Pelihara potensi diri

15 Januari 2012

Saat ini adalah tempoh para penuntut di universiti-universiti berdepan dengan peperiksaan akhir. Rutin di hujung semester, semua akan kesibukan menelaah buku dan mengulang-ulang nota sebelum menginjak tiba ke dewan peperiksaan.

Hampir lima tahun mendiam di bumi Nilai, sebagai pelajar kerdil di pusat pengajian di sini meski hampir tiada langsung dalam benak fikiran aku untuk bergelar penuntut jurusan undang-undang sebelum ini. Aku cuba mengingat-ingat kembali, bagaimana terjadi sehingga menatijahkan keadaan aku seperti sekarang. Segala pesan Abah, harapan tinggi emak dan inspirasi yang terzahir oleh adik, abang dan dua kakak mendorong kekuatan untuk terus kekal dalam pengajian ini.

Bersama teman-teman seperjuangan kampus menghirup udara kebebasan akademik

Begitu hebat percaturan Allah. Kita sebagai hamba tersangat dangkal berbanding pengetahuan-Nya yang maha luas. Kita mungkin sahaja boleh berangan dan mengimpikan sesuatu, tetapi tidak semua yang kita harapkan akan berlaku. Mungkin kita akan mengeluh sekarang, tetapi esok pasti kita akan mengucap syukur dan mengukir senyum, tanpa kita hiraukan jerih payah sebelum ini yang terus luput dari benak fikiran.

Allah sebaik-baik perancang. Allah jua sebaik-baik tempat bergantung.

Aku positif dan cuba bersikap adil dalam menerima cabaran tatkala menempuh dunia pengajian sekarang ini. Dunia kampus sememangnya kaku, melainkan kita sendiri yang mengolah dan membina persekitaran yang diinginkan.

Pengalaman mampu mematangkan fikiran dan tindakan

Universiti, tidak lebih daripada medan uji kaji. Dunia varsiti tidak lari dari rencam suasana yang menyulitkan. Medan uji kaji ini hanya berkitar selama empat hingga enam tahun. Terserah kepada diri kita sendiri untuk mencetuskan suasana yang membina peribadi dan menjana pengalaman kita sendiri.

Secara peribadi, aku mendoakan yang terbaik dalam peperiksaan kali ini. Baki tiga semester yang perlu dilunaskan, aku bersyukur dikurniakan anugerah pengetahuan dan hadiah persahabatan yang cukup besar manfaatnya pada diri. Belajar dengan penghayatan akan membuatkan diri kita 'hidup', dan jauh dari benak yang ternyata palsu dengan hafalan dan kongkongan jeriji menara gading.

Apapun, jauh lebih besar aku mendoakan yang lebih baik dalam perancangan yang akan diteruskan untuk beberapa tahun mendatang. Sahabat dan teman sekeliling hadir membantu dan menyokong sesekali, hasrat yang ingin dikecap.

Ingatan terpenting yang perlu aku pasakkan, setiap kita dianugerahkan potensi tersendiri. Allah tidak pernah mensia-siakan hamba-Nya. Maka, jika kalian menyedari kebaikan apa yang wujud dalam diri serta bermanfaat pada diri kalian, maka peliharalah potensi tersebut. Fokus dan bentukkanlah ia dengan tindakan yang menguntungkan diri dan Islam.

Semoga usaha kita semua dipermudahkan. Paling penting, semoga apa yang dirancang mendapat redha Allah dan memberi manfaat kepada orang lain. Sebaik-baik manusia adalah mereka yang paling memberi manfaat kepada orang di sekelilingnya.



p/s: Merindui detik-detik 'larut' dalam pengembaraan jiwa, lima tahun lalu. Ingin kembali dengan jiwa yang lebih besar!

Read more...

Mulakan 2012 dengan fitrah

06 Januari 2012


Petang santak ke malam, kumpulan kecil anak muda duduk berehat-rehat di pinggiran beranda Masjid Jamek. Sebetulnya mereka datang bersama-sama dengan teman-teman dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan berpaksi Islami, menyertai kumpulan ahli jawatankuasa masjid mengimarahkan aktiviti yang diadakan khas bersempena tahun baru.


Sejak tengah hari, pengunjung erot-erotan memasuki pintu utama yang terbuka sebelah. Ada yang hadir menunaikan solat, ada yang ingin mendapatkan juadah makan malam percuma dan ada juga yang semata-mata mahu mengikuti pengisian yang diadakan di pentas hadapan masjid.

Sebelah petang tadi, kumpulan tersebut sedikit teruja tatkala mengekori rakan-rakan yang mengadakan persembahan muzik jalanan. Beberapa orang yang lalu-lalang di sekitar berhenti dan merakam gambar. Sebilangan kecil pula berhenti dan bertanyakan itu dan ini. Sesekali dua tiga pemuda berselang-seli tampil penuh semangat memberi sedikit pesan dan nasihat secara santai. Beberapa lagu berunsur ketuhanan dan kemanusiaan didendangkan sebelum bubar untuk solat Maghrib.

Di sekitar itu, kelihatan sekumpulan gadis berkerudung labuh kelihatan lincah ke sana sini meski berpenampilan muslimah, membawa belon berwarna-warni. Ujar mereka bila ditanya, untuk dihadiahkan kepada orang awam. Kempen cintakan solat dengan pendekatan yang ringan dan sebegitu mudah, sememangnya memberi pengaruh dan tarikan tersendiri.

Sebelah malam, sejumlah besar kumpulan anak muda berkumpul di ruang legar luar masjid. Taklimat disampaikan dengan beberapa misi serta pendekatan yang ingin dijalankan pada lewat tengah malam itu. Pelbagai gaya dan watak anak muda berjaya disekalikan demi melaksanakan matlamat yang sama; islah nafsak wad'u ghairak.


Dalam riuh kesibukan manusia yang membanjiri segenap ruang Dataran Merdeka, kumpulan anak muda ini bertebaran membenam ke dalam lautan khalayak. Berpapasan dengan anak-anak muda yang sebaya khayal dengan kecintaan pada kemeriahan hiburan dunia, terbit sedikit perasaan sedih dan malu. Begitu nasib masyarakat di Malaysia.

Doa wehdah yang dilaung, bacaan selawat dialun dan lontaran kata-kata semangat memecah bingit yang bercampur-baur dengan muzik rancak dan percikan bunga api di ruang udara. Kelompok besar anak muda yang berkumpul di hadapan menara jam menarik minat orang awam yang terpinga-pinga dan tertanya-tanya akan tujuan kumpulan besar anak muda itu berkumpul.

Kumpulan itu terus kekal dalam kumpulan besar, dengan erat mengukuh ribat sesama mereka. Tujuan mereka jelas, memberi mesej kepada masyarakat bahawa anak muda tersebut sayangkan Malaysia. anak muda sayang akan Allah dan Rasul. Kumpulan anak muda itu justeru mengambil inisiatif dan kata sepakat untuk turun menzahirkan sikap dan hasrat mereka.

Betapa rakyat Malaysia harus disedarkan akan kesederhanaan. Paling penting, rasa syukur itu perlu mengatasi segala bentuk tindakan dalam apa jua sambutan yang diraikan.

Meski dianggap kecil dan remeh usaha tersebut. di kalangan masyarakat, sekurangnya-kurangnya kumpulan anak muda tersebut diraikan oleh kaum ibu dan anak-anak muda yang seakan-akan mengerti dan senada dengan pendirian mereka. Mereka tertarik dan turut serta. Terbit riak wajah terharu dan sebak bila sesekali laungan takbir bergema di Dataran Merdeka yang masih belum 'merdeka' dari taklukan hedonis dan cucuhan maksiat.

Dengan rendah hati dan penuh harap, semoga usaha sebegini diberkati dan dapat diteruskan.

Barangkali mereka, kumpulan anak muda, berfikir, Tuhan tidak akan bertanya kepada mereka apa yang mereka telah peroleh selama ini dengan menganut Islam. Tetapi Allah pasti akan bertanya kepada mereka, apa yang mereka telah sumbangkan sebagai Muslim kepada agama Islam itu sendiri.

Mulakan Tahun Baru 2012 dengan fitrah seorang Muslim; ber-Iman dan ber-Ihsan.

Read more...

2011 yang menggamit

29 Disember 2011


Dua hari lagi, masa akan bertukar angka dan beranjak ke tahun yang berganti baharu. Begitu juga dengan kehidupan. Masa akan bergerak berlalu, dan hidup manusia akan diteruskan dengan rentak yang baharu dan lebih membina.

2011 meninggalkan kita dengan kenangan yang rencam. Mehnah, memori indah, hatta pengalaman yang barangkali menggirangkan hati. Boleh jadi menyesakkan hati. Semuanya berlalu dan dirasai, sebagai suatu nikmat yang tidak pernah Allah dustakan.

Manusia yang baik adalah mereka yang semakin bertambah usia, semakin meningkat pengetahuan, dan semakin bijak mengurus kematangan. Pengalaman akan membina diri dan lebih menarik, akan mengolah diri untuk menjadi sama ada lebih berani, lebih berhikmah, lebih beradab dan bersantun susila.

Aku mengamati secebis kisah dan merenung dalam-dalam pengalaman sepanjang satu tahun. Banyak yang dikecap menggembirakan, dan banyak juga yang menguji iman dan akal fikiran. Mengurus potensi peribadi, mengatur pasukan, menyusun perancangan kumpulan dan membina keyakinan dalam menyelesaikan tugasan adalah rutin yang perlu dilalui dan dilunaskan saban hari.

Tahun 2011 tahun mencabar. Tahun 2011 juga tahun yang memercik emosi.

Tahun ini, tahun aku tegar bersemangat dengan teman-teman sealiran. Kami beraksi, kami berkongsi dan meneroka idea. Dan kami puas membina sejarah sendiri.

Jiwa muda kami.

Masa rehat, kami memberontak.
Masa lapang, kami berpencak di lapangan.
Masa manis, kami tegar dalam aktivis.

Masa itu merakam memori kami. Dan ia membina diri kami dalam ruang lingkup masa anak muda yang kami akui, cukup singkat untuk dinikmati.

Menelaah ilmu, menjarah pengetahuan, mencedok pengalaman, memasak kefahaman, mengangkat ide dan pemikiran, menyuguh benak dengan semangat, impian dan harapan.

Terima kasih Tuhan, mengizinkan aku mencicip manisnya persahabatan,
menghirup rasa manisnya perjuangan.
Tanpa izin dari Mu, mungkin aku buntu dalam kegagalan.
Maka,
Nikmat Engkau yang mana hendak aku dustakan.


p/s: Azam 2012, aku ingin menjadi 'puisi' yang bernyanyi, menjadi 'rembulan' yang menyinar. Ya Allah, permudahkan urusan hamba-Mu.

Read more...

Kasihan, kisah batu diharamkan...

11 Disember 2011


Baru-baru ini, aku menerima emel daripada seorang kakitangan kanan di Perpustakaan USIM. Beliau berkongsikan satu kiriman salinan surat daripada JAKIM kepada pihak tertentu (termasuk Jabatan Perpustakaan) berkenaan senarai buku terkini yang diharamkan untuk penerbitan dan pengedaran.

Kebetulan. Muharram kali ini, mehnah dari luar kembali bertamu mengguris sasterawan muda, Dr. Mohd Faizal Musa yang lebih tersohor dengan panggilan pena beliau Faisal Tehrani.

Buku beliau; Sebongkah Batu di Kuala Berang turut disenarai bahan bacaan yang haram!

Kasihan.

Aku gesit membelek dan mengamati inti karya tersebut sepintas lalu.
Sebetulnya, baru sekali aku khatamkan bacaan novel yang setebal cuma 180 muka surat.

Ternyata, penulisan yang bernafas 'simpati' terhadap keturunan Rasulullah dan berkecenderungan Hassan dan Hussin, merimaskan pihak tertentu. Buku tersebut lantas diletakkan status 'haram' untuk dijadikan tatapan khalayak!

Kasihan lagi.

Kali ini benar-benar kasihan kepada pihak berkuasa dan berautoriti (dalam menghukum haram halal sesuatu buku). Jika benar ia menyinggung persoalan akidah dan menggugat kesejahteraan agama, maka tampilkan dengan hujah yang ilmiah.

Jika perlukan perdebatan dan diskusi buku, itu terlebih mulia sejajar dengan nilai dan mutu sesebuah karya seorang sasterawan muda. Jangan lekas menikam, membunuh potensi jiwa besar dalam seorang karyawan!

Kepada Dr. FT, bersabar ya. Beginilah kerenah kera-jaan Malaysia; sentiasa pongah dan tiris kebebasan berkarya. Jangan sampai saat kebangkitan rakyat mempertegak keadilan dan memakmurkan masyarakat dengan Islam, barulah mereka segera terngadah.

Kita nantikan apa respon pihak sebelah 'sana'.

p/s: Novel Sebongkah Batu di Kuala Berang adalah naskhah kecil bersifat doku-drama. Sedikit berat tetapi hidup mesej yang dibawa. Cuma, ia mungkin bukanlah karya yang benar-benar menggugah jiwa pembaca. Tiga bintang untuk buku ini.

Read more...

  © Blogger templates Newspaper II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP