Gerakan Bermain Api



"Kebanyakan rakyat 'nonmuslim' berasa tidak senang dengan keadaan ini bahawa hak mereka telah dicabuli dengan sesuatu perlu dilakukan bagi membetulkan keadaan ini."
- Dr. Tan kee Kwong

Antara usul konvensyen Parti Gerakan Wilayah Persekutuan pada Ahad lalu ialah memecat Mufti Perak, Dato' Seri Harussaini berikutan dakwaan terhadap kes penyebaran SMS yang mengaitkan Dato' Azhar Mansor yang memurtadkan sebilangan orang Islam di Perak sebelum ini. Baca laporan http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2007/4/2/nation/17322497&sec=nation

Persoalan timbul, mengapa usul sedemikian ditimbulkan? Tidakkah mereka berfikir mendalam sebelum mengemukakan resolusi yang boleh menjentik sensitiviti umat Islam? Perlu diingat, jawatan mufti bukanlah sekadar menyentuh jawatan peribadi semata-mata, malah melibatkan kedaulatan agama kerana mufti berperanan mengepalai institusi keagamaan dan hal ehwal Islam di setiap negeri.

Hak istimewa Melayu dan kedaulatan agama Islam sudah dimaklumi ramai. Jadi, memperlekehkan mufti dengan gesaan celupar sebegitu seperti menghina institusi beraja, paling teruk mencabar keutuhan Islam sebagai agama rasmi negara. Kuasa pelantikan mufti adalah prerogatif atau hak istimewa mutlak sultan di setiap negeri. Desakan agar mufti dipecat menyerlahkan sikap mereka yang buta perlembagaan dan perundangan negara.

Gesaan sebegitu dilihat oleh kebanyakan pihak sebagai usul yang berbaur hasutan dan berkemungkinan mempunyai agenda sulit di sebaliknya. Semacam sengaja bermain api dengan mencabar kewibawaan umat Islam dengan isu sebegitu. Kes penyebaran SMS itu pun masih dalam siasatan pihak berkuasa. Justeru, relevankah dipersoalkan lagi. Biarlah polis sahaja yang menyiasatnya. Kenapa pula mereka memandai-mandai mengemukakan desakan yang kurang ajar sebegitu.

Susulan itu, sudah ada pihak-pihak tertentu, NGO yang cakna dengan isu ini bangkit mengemukakan bantahan dan melancarkan badan bertindak dalam usaha menanganinya. Harapan kita, semoga Parti Gerakan yang juga parti komponen barisan pemerintah sekarang, menarik balik usul dalam resolusi tersebut dan menyatakan permohonan maaf secara terbuka kepada umat Islam khususnya.

Mungkin tidak perlu berasa terlalu khuatir dengan usul itu kerana jawatan Mufti Perak itu masih terjamin. Apa yang perlu dibimbangkan, kini sudah jelas menampakkan wujudnya saluran atau usaha secara terang-terangan yang bertujuan jahat terhadap Islam. Mereka seolah-olah tidak lagi berasa takut untuk melakukan provokasi dalam hal ehwal agama. Seandainya umat Islam membiarkan sahaja perkara sebegini berterusan, bahaya jadinya.

Makanya, kewaspadaan adalah penting bagi umat Islam sekarang kerana kita mungkin tidak sedar akan kelicikan dan muslihat musuh-musuh agama ini. Mereka tidak akan berhenti begitu sahaja. Apatah lagi, segala yang dilakukan seakan-akan diberi 'lampu hijau' oleh pihak atasan negara yang tidak serius dalam hal sebegini. Sungguh menyedihkan.
Apa yang mesti difahami, umat Islam hendaklah berjuang meletakkan Islam ke puncak atas, bukannya mencari kemenangan tetapi Islam dibiarkan dipijak-pijak di bawah, kerana Islam itu tinggi, dan tiada yang tinggi selain Islam itu sendiri.

P/S : Media TV, media cetak yang lain sepi sahaja dalam isu ini. Pihak kerajaan tertinggi pula terus 'membisu diri'. Takkanlah masih lena lagi kut ! ~ Bangunlah dari tidur... buka mata pandang ke sana ~

1 ulasan:

Tg.A berkata...

Sejujurnya saya tak tahu-menahu akan hal ini. Namun, jika benar seperti dikata, 'pak cik' kita memang dah melampau. Benar2 memekakakkan telinga dan membisukan mulut.. Parti gerakan komponen kerajaan, takkanlah kerajaan sekadar memerhati?