Antara benda yang berjaya mengujakan diri aku. Sekali main, ralit dibuatnya. Memang seronok melayan 'puzzle' yang mencabar minda ni.
Paling menarik, timbulnya rasa geram yang amat bila kepala sudah ligat pusing, tak dapat menyelesaikan teka-teki angka yang berbaki. Fuh, senak kepala hendak memikirkan.
Seingat-ingat aku, permainan Sudoku inilah yang berupaya 'membantu' beberapa masalah aku semasa di sekolah dahulu. Bila dikenang kembali, semacam lucu sahaja tapi itulah hakikatnya. Memang praktikal dan cukup mengesankan bagi aku.
Boleh aku katakan yang Sudoku ni berjaya bikin aku 'segar', tak mengantuk dalam kelas. Lebih-lebih lagi bila waktu subjek yang mem'berat'kan beban otak aku - subjek yang banyak menghafal, contohnya Biologi dll .
Almaklum sahaja, kadang-kadang cikgu yang duduk mengajar di hadapan sudah bagus, tapi mata aku pula lebih cenderung untuk memuyu-muyu, melelap. Memang tak tahan kantuk.
Nah, melayan benda bagus Sudoku ni sekurang-kurangnya mengelakkan aku daripada terlena panjang dalam kelas. Tidaklah aku sibuk meratib sepi dalam kelas. Kalau cikgu tegur pun, tiadalah untuk aku sekadar terangguk-angguk mamai.
Meski seperti tidak beri tumpuan penuh dalam pembelajaran, tetapi deria pendengaran aku masih lagi mesra menangkap apa yang cikgu sedang ajar (ye ke?). Nasihat aku, kalau main semasa belajar tu janganlah sampai terlalu asyik, hingga buku pun langsung tak bersentuh.
Semua ni sekadar hendak cerita sedikit-sedikit perihal cara aku untuk menghilangkan rasa mengantuk di dalam kelas semasa persekolahan dahulu. Aku rasa pelajar terbaik - 'best student' - di luar sana tu sudah tentu ada cara lebih bagus. Aku siapalah sangat, cuma pelajar sederhana - kelas nombor besar - . Kenangan tinggal kenangan...
Boleh dikatakan separuh juga rakan-rakan sekelas aku semasa Tingkatan 5 dahulu, yang layan kepala dengan Sudoku ni - Izzat, Taufik, Razif, Zizi Cybog, PekLi, Saro, Keri - . Selalu juga aku challenge rakan yang lain, siapa yang paling pantas menyelesaikan 'puzzle' Sudoku ni.
Fuh, memang dramatiklah saat-saat setiap orang menekuni kertas masing-masing tu, hinggakan cikgu masuk ke kelas tak tersedar. Alahai, Sudoku punya pasal..!
Sudoku, seingat-ingat aku juga berjaya meng'eram'kan seorang rakan sekelas aku dahulu. Dia sedikit nakal, selalu meletakkan dirinya sebagai problem maker kepada cikgu dan kawan-kawan. Kegemarannya, dia kerap menghilang, lesap entah ke mana.
Jenuh sudah segelintir rakan yang thiqah (tiba-tiba aku teringatkan Azri) bagi nasihat berguni-guni, tapi dia tetap dengan 'sempoi'nya. Aku pun malas hendak cakna sangat. Masing-masing punya kepala, layan lah ikut cara diri sendiri.
Dalam pada tu, aku rasa kasihan juga tengok dia yang selalu melilau-lilau, semberono dalam pelajaran. Makanya, Sudoku dijadikan 'penawar'. Akhirnya, melekat juga dia atas kerusi sampai tak hirau kawan lain dek menumpu pada Sudoku. Tak kisahlah, asalkan dia kelihatan di dalam kelas bila cikgu mengajar. (Macam mana la member aku seorang ni sekarang...)
Apa yang pasti, menangani masalah dalam permainan ini terkadang baik untuk perkembangan minda (IQ) seseorang, terutama mungkin dalam mengimbangi dan mengoptima fungsi otak kiri dan otak kanan. Dan semestinya, Sudoku turut mengingatkan aku kepada rakan-rakan satu kelas dahulu ! Ah, rindu berumbu-rumbu !
p/s: berulat otak aku main bende nih... - Keri
Tiada ulasan:
Catat Ulasan