Tetapi, aku sendiri belum pasti sama ada berita itu benar atau sebaliknya. Paling mengejutkan aku, ujar ustaz tersebut, surau itu dibakar dek rasa benci pihak tertentu yang marahkan pihak surau kerana tidak mengajar Islam H****ri ?!
Aduh...
Berita kejadian malam Rabu lalu sudah pun disahkan benar, iaitu berlaku pada Surau Darat Pak Chan, Marang. [Berita dan gambar : http://ahmadhadeed.tripod.com/surau.html]
Sedih aku melihatkan keadaan surau tersebut yang hangus, musnah terus dijilat api. Angkara siapa, kita hanya boleh menebak sahaja. Tetapi, kalau benarlah semua itu kerja pihak yang didakwa, alangkah hinanya perbuatan tersebut. Memusnahkan rumah Allah, barangkali murka atau rahmat yang diperoleh?
Memang, boleh dikatakan sekitar bandar Kuala Terengganu dan Marang kedapatan banyak surau yang begitu aktif. Tambahan lagi, kebanyakan ahli jawatankuasa dan kariah surau terbabit yang 'hijau'. Mungkin kerana kurang senang dengan senario tersebut, puak yang berhati busuk ini menyelar terus dengan melabelkan surau-surau berkenaan sebagai surau parti politik pembangkang dan menjadi tempat menghentam kerajaan. Memang kerja bodoh...
Aku bukan hendak kata sangat, tetapi daripada pemerhatian aku sejak dahulu lagi, surau-surau yang dilabel itulah yang paling ramai jemaah dan banyak bergerak dengan kuliah-kuliah Maghrib, tazkirah, usrah dan ceramah agama. Jika hendak dibandingkan dengan masjid-masjid kelolaan jabatan agama negeri, jauh panggang dari api.
Antara maghrib dan isyak, masjid seperti lesu. Kalau ada sekalipun, jemaah yang hadir boleh dibilang dengan jari. Ramai jemaah sebenarnya lebih terdorong ke surau-surau yang lebih giat dengan program keagamaan. Ini bukan pandangan berat sebelah, tetapi hakikat itulah yang dilihat dan dirasai sekitar Kuala Terengganu. Tidak percaya, turun dan nilailah sendiri.
Tambah menarik jika pada malam tertentu terutamanya apabila melibatkan ustaz pemberi kuliah yang mempunyai ramai pengikut, ramai pendengar, maka pastinya surau tersebut persis seumpama sembahyang Jumaat. Berpusu-pusu yang datang sehinggakan macet tempat letak kereta. [surau sekarang sudah ada tempat 'parking'.]
Tatkala solat berjemaah,dapatlah dilihat ramainya jemaah hinggakan terpaksa ditambah karpet dan sejadah di bahagian luar santak ke jalanan untuk kemudahan para jemaah bersolat bersama-sama. Terdetik seketika, kalaulah setiap waktu solat sebegini rupanya, pasti Islam tidak akan alah.
Sewaktu di dalam kuliah Maghrib paling ketara. Alangkah suburnya ruh Islam ketika itu. Masing-masing dahagakan ilmu, serasa begitu tak tertahan untuk bermesra dengan mutiara hadis, tausiyah dan tazkirah. Semuanya tidak mahu melepaskan keberkatan berada di dalam majlis ilmu.
Aku yakin, sesiapa yang melihatkan suasana sebegitu, pasti terbit rasa terharu dan sebak di dada. Dalam keadaan umat Islam yang makin hanyut, leka dengan dunia, masih ada yang bersungguh mencari ruang menadah kitab, mengutip benih-benih ruh tarbiyah untuk pengisian jiwa.
Dan tatkala keadaan remaja Islam sekarang yang sebegitu ramai terumbang-ambing akidah, punah akhlaknya, masih ada saki-baki muda belia yang menyedari kepentingan agama, dan punyai rasa cinta menebal kepada Islam sama-sama duduk bersimpuh dalam kuliah, merapati majlis ilmu.
Alangkah indahnya suasana sebegitu. Lagi indah, kalau diri kita sama turut bersama-sama dalam majlis sebegitu. Bagaimana sahabat sekalian?
Kembali semula kepada yang asal. Begitu menyedihkan sekali. Sampai macam itu sekali mereka memperlakukan terhadap rumah Allah. Tempat saudara seagama beribadat, menghidupkan taman-taman syurga. Semata-mata kerana bencikan perjuangan Islam, kerana dengki kepada ruh Islam yang makin menyala, dan barangkali berasa tercabar dengan semangat utuh penyokong-penyokong Islam.
Hanya Allah yang dapat membalas segalanya. Benarlah sabda junjungan s.a.w. , Islam itu datang dalam keadaan dagang(terasing), dan kembali juga dalam keadaan dagang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan