Ilmuwan muda

Aku pernah terbaca tentang tokoh ini dalam majalah Tunas Cipta (Mac 2006) menerusi kolum Motivasi bersama Jaafar Abdul Rahim. Pabila mendapat tahu bahawa beliau akan bertandang ke Kuala Terengganu, serasanya cukup elok kalau aku memperkenalkan serba sedikit tentang diri beliau di sini.

Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Rembawi al-Maliki - seorang ulama muda yang baru berusia 33 tahun. Merupakan ahli majlis fatwa Negeri Sembilan sejak tahun 2003. Ketokohan ulama muda ini terserlah apabila beliau kini menguruskan dua buah madrasah dan Darul Aitam di Kampung Bukit Sembilan dan di Kampung Chenong, Chengkau yang diasaskan oleh beliau sendiri.

Usaha beliau menyemarakkan ilmu dan kegigihan penyebaran dakwahnya dipandang tinggi oleh pihak kerajaan negeri. Beliau telah menerima Anugerah Khas Maal Hijrah Negeri Sembilan, 1427H. Seorang agamawan yang penuh sifat kasih sayang dan keprihatinan begitu jelas terpancar pada peribadi beliau dengan tertubuhnya Yayasan Sofa Negeri Sembilan yang menempatkan anak yatim dan anak yang lemah, ketinggalan dalam pelajaran.

Apa keistimewaan yang ada pada tokoh muda bestari ini? Sungguh, Syaikh Muhammad Fuad telah menunjukkan prestasi yang cukup membanggakan dalam bidang penulisan ilmiah. Sehingga kini, hasil tulisan dan terjemahan Syaikh Muhammad Fuad telah mencapai lebih 115 buah dalam pelbagai disiplin ilmu agama. Beliau mensyaratkan untuk menulis sekurang-kurangnya empat buah kitab dalam sebulan. Begitu gigihnya dan istiqomah ulama muda ini menjadikan bidang penulisan sebagai wadah penyebaran ilmu dan dakwah.

Antara kitab yang dihasilkan beliau ialah sembilan buah kitab tasawuf, sembilan buah kitab tauhid, enam buah kitab sirah dan tiga kitab tafsir al-Quran. Selain itu, 12 buah kitab karangan berbahasa 'Arab(Al Toli'al Al Muntakhab Min Al Athbat Wal Al Saud) yang diterbitkan di Mesir telah mendapat pengiktirafan dan disahkan oleh Universiti Al-Azhar.

Apa yang ingin dinyatakan, jelaslah beliau merupakan contoh yang patut diteladani oleh semua pihak. Usia bukanlah penghalang bagi menjayakan perkembangan ilmu kepada khalayak. Menjadi seorang agamawan, seorang ulama, seorang penulis kitab tidak hanya pada saat lingkungan usia veteran. Asalkan mempunyai disiplin kuat dalam berilmu dan beramal, serta mempunyai keikhlasan hati yang benar, dengan izin Allah semua itu boleh berhasil untuk terjadi.

Sekadar hebahan ringkas, ilmuwan muda ini akan menyampaikan kuliah khasnya di Masjid Raja Bukit Besar pada malam ini, selepas solat Maghrib. Suatu majlis yang pastinya menarik untuk diikuti. Bagi sahabat yang tinggal berdekatan, sangat disaran untuk sama-sama berkuliah dan berjemaah di sana. Insya-Allah sama-sama kita mengambil manfaatnya.

Ayat-Ayat Cinta

Merata-rata mencarinya di Kuala Terengganu, hampa tiada satu ketemui. Bukan tidak mahu meminjam. Tetapi, terasa lebih puas kalau novel yang mahu ditatap dan diratah intinya adalah kepunyaan diri sendiri. Ingin membaca berulang-ulang kali pun tidak akan jadi susah.

Kerapkali membaca dan mendengarkan cakap-cakap orang tentang keunikan jalan cerita dan keenakan mentelaah karya tersebut, makin membuak-buak keinginan untuk memilikinya. Ya, mesti beli!

Segala puji bagi-Nya, berhasil juga aku memiliki novel menarik dari tanah seberang ini. Terima kasih kepada kakak aku kerana sudi 'bersusah-payah' berkelintar di ceruk ruang toko buku sekitar KL untuk mendapatkannya. Dulu buntu, sekarang berhasil jua kau ketemukan buku ini ya!

Dengan Ayat-Ayat Cinta, aku tidak lagi gersang bahan bacaan tika santai-santai, bahkan bertambah rasa teruja untuk segera bergaul mesra dengan bait-bait cinta yang ada di dalamnya...

Tiada ulasan: