Debaran Kes Lina Joy

Oleh : Sekretariat ABIM Pusat

Pejabat Mahkamah Persekutuan, Istana Keadilan (Palace of Justice) telah memaklumkan kepada peguam terlibat dengan kes Azlina Jailani bahawa kes tersebut telah ditetapkan untuk keputusan pada hari Rabu 30 Mei 2007 (ESOK).

Pengesahan perkara ini juga telah disahkan oleh Saudara Zainul Rijal Talhah, Presiden Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Menurut beliau “Pihak peguam yang mengendalikan kes ini telah memaklumkan tarikh tersebut telah ditetapkan oleh mahkamah pada hari ini untuk penetapan pendengaran kes pada hari Rabu depan.”

Saudara Yusri Mohammad, Presiden ABIM dan Pengerusi penyelaras PEMBELA iaitu gabungan seramai lebih 80 NGO Islam turut mengesahkan perkara yang sama. Beliau turut dimaklumkan oleh barisan peguam terlibat behubung dengan penetapan tarikh keputusan tersebut.

Tindakan

Beliau berkata, "Dalam situasi sekarang saya menganjurkan agar umat Islam seluruh Malaysia menganjurkan solat hajat dan memohon ke hadrat Ilahi agar kes tersebut tidak memihak kepada keputusan yang boleh menggugat kedaulatan Islam."

Apabila ditanya tentang tindakan PEMBELA selepas ini, beliau memaklumkan bahawa dalam masa terdekat satu mesyuarat NGO-NGO Islam akan dipanggil segera untuk membincang hal ini.

Keputusan yang dinanti

Keputusan kes ini merupakan satu yang ditunggu-tunggu oleh banyak pihak kerana keputusannya bakal memberikan kesan besar kepada status kedaulatan Islam, interpretasi undang-undang berhubung dengan kedudukan Mahkamah Syariah dan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beberapa orang peguam ketika dihubungi memaklumkan keputusan kes ini amat penting kerana beberapa kes-kes melibatkan peruntukan Perkara 121(1A) dan Perkara 11 Perlembagaan ditangguhkan untuk perbicaraan bagi melihat perkembangan keputusan kes ini.

Perkembangan terkini kes Azlina Jailani boleh diikuti di laman : http://www.myislamnetwork.net/portal

1 ulasan:

jalaluddin b embong berkata...

laknatullahu anhum..