Isu Lojing : Rakyat Usah Tertipu

Sejak beberapa minggu lalu isu kegondolan hutan Lojing telah dihangatkan terutama oleh media massa arus perdana kononnya kerajaan PAS Kelantan perlu bertanggungjawab di dalam kes berkenaan. Ini diperburukkan oleh laporan dari agensi berita kerajaan, BERNAMA yang tidak putus-putus "menyerang" Kerajaan Negeri Kelantan di dalam isu tersebut.

Isu bertambah pincang dengan selaran biadab oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Azmi Khalid yang mendakwa Kelantan jelas gagal mematuhi peraturan bagi pembangunan di kawasan tinggi melebihi 300 meter yang memerlukan kebenaran daripada Majlis Pembangunan Kebangsaan.




Tanpa disedari kawasan dilaporkan gondol dan mencemarkan alam sekitar, rupa-rupanya difahamkan turut berada di bawah pengurusan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), di mana pengerusinya, Dato’ Seri Annuar Musa. Menurut sumber sebanyak 10 notis perlanggaran terhadap alam sekitar telah dihantar pihak berkuasa kepada agensi tersebut, namun tiada tindakan diambil.

Malah katanya, lebih mengecewakan lagi apabila kertas pendakwaan ke atas Kada telah dihantar kepada Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), namun ia juga sepi begitu sahaja.

“Pencemaran terhadap alam sekitar berlaku di tanah milik Kada di Lojing yang disewakan kepada petani-petani dari Cameron Highlands. Agensi itu terus membiarkan perkara itu berlaku biar pun berkali-kali notis sudah dihantar,” katanya di sini.

Mengulas perkembangan itu, anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Husam Musa hari ini secara terbuka meminta Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat dakwaan tersebut.

“Saya meminta pihak berkuasa terbabit turut mengambil tindakan dan mendakwa Kada yang turut dikatakan melanggar syarat alam sekitar di Tanah Tinggi Lojing,” katanya menjelaskan isu Lojing pada kuliah mingguan di Medan Ilmu.

Baru-baru ini Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Sazmi Miah dilaporkan mendakwa sebanyak 22 projek sedang rancak dijalankan di Lojing, namun lima sahaja yang mendapat kelulusan EIA. Malah dakwanya, kemusnahan ekologi dan alam sekitar sedang berlaku di kawasan seluas 25,000 hektar di Lojing di mana bukit setinggi 1,200 meter gondol tanpa sebarang pokok.

Dan Isnin lalu, Annuar dan Sazmi bersama wakil-wakil rakyat Barisan Nasional dengan memakai t-shirt bertulis ‘Selamatkan Lojing – Sayangi Kelantan’ melawat Lojing sambil mendengar taklimat mengenai isu tersebut di pejabat Kada.

Sedangkan tidak jauh dari situ, petani yang menyewa tanah milik Kada dengan rakus mengondolkan tanah bagi aktiviti penanaman sayur-sayuran sehingga mengeruhkan anak sungai. Husam turut meminta BPR menyiasat Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang dikatakan masih gagal meneruskan pendakwaan terhadap Kada.

“Mungkinkah kerana Kada dipengerusikan pemimpin Umno maka kertas pendakwaan hanya sekadar disiapkan tanpa diambil tindakan lanjut,” katanya.

Penyelia Dun Galas, Chek Hashim Sulaima melahirkan rasa hairan bagaimana Sazmi mengeluarkan kenyataan JAS baru memulakan siasatan terhadap pencemaran di Lojing, sedangkan difahamkan pendakwaan terhadap sebuah agensi kerajaan pusat tidak dilakukan sehingga sekarang. Katanya, isu Lojing ditimbulkan Sazmi yang dianggap menjadi ‘budak suruhan’ Annuar bagi menutup kes sebenar berlaku di sebalik kecaman yang dihala kepada kerajaan negeri.

Husam sekali lagi menafikan isu pembalakan yang cuba dikaitkan Umno di Lojing sehingga menyebabkan kawasan tanah tinggi itu gondol, sebaliknya ia adalah kerja-kerja tanah bagi aktiviti pertanian.

“Saya juga kecewa terhadap JAS yang tidak memainkan peranan dengan berkesan terutamanya menyuarakan pandangan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tanah Tinggi Lojing mengenai isu sebenar biar pun ada wakilnya hadir.

“Ketika ruang bercakap diberi, mengapa mereka tidak mengemukakan sebarang masalah sehingga dipergunakan pula pemimpin politik bagi mendedahkan perkara itu,” ujarnya. Beliau juga melahirkan komitmen kerajaan negeri untuk mengheret pihak-pihak tertentu yang membuat tuduhan liar ke muka pengadilan dalam masa terdekat ini.

Oleh itu diharap rakyat turut berdoa usaha untuk membawa pihak tersebut ke mahkamah dalam isu Lojing berjaya bagi membuktikan kedudukan sebenar.


(Sumber : Harakahdaily.net)
Lagi :
Berita TVPAS Mengenai Isu Lojing
###
Taktik yang sudah dihidu usul pangkalnya. Teringat telahan seorang sahabat, mereka yang kencing dalam satu bilik dan berlalu begitu sahaja, pasti meninggalkan bau hapak hancing kepada orang lain yang datang masuk ke bilik yang sama.

Aku memang tidak faham dan malas untuk faham kenapa puak tu bertambah-tambah galak dengan isu ini. Sedangkan mereka juga tahu, temberang tidak selamanya kekal diselindung. Kelak pasti bau busuknya tetap menyesak hidung. Sandiwara oh sandiwara...

Mudah kata, Bangkai gajah depan mata tak berbau busuk, bangkai nyamuk seberang laut cuba dihidu. Pastinya, masing-masing sudah mula 'berkokok' sakan, petanda musim 'memangkah' makin terasa bahangnya.

- Jentera Pemuda di KT nampaknya sudah mula mengaum Sabtu lalu. Sayang, tak seagah mana pun gelombangnya. Alahai...

Tiada ulasan: