wa.kena.beb.


Entah mengapa aku secara tiba-tiba terkesan dengan bait-bait lirik ni. Terasa lagu ni dengan 'selamba badak'nya menyindir aku bila mendengarnya. Macam kena tembak. Dush..

Rancang dengan apa yang ada di tangan * Bukan yang kita angan-angankan
Kita membina cita dan harapan * Bukan mimpi dan igauan
Perancangan perlu diperhati * Agar tertib rapi dan teliti
Matlamat dan caranya selari * Masa pun harus diambil kira

Dan kemudian, secara 'tak sengaja dalam sengaja'nya pula tatkala menjengah blog rakan sekolah lama aku, Mr Ridhuan, aku ditampar pula dengan begitu empuk sekali oleh sesuatu kata-kata.
"at home, first priority is revising." ..Hurm?

Aduh, kena lagi!
# Bacaan motivasi santai daripada mantan Ydp MPP, saudara Hariri Daud di sini.

* Hebahan - Daurah Bersama Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki pada 6-12 Disember di Pondok Lubuk Tapah, Kelantan. Aturcara dan butiran lanjut daurah di sini. Sahabat yang berkesempatan waktu dan punyai ruang, amat dianjurkan mengikutinya. Insya-Allah setiap pengajian bersanad membawa barokah yang berkekalan.

Kunjungan ke Haul

Petang tadi aku menerima khabar dari Kota Bharu. Majlis Haul al-Haddad telah selamat diadakan di kediaman Dato' Husam Musa yang dikelolakan oleh para habaib di sana. Menurut sahabat aku, majlis tersebut turut dihadiri oleh Tuan Guru MB.


Barangkali sebilangan sahabat tertanya-tanya apa itu majlis Haul. Program tersebut adalah bertujuan memperingati pemergian Al-Imam Qutub Al-Irshad Al-Habib Abdullah bin Alawi bin Muhammad Al-Haddad, seorang ulama besar dan mujaddid di zamannya di Hadhramaut. program ini diadakan saban tahun pada awal Zulkaedah dan disambut di kalangan para Ba' Alawi(atau lebih dikenali dengan Alawiyyin).

Majlis Haul Al-Haddad kebiasaannya menjadi tumpuan lantaran ramai ulama' seantero dunia yang turun ke majlis ini, antaranya dari Indonesia, Yaman, Mesir, Singapura dan sekitar Nusantara. Ia dijayakan di seluruh negara dari 13 hingga 25 Nov. Kemuncak program pula telah diadakan di Masjid Baitul Aman, Jalan Ampang pada Sabtu lalu.

Dengan izin Tuhan, aku diberi kesempatan untuk sama-sama mengikuti kemuncak Haul tersebut. Kebetulan pula sehari sebelum itu, baru sahaja usai bergelut dengan kertas ujian terakhir. Maka, 'hari kemerdekaan' seeloknya tidak dipersiakan begitu sahaja. Tambahan pula, peluang berada di majlis sebegini jarang kedapatan dan wajar dialami sendiri.


Seketika tatkala berada di sana, melihatkan sambutan menggalakkan daripada khalayak yang hadir, membuatkan hati ditimpa sayu merumbu-rumbu. Cukup mengharukan kala menyaksikan menebalnya kecintaan mereka terhadap golongan ulama'. Hadir mereka atas dasar kasih sayang, menuruti jalan para 'alim rabbani yang berpandu Al-Quran dan Sunnah.

Mereka bertunjangkan matlamat yang satu; Cinta Allah. Mereka mendambakan sinar hikmah dan mutiara iman yang bernilai untuk diisi dalam bejana hati, agar tambah akrab jiwa mereka dengan Tuhan. Ya Allah, rahmatilah majlis ini!

Sepanjang beriktikaf dan mengikuti majlis tersebut, dapat dirasai pencerahan demi pencerahan hadir menerangi kotak fikiran. Dihiasi dengan untaian hikmah-hikmah para ulama'. Juga saat bersyahduan dengan alunan qasidah munajat mengagungkan Allah dan memuji kekasih-Nya, begitu indah menampan kalbu.

Apa yang menarik bagi aku tentang majlis ini adalah dari segi bentuk pengisian yang benar-benar mengesankan jiwa yang hadir. Serta perjalanan program yang lancar dan teratur meskipun hanya sekitar satu malam. Paling mengujakan, berpeluang untuk bersemuka dan berkucupan tangan mengambil berkat dengan para 'alim dan ulama yang dikasihi Allah. Maha suci Engkau Tuhan, menempatkan hamba untuk bersama golongan soleh meski seketika.

Antara yang hadir dan diingat; Syeikh Afeefuddin Gaylani(nasab ke-17 waliyuLlah Syeikh Abdul Qadir Jailani), Habib Jindan, Habib Munzir, Habib Zain Al-Habshee dan Shaikh Dr. Saad bin Saad Jawish(Al-Azhar). Juga diserikan dengan kehadiran para 'alim ulama tempatan, antaranya Syeikh Fuad Kamaluddin Rembau, Tuan Guru Syeikh Fahmi Zam Zam (Pondok Derang), Tuan Guru Muhammad Hafiz Selamat dari Pondok Jenderam dan ramai lagi yang kebanyakannya adalah Haba'ib sadah alawi dan dari pondok-pondok semenanjung.

Tiada apalah sangat apa yang ingin aku khabarkan. Cukup sekadar ingin berkongsi pengalaman dan perasaan syukur diberi kesempatan sebegini oleh Allah. Sungguh majlis itu begitu berbekas dalam jiwa. Bila dikenang-kenang kembali, hati kembali diruntun sayu.

Jiwa mana tak keruan bila terkenang akan ramai di luar sana yang masih buta hatinya untuk melihat raut tenang para ulama' dikasihi Allah dan sudi mendengar mutiara kalam mereka. Jiwa mana tak dihambat sayu tatkala mengamati muda-mudi sekarang yang masih tercengang melongo bila disebut nama para 'alim, sedangkan bila ditanya tentang yang lain - pantas terhambur dari mulut nama-nama pelakon Korea dan bintang bola sepak Inggeris. Aku sendiri sebegitu. Aduh. jauh..jauh..

Rupa-rupanya kita ini banyak benar terpaut pada dunia. Nafsu sering dibiar mengendalai hidup. Takut-takut diri tetap sama, mendatar iman. Lebih gusar, makin menjunam hati ini ke lubuk maksiat, lantas makin menjauh dari Tuhan. Hanya secebis harap, moga diterbitkan rasa agar menjadikan pengalaman menghadiri majlis ini bisa menjadi tazkirah hidup untuk kemudian hari.

Semoga apa yang ditulis ini, mendorong ke arah ketukan hati. Kerna hidayah itu laksana simbahan cahaya. Tak akan disapa kamar yang tak dibuka jendelanya.
Mohon hidayah-Mu...
p/s: Penghargaan dan terima kasih kepada sahabat Badrul Hisham(abufaqir) atas pelawaan dan meraikan kehadiran aku ke majlis. Juga terima kasih kepada Nazmi(UIA) dan Umar Mukhtar kerana sudi menjadi teman mengecap nikmat Cinta.

Cuti


Antara rutin bagiku kala pulang ke kampung adalah berkunjung ke pantai berhampiran rumah aku. Bersendirian di sana lebih baik untuk selesa aku bergumam dalam keasyikan bertemankan alam ciptaan Tuhan. Mata dipejam dengan himbauan kisah yang hadir berpuput.

Pastinya, pantai banyak merakamkan kenangan manis sedari kecil hingga aku meningkat usia kini. Memori bermesraan dengan ombak yang gelora dalam tenang, bertemankan bayu laut lembut membelai pipi, juga pasir pantai persih yang suci terhampar sukar diluntur dalam benak ingatan.

Berada di pesisir pantai, terbentang lukisan alam menghimpun layar rencam sang makhluk yang berupaya membenih inspirasi, membuah rasa. Mata terasa segar seiring hati yang nyaman dilolos angin menyusup masuk. Gelora lautan luas sayup kejauhan membawa badai ombak mesra mencumbui pantai. Hati pun tersenyum. Rasa terhibur menyaksikan dua makhluk Tuhan tak terpisahkan itu, bercanda riang.


Seketika, terlintas di hati akan beruntungnya seandainya diri ini adalah pantai dan ombak. Hidup diatur Tuhan menjadi latar dunia yang indah. Hidup berperanan mengimbangi hiruk-pikuk jalur kemodenan yang melemaskan. Biarlah seperti ombak, bersungguh menghempas pantai untuk mencuci nista kotor di pesisir. Pantai tidak pula beriak marah bahkan menerima sapaan badai dengan hamparan terbuka, tanda setia menjadi teman buat selamanya.

Alangkah damainya terasa hidup sebegitu, ditambah dengan hadirnya sahabat seumpama bayu. Tak kelihatan tapi senantiasa berbakti dan kekal dirasai untuk dinikmati manusia. Mandala ciptaan Ilahi begitu menganugerahkan kedamaian jiwa dalam diri.

Aku kekal di situ. Berhening dengan alam. Mata terus tertancap pada panorama alam menakjubkan. Sesekali desupan angin semilir lembut mengulit rasa, mengocak keheningan hati. Dari seluas saujana pemandangan lautan, sayup kedengaran bayu pantai berbisik, "Cinta.. Cinta.. Cinta..."

Sungguh, pantai sesuai menjadi tempat meluah rasa. Pantai berupaya menjadi pengubat resah hati yang rusuh. Pantai mengajar banyak erti kehidupan. Bertapak di tepian samudera mendorong diri untuk merenung dan menginsafi hakikat hamba. Wajiblah ke atas diri untuk mengimani maksud kalam Tuhan yang menyarankan hamba-Nya agar berfikir, merenung alam kejadian, bertadabbur iktibar dan hikmah aturan kejadian alam.


Tuhan,
izinkan aku bertapak berdekat,
mahu menghirup manis damai-Mu,
mekar sukma dalam lautan Cinta,
bersulam indah dengan sinar pawana.

Tuhan,
izinkan aku mengharung badai,
mendakap erat dengan fitrah alam,
berkongsi luhur rasa dan meluluh dosa,
biar terhakis palitan kotor duniawi menghina.

Tuhan,
izinkan aku menyelam ke dasar,
menyelak tabir maknawi cinta-Mu,
meski tidak mudah bagi seorang hamba,
menggapai manikam tak terungkapkan.

Tuhan,
izinkan aku merapat berkasih,
bukan bersama bekal jiwa pendusta,
tapi hadirku dengan pawana hidayah-Mu,
agar dikurnia pengertian hakiki.

Tuhan,
hamparan lautan-Mu ingin aku selami,
bersama gelora Cinta hadir menguji,
berendam berdingin dalam maghfirah,
biar hati kudus amal badani pun tulus.

Tuhan!
Maha suci Engkau,
Sesungguhnya hamba-Mu ini di kalangan orang yang zalim.

# Hebahan - Program Pengajian Tradisional(kitab turath) dan Pondok Intensif akan diadakan selama 2-3 minggu sepanjang cuti sekolah/cuti semester IPT hujung tahun ini, yang dianjurkan dan dikelolakan oleh Madrasah Diniah Bakriah, Pondok Pasir Tumboh. Sahabat-sahabat yang berkelapangan dan berkemampuan adalah disarankan untuk turut serta dalam program tersebut. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi web http://aki2004.tripod.com/.

'exam mood'

Sekarang ni musim periksa. Maka ber'uzlah'lah sekalian pelajar dalam menekuni buku dan nota, sehingga ada bersengkang mata, menahan kantuk dek asyik berteleku di meja belajar. Harapnya dalam kita sibuk membangunkan potensi akal, jangan lupa membugarkan ruh dengan ketaatan dan keheningan jiwa untuk berdekat dengan-Nya.

Tinggal tiga kertas lagi yang bakal aku duduki. Seminggu berjeda tanpa sebarang ujian perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Bertangguh dalam ulang kaji sakit akibatnya. Mudah-mudahan diberi ruang yang mencukupi untuk dihadami dengan baik segala apa yang dihadap.

Ada kala saat-saat sebegini, tatkala masing-masing khali dengan urusan mempersiapkan diri, kita terlupakan sesuatu. Suatu yang jika diabaikan teramatlah celaka baginya. Maaf jika bunyinya kasar, tapi itulah yang selayaknya dinyatakan.

Hakikat ubudiyyah yang jarang sekali manusia pegangi dan amati. hakikat ini memberi suatu faham yang bermakna, iaitu seorang hamba tidak melihat setiap apa yang Allah berikan kepadanya adalah miliknya sendiri. Mengapa begitu? Kerana hamba seperti kita ini tiada hak milik.

Kita bukanlah kekal abadi. Segala apa yang kita peroleh dan miliki semuanya milik Allah. Dalam konteks seorang pelajar, ilmu itu adalah milik Allah. Bukan milik mutlak diri pelajar itu sendiri. Dengan mengimani hakikat ubudiyyah ini, maka jelaslah pendirian dan perjuangan seseorang pelajar itu. Sedia maklum apabila ada sebilangan pelajar yang sugul bila tidak sempat membuat ulangkaji. Juga gundah dan sedih bila gagal menyudahi sesuatu jawapan dalam periksa. Bahkan ada yang lebih teruk mencemuh dan menyumpah semata-mata kerana kegagalan diri dalam suatu ujian dan pelajaran. Bukan sebab di malas atau sambil lewa, tetapi kerana gagal dalam memahami hakikat ubudiyyah.

Ilmu pada hakikinya tidak akan diperoleh hanya dengan proses belajar. Ilmu itu adalah cahaya, sinar petunjuk. Untuk mendapatkan ilmu perlulah terlebih dahulu memahami hakikat ubudiyyah. Apabila seseorang itu menghayati dan mengamalkan kehambaan dalam dirinya, barulah ilmu menjunam dan melekat di sanubari. Dan kemudian Allah pun akan memberi pengertian penuh maknawi.

Faham sebeginilah yang perlu disuguh dan dicerna dengan baik kepada diri pelajar. Natijah daripadanya agar seseorang pelajar itu beroleh pencerahan dengan ilmu yang ditekuni. Bukan semata-mata mengejar anugerah dekan atau skor markah tertinggi, tapi dengan ilmu yang dipelajari menjerumuskan diri pelajar itu kepada hakikat seorang hamba.

Alangkah hebatnya jiwa ketika itu. Hati tiada resah. Jiwa tiada gundah. Ketenangan turun menggerimis menjadi gebar salju jiwa hamba. Terasa begitu hening dan mendamaikan sekali.

Aku menulis ini dengan harapan dapat membawa manfaat kepada diri aku sendiri. Adat seorang muda betah, besar di bawah tebu berlingkar, perlu sokongan dan bimbingan yang rapi. Aku pinta agar sahabat-sahabat yang berhati bersih dan alim bisa memberi ruang tunjuk ajar untuk aku dalam proses pencerahan hikmah.

Sekalian sahabat seperjuangan, aku doakan semoga selamat menyudahi hari-hari getir perjuangan ini dengan kesungguhan amal di samping kebergantungan yang tidak putus kepada Allah. Kerna rabitah antara Tuhan dan hamba-Nya teramatlah tinggi dan suci.

"Ya Ilaahi anta maqsudii wa ridho kamatlubi"


# Kala minggu rusuh sebegini, teruja seketika bila Sultan Alaudin datang menggamit, seakan mahu meredakan rasak tekanan di hati. Paling melucukan, baginda tiba tak tersangkakan bersama-sama manikam dan juga bedar sukma. Terima kasih Tuhan!

Lebaran ini

Bertandangnya sanak saudara, kaum kerabat ke rumah merupakan saat-saat harmoni tatkala berhari raya. Ada yang hanya bersua setahun sekali, yang tinggal berjauhan dan tidak berhubung lama. Hari Raya kami dipertemukan dalam suasana meriah; saling bermaafan dan rancak bersembang bermacam segala.
Bak kata iklan Digi - Eratkan segala-gala...


Dan aku pula, pastinya kedatangan anak-beranak, anak saudara dan bayi comel menjadi buruan utama lensa untuk segera 'diterkam' mesra!
-geram tengok keletah budak-budak...


Ijtima'

Raya ketiga, program Ijtima' Aidilfitri Mahasiswa dan Siswazah bersama pimpinan Terengganu diadakan di Markaz Tarbiyyah berdekatan dengan kediaman aku. Sempat bersua dengan sekalian sahabat yang turut turun ke sana. Seperti dahulu juga mereka; setia dan utuh dalam saf perjuangan. Moga-moga kalian terus mantop hendaknya, ameen.

Agenda yang paling mencuri tumpuan khalayak sudah tentulah majlis dialog bersama pimpinan tertinggi. Kebanyakan pertanyaan yang diajukan para mahasiswa adalah seputar masalah dan coretan pilihan raya kampus yang lalu. Selain itu, lontaran pendapat berkenaan isu mahasiswa lesu, isu pembangunan negeri dan gerak kerja di kalangan mahasiswa dan belia negeri. Juga turut disinggung dalam sesi dialog adalah isu Batu Burok dan lawan balas terhadap slogan dan propaganda 'pihak sebelah' yang nampaknya kian hebat dicanang kebelakangan ini.

Aku tak sempat mengikuti majlis hingga ke akhir kerana bubar awal dan perlu bergegas ke tempat lain. Apapun bagi aku, program dua hala dan temu mesra antara mahasiswa dan pimpinan sebegini sememangnya perlu untuk mengekalkan dan meninggikan ruh perjuangan serta semangat di kalangan muda belia dan mahasiswa, dalam suasana semasa yang menuntut sokongan padu dan penggemblengan tenaga muda pastinya.

- kepada Abg Azmi, rilek deh. ambe bukan dok kenal, cuma dok perasan je.. Asiif bro..

Memburu al-Qadar


"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Lailatul-Qadar itu? Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”


Lewat malam semalam, aku menerima mesej ini daripada pak cik aku:


Ekspedisi pencarian Lailatul Qadar sudah bermula. Sama-samalah kita usahakan dengan bersungguh-sungguh!

Benar-benar dia mahu mengingatkan aku. Dengan izin Tuhan, aku sedia menyahutnya. Terima kasih!

Mungkin ramai yang sedia maklum dengannya. Pun demikian, ramai manakah yang benar-benar mahu menyelak tabir keberkatan di malam hari, memburu rahmat seribu bulan kurniaan Allah taala. Tentulah hampa bagi mereka yang lalai dan acuh tak acuh dengan kebaikan yang menyelubungi Lailatul Qadar. Namun ia tetap datang di setiap bulan Ramadhan.

Ramadhan makin meninggalkan kita. Barangkali ini adalah Ramadhan terakhir. Jendela sepuluh malam terakhir sudah terkuak dan sekalian muttaqin sudah siap siaga menjenguknya dengan bekal cinta. Bagaimana pula kita?


- Kepada Pak Aki, terima kasih atas jemputan ifthar yang meriah minggu lalu.
Akhirnya dapat juga aku menikmati bubur lambuk T'ganu tatkala berjauhan dari kampung halaman..HuHu.

Santapan Ramadhan


Kata orang, bulan puasa biar lapar jasmani, jangan lapar rohani. Lubuk pahala jangan dibiarkan gersang tak bergali. Sekali kita terlepas, belum tentu dapat ketemu lagi.

Ibadat bukan berkisar pada solat, puasa atau mengaji Quran semata-mata. Ramadhan bulan untuk memperbanyakkan amal, juga satu bulan untuk menambah ilmu dan menjana akal.

Dan, syukur ya Allah, kerna Ramadhan kali ini tersedia hidangan wacana yang enak menanti untuk dicerna.

Allahuma bariqlana fi shahri Ramadhaan...

Sejenak kisah dari kampung

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
[Al-Hujurat : 6]

"Ha, tengok ni.." ujar kawanku sinis, sambil menatap lembaran akhbar harian yang terselit berita berkenaan tragedi rusuhan di Batu Burok 8 September lalu. Aku memandang kosong. Dalam kepala, memang banyak persoalan yang boleh ditimbulkan, tapi elok didiamkan saja. Rasanya tak perlu untuk aku berhabis liur memperdebatkan laporan berita yang sedia memualkan tekak lagi memeritkan mata bila dibaca. Lebih banyak tipu dari betul. Maklum, hairan dan meloyakan.

Terkini, aku menerima khabar, agenda memburukkan parti lawan diteruskan. Media elektronik dimanipulasikan sehabis mungkin. Sedutan klip video yang ditampal-tampal konon memburukkan sikap 'fanatik' sebilangan yang digelar 'perusuh jalanan' itu ditayangkan kepada khalayak di dalam TV. Sesiapa yang menonton tanpa usul periksa pasti menggelengkan kepala. Kononnya itulah gambaran penyokong Islam. Dan bersoraklah mereka melihatkan propaganda busuk mereka menjadi. Tambah-tambah PRU yang makin mendekat...

Begitulah kesudahannya. Bagi mereka yang 'makan bersuap', terus sahaja ditelan dan dihadamnya, tanpa selidiki dahulu kandungannya. Maka kenyanglah mereka dengan hidangan yang tak ketahui betul-betul 'berkhasiat' atau banyak bahan tiruannya. Media di Malaysia? Begitu memalukan...

Saranan untuk sekalian sahabat, jadilah seorang pemerhati yang baik. Bukan kerana obses pada pihak tertentu, tapi sebagai golongan yang punyai daya intelek, adililah dengan saksama. Menghukum biarlah berjurus. Jangan hanya menerima bulat-bulat apa yang dikata oleh satu pihak. Terkadang memang perkara yang hak sering dilindungi oleh benda yang batil. Mohon berlindung kepada Allah daripada itu...
Tuntutan BERSIH

Cuma, yang paling membuatkan aku terkilan, wajarkah mereka dengan sengaja mewujudkan persengketaan besar sebegini terhadap sesama umat Islam di saat Ramadhan menjelang? Di manakah nilai keimanan mereka dalam memelihara persaudaraan Islam? Sungguh, ini merugikan umat Islam secara tak langsung.


# Ya Allah, kembalikan pimpinan ulama' di bumi Darul Iman ini...ameen.

Allahuma ballighna ramadhan...

Bulan Ramadhan kembali menjengah. Bulan yang menjadi kegembiraan besar buat para abid dan muttaqin. Kecintaan untuk beramal sepuasnya begitu meruap-ruap. Menangis sekalian mereka dek terlalu riang menyambut kedatangan bulan penuh barakah.

Peluang beramal selama sebulan dalam jami'atul tarbiyyah bukan datang selalu. Inilah masa untuk mengaut seberapa banyak laba, bekal di kemudian hari.
Beruntunglah bagi mereka yang sudah mempersiapkan diri lantas penuh kehambaan terjun dalam lautan maghfirah serta rahmat menyucikan jiwa mereka pada bulan penuh mulia ini.

Terasa pantas masa berlalu. Ramadhan kembali melambai-lambai, menggapai tangan-tangan yang mahu mengecap nikmatnya buah taqwa. Seandainya Ramadhan lalu kita gagal mencari taqwa, usahlah dilepaskan peluang Ramadhan yang bakal menjelang tiba.

O Allah! Make the months of Rajab and Sha'ban blessed for us, and let us reach the month of Ramadan (i.e. prolong our life up to Ramadan, so that we may benefit from its merits and blessings)
[Narrated by at-Tabarani and Ahmad]


Bulan Bahasa dan Sastera


Uh terasa rugi benar bila tak berpeluang untuk turut serta dalam Majlis Pelancaran BBSN 2007 di TTC baru-baru ini. Dengar khabar, ada cerita menarik berlaku di sana. Hurm...
Bahasa Jiwa Bangsa.


Tag-tag?
Aku pun tak tahu permainan apa ni. Sekadar tulis apa yang terlintas dalam kepala...

- sedikit pendiam. (Mesra pada mereka yang rapat/satu 'kepala'.)
- ketagih membaca. (tengok pada kandungan bahan bacaan juga.)
- minat mengarang, hanya bila timbul idea yang mengujakan. (sejujurnya malas menulis.)
- terpaut pada lagu 'Cinta'. (nak tahu lebih lanjut, jom bersua.)
- aku sebenarnya rindu pada masakan mak aku. Tambah-tambah lagi bulan puasa yang bakal menjelang. wargh..!

Perihal Adab

“Bila duduk menghadap di depan tok guru nanti, pastikan jangan nampak bahagian kaki,” pesan sahabatku. Aku mengangguk faham. Menurut sahaja meski kurang mengerti mengapa begitu disuruhnya.

Dalam taakulan sibuk mencari maksudnya, sahabatku lantas bersuara, “Kita mesti biasakan dengan adab yang betul. Jangan semberono saja, lebih-lebih lagi bila berada dalam majlis ilmu.”.Tegas dan berkesan. Oh, kena bertertib rupanya..

Lama kemudian, aku mulai faham berdasarkan pemerhatian aku selama ini. Kebiasaan pelajar-pelajar pondok ketika duduk menadah kitab atau bertalaqqi dengan guru, mereka akan menutupi kaki mereka daripada kelihatan (sembunyikan di dalam kain pelikat). Itu antara adab semasa menuntut ilmu daripada guru, supaya tidak menimbulkan rasa kurang senang atau tidak sedap mata pengajar memandang. Sejak itu, adab itulah aku amalkan seboleh-bolehnya dalam majlis yang duduk bersimpuh, bersila, tak kira majlis ilmu, keraian atau sebaliknya.

Itulah nilai adab yang aku fahami. Adab banyak memainkan peranan dalam memastikan kehidupan yang tenang dan harmoni. Adab merupakan suatu peraturan tatatertib perilaku manusia yang begitu dititikberatkan dalam Islam. Dalam konteks belajar, adab itu sendiri mengatasi ilmu. Sehebat mana seseorang itu dalam ilmu dan pelajaran, sia-sia belaka sekiranya adab dan pekerti mulia sunyi dalam peribadi mereka.


Aku terhimbaukan kisah tadi berikutan seorang dua sahabatku di sini banyak mengomel kepadaku. Keluhan yang diluahkan itu aku tanggapi sebagai bentuk penzahiran perasaan kurang senang mereka. Ya, kurang senang terhadap sikap segelintir di kalangan kami yang seperti tiada rasa hormat dan beradab kepada pensyarah atau tutor kami.

Ada benar setiap keluhan itu. Bayangkan apabila seorang pelajar itu boleh sahaja mencelah dengan kata-kata yang pada pandangan umum seperti membidas setiap perkataan guru. Terkadang, lebih memalukan bila mereka dengan selamba bercakap dengan suara yang lantang dengan guru, seumpama bergurau-senda ketika bersama rakan-rakan. Memang galak sakan... Betapa kurangnya rasa ‘ikram’ terhadap guru yang mengajarkan ilmu kepada mereka.

Barangkali itulah hakikat zaman sekarang. Zaman menularnya keruntuhan adab dan akhlak muda-mudi. Bila difikirkan balik, memang jauh berbeza jika dibandingkan dengan pelajar zaman dahulu. Zaman ketika pelajar masih memahami martabat seorang mu’alim bagi mereka. Seandainya ada guru yang melalui suatu jalanan, pasti bergegas lari sekalian pelajar. Ada yang menyorok, ada yang berhimpit dan mengecil diri di tepian jalan.

Semua itu kerana rasa hormat yang meninggi terhadap golongan yang mencurahkan ilmu kepada mereka. Mereka takut untuk bergelar pelajar yang kurang ajar terhadap pendidik mereka. Semua itu juga disebabkan diri mereka yang memahami hakikat ilmu. Dek tersangat cintakan ilmu di dada para mursyid, murabbi, mu'allim, mereka memandang tinggi martabat guru. Di situlah letaknya keberkatan ilmu. Alangkah ruginya bagi mereka yang tidak mengerti semua itu!
Imam al-Sya’rani berkata, selama aku belajar dengan guruku, tidak pernah aku membuatkan guruku berpaling muka atau bermasam muka denganku walau sezarah pun.


Adab dan akhlak berkait rapat dengan sunnah Rasulullah s.a.w..
Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. (al-hadith)

Rasulullah s.a.w. semulia-mulia manusia yang bersifat maksum. Diutuskan Baginda s.a.w. kecintaan umat beriman untuk memperelokkan dan menyempurnakan adab dan akhlak umat manusia. Tarbiyah dan taujihat yang disampaikan Baginda s.a.w. sememangnya tiada tolok banding. Kesempurnaan dalam mendidik hati dan perilaku manusia cukup mantap. Itulah didikan adab yang patut ditelusuri dan dihayati oleh kebanyakan kita sekarang, khususnya para pelajar. Apalah guna mengaji ilmu syariat, ilmu fiqh namun Rasulullah s.a.w. tauladan terbaik tidak diambil sebagai pengiktibaran dalam kehidupan sehari-hari.

Sahabat sebagai contoh, bagaimana begitu beradabnya sahabat terhadap Rasulullah s.a.w. dalam segala hal. Pernah diceritakan, seorang sahabat yang mahu berjumpa dengan Baginda s.a.w., sedangkan ketika itu dia dalam keadaan berhadas. Sebelum pergi kepada pertemuan dengan baginda s.a.w. itu, dia terlebih dahulu mengambil wudhu’. Sahabat itu ditanya oleh beberapa orang yang lain. Jawabnya, “Aku cukup bimbang seandainya ketika aku bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. nanti, aku akan tersentuh badan atau baju Rasulullah s.a.w.. atau mungkin Rasulullah s.a.w. sendiri yang akan menyentuhku.”

Nah, lihatlah betapa ikramnya para sahabat!

Ulama itu pewaris Nabi. Rasulullah bertindak sebagai mua'llim kepada sahabat dan sekalian umat. Peranan itulah yang sama dimainkan oleh para pendidik sekarang; mencurahkan dan menyebarkan ilmu yang dikurniakan Allah kepada pelajar mereka. Alangkah ruginya bagi pelajar yang miskin akhlak. Hati meronta-ronta inginkan ilmu tapi sia-sia usaha mereka jika masih berterusan berlaku kurang adab terhadap guru. Hilang barakah, hilang keredhaan Allah.Tiada gunanya mengaji siang dan malam, seandainya berkat tidak mengiringinya. Hal ini kerana adab itu bisa menjadi asbab terhijabnya ilmu dalam jiwa manusia. Nauzubillah.


Dan aku terkenang akan rangkap pantun Tongkat Warrant...


Berburu ke padang datar,

dapat rusa berbelang kaki,
Berguru kepalang ajar,
bagai bunga kembang tak jadi.

Alahai...

p/s: Pesanan ikhlas - duhai sekalian sahabat banat sekuliahku, cantikkan dirimu dengan beradab mulia terhadap pensyarah/tutor kita. Mohon sangat-sangat...

Minggu Periksa

13 Ogos : Madkhal ila al-Syariah

14 Ogos :

15 Ogos : Mabadi' Fiqhiyyah (ditunda - 24 Ogos)

16 Ogos :

17 Ogos :

18 Ogos : Lughah 'Arabiyyah

19 Ogos :

20 Ogos : Quranic and Hadith for Social Science

21 Ogos : Intro. to Law



- Makin dekat, makin bermalas-malas? Uh, sama sekali jangan begitu.

- Doakan ya...!

Tiada maaf bagimu

For the incident of modifying Malaysia’s Anthem, NameWee said he wasn’t mean to humiliate at all. For the sake of creating song, he never thought that the song will create such a impact.

Just that incident of modifying Malaysia’s anthem has raised Malaysia government concern, he feels that he is innocent. “I have explained to them that I am not mean to humiliate it. This is because I am seeing from the angle of music.”
He is hoping that Malaysia government do not over react on this issue. He said that he is just a youngster with a lot of passion on music and wish to fulfill his dream.
[NameWee’s interview on Taiwan TV]

Kesalahan ini memang dilihat secara sepintas lalu, cukup berat kerana keterlanjuran kata-katanya dalam bait lagu yang menyinggung banyak pihak. Antara perkara yang disentuh - mempersendakan penguatkuasa kerajaan(pihak polis) yang 'makan suap', sikap kakitangan kerajaan yang malas, kerenah birokrasi dan bumiputera .yang 'dimanjakan'.

Kebiadapan paling ketara pabila secara langsung menyentuh sensitiviti Melayu dan integriti Islam.
-mempersendakan azan Subuh:

I like this country so much
In the early morning 5 o’clock
There is morning call to wake me up
Sometime a few sings together
Just like singing a love song
Sometimes the voice get twisted just like RnB style
Although sometimes they sing until out of key
Or sometimes they even sing until throated
Some of their voice sound like cock
But they’re earlier than a cock
Only like this, we’re be awaken
To go to school or work

-menyindir wanita Islam yang memakai tudung:

They wrapped up their heads
Crossing the road slowly
You have to let them cross and
Careful when you’re driving

Juga dikesan pabila lirik lagu yang digubah dilihat cuba memprovokasi isu perkauman terang-terangan, bahkan berbaur hasutan yang boleh saja mencetuskan konflik integrasi antara kaum.

Mengecewakan sekali. Sikapnya untuk menzahirkan 'patriotisme' tidak kesampaian dek 'terlampau bersemangat' hingga melampaui batas. Pastinya, sudah terlambat untuk dia memohon maaf.[Buletin Utama TV3, 10 Ogos]. Kini hanya menanti tindakan susulan daripada Peguam Negara dan pihak polis.

pelengkap cara

Pendakwa raya, penyiasat lemah

"Tugas pegawai penyiasat bukan setakat merakam percakapan saksi, mengarahkan anggota mengambil gambar, melukis rajah kasar atau menghantar barang kes ke Jabatan Kimia.

Perlu ada prosedur standard (SOP) yang membezakan siasatan bagi kes bunuh, rasuah, dadah, rogol, curi dan kes cabul kerana semuanya tidak sama. Jika SOP itu sudah ada, sudah tiba masa polis menyemaknya supaya bersesuaian dengan keadaan terkini.” -Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Abdul Halim Aman.

Baca selanjutnya

Tiba-tiba sahaja aku teringatkan enam detektif cilik. Mereka terlatih dan berpengalaman. Psikik. Apa tunggu lagi, kerah saja mereka !


* Siri Detektif Indigo terbaru yang berjaya disambar dan diratah dua bulan lalu. Bila pula agaknya ya untuk melayari bedar sukma bisu?

* NBSA, 31 Ogos akan aku nantikan.

Malaysiaku...

Semenjak berada dalam kehidupan kampus, aku memang sudah jarang dapat menatap akhbar lama-lama. Hendak pergi ke maktabah pun terasa berat sekali. Maklum sahajalah, letaknya jauh dari bangunan fakulti, nun di atas bukit pula tu. Kalau berpeluang sekalipun, tak sempat juga atau kadang-kadang sahaja dapat membelek-belek akhbar dek sibuk berkejar dan berkelintar sana-sini mencari rujukan untuk tugasan yang hendak dibereskan.

Ditambah pula faktor malas hendak beli surat khabar dan kekangan waktu yang mencengkam saban hari, membuatkan diri kurang peka dengan perkembangan semasa tanah air dan luar negara. Natijahnya, minda ni semacam jumud, ketinggalan pula rasanya. Kalau difikirkan balik, apalah gunanya belajar gila-gila sekalipun kalau tak ambil cakna hal ehwal dunia luar, sama macam duduk dalam tempurunglah gayanya...

Kebelakangan ini, banyak juga isu hangat yang terpampang di dada-dada akhbar. Antara isu yang menarik perhatian aku kebelakangan ini tentang isu hak kebebasan bersuara. Satu lagi isu yang aku berpeluang ikuti adalah isu berkenaan polemik yang mempertikaikan status Malaysia sebagai negara Islam. Pastinya isu sebegini bisa mengundang pro dan kontra tersendiri.

Rasa-rasa aku, senario sebegitu memberi tamparan hebat kepada pucuk pimpinan negara yang sebelum ini sibuk melaung-laungkan ke seluruh dunia bahawa Malaysia adalah negara Islam contoh dan terbaik.

"Islam adalah agama rasmi dan kita adalah negara Islam tetapi sebagai sebuah negara Islam tidak bererti kita tidak menghormati mereka yang bukan beragama Islam. Umat Islam dan orang bukan Islam masing-masing mempunyai hak," -Datuk Seri Najib Tun Razak, 17 Julai 2007.

Tapi, apa kata pihak yang sebaliknya?

Setiausaha Agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan mempertikaikan kenyataan TPM Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa negara ini bukan sekular, sebaliknya sebuah negara Islam. Kerajaan cuba meredakan keadaan dengan meminta semua pihak tidak dibincangkan secara umum. Sebaliknya, Ketua Pemuda Hishamuddin Hussein pula cuba mengeruhkan keadaan dengan mendesak MCA berhenti mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia adalah negara sekular.

Sebelum itu juga, pendirian Bernard Giluk Dompok, Menteri di JPM sedikit mencetuskan gegar tetapi kenyataan beliau ini telah 'disenyapkan' oleh media arus perdana.


"I think my colleagues in the government will forgive me for saying that I will not agree that we are an Islamic state. For all intents and purposes I think Malaysia was not meant to be an Islamic state. Knowing that the spirit on the formation of Malaysia, as far as I come from, is one of the central points, therefore I cannot subscribe to what has been claimed."

Ketika setiap pihak sibuk mempertahankan pendirian masing-masing, Pak Lah kemudiannya bangkit bersuara dalam usaha untuk mengendurkan ketegangan antara pihak yang bertelingkah.


"Kita bukan negara sekular. Kita juga bukan negara teokrasi seperti Iran dan Pakistan yang Pas mahukan tetapi kita sebuah kerajaan berasaskan demokrasi berparlimen."
(sumber Bernama)

Seketika, aku berfikir sejenak. Eh, bukankah ciri pemerintahan Iran dan Pakistan itu sendiri berlandaskan demokrasi berparlimen. Bezanya hanya mungkin pada sudut-sudut tertentu, seperti Iran yang mengangkat institusi ulama sebagai penasihat dalam pemerintahan negara. Yang pasti, demokrasi memang diamalkan di dua-dua negara tersebut.

Mendukacitakan sekali, apa yang diharapkan tak berapa nak menjadi. Bahkan, makin menyerlahkan kecelaruan yang jelas dalam pegangan beliau terhadap status Malaysia sama ada sebuah negara Islam atau tidak. Tidak bolehkah untuk dia menegaskan pendirian beliau seperti yang dinyatakan di laman web ini. Atau beliau sangsi dan ragu-ragu untuk memperakui Malaysia sebuah negara Islam?

Aku jadi pening. Aku sememangnya tidaklah arif dengan mendalam tentang dasar pemerintahan sesebuah negara. tapi, kalau boleh aku ingin tahu juga, teokrasi yang macam manakah yang dia faham dan maksudkan? Dan, kenapa hanya mengatakan 'bukan negara sekular' tetapi tidak mengakui dan menegaskan Malaysia sebuah negara Islam?

Satu kenyataan yang berkait yang aku temui(ITL note):

The federation is a secular, not a theocratic, state. It is not an Islamic state in which Islamic law is the basic law of the land, i.e. the law of general application. Under Article 4 it is the Federal Constitution, not Islamic law, which is the supreme law of the federation. Article 3 merely declares that Islam is the religion of the federation, although other religions may be practised in peace and harmony.
(An Introduction To The Malaysian Legal System, p. 4)

Konklusi mudah dan neutral yang boleh aku buat, Malaysia pada dasarnya bukanlah sebuah negara Islam mengikut konteks yang sebenar, tetapi sebuah negara yang diperintah umat Islam(memetik kata-kata seorang tokoh). Perlembagaan Persekutuan yang digunapakai kini bukanlah terbentuk dari sistem Islam, tetapi diimport dari perlembagaan Barat ciptaan manusia semata-mata. Makanya, Malaysia bukanlah negara Islam secara total.

Tujuan aku menulis ini, cuma untuk memahamkan diri aku sendiri. Bukan mahu memandai-mandai hendak menghukum mana-mana pihak. Semuanya daripada apa yang aku baca. Apa yang aku cuba teliti. Kata orang, dalam proses belajar. Tambahan, ini kan negara demokrasi, rakyat punyai hak untuk bebas bersuara.

Apapun pendapat yang dilontarkan, semuanya terserah kepada pimpinan negara kita untuk melabel apa pada negara tercinta kita ni. Sama ada negara Islam ke, demokrasi, teokrasi, liberal, munafik ke. Itu memang sudah tugas mereka. Mencanang nama negara di mata dunia. Lagipun, apa ada pada label, kalau sekadar indah khabar dari rupa.

Lupakah pada negara Islam pertama yang diasaskan di dunia? Lupakah siapa pengasas negara Islam pertama yang merupakan manusia terulung sepanjang zaman? Untuk menjadikan negara Islam contoh, tidak lain perlu menjadikan negara Islam pertama tersebut sebagai model ikutan. Hanya itu panduan yang terbaik.

Kita selaku rakyat yang prihatin, sewajarnya memandang berat tentang perkara yang aula dalam agama, untuk terus mendokong aspirasi membangunkan daulah Islamiyyah. Tiada lain yang boleh dibanggakan melainkan meletakkan Islam pada martabat tertinggi, kerana Islam itu sememangnya tinggi dan tiada yang lebih daripada Islam itu sendiri. Noktah.

Catatan Satu Minggu

Jumaat 27 Julai

Jam tiga petang, semua pelajar Tamhidi Syariah dan Undang-undang menghadirkan diri ke majlis temu mesra bersama dengan Puan Nik Salida Suhaila Nik Salleh, pensyarah Undang-undang juga selaku ko-ordinator bagi pelajar Tamhidi FSU. (pastinya ramai di luar sana yang mengenalinya.)

Majlis berjalan secara tidak formal, dalam keadaan santai tapi teratur dengan agenda utama majlis adalah ucapan daripada ustazah sendiri. Butir bicara beliau seputar pengajian yang berjalan sepanjang dua bulan pertama, gambaran ringkas berkenaan kerjaya guaman, penekanan pada kredibiliti dan penampilan pelajar.

Kesempatan yang ada ketika itu juga dimanfaatkan untuk beliau bersuaikenal dengan semua penuntut Tamhidi FSU generasi ke-3 ini.(pergh, bunyi macam hebat je. huu..)

Dua petikan kata-kata Puan Nik Salida yang masih aku ingat:

"ketidakmampuan dalam berbahasa mendorong kepada kegagalan"

"Jika belum lagi berasa susah dalam belajar, itu bermakna belum ada lagi mujahadah dalam menuntut ilmu"


- Moga-moga pertemuan mesra sebegini ada baiknya diadakan lagi pada masa mendatang dalam usaha mengekalkan iltizam, memperkasakan keinginan dan semangat juang belajar sekalian pelajar FSU, Insya-Allah.


Sabtu & Ahad 28,29 Julai


Dua hari berlangsungnya program Literasi Arab bagi semua pelajar Tamhidi. Juga pada masa yang sama, terdapat acara lain yang dijalankan di sekitar kampus, termasuklah C-Fest bersempena Konvokesyen ke-5 dan Pertandingan Debat Alam Sekitar, kali ini Usim diberi penghormatan selaku tuan rumah. Makanya, kebanjiran manusia dua hari tersebut tak dapat dinafikan lagi. Meriah dan sesak.

Literasi Arab - Terlintas soalan di dalam benak, adakah program ini betul-betul berkesan? Pandangan seorang dua rakan, ada yang menyifatkan ia hanya merugikan masa. Alasannya, bahan yang menjadi modul bagi program tersebut stereotaip, tiada kelainan dan sama sahaja dengan apa yang dipelajar di dalam tutorial, mungkin bagus kelas tutorial lagi.

Ada juga yang bersikap positif dan berpuas hati meski keletihan dek sehari suntuk menghadap bahasa Arab. Ujar mereka, masih ada manfaat yang berhasil dikutip. Yuran pun tak perlu dibayar. Jadi, berbaloi rasanya.

Bagus atau sebaliknya, diri masing-masing yang menilainya. Apa yang diperoleh, tetap terkandung ilmu. Dan setiap ilmu itu datangnya dari Allah. Doakan semoga ilmu tersebut beroleh berkat dan rahmat Allah.

Selasa 31 Julai

Hari itu aku cuma hadir untuk satu kuliah sahaja. Semua tutorial pada hari itu dibatalkan. Kebetulan, pagi itu juga berlangsungnya pertandingan akhir Debat Alam Sekitar Institusi Pengajian Tinggi ke-17. Rezeki Tuhan untuk aku kala senggang waktu yang ada.

Memang berbaloi membatu dan 'membeku' selama dua jam lebih di dalam DKP. Dewan yang begitu dingin aku rasa(sampai demam semalaman aku dibuatnya). Kendatipun, ia berjaya dihangatkan dengan hujah membara para pendebat yang membahaskan usul "50 tahun merdeka, alam sekitar masih tercemar".

Masing-masing mempertahankan premis mereka. Sengit dan mendebarkan. Sesekali turut terpecah tawa besar khalayak yang menyaksikan tatkala selang-seli hujah satu sama lain berjaya mencuit hati penonton.
Kesudahannya...


UIA menang lagi, untuk kali ketiga berturut-turut. Hatrik...
Kemenangan UIA tambah meriah apabila pendebat lelaki tunggal mereka, Mohd Daud Mat Din dinobatkan sebagai pendebat terbaik pertandingan akhir tersebut.

Apapun, rasa-rasa aku semua pendebat bagi kedua-dua pihak berjaya menyerlahkan kekuatan dan keupayaan masing-masing pada tahap maksima. Hujah yang menggugah dilontarkan secara spontan, sememangnya itu antara pakej yang mesti dimiliki oleh seorang pendebat.

Rabu 1 Ogos

Tekanan aku reda secara mendadak pada hari ini. Mengapa ya?

Oh, patutlah. Assignment Ustaz Najib selesai juga, dan sudah sedia dihantar untuk dinilai. Aku rasa, semua yang lain turut merasai kepuasan yang sama seusai berasak dan berpenat lelah kala meladeni tugasan yang paling 'menyenangkan' ini.

Sememangnya di sebalik kesukaran itu, akan ada ruang kesenangan dan kemudahan di penghujungnya..


Jumaat 4 Ogos

Malam ni, aku balik kampung.

Selamat bercuti untuk aku, juga untuk sekalian sahabat.
Bunyinya saja cuti, tapi harus diingatkan debar apa yang menanti sebaik kembali ke kampus nanti. Maka, bersiap sedialah dari awal...

Exam menanti....


"Malaysia tak best..."


Itu kata-kata yang terlontar keluar dari mulut seorang senior aku, Aly, pelajar dari Kemboja tatkala bersembang dengan kawan aku tentang prestasi merudum skuad bola sepak negara. Kami hanya mampu tersenyum pahit. Apa boleh buat...

Lepas Tengku Abdullah, menyusul Dato' Ibrahim Saad. Kemudian 'taiko Myteam' Khairy pula letak jawatan. Begitulah, tak ada kesudahan. Cuma Sultan Ahmad Shah masih berpasak utuh dengan pegangannya ‘bertelingakan tempayan, berhatikan batu’. Agaknya nanti, entah apa lagi yang akan bagi kecamuk dan serabut pada FAM. Tengok sajalah..

Apa yang pasti, prestasi skuad negara tetap sama. Mendatar. Bosan. Jemu.

Manakan tidak 'angin' satu kepala peminat masing-masing kalau disajikan permainan yang longlai, rendah semangat juang. Tambah lagi dibelasah, diperbudakkan di tempat sendiri. Memang boleh sangat untuk bikin orang bengang...

Begitulah, ragam dalam senario bola sepak negara kita. Aku sendiri tak tahu nak cakap apa. Bukan boleh pergi sumbatkan gol kalau cakap banyak-banyak. Sekadar menyorot secebis kisah yang berlaku dalam arena sukan negara.

Dan aku terkenangkan kata-kata Aly. Mungkin, boleh saja aku mengangguk-ngangguk, tanda setuju...


p/s: Majulah sukan untuk negara.

Kau sahabat...

Pagi tadi suatu pagi yang mengharukan. Perasaan sayu terasa begitu halus menyentuh kalbu. Suatu rasa yang seakan memberi redup hiba. Juga menambah dingin atma dalam keheningan pagi, begitu menggetarkan.

Kami seboleh-bolehnya tidak ingin saat-saat itu terjadi. Namun, perancangan Tuhan cukup dalam untuk ditafsirkan. Pasrah, itu yang terdaya bagi kami dalam menerima ketentuan yang sudah ditakdirkan.

Benar, perpisahan bagi sesetengah orang adalah suatu yang biasa dalam kehidupan. Ujar mereka, itu sudah menjadi lumrah kehidupan. Suatu yang pasti ditempuhi saban ketika dan waktu. Sering kedengaran, setiap pertemuan akan adanya perpisahan.

Tapi, bagi kami perpisahan hari ini cukup dirasai dan akan diingati. Begitu terkesan dalam jiwa, meresap lantas menghadirkan rasa hiba menebal-nebal. Pemergian sahabat yang paling kami hormati, yang paling kami contohi adalah suatu saat yang sukar untuk ditahan rasa kehilangannya.

Afif, bagi kami bukan sekadar ketua di kalangan kami - pelajar Tamhidi Fakulti Syariah dan Undang-undang - bahkan berperanan sebagai seorang sahabat yang cukup prihatin di kalangan sahabat taulan.

Nasihat dan saranan tarbiyah tak lekang di bibirnya, menuturkan kata-kata yang berupaya menyedarkan diri. Terkadang tegurannya mengetuk jiwa kami yang terleka dan lalai pada masa-masa tertentu. Begitu cakna dia terhadap sahabat-sahabat, cukup terharu jika dikenang.

Bagi kami, kehilangannya bererti tiada sudah sahabat yang sudi menghulurkan bait-bait ruh Islami dan semangat. Gayanya menyenangkan, berbicara sambil menguntum senyum, tanda mekarnya kasih pada ukhuwah antara kami. Meski sebulan sahaja sempat kami saling mengenali, tapi seakan sudah lama persahabatan yang terjalin.

Benarlah kata bijak pandai, ukhuwwah itu sememangnya indah andai bertemu dan berpisahnya kalangan saudara seIslam itu kerana Allah. Aku sendiri jujurnya, begitu merasai nilai persahabatan yang sebenar. Tidak hairanlah dalam dakapan erat dengannya, tak tertahan dirinya menyeka air mata. Serasa ingin terus membasahi dan menyirami tautan ukhuwah yang makin mekar, makin membugar. Begitu sekali kasihnya pada sahabat, alangkah!

Bukan hendak mengagung-agungkan hubungan yang terjalin, juga bukan memuji-muji seseorang, sebaliknya sekadar mahu meluahkan apa yang terasa dalam hati. Tiada tergambar akan indahnya jalinan bila memiliki seorang sahabat yang begitu menitikberatkan pengisian rohani dan jiwa kita.

Memetik mesej Afif yang dikirimkan kepada semua sahabat sebaik sahaja kepergiannya,

Persahabatan tak pernah putus kerana diikat tali keimanan. Diri tak pernah keseorangan kerana diikat dengan ikatan hati. Perjuangan tak pernah selesai hingga seluruh alam dilaungkan kalimah La Ilaha illaLlah. belajar kerana Allah dan tolong agama Islam.[rujuk surah Muhammad,47 : 7] Salam ukhuwah semanis perjuangan...

Semoga enta sentiasa utuh dalam landasan perjuangan yang diceburi pada waktu mendatang. Tepat sekali kata-katamu, walaupun uslub kita berbeza tapi matlamat kita tetap sama. Tertancap lekas dalam ingatan aku dengan madah yang sering diungkapkannya. Kita pejuang bukan pejiwang. Akan aku berpegang dengan kata-katanya ini, insyaAllah.
Doakan diberi ruang masa untuk pertemuan kita yang mendatang. Terima kasih sahabat.

Kepada Allah jua kembali...

Tengah hari tadi, aku menerima mesej daripada kakak aku..

Jenazah arwah Mad telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Laut, kira-kira jam lapan pagi tadi.

Memang kematiannya sangat dirasai kami sekeluarga. Arwah bukan orang lain, mempunyai pertalian keluarga yang rapat - sepupu emak - dan rumahnya paling hampir dengan rumah datuk aku di Chendering.

Memang berita duka itu langsung tak disangka-sangka. Terkedu aku tatkala menerima khabar tersebut awal pagi Khamis lalu. Tambah menyayat hati bila membaca liputan akhbar melaporkan berita memilukan ini yang mengimbas kembali kronologi pembunuhan yang tragis itu.

Saban hari kisah-kisah kematian yang melatari ruang akhbar. Pabila keluarga terdekat pula yang pergi menemui Tuhan, saat itu barulah aku mulai terasa betapa mendalamnya erti kematian. Ajal yang pasti menjemput semua manusia.


Dan bila mengenangkan keadaan diri sendiri, entah bagaimana pula keadaan bila tiba giliran aku. Amalan aku. Bekalan aku. Entah baik entah tidak.
Adakah husnul khotimah atau sebaliknya.

Yang pasti, kepada Allah kita datang, kepada Allah jua kembalinya kita.

Semoga roh allahyarham ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.
Al-Fatihah.



Istirehat

Bersempena hari keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, kami sekalian rakyat jelata mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran negara di bawah tampuk pemerintahan baginda.
Dirgahayu Tuanku.


* Saat ini aku sudah mengatur langkah. Kembali berperanan sebagai pelajar, demi menggalas amanah yang ditaklifkan oleh Tuhan. Aku mohon agar selamat dan dipermudahkan segala oleh-Nya. Ameen.

Debaran Kes Lina Joy

Oleh : Sekretariat ABIM Pusat

Pejabat Mahkamah Persekutuan, Istana Keadilan (Palace of Justice) telah memaklumkan kepada peguam terlibat dengan kes Azlina Jailani bahawa kes tersebut telah ditetapkan untuk keputusan pada hari Rabu 30 Mei 2007 (ESOK).

Pengesahan perkara ini juga telah disahkan oleh Saudara Zainul Rijal Talhah, Presiden Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Menurut beliau “Pihak peguam yang mengendalikan kes ini telah memaklumkan tarikh tersebut telah ditetapkan oleh mahkamah pada hari ini untuk penetapan pendengaran kes pada hari Rabu depan.”

Saudara Yusri Mohammad, Presiden ABIM dan Pengerusi penyelaras PEMBELA iaitu gabungan seramai lebih 80 NGO Islam turut mengesahkan perkara yang sama. Beliau turut dimaklumkan oleh barisan peguam terlibat behubung dengan penetapan tarikh keputusan tersebut.

Tindakan

Beliau berkata, "Dalam situasi sekarang saya menganjurkan agar umat Islam seluruh Malaysia menganjurkan solat hajat dan memohon ke hadrat Ilahi agar kes tersebut tidak memihak kepada keputusan yang boleh menggugat kedaulatan Islam."

Apabila ditanya tentang tindakan PEMBELA selepas ini, beliau memaklumkan bahawa dalam masa terdekat satu mesyuarat NGO-NGO Islam akan dipanggil segera untuk membincang hal ini.

Keputusan yang dinanti

Keputusan kes ini merupakan satu yang ditunggu-tunggu oleh banyak pihak kerana keputusannya bakal memberikan kesan besar kepada status kedaulatan Islam, interpretasi undang-undang berhubung dengan kedudukan Mahkamah Syariah dan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beberapa orang peguam ketika dihubungi memaklumkan keputusan kes ini amat penting kerana beberapa kes-kes melibatkan peruntukan Perkara 121(1A) dan Perkara 11 Perlembagaan ditangguhkan untuk perbicaraan bagi melihat perkembangan keputusan kes ini.

Perkembangan terkini kes Azlina Jailani boleh diikuti di laman : http://www.myislamnetwork.net/portal

Pesona Advencer


Komentar seorang sahabat :

"Satu pemahaman jiwa yang selari antara dua jisim yang berbeza. Menarik juga.
Novel ini perlu penghayatan yang tepat, agar tidak menyeleweng."


Sungguh, dia betul-betul teliti dalam pembacaan. Masakan tidak, di sampingnya beberapa kitab tasawuf dan tafsir sebagai rujuk silang. Bahkan, diusulkan pula kepada gurunya minta ditahkikkan. Cukup berhalus dalam menyelusuri inti naskhah ini. Suatu yang patut aku contohi.

Katanya, ini untuk meraikan pemergianku nanti. Haha terasa lelucon bunyinya. Apapun, terima kasih sahabat. Benar, sastera Islam yang benar-benar bagus dihasilkan oleh mereka yang ahli dalam lapangan ilmu berkaitan.

Sahabat, aku menagih karyamu. Apakah kalau tidak silap, Cinta Surabaya? Haha.

Terima Kasih Cikgu


"Tahniah. Saya baru pulang dari Kem PLKN. Ke mana pun pergi jangan lupa Allah dan seni penulisan kreatif."

Mesej ringkas ini aku terima daripada
Cikgu Alias. Beliau merupakan guru pembimbing bagi kumpulan Lancang Kuning dalam Program Penghayatan Sastera dan Budaya ketika aku berPLKN dahulu. Ternyata, ingatan cikgu masih tegar terhadap anak didiknya.

Meski sekadar tiga hari, banyak perkara baru yang diperoleh bila berbicara dengannya. Terutama berkait dengan selok-belok dunia penulisan. Malah, pengalaman menarik beliau ketika bertugas sebagai wartawan akhbar turut dikongsikan.

Walaupun kumpulan kita tewas, tapi sebenarnya cikgu telah berjaya mendekatkan kami dengan keindahan seni budaya bangsa dan ketinggian nilai sastera Melayu. Terima kasih cikgu.

Kepada semua pendidik, khasnya guru-guru aku (walaupun kalian tak membaca apa yang aku tulis ni), SELAMAT HARI GURU !



p/s: Gambar hiasan - persembahan Kumpulan Anak Merdeka, johan Program Penghayatan Sastera dan Budaya MSHC.

Dakwah Xifu


Xifu and The Algebra. Aku mengenali kumpulan ini ketika bertandang ke KLIBF minggu lalu. Bagaimana? Ceritanya begini. Agak lenguh juga katih aku bila seharian berkitaran ke sana sini. Makanya, duduk bersandar pada kerusi empuk yang tersedia memang cukup berkesan untuk merehatkan badan yang sedia keletaian.

Sambil melepas lelah dan membelek-belek buku yang dibeli, sempat aku ikuti beberapa acara pentas yang berjalan sejak pagi. Sebagai selingan ketika sesi kendalian pihak Saba Islamic Media, diadakan persembahan yang menampilkan sebuah kumpulan yang mencuri perhatian aku. Macam pernah dengar...

Kalau tak silap aku, dahulu Akh AJ - bekas naqib aku di SHAMS - pernah berperihal tentang kumpulan ini seputar bicara menyentuh topik uslub dakwah masa kini. Dia mengambil contoh seorang Cina Muslim yang berdakwah kepada khalayak dengan cara yang kreatif. Bunyi ceritanya menarik sekali; dia melagukan hadis Nabi s.a.w. sambil bermain gitar!

Telahan aku, pendakwah yang dimaksudkan cumalah seorang penghibur jalanan. Seorang yang mungkin biasa dilihat daripada kalangan orang kebanyakan di Kuala Lumpur. Namun, sangkaan itu meleset sama sekali. Beliau berhasil aku kenali secara tak langsung di sana.

Pendakwah tersebut dikenali sebagai Xifu Nasir atau nama sebenarnya, Ustaz Abdul Nasir Abdul Wahab merupakan seorang pensyarah di UIAM. Bakat kurniaan Allah cuba digunakan sebaik mungkin untuk berperanan sebagai da'ei dengan pendekatan tersendiri.

Bersumberkan risikan aku ke laman sawang berkaitan, kedapatan banyak hadis-hadis Nabi s.a.w. yang dilagukan Xifu. Rentak melodi yang cukup damai dan enak didengari. Tapi tidaklah dengan bunga tarannum macam mengaji Al-Quran. Ala-ala nasyid jugaklah..



Uslub dakwah yang rasa-rasa aku berkesan untuk sampai kepada kelompok sasar dakwah. Malahan, memudahkan orang ramai menghafal hadis. Cara begini juga dilihat berupaya membawa mesej murni dalam Islam kepada khalayak lebih meluas, termasuklah yang bukan Islam.

Persembahan itu bukanlah Xifu, sebaliknya anak didiknya kalau tak silap aku. Dalam gambar di atas tu, seorang penasyid yang juga bekas pelajar UIA lulusan Undang-undang, saudara Muadz manakala seorang lagi dengan gaya rambut panjang sedang duduk dengan gitar itu, bekas rocker dulu-dulu namanya Amir. Memang menangkaplah mesej lagu yang disampaikan. Layaan...

Aku rasa, kalau pelajar UIA mungkin sudah biasa mendengarkan nama beliau. Yalah, pensyarah yang mengajar hadis dengan cara tersendiri mestilah akan dikenali. Lagu-lagu hadis Xifu ni pun sudah mesra didengari oleh pelajar di sana. Bukan aku yang cakap, tapi kakak aku yang khabarkan begitu kepada aku.


Album terbaru beliau bergandingan dengan Algebra, sekumpulan penyanyi dan ustaz termasuklah Ustaz Mazlee Malik, penulis dan aktivis terkenal. Kemunculan album ini dijangka berhasil untuk membuatkan lagu-lagu hadis bikinan beliau dikomersialkan lagi untuk manfaat perkembangan dakwah cara berseni.

Saranan aku, cuba-cubalah sahabat mendapatkan file MP3 lagu-lagu Xifu ni. Cukup bagus untuk kita jika mahu menghayati hadis Nabi dengan cara mendengar lagu. Semua hadis diambil daripada kumpulan yang sahih belaka, termasuklah hadith 40 Imam Nawawi.

Kalau sebelum ini kita jarang-jarang atau tidak pernah sekali pun menghafal hadis, maka ada bagusnya kita berusaha ke arah itu. Sambil menyelam minum air....