Kunjungan ilmiah

Program Silaturrahim Pondok dan Maulidur Rasul s.a.w.


Lokasi : Madrasah Darul Muhajirin, Bukit Jong, Kuala Terengganu.

Segala puji bagi Allah, memberi peluang kepada aku untuk menghadirkan diri ke program ini kelmarin. Sebenarnya banyak benda berguna yang boleh dihadam hasil penelitian, pemerhatian dan apa yang didengarkan semasa berada di sana. Pendedahan kepada suasana sebenar institusi pendidikan pondok dan pelbagai khazanah ulama adalah suatu pengalaman yang berharga dan begitu bernilai.

Sempat juga mengikuti pengajian dengan Tuan Guru Haji Abdullah bin Samah, mudir Madrasah an-Najmi, Tumpat. Suatu kuliah yang begitu menarik, disampaikan mesra dengan dialek Kelantan. Kupasan beliau yang berkisar tentang kewajipan berpegang kepada aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah berdasarkan Asya'ariyyah dan al-Maturidiyyah cukup padat dan penuh ilmiah, sesuai dengan rujukan kitab para ulama yang muktabar.

Dari pengajian beliau, banyak yang aku faham berkenaan bahayanya Wahhabi dan anasir-anasirnya yang kian menular kini. Sungguh, pemahaman tentang kerosakan fahaman yang mengelirukan ini perlu diperjelaskan secara lebih meluas kepada khalayak umum kerana gerakan ini cukup halus memutarbelitkan pendapat dan fahaman yang boleh memincangkan akidah umat Islam.

Banyak lagi siri pengajian khusus yang diadakan selama dua hari program tersebut. Kemuncak program ialah Majlis Maulidur Rasul s.a.w. yang bakal dipimpin oleh Syaikh Afeefudin As-Syed Abdul Qadir Mansuruddin, keturunan As-Syaikh Abdul Qadir Jailani. Sayang sekali kerana tidak mampu menghadirkan ke majlis malam ini. Semoga majlis tersebut berlangsung dalam penuh kerahmatan dan barakah Allah.

Terima kasih kepada sahabat, Badrul Hisham dan juga pihak Khazanah Diniyyah [KIDI] kerana sudi menerima aku sebagai peserta program meski hanya berprogram untuk satu hari sahaja. Juga penghargaan kepada tuan rumah, iaitu mudir dan pelajar Madrasah Darul Muhajirin yang begitu baik melayani para hadirin. Enak sekali tatkala bersantapkan gulai daging lembu tengah hari kelmarin dan khabarnya malam tadi seekor kerbau pula direbahkan.

Keseluruhannya, program tersebut sedikit sebanyak membugarkan lagi pemikiran dan menyedarkan diri bahawa pendidikan pondok bukanlah suatu pendidikan yang ketinggalan zaman, atau bukanlah tempat pembelajaran alternatif yang kolot, jumud (seperti yang didakwa oleh seorang mufti).

Perspektif berat sebelah yang menebal dalam pemikiran orang Melayu Islam zaman kini harus diperbetulkan. Tanggapan sedemikian rasa-rasa memang ada pada kebanyakan orang di luar sana. Mengadili tanpa meneliti. Mendakwa tanpa melusuri. Menghukum tanpa memahami dengan akal dan budi.

Institusi pondok, suatu ketika dahulu merupakan suatu sistem pendidikan ulung. Kepesatan institusi perguruan pondok tersebut telah melahirkan ramai tokoh ulama yang berjaya dalam perkembangan ilmu serta perjuangan agama di nusantara. Merekalah yang menjadi pejuang agama, pembela bangsa, penyebar kebenaran dan penentang kepada segala bentuk penjajahan ketika itu. Jasa, pengorbanan dan khazanah ilmu yang ditinggalkan tak ternilai dan terbalas oleh generasi kini.

Menjadi tanggungjawab bagi setiap umat Islam mempertahankan keutuhan pendidikan pondok dalam situasi kini yang amat tidak menyebelahi para ulama, sewajarnya dan patut ke atas kita sekurang-kurangnya menyokong kelangsungan pendidikan tradisional ini yang memartabatkan pendidikan aliran Ahlus Sunnah wal Jamaah di kalangan ummah.

Bagi aku, pendedahan sebegini cukup bermanfaat dan bernilai kepada seorang pelajar yang tidak pernah menuntut di pondok dan mengalami sendiri liku perjalanan kehidupan pelajar institusi pondok. Harapan di hati, ingin sahaja program sedemikian dianjurkan lagi dan diperluaskan kepada umum khususnya pelajar dan remaja di luar sana supaya dapat membuka minda dan pemikiran mereka yang lebih terdedah dengan pemikiran barat yang liberal dan tiada pentarbiyahan jiwa.

Belasungkawa

Tuan Guru Ustaz Hj Wan Muhammad Shaghir Abdullah, iaitu Penaung Pengkaji & Khazanah Fathaniyah, telah kembali ke rahmatuLlah kira-kira 11.40 pagi tadi. Almarhum yang merupakan pengkaji, pengarang banyak kitab, buku serta makalah; penceramah, penulis pojok Ulama Nusantara(Utusan Malaysia) dan Ensiklopedia Nusantara(Berita Harian) menghembuskan nafasnya yang terakhir di kediamannya di Taman Melewar. Jenazah almarhum akan dibawa ke Kedah untuk dikebumikan di Pondok Pak Chu Him Gajah Mati.

Tuan Guru Haji Mohd Shaghir(tengah) di samping Tokku Ibrahim. [kredit : Hanief Hj Ibrahim]

Jasa dan sumbangan almarhum Tuan Guru Hj Mohd Shaghir yang sepatutnya turut menjadi pembentang bagi siri pengajian khas dalam program di atas di sebelah pagi tadi, cukup banyak dalam memartabatkan Ulama Melayu Nusantara menerusi pengkajian dan hasil tulisan kitab ilmiah.

Pernah sekali aku menghadiri kuliah beliau tahun lalu, dan sememangnya almarhum merupakan seorang ulama yang sangat teliti dan faqih. Apa yang disampaikan cukup bernas, bersandarkan hujah yang bersanad dan dikukuhkan dengan ketepatan fakta daripada kitab-kitab yang soheh. Aku sempat menulis berkenaan kuliah tersebut dalam blog lamaku. Lagi tulisan perihal almarhum tuan guru : Faisal Tehrani dan Bahrus Shofa.

Begitu, kehilangannya pasti akan dirasai. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para 'alim dan sodiqeen.
Al-Fatihah.

Tiada ulasan: