Sinergi Kaabah

Bersempena Eidul Adha, aku Ingin berkongsi satu kisah yang berlaku sekitar tujuh dan lapan tahun dahulu.

Sewaktu awal persekolahan menengah dahulu, kisah berkenaan gerakan memurtadkan umat Islam di Terengganu cukup hangat. Rata-rata teman berkongsi cerita yang didengar, diheboh dan dibaca daripada majalah yang mensasikan isu tersebut.

Di sesetengah masjid dan surau, rancak siri-siri ceramah khas mengulas dan membentangkan segala macam perihal dakyah dan strategi licik gerakan yang menyebarkan dakyah Kristianisasi dan pemurtadan. Muncul beberapa watak di kalangan Ustaz dan pakar perbandingan agama yang tampil menjelaskan kepada masyarakat.

Kebimbangan berhubung perkara tersebut cukup dirasai. Persoalan yang tak pernah dibincangkan sebelum ini, tiba-tiba dilontarkan kepada anak muda sehingga ada yang bingung; tak tahu jawapan apa yang ingin diberi.

Aku mengingat-ingat kembali. Berlaku suatu peristiwa yang dihadapi oleh kami. Gerakan sebegini halus menyusup, mempengaruhi kumpulan anak muda di sekitar tempat kami. Dan kami yang terkesan dengan siri-siri ceramah Ustaz -ustaz yang lantang memperjuangkan isu ini, cuba tampil untuk berdepan dengan golongan sebegini.

Aku mengingat-ingat kembali. Beberapa persoalan yang pernah dilontarkan kepada kami oleh segolongan pihak yang sudah terpengaruh dengan ateis. Salah satu yang dipersoalkan:

Mengapa umat Islam solat menyembah kaabah? Bukankah itu sekadar binaan daripada manusia, tak ubah seperti berhala? Apa umat Islam ingin menafikan mereka tidak menyembah berhala, tetapi hakikatnya itu yang mereka lakukan setiap hari?

Hati seorang Muslim mana yang tidak senang apabila diajukan soalan sebegitu. Cuma agak aneh apabila kami seakan tidak mampu untuk memberi jawapan yang tuntas dan kemas untuk merungkaikan persoalan yang cukup 'menggugat' aqidah anak-anak muda seperti kami.

Jawapan yang mampu kami sediakan, hanya berbentuk ulangan ayat-ayat Quran dan pedoman daripada para alim yang berkisah tentang sirah Nabi Ismail dan Nabi Ibrahim. Dilambakkan dengan nilai pengajaran serta hikmah yang bernuansa lunak Islami. Sejujurnya, aku sendiri kurang menyakini jawapan sebegitu mampu memberi pencerahan kepada mereka.

Dan sememangnya ia tidak berbekas. Bukan kerana tidak yakin dengan kekuatan sumber-sumber yang kita pegangi. Sebaliknya, kita kelemahan 'peluru' yang boleh menyentak hati sanubari mereka yang sudah mula terhijab dengan pedoman wahyu.

Jiwa mereka tidak boleh lagi menerima hujah tanpa logik. Mereka kononnya berlagak pintar, walhal dangkal dalam memaksudkan erti pencerahan hakiki. Dan kita tidak boleh untuk menyalahkan mereka. Itulah sifat dan sikap mad'u seperti mereka.

Kisah itu berlalu begitu sahaja. Penyesalan kerana gagal memberi lorongan taufik untuk menjadi asbab hidayah kepada mereka. Usaha itu tidak memberi kesan langsung.

Itu cerita dulu-dulu. Kisah sewaktu aku cukup minat dengan kepetahan Ustaz Jamil Rashid. Kisah ketika aku begitu mengagumi kelantangan Ustaz Badrul Amin. Ketika itu, kecenderungan aku memuncak apabila Mufti Perak bangkit bersuara tentang isu-isu ummah.


Kini, kisah itu makin kendur dan luntur untuk diperjuangkan. Padahal isu tersebut isu yang kekal wujud dan masih berterusan di kalangan masyarakat kita.

Sedang diri sendiri pula mengakui semakin terabai untuk mempersiapkan diri dengan bekal-bekal ilmu untuk menghadapi medan sebegitu rupa.

Aku secara jujurnya, masih terbayang-bayang dengan persoalan mengenai Kaabah. Ia terkadang mengacah-acah fikiran dan bisikan halus cuba melemah-lemahkan pegangan yang kita sedia pegangi dan yakini. Doa thabatkan hati atas Ad-Din kerap dibaca dan diperteguh dengan kalimah tawhid.

Dengan izin Allah, wujudnya satu lagi asbab hidayah yang tak tersangkakan. Aku bersyukur dengan petunjuk Tuhan. Semalam, aku menemukan pintu jawapan terhadap persoalan yang mengacau benak beberapa tahun dahulu.


Rancangan Halaqah - Akar Tradisi Ilmu yang mengupas tajuk 'Di Sebalik Kaabah'.

Aku tontoni dan aku temui jawapannya. Sungguh-sungguh untuk aku katakan, aku sebak dan penuh syukur tatkala mendengar kupasan sederhana namun cukup memberi impak. Penerangan beliau berfakta dan begitu dekat dengan jawapan yang aku inginkan.

Akan aku kupas di kemudian hari. Sekadar menulis apa yang terbuku di hati. Syukur pada-Mu ya Allah.
Selamat Hari Raya Eidul Adha. Ertikan pengorbanan pada diri kita.

p/s: Terhimbau taujih dan perkongsian daripada rakan-rakan seperjuangan di Dataran Nilai minggu lepas. Aku mula menyuguhi makna sebenar asbab hidayah.

Merindui kalam Haba'ib

Jika Ramadhan hadir menjengah sanubari agar setiap hamba Allah kembali mensucikan jiwa, Syawal jangan berterusan dibejatkan dengan amal-amal yang membinasakan hati. Sayugia ia diraikan dengan rasa syukur tidak kira dalam lafaz atau diam, dalam lena atau jaga. Ujudkan cinta dalam lubuk keikhlasan; semata-mata demi Tuhan.

Melewati penghujung Syawal, bahang nafsu yang menikam dan membakar terkadang meresahkan hati-hati yang ingin bernikmat dengan Tuhan. Apatah lagi, dunia yang melingkari saban hari membuatkan hati kita kian berjauhan dengan Nabi. Jika seorang kekasih Allah yang utama tidak pernah lekang mengingati dan merindui umatnya, bagaimana pula kita berperanan sebagai umat kebanggaan Baginda?

Demi Tuhan, aku berlindung daripada penyakit ghaflah. Aku mohon kurniaan Allah untuk redupkan hati dengan teduhan 'ubudiyyah dan mahabbah. Semoga ia mententeramkan hati kita yang sering berkeluh-kesah, mententeramkan hati kita yang sering berhasad dengki, mententeramkan hati kita yang sering menggemari qadab dan syahwat.

Sungguh-sungguh aku ingin katakan, betapa rindu hati ini pada simbahan kalam para haba'ib! Semoga Allah memelihara sekalian ulama yang muqarrabin; kerna merekalah wakil-wakil yang mewarisi akhlak, ilmu dan thoriqah Nabi Sallallahu 'alaihi wa aalihi wasallam.

Habib Umar bin Hafidz, kehadiran beliau begitu dinanti dan dirindui...

Mulai 9 Oktober sehingga 24 Oktober 2010, siri-siri Majlis Haul Al-Imam Abdullah ibn Alawi Al-Haddad akan diadakan di bandar-bandar utama seluruh Malaysia. Jika sebelum ini, kemuncak majlis Haul diadakan di Baitul Aman, Kuala Lumpur, pada tahun ini ia ditukar ke Masjid Negeri Shah Alam yang bakal berlangsung pada 16 Oktober mulai 5 petang.

Antara tetamu terulung dari golongan ulama’ antarabangsa yang akan hadir adalah Al-Allaamah Al-Habib Zein bin Ibrahim bin Semait (Madinah), Al-Allaamah Al-Habib Umar bin Muhammad bin Hafidz (Yaman) dan Al-Habib Abdullah Attas Al-Habshi (Makkah).

Selain mereka, beberapa lagi ulama’ dari Malaysia dan rantau nusantara akan menyampaikan kata-kata hikmah dan bicara nasihat, sebahagiannya dari kalam Imam Al-Haddad berkaitan dengan tajuk tema tahun ini iaitu ‘YAKIN’ dengan selingan ghasidah dan nasyid masyhur dari ratusan syaĆ­r nukilan Al-Imam.

Semoga Allah memberi rezeki kepada kita untuk sama-sama berada dalam taman-taman syurga tersebut!

Pertama Ramadhan ini


Syeikh Ibnu 'Athaillah berkata, "Barangsiapa yang bercahaya pada permulaannnya, nescaya akan bercahaya pula pada akhirnya."

Ramadhan sentiasa dinanti-nanti oleh mukmin yang tegar kasih dan rindunya kepada Tuhan. Ramadhan juga tempoh di mana Rasulullah cukup dekat dengan hati mereka.

Ramai di kalangan kita begitu mendamba anugerah Ramadhan akan memberi seribu makna dalam hidup. Tetapi, hampir kebanyakan daripada kita juga mudah melebur iltizam sebaik di penghujung Ramadhan.

Lewat kita berpanas dan berletih di hujung hari-hari Ramadhan, bermohonlah kepada Allah semoga setiap hari yang dilalui disirami maghfirah, menjernihkan hati dan mensucikan amal. Dan semoga Allah menerima puasa kita, meski cuma lapar dan dahaga yang mampu kita berikan.

Pertama Ramadhan ini kita tidak berlapar lagi, kerna tenggelam dalam mengingati-Nya. Dan pertama Ramadhan ini juga, moga-moga kita tidak kehausan lagi, kerna rindu kepada-Nya melenyap segala kegersangan.

Sungguh, semoga pertama Ramadhan ini juga akan terbit cahaya pada jiwa.

Salam Ramadhan al-mubarak.


p/s: Ahkam wa Fatawa al-Siyam, karya terbaru murobbi fiqh, al-Fadhil Ustadz Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjadi tatapan segar untuk disuguhi. Semoga Ramadhan kita kali ini dilimpahi berkat Ilahi.

Musim menawan hati

"Kita tak boleh biarkan adik-adik begitu saja. Mereka perlu dijaga. Hati mereka perlu disuburkan dengan tarbiah. Itu peranan kita semua."

"Kita harus cepat. Bimbang kita terlepas mereka yang berpotensi besar. Kita harapkan semua teruskan usaha sedaya-upaya, jangan ada keciciran."

Simptom itu timbul kembali. Di sebalik hiruk-pikuk mengejar dan menawan, kita lupa sesuatu. Bertungkus-lumus untuk mengejar kuantiti, malangnya diri sendiri gersang kualiti. Dari hari ke hari, hati kita tidak merasai, jauh untuk menjiwai erti tarbiah sebenar.

Hati bersalutkan dunia, tarbiah mana mahu lekat. Hati langsung tiada hembusan makrifat, manusia mana yang ingin mendekat. Lompang di hati dibiarkan lesu, tanpa pengisian yang menyantuni akhlak dan sanubari.

Melainkan dengan berbekalkan susuk tampang yang penuh hipokrasi, mengaburi mata manusia untuk menyatakan, Wah bagusnya dia! Wah dia sangat berilmu! Wah pasti dia seorang yang baik!

Jadi, mohon pencerahan yang sebenar-benar. Hikmah tidak datang dengan iringan nafsu. Dakwah adalah kerja murni warisan Nabi. Jangan cemarkan ia dengan sifat kemunafikan yang sia-sia.

Dakwah itu luas. Hatta dengan sebatang pensel atau sebilah pedang, seseorang da'i mampu untuk mengislamkan seribu manusia.

Kata-kata panglima Islam, Tariq bin Ziyad tatkala beliau berjaya menawan Andalusia, "Sekiranya aku tahu di sebalik lautan ini masih ada manusia maka akan aku sampaikan Islam kepada mereka."

Renung-renungkan. Buka minda. Selami kehidupan manusia. Kenal Pencipta dengan apa yang dicipta.


p/s: Selamat bercuti. Semoga nikmat masa yang dilalui ada nilaian tinggi di sisi Tuhan.

Dedikasi Buat Guru

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979



Berburu ke padang datar, dapat rusa belang kaki. Berguru kepalang ajar, ibarat bunga kembang tak jadi. Dedikasi buat guru-guru yang mendidik aku sedari usia enam tahun. Terima kasih buat kalian.

Selamat Hari Guru.

Peristiwa 13 Mei 1969: Sehari Sebelum


Keratan akhbar di atas dikerat dari akhbar The Malay Mail bertarikh 13 Mei 1969.

Kain rentang dalam gambar di keratan akhbar tersebut tertera: "Students Solidarity March In Support For ACADEMIC FREEDOM" (Perarakan Solidariti Mahasiswa Menyokong Kebebasan Akademik).

Perarakan yang dianjurkan oleh UMSU ini merupakan sebahagian daripada program orientasi pelajar baru yang dianjurkan sepenuhnya oleh mahasiswa sendiri tanpa campurtangan pihak atasan.

Ramai orang mengingati 13 Mei 1969 dengan tragedi konflik politik berdarah antara kaum yang menimpa ibu negara Kuala Lumpur. Sudah pasti timbul di benak kepala orang ramai, bagaimanakah agaknya situasi di kampus-kampus ketika itu?

Sedang sibuk parti-parti politik perkauman mengapi-apikan situasi dan memecahbelahkan rakyat, 12 Mei 1969 menjadi saksi bagaimana mahasiswa pelbagai kaum dalam UM telah menunjukkan perpaduan antara mereka dengan mengadakan "Solidarity March" sempena Minggu Orientasi 1969.

Dahulu, tidak perlu slogan retorik 1Malaysia. Idealisme perjuangan sudah cukup untuk menyatukan mahasiswa berbilang bangsa.




p/s: Mahasiswa dulu-dulu, memang betul 'student-power!'.
* Sumber: kredit kepada Fahmi Reza.

Jasa Bonda


"Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil." (Al-Isra': 24)

Kita sering melihat beliau ketawa. Namun mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangkakan. Di sebalik senyuman beliau, barangkali tersimpan seribu kepayahan yang dipendamkan. Siapa tahu?

Kita mungkin tidak akan mengetahuinya. Melainkan kita hadir mempersembahkan ketulusan cinta kepada beliau. Mendampingi, mengucupi dan mendakapi beliau bagi merasai salju kasih seorang insan bergelar bonda.

Selamat hari Ibu.


p/s: Terngiang-ngiang lagu Jasa Bonda-Warisan. Menghitung hari untuk pulang ke pangkuan keluarga. Urgh.

Nikmatnya hamba yang sujud..


Manusia tidak pernah lari dari rasa gundah, juga tidak dapat lari dari kesilapan. Setiap hari, atau setiap jam yang dilalui, akan ada kekurangan gerak laku yang akhirnya mengundang kerunsingan jiwa. Tiada satu kerehatan yang boleh melegakan rasa kusut itu melainkan hadirnya hembusan yang mententeramkan.

Saat paling nikmat bagi seorang hamba apabila kepala yang dimahkotakan tinggi, akhirnya dijatuhkan menyembah bumi, dahi mengucup tanah, tempat asal manusia diciptakan.

Kala itu, renungi sanubari dan tanyakan pada diri, di mana letaknya Allah dalam hati kita. Adakah hanya ada waktu kita bermuram durja, dan akan lenyap tatkala hati lalai dengan hambatan dunia dan pergaulan manusia.

Ketahuilah, Allah sudah memberi kita nafas kehidupan. Suatu pemberian anugerah yang tak terbandingkan. Maka tidak dapat tidak peranan kita tidak lain kecuali membesarkan ta'abud hakiki kepada Allah.

Allah sebelum mengajak kita berzikir, sudah menjadikan alam semesta ini fitrah dalam berzikir. Alam semesta berzikir ke hadrat Allah, mengagungkan Nama Allah, melebihi manusia. Maka tersisalah jiwa kita yang sering sepi dengan zikrullah. Jika ada sekalipun, hanya pada masa-masa tertentu dan terhad sahaja. Sungguh mengaibkan diri sendiri.

Hidup di dunia sememangnya tidak kekal lama. Maka bertebaranlah merenung maksud Cinta Tuhan. Dan sujudlah kepada sumber Cinta dengan rasa rendah dan khusyuk, moga-moga ia berhasil menenggelamkan jiwa ke dalam lautan ketenangan yang mendamaikan.

"Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu (Allah) dan jadilah kamu dari golongan orang-orang yang sujud".



p/s: Mencari-cari ruang untuk memujuk hati yang kian menggelepar minta dita'adibkan dengan kesantunan ruhiyyah, kala fatrah peperiksaan yang menyempit. Mohon diberi kelapangan oleh Allah.

Bila manusia tiada mahabbah...


"Bila berlaku kes macam ni, tak payah cari Cina. Tak perlu siasat India. Ini semua kerja orang kita yang mengaku dirinya Islam."

Kata-kata yang terpacul dari mulut seorang ustaz sewaktu bersama-sama dengan beliau menonton laporan berita di televisyen. Meski terkejut, tapi harus mengeyakan kenyataan itu.

FAKTA:
Statistik daripada Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam, pada tahun 2008. Ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Sepanjang tempoh ini, 214,033 bayi pelbagai bangsa didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa 104,834 orang dan 109,199 orang mengikut Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).

Kes buang bayi.

Fenomena yang meruntun perasaan sebegini semakin menjadi-jadi. Disusuli perasaan marah dan geram bersilih ganti mengenang betapa terkutuknya tindakan sebilangan manusia yang sudah lenyap sifat kemanusiaan.

Wujudnya kes-kes sebegitu seolah-olah memberi petanda masyarakat kita ingin kembali ke zaman kecelakaan. Era jahiliyyah moden yang gelap membukat mula menyelubungi umat manusia. Budaya berseronok, berlazat dengan nafsu dan bertuankan iblis memandu gaya hidup yang akhirnya meranapkan generasi yang sepatutnya menjadi kebanggaan ummat Muhammad sallallahu 'alaihi wa aalihi wasallam.

Apa punca sebenar ?

Manusia hidup bersendikan syariat; yakni segala apa yang sedia termaktub dalam dustur Quran dan khazanah Sunnah yang sahih.
Manusia juga hidup berserikan adab; setiap apa jua yang disantuni akhlak dengan asas mahabbah, redha dan syukur.

Itu sepatutnya wujud dalam diri manusia. Namun, manusia lupa semua itu.

Ramai manusia mengaku hidup bersyariat, tapi mereka sendiri sebenarnya tidak mengenal Tuan kepada syariat. Tidak mengenal Pencipta kepada penghulu segala adab, Rasulullah sallalahu alaihi wa aalihi wasallam.
Lantas jiwa mereka langsung terhijab. Tenggelam mereka dalam hidup kepura-puraan.

Sungguh-sungguh, tiada yang utama dalam hidup ini melainkan mengenal Allah; ia awal agama.

Manusia yang memahami hakikat, sekalipun melakukan maksiat akan bersyukur kepada Allah dengan cara bertaubat nasuha, zahiriah dan batiniah.
Manusia yang memahami hakikat, jika mengecap nikmat dunia akan redha dengan pemberian Allah dengan cara istighfar dan munajat ampun.

Manusia yang memahami hakikat, jika berkelana di dunia ciptaan Allah, akan melebarkan seluas-luasnya mahabbah dan ikatan Cinta kepada sekalian manusia, Muslim atau Kafir, munafik atau zindiq, hidup atau mati, hatta hidupan lain seperti haiwan dan tumbuhan.

Itulah cara hidup manusia yang mengenal Allah. Jiwa mereka halus dan penuh cahaya. Bicara mereka adalah zikir yang melantun-lantun kepada hati terus ke hati mereka yang mendengar, lalu remuk-redam hati zulumat yang berkesumat dengan daki-daki mazmumah.

Hakikatnya, mereka gersang mahabbah. Jangan semata-mata menyalahkan kaum wanita atau ibu yang melahirkan zuriat dan mencampak ke longkang, tong sampah dan belukar, lalu digonggong anjing liar atau dihurung lalat.

Salahkan jiwa-jiwa yang ada dalam masyarakat, termasuk diri kita. Selagi mana kita meletakkan ke'aku'an dalam diri, dan membiarkan qalbu malap dan gelap tanpa usaha suluhan makrifat, selagi itulah kebejatan kekal subur dalam masyarakat.

Selagi itulah tiada wujud mahabbah yang hakiki dalam hati manusia. Kasihanilah jiwa kita.


p/s: Berangkat pulang ke kampung halaman sambil menekuni maksud 'keberkatan' dalam erti kefakiran seorang insan yang berjalan menuju Tuhan. Selamat menelaah ilmu pelajaran.

MEB: Mahasiswa, apa cerita?


Minggu lepas, sempat mengikuti perbincangan mengenai Graduan era MEB di FKP. Dua hari lepas, seorang rakan pula bertanyakan tentang MEB. Adakah sudah dikaji keseluruhan MEB dan apa kepentingan yang diperoleh daripadanya, terutama dalam konteks menaikkan taraf hidup Bumiputera melalui ketetapan gaji minimum yang dinyatakan dalam MEB?

Untuk skop perbincangan yang lebih mengecil, timbulnya persoalan kepada mahasiswa. Sejauh mana impak MEB terhadap daya saing mahasiswa dalam pasaran kerja nanti? Maka, soal kebolehtarungan (sustainibility) di kalangan graduan pula akan diperdebatkan beserta perbandingan dengan negara-negara luar.

Pokoknya, MEB adalah bertujuan untuk melonjakkan taraf ekonomi masyarakat. Entiti masyarakat adalah pelbagai; salah satunya adalah mahasiswa. Kelompok yang dipandang masyarakat umum sebagai kelompok berpendidikan dan punyai asas adab dan ilmu yang baik.

Namun itu sekadar persepsi yang mungkin menepati realiti atau sebaliknya. Hakikatnya, ia kembali kepada Kitaran nilai yang ada pada diri mahasiswa.

Bagaimana mahasiswa menanggapi MEB dan peranannya menaiktaraf ekonomi Bumiputera, begitu juga masyarakat menanggapi mahasiswa sebagai ejen perubah yang diharapkan mampu menaiktaraf kualiti hidup mereka dalam pelbagai aspek.

Mahasiswa akan bergelar graduan dan akan turun padang bersama masyarakat. Mereka akan mencurahkan setiap nilai yang memberi fungsi kepada institusi menara gading yang dibangga-banggakan.

Tuntasnya, graduan yang keluar dari setiap varsiti ada tiga jenis.

Pertama, Graduan yang hanya menanti peluang terhidang di depan mata.
Kedua, Graduan yang berusaha mencari peluang untuk disambar.
Ketiga, Graduan yang mencipta peluang tersendiri untuk kemajuan dirinya.

Era MEB adalah era graduan jenis ketiga. Era pembentukan graduan yang konstruktif, inovatif dan berkesan kepada masyarakat, malahan berpotensi sebagai graduan berminda negarawan.

Mahasiswa, ayuh segera bertindak.

p/s: Fatrah peperiksaan akhir bermula. Masih dalam kesibukan mengurus gerak kerja dan mengatur perancangan akan datang. Namun wajar 'dibekukan' untuk seketika waktu. Semoga diberi ruang dan peluang, dan diperkuat azam dan ingatan. Ameen.

Uzlahkan hati kita



Sejarah adalah satu senjata dalam menguatkan hati para pejuang, begitu kata-kata Al-Junaid.

Ramai umat manusia zaman sekarang leka untuk mengambil iktibar daripada kisah-kisah terdahulu. Contoh terdekat dan paling mudah adalah umat Islam; kita sendiri.

Tidak seharusnya kita selaku ummat kebanggaan Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa aalihi wasallam, membiarkan diri dalam kelalaian tatkala menghadam pengajaran daripada lembaran sirah para anbiya', khulafa' dan auliya' yang dimuliakan Allah.

Sayugia setiap sirah yang ditekuni menjadi suntikan berpengaruh ke dalam dirinya agar denyut perjuangan seseorang yang telah mewakafkan diri ke jalan Allah itu akan kekal sehingga ke akhir hayat.

Janganlah sekali-kali kita melupakan junjungan mulia yang kita sangat-sangat kasih dan sayangi. Rasulullah adalah tokoh tarbiah ruhiyyah terhebat yang patut dicontohi. Suatu kerugian besar bagi mereka yang tidak mengendahkan kesempurnaan pada diri Rasulullah, dan beranggapan dirinya sudah cukup bagus dan begitu thiqah pada pandangan manusia.

Hakikatnya, seluruh penghuni langit mencemuh dan meludah perilaku hamba Allah yang merasakan dirinya sudah soleh. Celakalah bagi diri yang tersemai 'ujub secara berterusan, terutama kepada para pemimpin yang ditaklifkan pelbagai amanah.

Semoga kita saling bermuhasabah dalam setiap saat helaan nafas. Manfaatkan waktu terluang, meskipun hanya lima minit, untuk kita 'uzlah'kan hati supaya nafsu yang kerap kali menggugat sentiasa dipagari dengan santunnya iman.


p/s: Berpesta buku di hari terakhir. Aneh, tahun ini berbeza sekali. Hanya Allah jua mengetahui.

Di luar lingkungan minda

Menempuh fasa awal berada dalam saf kepimpinan sebesar ini menuntut banyak perahan minda dan mencatur perancangan. Tekanan, cabaran, hentaman, dugaan dan sinikal itu menjadi rutin saban hari. Berperanan sebagai wakil pelajar menuntut wibawa yang tinggi di samping konsistensi idealisme yang perlu dibugar sentiasa.

Cabaran utama sudah pasti adalah kesuntukan masa yang ada.

Bayangkan, sekiranya tidak ada perancangan yang benar-benar kukuh, sesi satu penggal dalam kepimpinan mahasiswa akan dilalui dengan serba kekalutan, hilang fokus dan paling merisaukan, ketidakupayaan meletakkan benchmark yang menyentak dan disegani untuk generasi seterusnya.

Maka, ketika itu tamparan terhebat akan memukul seluruh kepimpinan dek kerana kuasa menggugat yang dicanang di awal manifesto didegar-degarkan, hanya tinggal omongan basi. Lebih memalukan, mahasiswa akan dicop oleh pihak-pihak tertentu dengan istilah yang me'layu'kan mahasiswa.

Mahasiswa lesu

Salah satu jenayah yang kerap kali dilakukan oleh sesetengah pihak adalah sikap melabel mahasiswa dengan konotasi-konotasi memperlekeh dan mencebik mahasiswa.

Istilah mahasiswa lesu, mandom, mahasiswa tak matang, spoon-fed, dan seumpamanya menggambarkan betapa skeptikal pihak tertentu terhadap mahasiswa sehingga wujudnya gambaran pada pandangan masyarakat bahawa mereka yang menuntut di menara gading seperti pelajar sekolah.

Disogok, disudu, disuap, dihulur, diberi segala-gala, dan mahasiswa ketika itu secara rasminya bergelar budak sekolah terhormat, kerana mereka hadir ke empayar keilmuan retorik bernama varsiti sekadar untuk menadah telinga, menggumam dengan siri kuliah berpandukan nota-nota yang disediakan pensyarah, melangut di kafetaria sambil menjeling dan mengenyit mata kepada rakan-rakan sekelas yang genit lagi gedik, dan akhirnya di katil hostel sambil memutar lagu-lagu kegemaran yang membuai rasa, melunyai idealisme.

Mungkin kebenaran tentang mahasiswa lesu diakui dan terserlah. Hakikatnya, mahasiswa tidak sepatutnya begitu. Kasihan mahasiswa.

Gejala takut

Orang kebanyakan selalu berkata dengan penuh bernafsu, muda hanya sekali. Maka jangan sia-siakannya.

Berada di kampus juga hanya sekali, tatkala usia muda. Barangkali tiga, atau empat tahun. Mungkin juga lima atau enam tahun pengajian di universiti.

Sedar atau tidak, keberadaan di universiti bukan semata-mata pengajian. Fasa peralihan antara muda dan tua, remaja dan dewasa, ia adalah fasa genting yang menentukan siapa kita bila keluar dari varsiti kelak.

Jika sering bernaka-nakal di varsiti, berkemungkinan besar gelagat dan tindak-tanduk sebegitu juga akan terbawa-bawa ke alam dewasa. Jika takut dan duduk diam menjadi budaya, maka sebegitu rupa gelagatnya bila sudah melangkah ke dunia orang tua.

Sayang sekali, persekitaran dan sistem begitu rakus menjamah setiap inci kematangan mahasiswa. Wujudnya hadangan-hadangan yang meresahkan, namun tidak ramai yang terdaya melawan, hanya menikus dan mengangguk-angguk. Diam dalam kepatuhan lebih selamat untuk dipilih sebagai 'candu' kehidupan di alam kampus.

Gejala ketakutan menular dan meresap, mengakari setiap gerak langkah. Kepatuhan tanpa pertentangan yang rasional menjenazahkan autonomi mahasiswa secara tuntas. Tiada lagi soal cabar-mencabar, kerana dibunuh dengan lambakan tugasan yang lebih mencorakkan manusia rigid dan statik.

Mengapa ia semakin parah? Kerana ketiadaan jalan atau kaedah tegas yang memusatkan tindakan kepada aksi-aksi dramatik mahasiswa. Tiada analisis yang mendalam untuk merawat barah kepada dunia mahasiswa. Lama-kelamaan, mahasiswa keseluruhan mandom.

Tidak peka, hilang prihatin, keakuan, lenyap komitmen, hancur idealisme dan sebagainya akan menjadi budaya baru kesan daripada gejala takut di kalangan mahasiswa.

Kepada seluruh kepimpinan mahasiswa di seluruh negara, sama ada yang terpilih sebagai pimpinan di peringkat kampus, atau di peringkat luar kampus, selamat menjalankan amanah sebaik mungkin. Semoga tidak takut untuk berbuat kesilapan, kerana proses yang dilalui adalah proses belajar. Belajar untuk berani. Berani menggugat.

Usia kita di kampus tidak lama. Dalam dua tiga tahun sahaja lagi, menanti detik melempar sijil kematian ke langit dunia untuk menyatakan, kita sudah puas bergelumang dengan ilmu. Kasihanlah kepada diri sendiri....


p/s: Sedang seronok mengulang tayang filem-filem perang dan tokoh pemimpin.

Hidupkan Cinta Kepada Rasulullah


Sama-sama kita menzahirkan kelangsungan cinta kita terhadap junjungan termulia Rasulullah s.a.w. pada bulan ini. Sekiranya ulama' besar, masyaikh dan para habaib yang direzekikan dengan lautan ilmu yang luas dan beramal dengan ilmu yang berkat itu meraikan Maulid Nabi dengan penuh kecintaan dan kesyukuran bersama-sama selawat, maka tidak wajar bagi kita untuk sibuk menempelak dan mempersenda mainfestasi cinta para ummat yang rindukan penghulu agung bagi segala manusia.

Kita sepatutnya cemburu pada bulan. Beruntung ia kerana kecantikan purnama bulan pernah dipuji oleh Rasulullah s.a.w. ketika hayat Baginda. Bahkan, kita tambah cemburu kerana bulan sudah menatap wajah bercahaya Rasulullah yang penuh nur selama 63 tahun dan Rasulullah turut membalas pandangannya. Alangkah nikmatnya menatap wajah Baginda yang dicintai seluruh manusia yang mentauhidkan Allah!

Sedangkan kita, ummat yang jauh dan tidak pernah menatap wajah persih lagi segak nan indah Rasulullah s.a.w masih sibuk bertelagah membid'ah dan saling menyalahkan. Seandainya Rasulullah s.a.w. masih hidup bersama kita, tergamakkah kita untuk membiarkan Baginda bersedih melihat umatnya berpecah dan saling tidak menyayangi?

Tidakkan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w. itu lambang kecintaan kita kepada ummat baginda? Lalu mengapa harus diperbalahkan.
Tiada lagi rasa kasih. Hanya benci dan amarah yang hadir menggelapkan hati.

Kita lupa dan kita sememangnya pelupa. Silsilah keturunan dan sanad ilmu yang diperturun daripada Rasulullah s.a.w. kepada para sahabat, lalu kepada para ulama' sehingga kepada kita. Rantaian yang terpelihara inilah seharusnya dijaga dan dimanfaatkan.

Maka, sambutan maulidur Rasul bukanlah suatu perkara utama yang ingin kita jadikan sebagai isu untuk dikaji sama ada ianya menurut syar'ie atau tidak. Kerna ianya suatu bentuk manifestasi besar-besaran ke arah membugarkan kecintaan terhadap Rasulullah s.a.w. melalui cara yang ditunjuki ulama' dan diisikan dengan pengisian yang memujuk jiwa untuk bersifat kasih dan syukur, yang akhirnya kembali bermunajat memohon redha dan rahmat Allah.

Maka, rugilah bagi sesiapa yang mensia-siakan munajat cinta terhadap Rasulullah s.a.w.!


Senarai sambutan Maulidur Rasul sallallahu 'alaihi wa aalihi wasallam


Program Penghayatan Bulan Kelahiran Rasulullah s.a.w. (klik di bawa untuk paparan lebih jelas)

Bacaan Selawat & Maulid Diba’ei / Khatam Kitab 40 hadis bersama Syeikh Fuad Kamaluddin
25 Februari, 6.30pm
Masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang


Sambutan Maulidr Rasul SAW 1431
25 Februari (Khamis)
Masjid Al-Falah USJ9, Subang Jaya
Bermula 6.00 petang
Bersama
HABIB ADNAN BIN ALI BIN HABIB AHMAD MASYHUR BIN TOHA AL-HADDAD*


Juga Bersama
SYEIKH FAHMI ZAMZAM AL-MALIKI dan Kumpulan Hadrahnya dari Banjarmasin.

* Habib Ahmad Masyhur Toha al-Haddad (gambar di atas) adalah pendakwahterkenal yang mengislamkan ratusan ribu rakyat benua Afrika; khususnya negara Tanzania. Habib Adnan Al-Haddad adalah cucunya akan hadir bersama ayahandanya.


Masjlid Maulidur Rasul bersama Habib Adnan Al-Haddad
25 Februari, 6.30 pm
Masjid Al-Falah USJ9, Subang Jaya

Majlis Kemuncak Sambutan Maulidur Rasul bersama Musnid Syam Dr Muhammad Mu’taz Al-Husaini
26 Februari, 3.30pm
Masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang

Majlis Maulidur Rasul bersama Habib Adnan Al-Haddad
26 Februari, selepas Maghrib
Masjid Al-BUkhary, Jalan Hang Tuah KL

Majlis Maulidur Rasul bersama Habib Adnan Al-Haddad
27 Februari, selepas Maghrib
Yayasan Al-Jenderami, Dengkil, Selangor

Majlis Maulidur Rasul bersama Habib Adnan Al-Haddad dan ulama' jemputan (klik poster di bawah)
28 Februari, 4.30 pm
Pusat Pengajian Ba Alawi, Kemensah, Hulu Klang


Majlis Maulidur Rasul bersama Habib Adnan Al-Haddad
1 Mac
Kg Kuala Tekal, Temerloh, Pahang

Sambutan Maulid Kubro Nabi Muhammad s.a.w.
Yayasan Al-Jenderami ke-8
4 – 6 Mac 2010
(Klik di bawah untuk paparan lebih jelas)



Hidupkan diri kita sehari-hari dengan alunan selawat !

Taman syurga: tetamu dari Madinah


Isnin lalu, Allah memberi keizinan dan kesempatan waktu untuk menghadiri majlis bicara ilmu yang diadakan di Ribath Al-Hidayah Al-Ghazaliyyah, sebuah madrasah di Batu Burok diasaskan oleh pendakwah tempatan yang muda dan disegani masyarakat, Ustaz Mustaffa Kamal bin Hamzah.



Tajuk pada malam tersebut iaitu ‘Permasalahan Akidah dan Ummah Masakini’ telah dikupas dengan cukup bernas dan penuh kalam hikmah oleh seorang alim besar dari Madinah Al-Munawarrah, Syeikh Dr. Mahmoud Abd. Rauf Al-Husaini.



Tetamu istimewa ini merupakan pengkaji dalam bidang aqidah dan tasawwuf, serta pernah mendalami ilmu hadith dan menjadi murid setia kepada seorang ulama hadith Melayu Nusantara, Syeikh Yasin Fadani. Perwatakan beliau sederhana. Raut wajah beliau jernih, tenang sekali. Cara penyampaian beliau juga cukup bersahaja dengan diterjemahkan oleh seorang penterjemah muda yang fasih.

Banyak mutiara ilmu yang sempat dikutip dan dihadam sepanjang majlis tersebut. Penekanan utama diberi dalam bab akhlak dan kesempurnaan hati yang terikat dengan Rasulullah sallallahu alaihi wa aalihi wasallam.



Antara pesanan yang diingati, barangsiapa terlepas satu adab, terlepaslah ia dari zuhud. Dan barangsiapa terlepas satu adab, terlepaslah ia dari taqwa. Kerna Rasulullah sallallahu 'alaihi wa aalihi wassalam telah bersabda: Allah telah mengadabkan aku dan Dia telah benar-benar baik mengadabkan aku. Dan sabda junjungan Rasulullah sallallahu 'alaihi wa aalihi wassalam lagi: Demi sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.

Sesungguhnya Rasulullah sallallahu 'alaihi wa aalihi wassalam berada di atas perjalanan akhlak yang agung. Selaku ummat yang mengaku cintakan Nabi, tiada yang lebih utama melainkan memberi keutamaan yang sebenar-benar kepada pembentukan akhlak dan pemurnian hati menurut Rasulullah sallallahu 'alaihi wa aalihi wassalam.

Dengan berkat dan kemuliaan yang diturunkan oleh Allah SWT kepada junjungan Rasulullah sallallahu 'alaihi wa aalihi wassalam, semoga kita bersama-sama dengan mereka yang mencintai Allah dan Rasul.


Pada awal bicara, beliau menyatakan perasaan gembira beliau berada di Terengganu dan merasakan ini suatu jemputan yang mulia daripada Syeikh Tok Ku Ibrahim Mohamad (Pulau Manis) dan menghargai kunjungan beliau ke negeri yang terkenal dengan ramai auliya' seperti Terengganu.



Meskipun Syeikh Mahmud dikhabarkan agak keletihan kerana memenuhi jemputan dari pelbagai tempat, namun tidak terlihat sedikit pun riak jemu dan penat pada wajah beliau. Sebaliknya, terserlah cahaya yang terpancar pada wajah, tanda seorang ulama yang ikhlas dalam menyebarkan ilmu dan dakwah serta hidup bersantunkan taqwa.

Jundi-jundi Islam yang masih cilik. Kecintaan mereka terhadap ilmu sama mekar kecintaan mereka terhadap sunnah Rasul. Alunan qasidah mereka benar meredupkan hati sesiapa yang mendengarnya.

Tidak digambarkan rasa terharu sebaik mendengarkan mutiara-mutiara ilmu yang dikongsikan beliau. Penyampaian Syeikh Mahmud bersahaja, kadang-kala diselitkan kata-kata yang mencuit hati. Ada ketika, bicara beliau meruntun sanubari. Betapa Allah merahmati hamba-Nya yang tidak henti memberi nasihat kepada umat manusia yang semakin ramai leka dan lalai.



Benarlah kata seorang sahabat, majlis sebeginilah yang mampu menampar hati kita. Majlis sebegini akan menjadi ruang untuk kita mengenal diri. Setiap untaian kata yang dilontarkan oleh sang alim itulah yang mampu meremuk-redam gelojak nafsu dalam diri kita yang sering merasakan diri bagus, ujub dan bangga dengan pencapaian diri.


Dalam majlis pada malam itu juga, suatu lagi rahmat dan rezeki ilmu bagi sekalian jemaah yang hadir apabila Syeikh Mahmud mengijazahkan secara umum dan mutlak lima hadis musalsal yang diperoleh daripada guru beliau, Syeikh Yasin Al-Fadani(Sumatera), ulama hadith yang hafal hadith(sanad dan matan) dalam enam kitab hadith muktabar.

Beliau turut memberi penekanan betapa ilmu bersanad ini sangat penting dalam dunia ketika ini yang sudah mengabaikan kecintaan kepada Rasul, mengetepikan khazanah ulama' dan memperlekehkan tarbiah ruhiyyah tinggalan alim sufi yang rabbani terdahulu.


Tanpa disedari, gelagatku 'mencuri' perhatian PakCik Tolahah.

Jemaah yang hadir bersalaman dengan para ulama': Dari kiri Ustaz Mustaffa Kamal(mudir Ribath Al-Hidayah, pengerusi IPTAF), Tuan Guru Syeikh Tok Ku Ibrahim Mohamad(Mudir Pondok Pulau Manis) dan Syeikh Mahmud Rauf Al-Husaini.

Segala puji bagi Allah Tuhan yang merahmati sekalian alam. Puji-pujian bagi Rasulullah sallallahu 'alaihi wa aalihi wasallam yang menjadi punca cinta mahabbah orang yang bertaqwa dan rindukan redha Allah. Semoga Allah mengurniakan barakah kepada para alim, para pencinta auliya', para penuntut ilmu dan para mukmin yang berjalan menuju Allah.


p/s: Terubat rindu pada majlis qasidah yang mententeramkan jiwa. Alangkah manisnya qalbu adik-adik yang melantunkan burdah penuh kesedaran dan penghayatan, lalu meresap dalam jiwa yang gersang mahabbah. Mohon ampun kepada Allah.


*Foto: kredit kepada Encik Tolahah

Manfaatkan cuti

Pulang bercuti ke kampung halaman merupakan saat berharga yang diidam-idamkan, khasnya buat mereka yang merantau dan berjauhan mencari secebis pengetahuan serta selaut pengalaman.

Terkadang tempohnya singkat cuma. Maka wajar ia dimanfaatkan sebaik mungkin. Berdekat susuk tubuh dengan ibu ayah, berakraban mesra bersama adik-beradik, juga bertemu sahabat lama yang tidak betah memberi teguran dan nasihat, semua itu mampu menjadi sinergi yang menguatkan diri.


Mengambil ungkapan bernas Imam Hassan Al-Banna, kewajipan itu lebih besar dan banyak berbanding waktu yang kita miliki.

Tugas dan amanah kepada diri dan keluarga adalah janji yang tak bisa dimungkiri. Mengenang pesan dan teguran daripada emak dan ayah, seharusnya ia membugar dan mekar dalam ingatan agar keredhaan hadir melengkapi, serta memandu perjalanan hidup kita ke arah kebenaran.

Lebih-lebih lagi apabila menyentuh tanggungjawab kita kepada Islam. Bagaimana tingkah laku seharian kita menyumbang kepada Islam. Ilmu dan pengalaman yang kita cari serta hadam selama ini, sejauh mana memberi dampak keizzahan Islam kepada masyarakat di sekitar kita. Hikmah dan taujihat yang disuapkan kepada kita acap kali menusuk ke telinga dan kalbu, sudahkah membekas dalam hati, atau sekadar membeku tanpa ruhul jadid yang membangkitkan hamasah.

Semoga masa yang bersisa dimanfaatkan dengan mencari nilai penjernihan hati dan membawa diri untuk sentiasa bermuhasabah. Allahu ya salaam!


Semua gediq santai. Kecuali mak aku.

Ibu mithali. Dulu. Kini. Selamanya.

Semua ada. Abang je yang takde.

Aku. Lapar. Makan budak.



p/s: Lama tidak mengemaskini blog, serasa kaku untuk mencanai idea lewat penulisan. Buntu dan kaku.


#Gambar-gambar foto di atas sekadar hiasan; rehlah terkini bersama keluarga tercinta.



Baca @ LRT


Anda gemar membaca?





Jom sertai mereka... Baca @ LRT.

Tarikh 20 Februari 2010.

Masa jam 10 pagi
.

Bermula dari Terminal Putra LRT Gombak sehingga LRT Taman Jaya.


Tema : "Baca Sastera".

Mengapa Taman Jaya? Jika tuan dan puan merancang membeli buku, di situ terdapat sebuah kedai buku yang menjual buku-buku baru pilihan tuan dan puan pada harga yang rendah iaitu di Book Xcess, Amcorp Mall.

Metod : Mula membaca buku selepas lima minit berada dalam LRT secara berperingkat bagi mencipta keadaan natural.


"..it hopes to cut a wider spectrum of readership, namely the English-speaking 'middle-ground' Malaysians. Reading has never really been a Malaysian culture, worse still if it is heavily ideologically-loaded. It is characteristically a Malaysians malaise that may spell doom for our global competetiveness."
- Dr Zulkifli Ahmad, Blind Spot(2007)



p/s: Cemburu dengan mereka yang 'lapang' bernikmat dengan buku dan 'ligat' berkarya. Berpesan kepada diri, hargai waktu yang ada meskipun satu minit. Manfaatkan ia agar kita tidak lelah untuk menyesali saat-saat berlalu yang merugikan diri.

* Kredit : Zamri Mohamad (Info dan gambar)

Isu kalimah Allah : penyelesaiannya?

Sudah tiga minggu isu kalimah Allah diulang tayang di dada-dada akhbar, dalam laporan berita televisyen dan menjadi topik bualan masyarakat di negara ini. Program diskusi, forum, muzakarah dan berbagai-bagai program lagi yang berbentuk wacana berhubung isu ini dijalankan di merata-rata tempat.

Persoalannya sekarang, bagaimana seharusnya seluruh pihak mencari penyelesaian secara tuntas dan bersama bagi menangani 'sensasi' isu kalimah Allah ini terus berlarutan seolah-olah tanpa penghujung?

Bukan bertujuan menafikan untuk bersikap ihtimam dalam isu ini, namun hakikatnya adakah sudah tercermin pada sikap kita untuk berusaha menjernihkan situasi yang tidak begitu 'tenteram' ini, khasnya dalam konteks mendekati pencerahan fikrah yang betul-betul meraikan kemaslahatan ummah di Malaysia.

Gusar atau tidak hati kita jika bahan bercetak sebegini disebarluaskan kepada anak-anak dan generasi dalam masyarakat kita?

Secara rumusan dalam perbincangan, perkongsian dan pemahaman secara visual mahupun secara langsung, aku mengesani wujudnya suatu situasi yang positif bagi keseluruhan ahli masyarakat dalam menyinggung perbahasan isu ini.

Paling utama, apabila masyarakat cuba kembali kepada ahli-ahli yang pakar dan berilmu seperti agamawan, ulama dan cendekiawan sama ada berkait dalam disiplin akidah, dakwah, teologi dan perbandingan agama, dan sebagainya.

Secara mudah; lahir sikap untuk kembali mengangkat peranan ilmuan sebagai tempat rujuk bagi masyarakat awam. Isu berkaitan satu perkataan sahaja sudah mampu menggerakkan masyarakat untuk meletakkan kedudukan ilmu dan para ilmuan ke tahap tertinggi.

Tidakkah itu boleh dikira sebagai aras tanda yang positif? Tidak perlu dikira berapa ramai yang cuba menekuni dan mengambil serius isu sebegini. Hakikatnya, tiga minggu pertama pada 2010 sudah mencorakkan 'landskap' keilmuan secara meluas di luar sana.

Masyarakat mula mengenal ulama. Mula menyebut nama-nama cendekiawan sana sini. Juga mula memahami inti sari ayat Al-Quran dan hadith. Bahkan ada yang mula berjinak-jinak membelek kitab-kitab sirah dan buku kajian agama secara baik.

Mudah-mudahan sikap sebegitu menjadi budaya bukan untuk sementara ini sahaja, sebaliknya ia berkekalan khususnya dalam meladeni isu-isu semasa yang berkepentingan ummah.

Maka, seterusnya adalah di pundak para ilmuan pula untuk bersikap cerdik dan prihatin bagi menjelaskan makna ilmu dan memberi pemahaman yang jitu kepada orang awam. Tanggungjawab besar itu seharusnya tidak dipengaruhi sentimen, atau unsur-unsur berkepentingan yang tidak secara kolektif.

Barangkali, sudah berpuluh-puluh resolusi yang rapi atau kata putus telah ditetapkan sesetengah pihak bagi memberikan penyelesaian akhir isu ini.'

Namun hakikatnya, ia kembali kepada sikap kita. Sebagai masyarakat, bagaimana kita menghadam pemahaman yang sedia maklum dan mengukuhkan sudut pandang dan daya pemikiran kita agar ianya menjadi pegangan secara tuntas bagi diri kita.

Sekiranya masih wujud prasangka, penafian, emosi melulu, dan berkepentingan diri, maka isu ini tidak akan ada penghujung. Hanya mereka yang berfikiran rasional dan menekuni maqasid syar'iyyah secara mendalam akan mendapat solusi yang konstruktif dan bermakna kepada semua pihak bagi merungkai isu ini.

Alhamdulillah, kesedaran bagi memahami isu panas ini turut dikesani di kalangan masyarakat kampus USIM. Di celah-celah kesibukan musim pilihan raya kampus, beberapa pihak tampil mengadakan program berbentuk penerangan ilmiah mengenai isu tersebut.

Gambar sekitar Wacana Istinbat : Pengabsahan Isu Kalimah Allah - Suatu Penjelasan Tuntas yang diadakan Rabu lalu.

Kualiti penyampaian kedua-dua panel sangat memuaskan audiens. Berhasil memberi pemahaman dalam dua perspektif berbeza tetapi signifikan dengan keperluan intelektual semasa(mind-capital).

Sambutan menggalakkan daripada mahasiswa USIM. Keprihatinan untuk bersikap 'faham hujah' dan 'cakna isu' antara bentuk transformasi cara fikir yang harus diteruskan.



















Antara sebahagian mahasiswa yang tampil berkongsi pandangan dan ulasan di samping melontarkan persoalan. Atas cadangan bersama pihak penganjur dengan para ahli panel, sesi wacana dua hala dilanjutkan agar perbincangan lebih meluas dan terbuka.

Komentar :
Beberapa respon yang diterima menandakan wacana ini berjaya menepati objektif yang digariskan penganjur.

Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri terarah untuk mengulas dari sudut pandang yang sederhana dan bersifat waqi'e yang harmoni untuk dipegang secara bersama.

Manakala kupasan Dato' Faiza Tamby Chik pula berjaya me'rakyat'kan pemahaman isu dalam konteks perundangan kepada mahasiswa secara umum. Penjelasan yang mendasari isu namun tidak begitu berat untuk diterima secara ilmiah.

Cuma dapat dikesan beberapa persoalan yang sepatutnya ditumpukan dalam wacana ini, tidak 'dijawab' secara jelas. Juga kekeliruan 'kecil' dalam memahami aspek undang-undang syariah oleh ahli panel harus diperbetulkan melalui diskusi susulan.

Muzakarah FKP - Isu Penggunaan Kalimah Allah dalam Kalangan Bukan Islam di Malaysia

Aku tidak sempat mengikuti keseluruhan muzakarah ini. Maka tidak adil rasanya untuk aku memberi penilaian secara keseluruhan bagi program kelolaan FKP ini yang diadakan semalam.

Pada awalnya, program ini mengalami pertembungan dengan program Wacana Istinbat anjuran FSU. Namun hasil keputusan bersama dengan Ustaz Wan Fazrul, pensyarah perbandingan agama di FKP, kami mengambil keputusan untuk meneruskan program masing-masing dengan tujuan 'meluaskan pandangan dan pemikiran mahasiswa'.

FSU memfokuskan syariah dan perundangan, manakala FKP menjurus kepada skop dakwah dan perbandingan agama.

Apapun, tahniah kepada semua yang terlibat dalam usaha membudayakan sikap intelektual secara praktikal dan menyeluruh di kalangan mahasiswa. Semoga usaha ini diberkati Allah.

p/s: Sesiapa ingin mendapatkan rakaman wacana yang dianjurkan baru-baru ini, boleh maklumkan melalui emel penafakir@yahoo.com.my.

Percikan 'kuasa perubahan' Al-Fateh

Apa faktor utama yang mendorong begitu ramai mahasiswa USIM hadir ke program ini?

Soalan ini ditanya oleh Ustaz Syaari sewaktu bersama-sama dengan beliau di bilik menunggu sebelum ceramah bermula. Barangkali terbit rasa hairan dari lubuk hati beliau sebaik meninjau dari dalam betapa hangatnya sambutan daripada mahasiswa di Nilai pada program bercorak ilmiah sebegini, lebih-lebih pula diadakan di dewan sebesar DKP.

Adakah subjek yang memfokuskan sejarah Islam menjadi tarikan mereka? Barangkali nilai inkuiri yang tinggi untuk menyelami kupasan secara strategik berkenaan peristiwa pembukaan Constantinopale? Atau mungkin juga mahasiswa sebenarnya 'rela-paksa' untuk hadir kerana dahagakan program-program di awal semester?


Secara peribadi, aku berpandangan sebenarnya telah wujud suatu kecenderungan secara halus di kalangan mahasiswa di sini yang ingin melihat sesuatu yang bersifat baharu, praktikal dan bersifat segar. Mungkin ada yang mengatakan, kelompok sebegini tidak mewakili majoriti siswa di sini. Namun harus diingatkan, kuantiti tidak begitu relevan untuk menjadi kayu ukur sebenar, kerana 'gelombang' sebegini kini makin membesar begitu cepat.

Tidak dinafikan faktor-faktor sampingan seperti tidak dikenakan bayaran yuran, kekurangan program di awal semester, serta kelainan tajuk yang dibawakan pada malam tersebut, menjadi daya penarik untuk mereka hadir. Apapun, di sebalik semua itu pada hakikatnya telah terzahir suatu bentuk paradigma baru yang begitu bermakna.

Minda orang muda semestinya inginkan sesuatu yang tidak terlalu 'mengikat' mereka(kurang formaliti atau protokol), lancar dan bersifat cergas dalam penyampaian serta paling penting, mampu mengopak minda dengan berkesan dan membina.

Tahniah kepada sahabat pelaksana program tersebut. Kalian adalah pasukan terbaik dalam mencetak perubahan landskap mahasiswa di USIM. Jangan menanti perubahan daripada orang lain, melainkan diri kita sendiri yang tangkas dan kreatif membina anjakan yang realistik.


Suatu perkara yang aku kagum dengan penyampaian dan pengisian dalam ceramah tersebut, apabila menyaksikan bagaimana keazaman Ustaz Syaari mengolah daya intelektual secara matang dan dikongsikan bersama kepada orang lain.

Daya keinginan yang tinggi untuk mencabar diri sendiri melakukan kajian dan penelitian ilmiah dengan begitu terperinci patut dicontohi. Membedah buku, menjalin rapatkan kajian teks daripada ilmuan dan sejarawan untuk mencetus idea baharu dalam persembahan yang mengujakan khalayak.

Mudah-mudahan semangat keintelektualan sebegitu wajar dibudayakan di kalangan kita. Kemuncak waktu bagi menikmati cetusan gila adalah di usia muda. Semoga manfaat daripada 'kuasa perubahan' Sultan Al-Fateh tersebut dapat memberi sinar baharu kepada mahasiswa Usim.


p/s: Musim pilihan raya kampus USIM bakal bermula. Selamat maju jaya kepada semua calon kepimpinan MPP sesi 09/10.

Azam

Imbasan 2009 banyak melakar suka dan duka pengalaman baru. Segala puji bagi Allah, anugerah pengetahuan dalam pelbagai aspek berhasil digapai melalui perkongsian, keterbukaan dan penggabungan diri ke dalam pelbagai kumpulan yang ahlinya beraneka kerenah ragam.

Tahun 2010 mula menyuntik kuasa hijrah dan momentum perubahan dalam diri. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang secara langsung atau tidak langsung memberi sokongan dan harapan untuk bangkit dan terus belajar mengenai kehidupan dan perjuangan.

Secara jujur, aku turut menyimpan hasrat atau misi tertentu bagi tahun ini. Hati diundang cetusan semangat positif tatkala hadir sahabat yang jujur berbicara, menegur secara hikmah dan cukup bermanfaat kepada diri.

"Kita mungkin berasa malu dengan kelemahan kita. Barangkali 10 kelemahan yang kita ada membuatkan kita enggan maju dan menggarap potensi. Namun sekiranya kita masih lagi mempunyai satu kelebihan, maka gunakanlah seoptima mungkin kelebihan diri tersebut. Boleh jadi satu itu mampu menenggelamkan 10 kelemahan yang ada pada diri kita."

Kejujuran perlu dizahirkan secara praktikal. Jadilah diri sendiri dengan tidak melupakan azam untuk melakukan perubahan diri. Zaman muda adalah zaman yang sarat idealisme. Namun, tidak dikata sebagai orang muda jika tidak membumikan idea tersebut dengan perancangan yang terbaik.

Semoga tahun ini lebih baik dan teratur berbanding tahun-tahun lalu. Perkasakan idealisme., laksanakan amanah, dan perkayakan intelektual. Bersama kita memimpin perubahan atas nama kebenaran.