Sebagai seorang yang hafal kitab Bible, tidak menghairankan beliau sering diundang dalam siri ceramah bagi mendedahkan kebobrokan Bible serta ajaran yang terkandung di dalamnya.
Boleh dikatakan ustaz muda ini seumpama 'Ahmad Deedat kecil' yang ada di negara kita. Beliau turut berpengalaman luas bersemuka dan berdebat dengan ramai paderi Kristian.
Mereka bertanya tentang ISLAM Anda Menjawab - satu lagi buku hasil pena Ustaz Rashidy. Buku kecil ini yang menghimpunkan soalan-soalan yang biasa ditanya dan dijadikan hujah oleh musuh-musuh Islam untuk meragu-ragukan umat Islam.
Pendapat aku, buku ini sesuai untuk para pelajar yang bakal atau sedang mengikuti pengajian di kampus luar sana. Biasalah, pergaulan antara yang Muslim dengan rakan yang non-Muslim terkadang boleh mewujudkan sebarang kebarangkalian. Kita tidak tahu isi hati mereka. Begitu juga mereka.
Sewajarnya bagi kita ni memperteguhkan minda dan pengetahuan untuk hadapi semua itu. Ancaman Kristianisasi makin membiak, makin meluas. Bahkan, orang Melayu sekalipun sudah ramai terjebak dalam gejala Riddah. Nauzubillahi min zalik.
Sebut tentang buku ini, teringat aku pada suatu kisah. Suatu pengalaman...
PLKN : Aku, Dia dan Agamanya...
Sebilangan rakan ada yang menyarankan agar aku berkongsi pengalaman semasa menjalani PLKN lalu. Aku sejujurnya malas untuk berpanjang lebar tentangnya.
Mungkin hanya bagi orang yang menyertainya sahaja yang pantang diberi peluang sesama mereka, akan seronok berkisah itu ini tentang bermacam memori, detik peristiwa dan kenangan yang diperoleh sepanjang mereka bergelar Wira dan Wirawati.
Pun begitu, cepu minda aku sesekali seperti didesak-desak untuk berkongsikan suatu kisah ketika menjalani PLKN di kem yang aku duduki.
Apa yang ingin dikisahkan barangkali bukanlah menarik sangat. Tetapi, saat-saat berhadapan dengan keadaan sebegitu telah mengajar sesuatu secara tidak langsung. Situasi yang benar-benar menguji diri seorang Muslim. Serasanya ini sangat sesuai untuk dikongsikan.
Mudah-mudahan akan timbulnya komentar berupa idea atau fikrah yang boleh diutarakan. Tiada lain, tulisan ini hanyalah bertujuan untuk usaha yang kecil cuma dalam mematangkan pemikiran kita.
- Mohendran V.T. George (Bukan nama sebenar)
Merupakan salah seorang kenalan aku di PLKN. Berbangsa India dan berasal dari Rawang. Boleh dikatakan aku mesra dan rapat juga dengannya. Pada awal perkenalan, tidak ada rasa kekok tatkala bersuai kenal lantaran sikap dirinya yang peramah.
Dia boleh digolongkan sebagai pelajar yang pintar dan terpelajar. Bercita-cita besar - ingin menjadi cardiologist(pakar jantung), dia punyai perwatakan yang berkeyakinan tinggi. Dalam kompeni aku, dia antara yang sering tampil ke pentas dalam sesi perkongsian terbuka dan refleksi.
Bible sentiasa di sisinya. Sebagai seorang bermazhab Protestan yang taat, dia cukup tegar pada apa yang dianutinya hinggakan aku sendiri pada satu ketika berasa segan dengannya.
"Aku tidak akan bercouple selagi aku belum mampu untuk kahwin."
"Aku takut untuk bersentuhan dengan perempuan. Itu dosa."
Bila melihatkan perangai sebilangan rakan-rakan aku yang Muslim. Aku diam, terkedu. Memalukan...
Pun begitu, ada suatu perkara yang berjaya menimbulkan minat aku untuk mengambil risiko mengajaknya berperihal tentang agama. Kata-katanya pada suatu malam, begitu mendorong aku berbicara lebar dengannya.
Malam tersebut adalah hari ulang tahun kelahirannya. Aku dengan nada bergurau, bertanyakannya apa hadiah yang ingin dia mahukan. Dan dia dengan suara mendalam, menjawab:
"Kalau aku minta pun, kau tentu belum dapat bagi dan mungkin tidak akan bagi."
Bingung juga aku. Aku minta dijelaskan, dia sekadar tersenyum. Besar sangat ke permintaan tu? Kalau aku minta perkara yang sama, kau pula, nak bagi ke? Aku menyoal.
Senyum lagi, dan mengatakan jawapannya sama dengan jawapan aku.
Ketika itu, seperti dapat menangkap maksud di sebalik kata-katanya. Kami berlanjutan menduga, berteka dan berkira-kira tentang apa yang dimaksudkan. Kami seakan sudah pun memahami, tetapi masing-masing berpura-pura kebingungan. Lantas, seperti mahu menyudahkan dia berkata,
"Kau punya agenda kau tersendiri. Begitu juga aku."
Apa maksudnya? Dakwah... Dakyah...
Bicara kami terhenti sekerat jalan begitu sahaja, apabila rakan-rakan lain datang menyampuk.
Sebelum malam itu pun sudah acap kali aku dan rakan-rakan lain bercakap tentang agamanya. Boleh dikatakan dia sangat suka berperihal tentang apa yang dianuti. Aku dan dua tiga orang rakan sering juga mengasaknya dengan pelbagai pertanyaan.
Malahan, kami sering juga membanding-bandingkan kisah dalam Al-Quran dengan kisah dalam Bible. Itu kebiasaannya ketika sebelum kami tidur pada malam hari. Seputar bicara kami tidaklah sampai menimbulkan ketegangan. Santai seadanya.
Walaupun dia mengelak jika diberi peluang bertanyakan tentang Islam, kadang-kadang secara spontan atau tidak langsung dia ada bertanyakan beberapa perkara yang dimusykilkan. Antaranya yang aku ingat...
+ Mengapa orang Islam sembahyang ada waktu tengah hari, petang, malam, dan tidak pada waktu tertentu saja? - Ni dia tanya dalam bilik air. Mana-mana pun boleh dia ni.
+ Sembahyang tengah hari(zohor) dan petang(Asar) lebih segera daripada sembahyang semasa malam(Maghrib dan Isyak). Kenapa macam tu? - Barangkali dia bosan kut selalu ditinggalkan dalam dorm masa antara Maghrib dan Isyak..heh3x
+ Kenapa orang Islam kena jaga segala benda yang digunakan halal? - Dia tertarik tengok aku tampal poster Ubat gigi Mu'min pada loker. Promosi tetap promosi..
+ Macam mana kalau ada orang Islam yang pergi makan ke kedai orang bukan Islam, dan makan benda yang haram. Kalau dia sedar(taubat) selepas itu, adakah ibadat dia diterima walau dah makan banyak sangat(benda haram)? - Dia tanya ni ketika hampirnya waktu solat Maghrib. Nyaris nak kena denda dek ralit menjawab soalan dia ni.
+ Air sembahyang(wudhu') tu kau ambil macam mana? Kena sentiasa bawa ke dalam bekas? - Soalan ni paling lucu..hehe.
+ Kenapa Tuhan kamu tidak boleh dilihat? - Soalan ini dia tanya bila dia mendakwa bahawa Tuhan mestilah menyerupai makhluk yang dicipta..Hurm.
+ Apa yang kamu buat bangun malam-malam tu? Ada hari tertentu ke nak buat tu? - Ditanya bila budak usrah kem aku buat program qiamullail.
+ Kenapa mesti diserbu bilik orang(khalwat)? Tidakkah mengganggu privacy orang awam? - Katanya, dia sangat tidak setuju dengan Islam tentang operasi cegah maksiat yang dianggap tidak beretika.
+ Undang-undang negara ni buat orang luar takut untuk tinggal di Malaysia. Seperti dipaksa pula(tukar agama). Mengapa jadi sebegitu? - dikaitkan dengan Artikel 11 Perlembagaan Negara. Kena cucuk jarum IFC rupanya dia ni.
+ Kamu ingat agama kamu sahaja yang betul ?! - haa, ini bukan soalan. Tapi luahan spontannya bila ada seorang rakan lain yang mengeluarkan kata-kata' kurang cerdik' kepadanya. Tersinggung daa...
Tujuan aku tidak lain, sekadar berkongsi beberapa persoalan yang barangkali sering bergalau dalam minda di kalangan bukan Islam di luar sana. Agaknya, apakah yang mungkin akan kita jawab jika disoal dengan pertanyaan sebegitu?
Tepuk dada tanyalah iman. Aku sendiri berasak-asak kepala untuk memikirkan jawapan yang betul-betul sesuai dan berhikmah bila dilontarkan aneka bentuk pertanyaan seperti itu.
Apa jua sekalipun, matlamat yang perlu diletak di hadapan, hendak menjawab mestilah rasional pada fikiran mereka. Paling utama, tidak dapat tidak jawapan kita mestilah memaparkan keindahan Islam itu sendiri.
Ada juga aku bertanya tentang kerja dakwah dalam agamanya. Jawab dia:
"Kami lebih cenderung menyeru kepada yang bukan Kristian berbanding mereka yang sedia Kristian tetapi bodoh(tidak beramal atau meninggalkan agama Kristian)."
Sudah terang lagi bersuluh. Mereka turut punya agenda. Belia terpelajar yang sudah terlatih. Bagaimana pula dengan kita, sebagai remaja Muslim?
Terdetik juga hati, mengapalah hendak dihiraukan. Biarlah dia dengan agamanya. Tak perlu ditanya, disoalkan mereka. Kita ni pun bukannya tahu sangat tentang metodologi atau skop perbandingan antara agama. Bimbang tersasar tutur kata, menampakkan kelemahan diri dan agama pula. Bikin malu saja.
Cuma kalau difikirkan dua kali, tidak wajarlah bagi kita untuk berpeluk tubuh sahaja. Janganlah gementar kerana berasa tewas berhujah. Keyakinan kita sudah utuh - mentauhidkan Allah. Itu satu kekuatan dan kelebihan. Baki usaha kita adalah menyatakan apa yang benar. Islam haqqul deen.
Sudah-sudahlah kita sengsara mendengarkan cerita saudara seagama dimurtadkan saban hari. Sudah-sudahlah kita sekadar berkering tekak melaung-laung aku ni anti-murtad, aku pembanteras gejala riddah, tapi jadi terpinga-pinga bila orang kafir menduga kita.
Peringatan seorang tokoh; Janganlah kamu bertanyakan apa sumbangan Islam kepada kamu, tetapi tanyalah apa sumbangan kamu kepada Islam.
Benar, dan kita tidak sekali-kali malu untuk bergelar Islam, dan kita juga tidak sekali-kali memalukan Islam. Objektifnya satu - menjadi Muslim yang siap siaga.
Mungkin apa boleh aku nyatakan, pengalaman tersebut antara cebisan kisah yang sempat aku kutip dan perhalusi hikmahnya. PLKN bagi aku, umpama 'kembara iman' yang berhasil meluaskan perspektif aku terhadap pelbagai ragam manusia dan dunia luar.
Pengalaman bersua dengan rakan yang free thinker yang menidakkan agama. Hidup asal jadi orang baik.
Pengalaman mengenali rakan yang tidak pernah solat sebelum ini. Segala puji bagi-Nya, sudah dilemparkan hidayah ke dalam hatinya tika di sana.
Pengalaman bertegang urat dengan seorang gadis yang liberal fikiran. Hampir dia menitiskan air mata.
Pengalaman berdepan dengan rakan seagama yang tidak kenal syirik dan khurafat. Mempersendakan iman sewenang-wenang.
Semua itu sukar kedapatan di luar. Benar-benar 'kembara iman' yang menjana jiwa.
Jiwa yang mengaku bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang satu, dan Muhammad s.a.w. itu pesuruh-Nya.
Al-Quran sendiri ada menyatakan dengan maksud ayat, layakkah seseorang itu mengatakan diri mereka beriman sedangkan mereka belum diuji?
Sesuatu terkadang Allah jadikannya sebagai ujian, dan ada ketika berupa anugerah atau nikmat. Semua itu terserah kepada Dia. Kita sebagai hamba-Nya, disaran menyelami dan mengembarai jiwa untuk memahami cahaya hikmah yang dipancarkan oleh-Nya.
p/s: Foto rakan-rakan aku di PLKN itu, sekadar hiasan semata-mata. Tiada kaitan apa-apa dengan tulisan ini.
3 ulasan:
salam ziarah ...
masyaallah ... tersentuh hati tika mana membaca pengalaman anta.. masih banyak hati perlu disentuh dan jadilah hkita hati yang besar dan kuat bagi menampung hati-hati mereka yang perlukan kita ...
Persoalan-persoalan yang patut dicari jawapannya, difikir rasionalnya, tambahkan keyakinan diri dalam beragama dan pastikan diri menjadi seorang Islam yang Muslim secara pilihan bukan kerana ibu dan bapa kita Islam maka kita bertitle Islam. Sama-sama tuntut ilmu untuk kita sndiri sekurang-kurangnya faham dan sedar dalam beragama...
Salam Ziarah akhi..
Tahniah saudara kerana mengambil peluang mengenali sahabat-sahabat bukan islam di plkn. Sekurang-kurangnya ilmu dan pengalaman kita bertambah.
Semoga kita semua sentiasa berdialog and bertukar-tukar pendapat dengan orang yang tidak seagama, untuk mengenal Tuhan dengan lebih mendalam lagi.
Catat Ulasan