This is because of stupid Hamas!

Istighfar. Istighfar itu penghapus dosa.

Hari ini aku sedikit emosi. Dan jujurnya, sangat marah. Terasa meruap-ruap membakar dalam hati. Darah di segenap kepala berderau panas disambar nafsu ammarah, tatkala terkedu mendengar suara berdegar menyatakan:

"This is because of stupid Hamas!"

Sungguh langsung suatu kenyataan yang tiada tanggungjawab. Begitu sewenang-wenang dia menempelak tanpa berlapik kukuh dengan hujah yang rasional. Kata-katanya yang nyata jelas memencilkan perjuangan Islam secara langsung!

Aku bingkas bersuara, menyatakan silap dakwaan tersebut. Dia sedikit memperlekeh, mempersoalkan pengetahuan kami terhadap isu Palestin. Dia meluah penjelasan berat sebelah dan merendah-rendahkan Hamas. Hati aku bercampur-baur. Kesal, marah, sedih.

Mengapa perlu dia timbulkan isu salah siapa, yang memulakan perang ketika ini? Sedang kita semua tahu rentetan sejarah pencerobohan bumi Palestin sejak 60 tahun lalu. Tragedi Nakbah, Sharba dan Shatila, Intifadhah antara episod-episod duka sepanjang tempoh tersebut yang jelas membuktikan Israel pihak yang terlaknat memulakan perang ke atas Palestin. Adakah masih boleh kita menyalahkan Hamas yang kononnya membunuh orang awam dan sengaja meletakkan Gaza ke dalam situasi perang?

Aku menyoal lagi, untuk kali kedua, dengan harap akan mengendurkan hujah dangkalnya. Aku mempersoalkan sikap munafik para pemimpin negara-negara Arab. Dia menjawab lantang, negara-negara Arab sudah belajar dari sejarah mereka. Langkah sebegitulah sepatutnya diambil oleh Hamas. Senang cerita, dia menolak perjuangan Hamas dan menyambut baik tindakan pemimpin negara Arab yang khianat.

Ujarnya, bala tentera Zionis yang menggempur Gaza sekarang adalah bala tentera sama yang telah merampas sebahagian besar wilayah-wilayah di tiga buah negara Arab dalam masa hanya enam hari sahaja (Perang 6 hari pada 1967 antara Israel dengan Mesir, Syria dan Jordan). Dan dia dengan yakin, mengiyakan kedayusan pemimpin Arab tersebut atau dalam erti kata lain, negara Arab perlu tunduk kepada kuasa Zionis dalam isu Gaza kini.

Sekali lagi aku bersuara, bertanyakan kefahamannya tentang gerakan Hamas. Nah, jawapannya seperti dijangka. Hamas, baginya, hanyalah parti politik berorietasikan militan dan sunyi dari usaha damai.

Dia melihat keengganan kuasa besar dunia mengiktiraf Hamas sebagai satu sebab Hamas tersilap percaturan perjuangan. Lebih menyedihkan, dia bersetuju untuk mengatakan Hamas dan Fatah adalah sama sahaja dan menyalahkan kedua-dua sekali.

Sejenak dalam kegusaran akan penjelasannya, aku memahami suatu perkara. Dalam menyuguhi fikrah manusia, banyak kontradik yang terkadang menikam jiwa kita. Itu biasa bila wujudnya percanggahan pendapat. Namun, kali ini, ia tidak harmoni seperti yang diharapkan.

Tidak dapat dinafikan, pemikirannya lama 'terjajah' dengan segala isme rekaan barat. Jalur pemikirannya, pada hemat aku, lebih kepada liberal moderat yang akhirnya terbukti telah mencucuh nilai sensitiviti agama dalam dirinya secara diam. Tiada lagi peranan jihad yang diutarakan. Tiada lagi nada membela perjuangan Islam. Tiada lagi nada Islami yang membangkitkan kesedaran. Tuntas, dia lupa akan pokok asas dalam isu Gaza iaitu aqidah.

Dia memberikan pandangan alternatif, mencadangkan Hamas sepatutnya duduk diam sahaja, menunggu sehingga beroleh kekuatan sama ada dana kewangan mahupun kelengkapan senjata, kemudian barulah bangkit menentang.

Nadanya yang bersetuju, secara tak langsung mengatakan Israel adalah terkuat di dunia. Malang sekali, langkah yang dirasakan 'bijak' itulah yang akan membinasakan Palestin. Langkah berdiam diri jugalah ke arah mempercepatkan proses melenyapkan bumi Palestin di muka bumi, seperti lenyapnya Andalusia suatu ketika dahulu.

Aku tak boleh menyalahkannya yang mengeluarkan kenyataan sebegitu. Apatah lagi menghukum celaka ke atasnya, adalah sangat tidak wajar. Kita memahami bahawa timbulnya cakap-cakap sepertinya berpunca daripada kefahamannya sendiri.

Pada hemat aku, faham dia terhadap perjuangan Hamas dan rakyat Palestin secara amnya, adalah minima. Kefahaman hanya berdalilkan sumber berita Barat dan taakulan minda yang bias. Barangkali dia tidak berpeluang untuk mendalami nilai tarbiyah hararki yang sebenar-benar, membuatkan dia menjadi terbuka untuk menempelak Hamas.

Seboleh-boleh aku ingin bersuara menyangkal setiap yang diutarakan. Namun ego manusia terkadang sukar untuk dicabar. Pedih hati dalam memaksa diri untuk akur. Seboleh-boleh juga aku mahu mengelak dari berhujah dengannya berlandas nafsu, bimbang bibit dendam timbul dalam Aduhai, getus kecil hatiku mengutuk diri sendiri, "Alangkah lemahnya diri! membiar kepalsuan megah menutupi kebenaran!"

Pandangan aku, walau apa label sekalipun yang diberikan, Hamas tetap satu hararah Islamiyyah yang padanya ada jiwa-jiwa yang thabit dalam perjuangan Islam. Mereka tetap maju berjuang di jalan Allah meski tuduhan mengatakan mereka adalah pencetus bagi konflik terburuk ketika ini. Walaupun tuduhan terhadap Hamas yang didakwa sangat bodoh menyerang Israel, mereka tetap pejuang Islam yang gigih atas jihad suci mempertahankan bumi Palestin.

Menyalahkan Hamas yang sedang berjuang mempertahankan bumi Gaza, kemudian dalam masa yang sama bersetuju untuk mengatakan, ya, Israel punyai hak untuk menyerang Gaza atas kesilapan Hamas dan mengagumi usaha pemimpin Liga Arab yang kononnya berusaha ke arah rundingan damai adalah jelas kebobrokan minda yang ketara.

Aku kasihan dan aku marah. Kasihan aku kerana kurang faham dia terhadap gerakan Islam. Kurang faham dia terhadap apa yang sebenarnya berlaku terhadap rakyat dan pejuang Palestin sebelum tempoh kekejaman terburuk Zionis bermula. Tambah kasihan, dia lupa tentang satu perkara; isu Gaza adalah isu ummah. Ia bukan lagi isu undang-undang antarabangsa.

Dan mungkin, sedikit kemarahan, meski pada mula cuba aku kendurkan, terhadap sikapnya. Kalau betul fakta yang ditonjolkan, apakah dia terlupa bahawa dia sendiri bersikap berat sebelah. Mengetepikan fakta dari suara Palestin, dari suara Hamas, sebaliknya mengiyakan segala dakyah CNN dan AFP.


Tenteramlah jiwa. Usah diserbu ammarah, hindarkan dari melepas nafsu tak bertempat.

Aku mengingat kembali. Ya, meski dia lebih tua daripada aku dan meski dia lebih pandai daripada aku, dengan gelaran Prof yang dibanggakan, namun dalam isu ummah, adalah suatu kesilapan besar seandainya tutur lafaz kita merendah-rendahkan para pejuang Islam, khususnya di Gaza iaitu Hamas, kumpulan Jihad Islami, Briged al-Qassam.

Awasi tutur lafaz kita. Jangan mudah kita tunduk dan akur hanya dengan dakwaan, tentera Hamas masih lemah, senjata pejuang-pejuang Islam sedikit, tentera Israel sukar ditewaskan, Hamas cari pasal dengan Israel. Seolah-olah kita bersetuju untuk mengatakan Israel adalah bangsat yang sukar umat Islam ditewaskan.

Apatah tergamak untuk kita katakan bahawa para pejuang Islam yang meski satu misil kecil dilancarkan untuk menyerang Zionis laknatuLlah, adalah satu tindakan bodoh dan sia-sia? Apakah kita berhasil untuk menyelami semangat jiwa-jiwa pejuang Islam di sana? Kalau sekadar duduk di kerusi empuk, berpusing-pusing di depan komputer dengan mengetik-ngetik tetikus membuka web berita Barat yang sarat dusta dan sekongkol membela Israel, maka hentikanlah.

Ketahuilah, Hamas bukanlah semata-mata sayap politik di Palestin. Umum termaklum akan berbedanya Fatah dan Hamas. Satu pihak sangat munafik dan pro-Zionis, konon mahu membela nasib Palestin tetapi hari demi hari pengkhianatan terhadap Palestin sendiri dizahirkan. Belum lagi ditambah dengan korupsi melampau dalam pimpinan.

Sedang pihak satu lagi, bangkit menyemarakkan jihad, membebaskan bumi al-Quds dengan jalan yang sebenar-benar, gerakan yang sentiasa bersama rakyat Gaza dan tidak berjuang melainkan kalimah tauhid menjadi azimat dalam setiap derap langkah. Parti yang berasaskan gerakan Ikhwah itu sememangnya faham tentang matlamat perjuangan mereka. Mereka sudah pasti tidak lagi gentar kerana sudah terhimbau sinar wajah mereka yang bakal gugur syahid menanti giliran.

Ini adalah surat terbuka untuk dia. Terpulang baginya untuk bersangka baik. Banyakkan istighfar. Banyakkan istighfar. Tenteramlah jiwa.

Ya Allah, bantulah para mujahidin di Gaza, hancurkanlah tentera Zionis laknatullah...

Tiada ulasan: