Dakwah Xifu


Xifu and The Algebra. Aku mengenali kumpulan ini ketika bertandang ke KLIBF minggu lalu. Bagaimana? Ceritanya begini. Agak lenguh juga katih aku bila seharian berkitaran ke sana sini. Makanya, duduk bersandar pada kerusi empuk yang tersedia memang cukup berkesan untuk merehatkan badan yang sedia keletaian.

Sambil melepas lelah dan membelek-belek buku yang dibeli, sempat aku ikuti beberapa acara pentas yang berjalan sejak pagi. Sebagai selingan ketika sesi kendalian pihak Saba Islamic Media, diadakan persembahan yang menampilkan sebuah kumpulan yang mencuri perhatian aku. Macam pernah dengar...

Kalau tak silap aku, dahulu Akh AJ - bekas naqib aku di SHAMS - pernah berperihal tentang kumpulan ini seputar bicara menyentuh topik uslub dakwah masa kini. Dia mengambil contoh seorang Cina Muslim yang berdakwah kepada khalayak dengan cara yang kreatif. Bunyi ceritanya menarik sekali; dia melagukan hadis Nabi s.a.w. sambil bermain gitar!

Telahan aku, pendakwah yang dimaksudkan cumalah seorang penghibur jalanan. Seorang yang mungkin biasa dilihat daripada kalangan orang kebanyakan di Kuala Lumpur. Namun, sangkaan itu meleset sama sekali. Beliau berhasil aku kenali secara tak langsung di sana.

Pendakwah tersebut dikenali sebagai Xifu Nasir atau nama sebenarnya, Ustaz Abdul Nasir Abdul Wahab merupakan seorang pensyarah di UIAM. Bakat kurniaan Allah cuba digunakan sebaik mungkin untuk berperanan sebagai da'ei dengan pendekatan tersendiri.

Bersumberkan risikan aku ke laman sawang berkaitan, kedapatan banyak hadis-hadis Nabi s.a.w. yang dilagukan Xifu. Rentak melodi yang cukup damai dan enak didengari. Tapi tidaklah dengan bunga tarannum macam mengaji Al-Quran. Ala-ala nasyid jugaklah..



Uslub dakwah yang rasa-rasa aku berkesan untuk sampai kepada kelompok sasar dakwah. Malahan, memudahkan orang ramai menghafal hadis. Cara begini juga dilihat berupaya membawa mesej murni dalam Islam kepada khalayak lebih meluas, termasuklah yang bukan Islam.

Persembahan itu bukanlah Xifu, sebaliknya anak didiknya kalau tak silap aku. Dalam gambar di atas tu, seorang penasyid yang juga bekas pelajar UIA lulusan Undang-undang, saudara Muadz manakala seorang lagi dengan gaya rambut panjang sedang duduk dengan gitar itu, bekas rocker dulu-dulu namanya Amir. Memang menangkaplah mesej lagu yang disampaikan. Layaan...

Aku rasa, kalau pelajar UIA mungkin sudah biasa mendengarkan nama beliau. Yalah, pensyarah yang mengajar hadis dengan cara tersendiri mestilah akan dikenali. Lagu-lagu hadis Xifu ni pun sudah mesra didengari oleh pelajar di sana. Bukan aku yang cakap, tapi kakak aku yang khabarkan begitu kepada aku.


Album terbaru beliau bergandingan dengan Algebra, sekumpulan penyanyi dan ustaz termasuklah Ustaz Mazlee Malik, penulis dan aktivis terkenal. Kemunculan album ini dijangka berhasil untuk membuatkan lagu-lagu hadis bikinan beliau dikomersialkan lagi untuk manfaat perkembangan dakwah cara berseni.

Saranan aku, cuba-cubalah sahabat mendapatkan file MP3 lagu-lagu Xifu ni. Cukup bagus untuk kita jika mahu menghayati hadis Nabi dengan cara mendengar lagu. Semua hadis diambil daripada kumpulan yang sahih belaka, termasuklah hadith 40 Imam Nawawi.

Kalau sebelum ini kita jarang-jarang atau tidak pernah sekali pun menghafal hadis, maka ada bagusnya kita berusaha ke arah itu. Sambil menyelam minum air....

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

nama mamat rambut panjang tu dakmie..
ex-barongan juga pencipta lagu 313 - mestika :)