terhadap Israel dalam perang yang memakan masa lebih tiga minggu. Mana mungkin mengatakan mereka beroleh kemenangan sedang ribuan rakyat sudah terkorban dan cedera dibedil tentera terlaknat.

Kita sememangnya tidak redha di atas setiap jiwa yang gugur syahid, khususnya orang awam yang terdiri daripada kanak-kanak dan wanita. Sesekali kita tidak akan sunyi untuk bermunajat memohon keselamatan mereka di sana.

Harus diingatkan bahawa setiap rakyat Palestin tidak pernah mengatakan bahawa apa yang diperjuangkan oleh Hamas bersama-sama rakyat Palestin adalah suatu yang sia-sia. Perjuangan mereka sudah lama. Kita yang berada di luar bumi Palestin sepatutnya sedar bahawa kemenangan moral adalah milik Gaza, milik rakyat Palestin dan mereka berhak bersyukur meraikan kemenangan tersebut.

Dan Allah tak akan mensia-siakan mereka yang berjuang di jalan Allah, menegakkan kalimah tauhid di bumi Palestin dan sekitarnya.

This is because of stupid Hamas!

Istighfar. Istighfar itu penghapus dosa.

Hari ini aku sedikit emosi. Dan jujurnya, sangat marah. Terasa meruap-ruap membakar dalam hati. Darah di segenap kepala berderau panas disambar nafsu ammarah, tatkala terkedu mendengar suara berdegar menyatakan:

"This is because of stupid Hamas!"

Sungguh langsung suatu kenyataan yang tiada tanggungjawab. Begitu sewenang-wenang dia menempelak tanpa berlapik kukuh dengan hujah yang rasional. Kata-katanya yang nyata jelas memencilkan perjuangan Islam secara langsung!

Aku bingkas bersuara, menyatakan silap dakwaan tersebut. Dia sedikit memperlekeh, mempersoalkan pengetahuan kami terhadap isu Palestin. Dia meluah penjelasan berat sebelah dan merendah-rendahkan Hamas. Hati aku bercampur-baur. Kesal, marah, sedih.

Mengapa perlu dia timbulkan isu salah siapa, yang memulakan perang ketika ini? Sedang kita semua tahu rentetan sejarah pencerobohan bumi Palestin sejak 60 tahun lalu. Tragedi Nakbah, Sharba dan Shatila, Intifadhah antara episod-episod duka sepanjang tempoh tersebut yang jelas membuktikan Israel pihak yang terlaknat memulakan perang ke atas Palestin. Adakah masih boleh kita menyalahkan Hamas yang kononnya membunuh orang awam dan sengaja meletakkan Gaza ke dalam situasi perang?

Aku menyoal lagi, untuk kali kedua, dengan harap akan mengendurkan hujah dangkalnya. Aku mempersoalkan sikap munafik para pemimpin negara-negara Arab. Dia menjawab lantang, negara-negara Arab sudah belajar dari sejarah mereka. Langkah sebegitulah sepatutnya diambil oleh Hamas. Senang cerita, dia menolak perjuangan Hamas dan menyambut baik tindakan pemimpin negara Arab yang khianat.

Ujarnya, bala tentera Zionis yang menggempur Gaza sekarang adalah bala tentera sama yang telah merampas sebahagian besar wilayah-wilayah di tiga buah negara Arab dalam masa hanya enam hari sahaja (Perang 6 hari pada 1967 antara Israel dengan Mesir, Syria dan Jordan). Dan dia dengan yakin, mengiyakan kedayusan pemimpin Arab tersebut atau dalam erti kata lain, negara Arab perlu tunduk kepada kuasa Zionis dalam isu Gaza kini.

Sekali lagi aku bersuara, bertanyakan kefahamannya tentang gerakan Hamas. Nah, jawapannya seperti dijangka. Hamas, baginya, hanyalah parti politik berorietasikan militan dan sunyi dari usaha damai.

Dia melihat keengganan kuasa besar dunia mengiktiraf Hamas sebagai satu sebab Hamas tersilap percaturan perjuangan. Lebih menyedihkan, dia bersetuju untuk mengatakan Hamas dan Fatah adalah sama sahaja dan menyalahkan kedua-dua sekali.

Sejenak dalam kegusaran akan penjelasannya, aku memahami suatu perkara. Dalam menyuguhi fikrah manusia, banyak kontradik yang terkadang menikam jiwa kita. Itu biasa bila wujudnya percanggahan pendapat. Namun, kali ini, ia tidak harmoni seperti yang diharapkan.

Tidak dapat dinafikan, pemikirannya lama 'terjajah' dengan segala isme rekaan barat. Jalur pemikirannya, pada hemat aku, lebih kepada liberal moderat yang akhirnya terbukti telah mencucuh nilai sensitiviti agama dalam dirinya secara diam. Tiada lagi peranan jihad yang diutarakan. Tiada lagi nada membela perjuangan Islam. Tiada lagi nada Islami yang membangkitkan kesedaran. Tuntas, dia lupa akan pokok asas dalam isu Gaza iaitu aqidah.

Dia memberikan pandangan alternatif, mencadangkan Hamas sepatutnya duduk diam sahaja, menunggu sehingga beroleh kekuatan sama ada dana kewangan mahupun kelengkapan senjata, kemudian barulah bangkit menentang.

Nadanya yang bersetuju, secara tak langsung mengatakan Israel adalah terkuat di dunia. Malang sekali, langkah yang dirasakan 'bijak' itulah yang akan membinasakan Palestin. Langkah berdiam diri jugalah ke arah mempercepatkan proses melenyapkan bumi Palestin di muka bumi, seperti lenyapnya Andalusia suatu ketika dahulu.

Aku tak boleh menyalahkannya yang mengeluarkan kenyataan sebegitu. Apatah lagi menghukum celaka ke atasnya, adalah sangat tidak wajar. Kita memahami bahawa timbulnya cakap-cakap sepertinya berpunca daripada kefahamannya sendiri.

Pada hemat aku, faham dia terhadap perjuangan Hamas dan rakyat Palestin secara amnya, adalah minima. Kefahaman hanya berdalilkan sumber berita Barat dan taakulan minda yang bias. Barangkali dia tidak berpeluang untuk mendalami nilai tarbiyah hararki yang sebenar-benar, membuatkan dia menjadi terbuka untuk menempelak Hamas.

Seboleh-boleh aku ingin bersuara menyangkal setiap yang diutarakan. Namun ego manusia terkadang sukar untuk dicabar. Pedih hati dalam memaksa diri untuk akur. Seboleh-boleh juga aku mahu mengelak dari berhujah dengannya berlandas nafsu, bimbang bibit dendam timbul dalam Aduhai, getus kecil hatiku mengutuk diri sendiri, "Alangkah lemahnya diri! membiar kepalsuan megah menutupi kebenaran!"

Pandangan aku, walau apa label sekalipun yang diberikan, Hamas tetap satu hararah Islamiyyah yang padanya ada jiwa-jiwa yang thabit dalam perjuangan Islam. Mereka tetap maju berjuang di jalan Allah meski tuduhan mengatakan mereka adalah pencetus bagi konflik terburuk ketika ini. Walaupun tuduhan terhadap Hamas yang didakwa sangat bodoh menyerang Israel, mereka tetap pejuang Islam yang gigih atas jihad suci mempertahankan bumi Palestin.

Menyalahkan Hamas yang sedang berjuang mempertahankan bumi Gaza, kemudian dalam masa yang sama bersetuju untuk mengatakan, ya, Israel punyai hak untuk menyerang Gaza atas kesilapan Hamas dan mengagumi usaha pemimpin Liga Arab yang kononnya berusaha ke arah rundingan damai adalah jelas kebobrokan minda yang ketara.

Aku kasihan dan aku marah. Kasihan aku kerana kurang faham dia terhadap gerakan Islam. Kurang faham dia terhadap apa yang sebenarnya berlaku terhadap rakyat dan pejuang Palestin sebelum tempoh kekejaman terburuk Zionis bermula. Tambah kasihan, dia lupa tentang satu perkara; isu Gaza adalah isu ummah. Ia bukan lagi isu undang-undang antarabangsa.

Dan mungkin, sedikit kemarahan, meski pada mula cuba aku kendurkan, terhadap sikapnya. Kalau betul fakta yang ditonjolkan, apakah dia terlupa bahawa dia sendiri bersikap berat sebelah. Mengetepikan fakta dari suara Palestin, dari suara Hamas, sebaliknya mengiyakan segala dakyah CNN dan AFP.


Tenteramlah jiwa. Usah diserbu ammarah, hindarkan dari melepas nafsu tak bertempat.

Aku mengingat kembali. Ya, meski dia lebih tua daripada aku dan meski dia lebih pandai daripada aku, dengan gelaran Prof yang dibanggakan, namun dalam isu ummah, adalah suatu kesilapan besar seandainya tutur lafaz kita merendah-rendahkan para pejuang Islam, khususnya di Gaza iaitu Hamas, kumpulan Jihad Islami, Briged al-Qassam.

Awasi tutur lafaz kita. Jangan mudah kita tunduk dan akur hanya dengan dakwaan, tentera Hamas masih lemah, senjata pejuang-pejuang Islam sedikit, tentera Israel sukar ditewaskan, Hamas cari pasal dengan Israel. Seolah-olah kita bersetuju untuk mengatakan Israel adalah bangsat yang sukar umat Islam ditewaskan.

Apatah tergamak untuk kita katakan bahawa para pejuang Islam yang meski satu misil kecil dilancarkan untuk menyerang Zionis laknatuLlah, adalah satu tindakan bodoh dan sia-sia? Apakah kita berhasil untuk menyelami semangat jiwa-jiwa pejuang Islam di sana? Kalau sekadar duduk di kerusi empuk, berpusing-pusing di depan komputer dengan mengetik-ngetik tetikus membuka web berita Barat yang sarat dusta dan sekongkol membela Israel, maka hentikanlah.

Ketahuilah, Hamas bukanlah semata-mata sayap politik di Palestin. Umum termaklum akan berbedanya Fatah dan Hamas. Satu pihak sangat munafik dan pro-Zionis, konon mahu membela nasib Palestin tetapi hari demi hari pengkhianatan terhadap Palestin sendiri dizahirkan. Belum lagi ditambah dengan korupsi melampau dalam pimpinan.

Sedang pihak satu lagi, bangkit menyemarakkan jihad, membebaskan bumi al-Quds dengan jalan yang sebenar-benar, gerakan yang sentiasa bersama rakyat Gaza dan tidak berjuang melainkan kalimah tauhid menjadi azimat dalam setiap derap langkah. Parti yang berasaskan gerakan Ikhwah itu sememangnya faham tentang matlamat perjuangan mereka. Mereka sudah pasti tidak lagi gentar kerana sudah terhimbau sinar wajah mereka yang bakal gugur syahid menanti giliran.

Ini adalah surat terbuka untuk dia. Terpulang baginya untuk bersangka baik. Banyakkan istighfar. Banyakkan istighfar. Tenteramlah jiwa.

Ya Allah, bantulah para mujahidin di Gaza, hancurkanlah tentera Zionis laknatullah...

Menyelami Jiwa Gaza

Hari ini dan hari-hari seterusnya, kezaliman Zionis laknatullah tak terbendung lagi. Api kemarahan seluruh umat dunia yang menghembus kecaman dan kutukan sudah tak dihiraukan. Bahkan, Zionis terlaknat makin menggila melanyak bumi Gaza.

Isu Gaza sememangnya isu umat Islam. Setiap daripada kita adalah bertanggungjawab terhadap Palestin. Kesatuan umat Islam kini letaknya pada bumi Palestin yang mahu dilenyapkan bajingan yahudi. Seluruh dunia kini melaungkan seruan jihad menyeru untuk berjuang dan bersatu.
Kita di Malaysia, tidak dapat tidak mesti menyatakan bahawa jiwa kita pada Palestin. Darah yang mengalir di setiap urat kujur badan kita adalah darah yang sama mengalir pada setiap saudara kita di sana yang dibedil saban hari. Tak keterlaluan untuk dikatakan, bayang-bayang kita hadir mengiringi setiap langkah pejuang-pejuang Islam di Palestin.
Kita di sini sangat lemah dan tak berdaya untuk turun berjihad dengan mereka. Maka, gantikan tekad itu dengan melafazkan doa setiap waktu. Berdoalah untuk kemenangan Islam. Munajat itu kita bekalkan penuh harap, penuh rasa cinta dan taqwa. Jadikan bait-bait cinta dan sejahtera kepada saudara Palestin kita antara bait-bait utama dalam doa harian. Usah berputus daripada pengharapan kita kepada Allah. Kemenangan Islam itu adalah janji Allah, dan kita mengimaninya.

Wajar juga bagi kita untuk mendekatkan jiwa kita dengan jiwa saudara-saudara kita di Palestin dengan berpuasa. Ibadat itu akan menjadi bukti cinta kita kepada mereka bahawa kita tak tergamak untuk berenak dengan hidangan yang mewah dan melimpah-ruah sedangkan mereka kering bibirnya tiada beroleh minuman. Perut pula kejap diikat dek lapar tak berhasil mengalas perut dengan apa-apa makanan. Mereka hanya mampu meneruskan kehidupan dengan semangat dan perjuangan.
Palestin membawa suatu mesej yang jelas kepada kita. Masanya untuk kita suburkan jihad dalam sanubari kita. Jika selama ini kita agak lemah dalam mujahadah, maka sekarang inilah masanya. Pertingkatkan iman dan lipat gandakan solat sunat. Tadabbur al-Quran setiap hari, kerap kali. Moga-moga ruh yang menyemai dalam jiwa para pejuang di sana turut sama meresap dalam jiwa kita.
Tidak salah untuk kita menginsafi diri kita yang tak mampu turun berjuang. Jika darah tak terdaya untuk kita tumpahkan, biarlah tangis air mata kita sahaja yang menjadi saksi kesungguhan kita. Menangislah kerana Allah, untuk Palestin. Tangisan bukanlah sesuatu yang menjatuhkan ego, sebaliknya tangisan adalah nilai kehidupan yang mulia.

Banyak perkara lagi yang boleh dilakukan bagi memastikan kelangsungan sensitiviti kita dan kesedaran kita terhadap nasib umat Islam di Palestin terus mekar dalam jiwa kita. Jangan sunyikan hati kita dengan azam untuk turun berjihad di Palestin. Sentiasa sematkan niat tersebut dan berdoa dikabulkan hajat suci itu.

Kita mungkin boleh turun seberapa banyak demonstrasi dan perhimpunan bagi menyuarakan bantahan kita terhadap rejim Zionis. Kita boleh melaung-laung takbir untuk menyemarakkan semangat kita dalam usaha menyelamatkan bumi Palestin. Namun, harapnya ia bukanlah sekadar luaran semata-mata.

Persiapkan diri kita untuk turun berjihad. Lazimkan solat berjemaah setiap waktu. Banyakkan zikir dan bacaan al-Quran. Singkirkan cinta dunia berlebihan. Tekadkan syahid sebagai penghujung kehidupan kita. Mudah-mudahan Allah mengurniakan nikmat cinta kita kepada Gaza menjadi semakin merumbu, membugar disirami ketaatan kepada-Nya. Ayuh bangkit pemuda Islam!