2011 yang menggamit


Dua hari lagi, masa akan bertukar angka dan beranjak ke tahun yang berganti baharu. Begitu juga dengan kehidupan. Masa akan bergerak berlalu, dan hidup manusia akan diteruskan dengan rentak yang baharu dan lebih membina.

2011 meninggalkan kita dengan kenangan yang rencam. Mehnah, memori indah, hatta pengalaman yang barangkali menggirangkan hati. Boleh jadi menyesakkan hati. Semuanya berlalu dan dirasai, sebagai suatu nikmat yang tidak pernah Allah dustakan.

Manusia yang baik adalah mereka yang semakin bertambah usia, semakin meningkat pengetahuan, dan semakin bijak mengurus kematangan. Pengalaman akan membina diri dan lebih menarik, akan mengolah diri untuk menjadi sama ada lebih berani, lebih berhikmah, lebih beradab dan bersantun susila.

Aku mengamati secebis kisah dan merenung dalam-dalam pengalaman sepanjang satu tahun. Banyak yang dikecap menggembirakan, dan banyak juga yang menguji iman dan akal fikiran. Mengurus potensi peribadi, mengatur pasukan, menyusun perancangan kumpulan dan membina keyakinan dalam menyelesaikan tugasan adalah rutin yang perlu dilalui dan dilunaskan saban hari.

Tahun 2011 tahun mencabar. Tahun 2011 juga tahun yang memercik emosi.

Tahun ini, tahun aku tegar bersemangat dengan teman-teman sealiran. Kami beraksi, kami berkongsi dan meneroka idea. Dan kami puas membina sejarah sendiri.

Jiwa muda kami.

Masa rehat, kami memberontak.
Masa lapang, kami berpencak di lapangan.
Masa manis, kami tegar dalam aktivis.

Masa itu merakam memori kami. Dan ia membina diri kami dalam ruang lingkup masa anak muda yang kami akui, cukup singkat untuk dinikmati.

Menelaah ilmu, menjarah pengetahuan, mencedok pengalaman, memasak kefahaman, mengangkat ide dan pemikiran, menyuguh benak dengan semangat, impian dan harapan.

Terima kasih Tuhan, mengizinkan aku mencicip manisnya persahabatan,
menghirup rasa manisnya perjuangan.
Tanpa izin dari Mu, mungkin aku buntu dalam kegagalan.
Maka,
Nikmat Engkau yang mana hendak aku dustakan.


p/s: Azam 2012, aku ingin menjadi 'puisi' yang bernyanyi, menjadi 'rembulan' yang menyinar. Ya Allah, permudahkan urusan hamba-Mu.

Kasihan, kisah batu diharamkan...


Baru-baru ini, aku menerima emel daripada seorang kakitangan kanan di Perpustakaan USIM. Beliau berkongsikan satu kiriman salinan surat daripada JAKIM kepada pihak tertentu (termasuk Jabatan Perpustakaan) berkenaan senarai buku terkini yang diharamkan untuk penerbitan dan pengedaran.

Kebetulan. Muharram kali ini, mehnah dari luar kembali bertamu mengguris sasterawan muda, Dr. Mohd Faizal Musa yang lebih tersohor dengan panggilan pena beliau Faisal Tehrani.

Buku beliau; Sebongkah Batu di Kuala Berang turut disenarai bahan bacaan yang haram!

Kasihan.

Aku gesit membelek dan mengamati inti karya tersebut sepintas lalu.
Sebetulnya, baru sekali aku khatamkan bacaan novel yang setebal cuma 180 muka surat.

Ternyata, penulisan yang bernafas 'simpati' terhadap keturunan Rasulullah dan berkecenderungan Hassan dan Hussin, merimaskan pihak tertentu. Buku tersebut lantas diletakkan status 'haram' untuk dijadikan tatapan khalayak!

Kasihan lagi.

Kali ini benar-benar kasihan kepada pihak berkuasa dan berautoriti (dalam menghukum haram halal sesuatu buku). Jika benar ia menyinggung persoalan akidah dan menggugat kesejahteraan agama, maka tampilkan dengan hujah yang ilmiah.

Jika perlukan perdebatan dan diskusi buku, itu terlebih mulia sejajar dengan nilai dan mutu sesebuah karya seorang sasterawan muda. Jangan lekas menikam, membunuh potensi jiwa besar dalam seorang karyawan!

Kepada Dr. FT, bersabar ya. Beginilah kerenah kera-jaan Malaysia; sentiasa pongah dan tiris kebebasan berkarya. Jangan sampai saat kebangkitan rakyat mempertegak keadilan dan memakmurkan masyarakat dengan Islam, barulah mereka segera terngadah.

Kita nantikan apa respon pihak sebelah 'sana'.

p/s: Novel Sebongkah Batu di Kuala Berang adalah naskhah kecil bersifat doku-drama. Sedikit berat tetapi hidup mesej yang dibawa. Cuma, ia mungkin bukanlah karya yang benar-benar menggugah jiwa pembaca. Tiga bintang untuk buku ini.

Melakar impian bersama sahabat

Berperihal tentang kawan, teman, sahabat, ia sangat dekat dengan persoalan ukhuwwah.

Aku mengambil pendekatan berkecuali untuk membicarakan isu ukhuwwah. Kerna ia umpama mempersoalkan kewujudan telur dan ayam, terutama dalam ruang lingkup sesebuah organisasi atau gerakan di mana-mana; kampus terutamanya.

Masing-masing mempunyai pandangan tersendiri. Dan aku menghormati setiap pendirian kalian, selagi mana ia tidak bertentangan dengan Allah dan Rasul.

Berkata hukama', sahabat yang menunjukkan kebaikan kepada kamu, adalah sahabat yg baik. Dan sahabat yang menunjukkan kesalahan kamu, adalah sahabat yg paling baik.

Sahabat sebagai wasilah mengingati Allah

"Aku mahu membikin novel."

Begitu tegas sahabat dunia akhiratku, Badrul Hisham. Sebetulnya dia seorang murabbi dan penasihat yang jujur. Aku menanggapi beliau sebagai sahabat yang paling ikhlas membimbing temannya.

Aku memberi respon positif. Bahkan, itu sememangnya salah satu impian kecil yang aku bina tatkala terbenih kepuasan bila menulis suatu ketika dahulu. Entah mengapa, kesibukan melekakan diri untuk tegar menulis. Barangkali minat kian luntur, mungkin juga idea kontang turut menumpulkan pena.

Aku bertanya lanjut akan hasrat murninya itu. Apa temanya, siapa yang menjadi watak utama, bagaimana pengkisahan plot dan latar cerita. Segala-gala perkara dasar untuk suatu penulisan novel.

"Ceritalah tentang kisah hidup aku."

Dia sungguh-sungguh menyampaikan hajat, dan aku tidak sampai hati menolak. Raut wajah persihnya ditatap dan dilempar senyum tulus.

Jika ya, maka dengan izin Tuhan, aku juga akan usahakan sungguh-sungguh.

Badrul begitu gembira, menampakkan riak wajah ceria dan bersemangat. Beliau mula mengemukakan pandangan berkenaan idea tersebut. Aku menilai hasratnya itu sebagai dakwah. Masakan tidak, menulis catatan hidupnya seolah-olah menulis travelog hidup para ulama.

Aku mengaguminya. Beliau sangat cintakan ulama, dan betul-betul berdekat-dekat dengan ulama. Sehingga kini, beliau banyak berdamping dengan mursyid, guru dan para 'arifin yang akrab dengan Allah.

Cuma aku seringkali terkhilaf adab dengannya. Jarang aku melayani beliau sebagai seorang sahabat dengan penuh tertib. Sedangkan beliau tidak pernah lekang untuk menyentuh hati aku untuk hidup setiap saat dengan Tuhan. Hakikat yang perlu aku yakini, dia adalah anugerah kurniaan Allah, dan aku bertuah beroleh seorang teman yang tidak lekang melantun peringatan dan nasihat kepadaku.

Apakah layak untuk aku nafikan nikmat tersebut dengan berlaku angkuh dengannya?

Ya Allah, mohon perlindungan-Mu dari segala anasir penyakit hati sebegitu.

Aku teruja, dan mula menyusun secara kasar perancangan bersama-sama Badrul untuk melunaskan idea spontannya itu. Meski aku sudah lama kaku jari untuk menulis, namun, terserah. Asalkan ia adalah khidmat terbaik daripada seorang sahabat kepada seorang sahabat.

Tapi, bagaimana harus untuk kami mulakan? Kami masing-masing berpandangan sesama sendiri.

"Jom ke Surabaya..." cetusnya.

Aku separuh berteriak, mengeyakan!

Insha-Allah aku sedang berusaha ke arah itu. Semoga dipermudahkan.

Ya Allah, muliakanlah sahabatku sebagaimana dia memuliakan-Mu dengan zikir dan faqir dirinya dalam bertawajjuh kepada-Mu...

Catatan 3 : Kembara Al-Mubarak 1432

Ramadhan akhirnya dengan pilu, pergi meninggalkan kita semua.

Buat hamba yang tegar menantikan pertemuan dengan Tuhannya, pasti mereka teresak-esak meratapi dalam-dalam, mengenangkan bekal amal yang dibawa tersangat sedikit. Bimbang kalau-kalau ianya bukan memberi pulangan, sebaliknya menambah beban untuk dihumban dan diazab di neraka kelak.

Takut memikirkan amal yang lebih banyak mengundang 'ujub berbanding khusyuk. Makin tersayat tatkala mengenang amal yang diselaputi riya' bertimbunan jika dibandingkan yang benar-benar ikhlas.

Hakikatnya, Ramadhan kini sudah pergi. Hanya Allah jua yang akan menghitungnya.

Selepas ini, tiada lagi anugerah terindah untuk hamba-hambaNya yang mengejar taqwa. Ramadhan yang akan datang, tak siapa mampu menjamin ia akan bertandang lagi dan siapa yang berpeluang menemuinya kembali.

Jadi, usah letakkan diri kita menjadi hamba Ramadhan, tapi jadilah hamba Tuhan. Tiada guna menyibukkan diri di bulan Ramadhan dengan ketaatan beribadah dan melazimi al-Qur’an, tetapi kemudian kita bermalas-malasan, meninggalkan semua itu setelah berlalunya Ramadhan.

"Barangsiapa menyembah Ramadhan, maka Ramadhan telah mati. Namun barangsiapa yang menyembah Allah, maka Allah tetap hidup dan tidak akan pernah mati.”

Semoga Ramadhan ini terbaik sebagai momentum awal 'ubudiyyah kita untuk masa mendatang. Dan menangislah kalau Ramadhan kali ini tidak memberi apa-apa makna buat diri.

Selamat hari raya, maaf lahir dan batin.


Catatan 2 : Kembara Al-Mubarak 1432

Bulan penuh kemuliaan dan rahmat kurniaan Ilahi kini menuju pengakhiran. Rezeki dipertemukan dengan anugerah tak terungkapkan ini jangan kita sia-siakan.

Zikir kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya kerna di situ timbulnya ketenangan. Tatapi dan tadabburlah al-Quran kerna di situlah sumber kekuatan akal dan ruhiyah.

Ramadhan adalah musim untuk membakar dosa-dosa kita yang silam, yang tak akan berulang untuk ditebus kembali, Ramadhan bahkan menjadi medan menyuluh hati dan mentarbiah nafsu. Justeru, hidupkan penghujung Ramadhan ini dengan amalan-amalan yang membuktikan kehambaan kita dengan seikhlas mungkin kepada Allah.

Sejukkan dasar hati dengan linangan air mata yang hakiki. Berheninglah di hadapan Allah, menyahut bisikan munajat dengan menyatakan, kita adalah hamba yang berdosa. kita adalah hamba yang selalu memungkiri janji-jani kita dengan Allah. Kita adalah hamba yang sering menjadi pendusta taubat.
Mohonlah kepada Allah, mohonlah sungguh-sungguh supaya dijauhi segala keangkuhan dan kebanggaan hidup keduniaan. beserta sahutan selawat dan salam kepada Ahbab al-Musthofa, sumber kecintaan bagi sekalian yang bertaqwa.

Semoga Ramadhan kali ini benar-benar membekas dalam hati kita.

"Celakalah bagi mereka yang masuk ke madrasah Ramadhan tetapi keluar tanpa Allah ampunkan dosa-dosa mereka." - mafhum hadith

Catatan 1: Kembara al-Mubarak 1432

Pertemuan kami bersama-sama guru mursyid fadhilatul syeikh Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri diatur seawal tengah hari lagi. Bimbang kalau-kalau ada aral yang menghalang hajat kami untuk menemui beliau. Ustaz akhirnya sudi menerima kunjungan yang lebih dinamakan sebagai ziarah ilmuan di sore Ramadhan.

Tepat jam 6 suku petang, kediaman agam yang tersergam menyambut kedatangan tetamu kecil. Hujan yang sedikit lebat mengiringi perjalanan kami, kembali reda sebaik tiba di sana. Kelihatan susuk tubuh persih dan redup wajah setia menanti di pintu rumah, melambai-lambai agar segera menggamit beliau.

Tangan bersambut, salam bersahut dan senyuman diukir, mengisi rasa rindu dan kasih dalam hati. Tiga pembantu peribadi Ustaz yang turut berada di sisi beliau, juga menerima kehadiran kami dengan tangan terbuka.

Kami meluangkan masa kira-kira 15 minit duduk mengelilingi Ustaz, dalam halaqah kecil untuk meraih manfaat daripada taujihat ringkas. Masing-masing tekun mendengar butir-butir bicara nasihat sang guru. Suasana damai cukup terasa, dalam kamar khas yang dipenuhi dengan buku-buku dan kitab yang tersusun meninggi santak ke siling.

"Boleh jadi sahabat-sahabat kita sekarang ini akan menjadi musuh kita kelak," nyata Ustaz dengan suara yang sederhana, dan dalam nadanya.

Kami disuguhkan dengan kisah benar yang berlaku kepada Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi yang menemui guru beliau, bekas syeikhul Azhar Dr Muhammad Syaltut. Kisah di mana Sheikh Qardawi menerima firasat hikmah oleh gurunya mengenai sahabat baiknya yang akan memusuhinya kelak.

Telahan itu akhirnya benar-benar berlaku pada diri sheikh. Beliau cukup sedih terkenang akan persahabatan itu, dan akhirnya mengakui firasat para alim sebenarnya cukup penting untuk diambil ihtimam. Kami merenung dalam-dalam, hadaf Ustaz mengisahkan cerita tersebut kami kepada kami.

Ustaz bersungguh-sungguh menekankan isu memelihara ukhuwwah, dan mengingatkan kami agar terus berwaspada dalam persahabatan. Bukan bermaksud kita perlu mencurigai persahabatan, sebaliknya tindak-tanduk kita dari segi hati dan akhlaq itu harus dititikberat agar sikap memuliakan sahabat itu sentiasa dipelihara.

Pertemuan kami kemudiannya berakhir dengan munajat memohon keberkahan Ramadhan dan direzekikan ilmu pengetahuan yang bermanfaat.

Di akhir pertemuan, Ustaz sempat menitipkan tiga pesanan bermakna kepada kami:
-Bersungguh-sungguhlah dalam bidang akademik yang kamu ceburi sekarang, dengan seboleh-bolehnya sehingga ke peringkat doktorat. Ilmu tersebut akan mengiringi kejayaan kamu kelak, insyaAllah.
-Jangan lupa untuk membela agama Allah. Jika sekalipun tidak mampu sebagai pendokong yang thabat, maka tampilkan diri sebagai penyokong yang setia. Paling penting, bergandingan bersama-sama memelihara ke'izzahan Islam.
-Istiqamahlah dalam menuntut ilmu. Jangan ada putus harap atau pengakhiran dalam misi berdampingan dengan khazanah pengetahuan walau di mana sekalipun.

Kami kemudian beransur pulang untuk iftar bersama para pembantu peribadi beliau di luar, lantaran menghormati Ustaz yang ingin bersama-sama dengan keluarga beliau.

Aku menyaring hikmah dari pertemuan ini, menanggapi isi yang dilontarkan oleh Ustaz lewat taujihat yang diberikan, bahawa Ramadhan kali ini sayugia menerbitkan iltizam untuk kita bersungguh-sungguh menjaga persahabatan dan persaudaraan Islam, kerna tunjang hakiki umat Islam adalah keteguhan akidah dan perpaduan.

Semoga Allah memberkati mursyid yang faqih, Dr Zulkifli Al-Bakri.


3 Ramadhan 1432

Unggun Bersih

Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.
Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.

Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.


24—25, 6.11. A. SAMAD SAID




Unggun Bersih by A Samad Said



"Saya fikir puisi sekarang sudah diterima sebagai alat berkesan sebagai senjata. Dulu puisi ini untuk menghibur-hiburkan saja, sekarang rupanya puisi sudah mendapat perhatian yang amat luar biasa." - Sasterawan Negara A. Samad Said

Tinggi, teguh dan terang

Masyarakat perlukan ilmuan.

Dengan penuh kesedaran, ingin aku nyatakan bahawa betapa masyarakat di luar sana sangat memerlukan pedoman, bimbingan, nasihat, semangat dan kata-kata bermanfaat oleh seorang yang bergelar ilmuan.

Masyarakat perlukan ilmuan. Bukan sepuluh, bukan seratus. Tapi seramai mungkin.


Ilmuan di sini tidaklah bermaksud mereka yang mengungguli dunia akademik sehingga gah mencapai doktorat atau layak digelar sarjana. Bukan juga mereka yang mempunyai khazanah keilmuan sehingga beroleh panggilan alim dan ulama.

Ilmuan dalam konteks ini cukuplah sebagai seorang yang faqih dalam ilmu agama dan hal-hal keagamaan yang berkaitan diri dan keluarga, ekonomi dan muamalat, di samping memahami secara masak kehendak dan keperluan waqi'e yang melatari masyarakat masa kini.

Ilmuan yang dimaksudkan di sini juga adalah mereka yang sentiasa bergulat dan menyelami isi konflik yang berlaku masyarakat akar umbi, dan mampu memberi penyelesaian yang tuntas dan berhikmah, sesuai dengan kapasiti masyarakat itu sendiri.

Kadang kala disebabkan terlalu sibuk dengan teori dan falsafah keilmuan, sehingga menyebabkan apa yang dilontarkan oleh para penceramah, guru, ustaz, pendidik atau ahli motivasi tidak menepati sasaran penyelesaian yang dikehendaki oleh masyarakat.

Cukup dengan bekalan ilmu dan penghayatan, serta metod bersesuaian, maka berdampingan dengan masyarakat secara akrab akan menyelesaikan separuh daripada kekusutan mereka.

Dari satu sudut lain pula, pakej akhlak turut wajar dititikberatkan oleh para ilmuan masyarakat. Penampilan, tatacara dan adab pergaulan serta komunikasi akan diperhatikan dan dinilai oleh mereka.

Tidak perlu bersikap eksklusif sehingga menjarakkan diri dengan masyarakat. Cukup dengan ilmu, dan luahkan mengikut kesesuaian dan penerimaan masyarakat itu sendiri.

Perkataan ilmuan ditekankan di sini memandangkan itulah inti utama yang boleh dirumuskan hasil pemerhatian dalam menilai sebab dan akibat sesuatu perkara ketika aku menjalani praktikum di firma guaman syariah dan jabatan kehakiman.

Harus diakui, tidak ramai yang benar-benar secara sukarela hadir kepada masyarakat untuk memahamkan apa itu Islam yang sebenarnya. Krisis kejahilan dan ketirisan moral menjadi masalah utama masyarakat dan ahli keluarga mereka ketika ini. Malangnya, tidak ramai yang sudi tampil secara sukarela untuk hasrat murni sebegitu. Jika ada, ia tidak menyeluruh dan meluas.

Faktor luaran yang sifatnya luar kawalan kita juga tak terkecuali. Ketidaktegasan dalam perlaksanaan syariat, kekangan berunsur politik kepartian yang melampau dan sikap tidak bersungguh di kalangan para penjawat syariah, yang memungkinkan lagi masalah demi masalah di kalangan masyarakat terus berlaku.

Jawapannya satu; kembali kepada ILMU. Dan hanya ILMUAN yang ikhlas, tegar dan istiqamah dalam meneruskan perjuangan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam sahaja mampu menzahirkan bahawa Islam itu sebenarnya tinggi, teguh dan terang untuk masyarakat dan seluruh alam.

Tambah menyakinkan, kita semua sebenarnya harus bertekad untuk menjadi ILMUAN kepada keluarga dan masyarakat.
Berubahlah!

Kisah duka orang Melayu Islam kita

Minggu lalu, aku bersama-sama barisan pemuda yang boleh aku nyatakan bahawa mereka cinta akan perjuangan Islam, hadir dalam satu perbincangan ilmu agama yang dikendalikan penuh hemat oleh seorang guru yang alim.

Apa yang membanggakan, aku mengenali mereka sebagai kalangan pemuda-pemuda yang hadir tinggal di kampung-kampung berdekatan. Mereka hanya berpelajaran peringkat sederhana, tidak melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.

Ada yang hanya bekerja kampung, kebanyakannya nelayan dan buruh. Namun, azam mereka dan komitmen mereka untuk membantu perjuangan Islam jelas terpancar di raut wajah mereka. Mereka hadir dengan tepu kefahaman dan berasaskan manifestasi akidah yang menunjangi iman.

Kadang-kadang terbit rasa malu dengan mereka. Kita yang kononnya mahasiswa jurubicara ummah, dan mendabik dada sebagai pejuang tulen serta aktivis yang tahu serba-serbi, hakikatnya bila kembali ke kampung halaman, kita tidak ubah seperti remaja bangkut yang tidak ingin turun lapangan be
rsama masyarakat.

Malam itu, isu yang dibincangkan berfokus pada isu qazaf. Topik yang rutin diperkatakan ketika ini. Perkongsian berlangsung dengan lancar. Masing-masing melontarkan komen dan pandangan menurut perspektif dan pengalaman yang pernah dilalui.

Aku terkesan dengan pandangan seorang pemuda yang memperkenalkan dirinya seorang kaunselor di sebuah sekolah di Kuala Terengganu. Beliau dalam nada sebak, berkisah mengenai nasib masyarakat Melayu Islam yang semakin hanyut dalam kejahilan membukat.

Kami terkedu mendengarkan kisah pelajar-pelajarnya yang disisihkan kerana didakwa sebagai anak haram. Tambah menyedihkan, sudah wujud kes-kes di kawasan kampung di mana masyarakat sudah terbiasa dengan suatu gejala label-melabel seumpama qazaf, dengan pertuduhan zina berleluasa.

Mereka bahkan tidak lagi segan silu mempunyai anak haram hasil bersekeduduka
n dan itu diterima oleh masyarakat sekeliling tanpa sebarang rasa bersalah! Tidak hairan jika rekod di Jabatan Pendaftaran Negara menyatakan, 623 anak luar nikah di seluruh Terengganu tahun lalu.


Penerangan oleh YB Dun Batu Burok, Dr. Syed Azman berkenaan kebejatan moral anak-anak Melayu di negeri Darul Iman. Menyedihkan...

Itu yang berdaftar, bagi yang tidak berdaftar? Fakta angka yang dikeluarkan oleh JAKIM menunjukkan 5-10 minit seorang bayi luar nikah dilahirkan pada tahun lalu.

Kami menemui konklusi yang dicermati dengan baik untuk dihadam dan cuba dilaksanakan. Setiap daripada kita sebenarnya memiliki tanggungjawab mendidik masyarakat.

Kemelut sosial yang pesat berlaku di kalangan ahli masyarakat kita adalah dek kerana kurangnya pemahaman agama dan kegagalan dalam melaksanakan tuntutan syariat Islam secara menyeluruh.

Tiada tarbiah yang konkrit dan berterusan dijalankan di peringkat akar umbi. Kurangnya tindakan mereka yang mengaku berpendidikan agama dan menjawat jawatan yang baik di sisi masyarakat.

Juga kelemahan pihak berwajib yang bertanggungjawab dalam menyampaikan dakwah serta melaksanakan program mendidik masyarakat. Namun tidak dilupakan terhadap diri kita sendiri. Sejauh mana kita memainkan peranan mendekati mereka dengan tujuan mengubah dan mendidik.

Tersayat hati memikirkan isu ini kerana ia sememangnya barah kritikal yang menjahanamkan moral masyarakat. Namun, hati lebih remuk bila mengenangkan diri sendiri yang masih belum berperanan memahamkan masyarakat apa itu Islam, dan apa ertinya kita beragama Islam.


Mereka tidak tahu, dan akan terus dalam ketidaktahuan. Dan kita yang berlagak tahu, akan terus dalam keangkuhan yang akhirnya hanya menjerumuskan kita dalam dunia ananiyyah tanpa iltizam untuk memimpin umat masyarakat terdekat agar kembali kepada pengamalan cara hidup Islam yang sebenar.

Semoga di kalangan kita sentiasa menginsafi. Kita belum layak digelar sebagai anak muda yang terbaik jika kita sekadar menjadi pelajar cemerlang di tempat pengajian. Rakyat sememangnya tidak berhajat untuk mengetahui setinggi mana sijil pendidikan yang kita peroleh, sehinggalah mereka mula ingin mengetahui sejauh mana kita ambil berat dan cakna akan diri mereka.

Aku pulang dengan rasa insaf dan bersalah. Semoga thabat dalam perjuangan, bersama pemuda-pemuda Islam yang aku rindukan derap langkah mereka dengan riak wajah tersenyum mesti keletihan memaut batang tubuh mereka saban hari. Tribut untuk kalian:

Pemuda melangkah gagah,
Alang-alang mandi biar basah.

Nyiur gading puncak mahligai,
Sayang ketupat berisi inti,
biar hancur jiwa pemuda tulang berkecai,
Kerana Islam kita sanggup mati.

Lima tahun sekali

Baru-baru ini, sebaik berakhirnya satu program, seorang sahabat lama menghampiriku. Bicara kami berlegar tentang isu-isu rutin kampus. Kesempatan yang ada dipergunakan dengan penuh ukhuwah dan sarat kemesraan.

Dia kemudian mengemukakan idea yang terjangkakan, namun berhasil menarik minatku.

Dia mencadangkan diwujudkan satu bengkel bagi membincangkan secara khusus berkenaan projek akademik tahun akhir sebelum kami keluar meninggalkan kampus.

"Setiap kita wajib untuk menyumbang kepada Islam melalui wahana akademik," begitu maksud kata-kata beliau. Muda betah namun tepu semangat. Aku bahkan bertambah segan dengan dirinya yang cukup komited dalam perjuangan.

"Setiap kita ada peranan tersendiri dalam disiplin keilmuan masing-masing. Pelajar aliran Sains patut ada sumbangan terkini untuk Islam. Begitu juga pada sebahagian yang lain, perlu memberi sesuatu kepada perjuangan ummah dari sisi perundangan. Mereka yang mengikuti jurusan kepimpinan, pengurusan atau ekonomi harus memastikan penulisan akademik mereka memberi impak kepada masyarakat. Apatah lagi bagi yang menekuni pengajian agama.

Peluang ini peluang empat, lima tahun sekali. Buktikan kita mahasiswa yang ada misi dan visi, ada jalur pemikiran yang dinamik dan paling penting, disaluti dengan jalur tarbiah yang mempersiapkan kita untuk bersedia sebagai figur dalam bidang kepakaran kita. Sudah tiba masa untuk kita betul-betul serius dalam memahami apa kehendak yang diperlukan oleh masyarakat sekarang.

Terjemahkan dalam ruang akademik yang tersedia. Jangan sia-siakan anugerah minda dan kurniaan ilmu yang Allah berikan. Apa guna berdegar-degar di alam kampus, tapi hasil bangkut yang diberikan untuk perjuangan Islam. Tiada guna mengaji semata-mata tanpa berfikir untuk menatijahkan yang terbaik di penghujung pengajian.

Aku mengangguk dan bersetuju. Dia semakin bersemangat menjelaskan, dan aku tambah mengiyakan. Kami senada dalam hal ini.

Saranannya yang terakhir masih aku ingat. Mulai sekarang, harus segera dapatkan panduan yang praktikal untuk tujuan tersebut. Masa kita suntuk, justeru manfaatkan ruang dan peluang bertemu dengan figur atau tokoh-tokoh yang layak untuk menasihati kita.

Lima tahun sekali. Sumbanglah untuk Islam walaupun kita bukanlah yang tergolong dalam kalangan pelajar terbaik DL. Meskipun tidak menggapai CGPA tinggi, menyumbanglah untuk perjuangan Islam.

Aku terkesan dengan apa yang pernah dikisahkan oleh seorang figur muda Islam tanah air, Ustaz Riduan Md Nor. Bagaimana keakraban beliau dalam arena siasah tempatan sehingga mendorong beliau untuk menghasilkan disertasi di peringkat sarjana muda dan sarjana, kedua-duanya berkisar tentang sejarah dan fundamental politik Islam dalam sebuah gerakan Islam terkenal di Malaysia.

Betapa terkesannya nilai tarbiah dan nafas dakwah yang sentiasa hidup dalam hayat batang tubuh beliau sehingga ia mampu memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat. Hasilnya boleh dilihat sehingga saat ini. Beliau ternyata kini dikenal sebagai penulis prolifik, produk terbaik yang dilahirkan lewat proses tajnid sebuah gerakan Islam unggul di negara kita.

Semoga disertasi atau tesis projek semester akhir kita akan diingat-ingat oleh masyarakat. Ayuh kita bermimpi untuk itu!

Pagi yang damai


Suasana khali dalam dewan solat masjid. Semua mata tertumpu pada susuk tubuh seorang guru yang penuh tawaduk, duduk menyampaikan kuliah dhuha mingguan. Angin luar halus menyapa mesra dari jihat kiri masjid, melalui tabir pintu yang terkuak luas. Suasana begitu damai, mententeramkan jiwa.

Semua hadirian duduk berteleku, khusyuk menelaah bait-bait bicara sang guru. Tangan sesekali mencatat isi penting yang difikirkan sesuai untuk pedoman dan pengajaran bagi diri sendiri. Lelaki lewat 50-an di hadapanku masih setia membelek-belek kitab syarah Hikam yang ditekuni seawal lapan pagi tadi.

Mata yang terpisat-pisat, digosok kasar berulang-ulang kali. Kantuk kian menjemput mata bahana tidur yang lewat santak ke awal pagi. Aku mengelih seketika kiri dan kanan. Memerhatikan sahabat-sahabat yang setia dengan kuliah dhuha tersebut, masih ralit dengan bicara berinti hikmah daripada guru mursyid.

Aku kembali memasang telinga, memberi tumpuan kembali. Menggumam pesanan si guru:
"Islam datang membawa pakej kejayaan dalam kehidupan kita. Kejayaan itu bukan sekadar datang setelah kita berusaha dan beroleh kemenangan. Sebaliknya kejayaan datang sejak awal lagi.

Kita memasang azam, itu sudah dikira berjaya. Niat ikhlas untuk belajar, itu sudah dikira berjaya. Niat untuk kerjakan ibadah meskipun tidak buat, itu pun sudah dikira berjaya. Pokok pangkalnya, mereka yang berniat dengan ikhlas akan diganjarkan pahala dan rezeki meskipun tidak berhasil di pengakhirannya, atau tidak sempat untuk melakukan amal tersebut."

Aku tersenyum, sendirian. Mengenang sikap diri sendiri yang culas dalam mengurus diri dan amal, serasa seperti diketuk dengan pesanan bersahaja itu.

Terima kasih guru, pesanan yang lekas tertancap dalam benak minda. Mungkin ianya ringkas, tetapi cukup bermakna bagi diri yang sering dirundung gundah. Sebelum pulang, aku bingkas meluru ke hadapan menemui beliau. Tangan si mursyid dipaut, dan dikucup penuh adab. Dalam hati, berdoa mengharap berkat ilmu beliau mengalir dengan rahmat dan izin Allah.

Usai majlis ilmu, aku menikmati secicip teh panas di pinggir beranda masjid, menyertai ahli jemaah yang lain bersarapan. Pagi kian disimbah cahaya mentari, dengan redup awan yang berambal-rambal dan cicipan burung yang mesra kedengaran. Pagi yang benar-benar mendamaikan.

Sayugialah ilmu itu hadir untuk melengkapi diri, menghiasi sanubari supaya setiap hamba bersujud dengan rendah hati, menginsafi bahawa kita ini tidak mempunyai apa-apa untuk dimegahkan. Kejayaan hakiki hanya akan terzahir apabila segala usaha dilakukan dengan gerak tawajjuh kepada Allah.

Semoga ilmu yang dipelajari memancarkan nur kepada hati yang hidup dengan Tuhan.


p/s: Selamat mengulangkaji pelajaran kepada sahabat-sahabat seperjuangan di USIM. Semoga kekal dalam keadaan Cinta.

Musim membenih cinta

Solawat!

Ramai sahabat bingkas menyahut sebaik ajakan yang pada awalnya sekadar acuh tak acuh, kini bertukar rancak dan terancang.


Jangan khuatir. Ini bukan bida'ah dholalah.

USIM Berselawat 2011 hanya sekadar rangkuman aktiviti bagi menghidupkan bi'ah, mengendurkan ketegangan fikrah, menyatukan para penyeru dan mereka yang diseru, menyuburkan rasa 'izzah pada nilai-nilai Islami, membugarkan hidup bersyariat, hidup bersunnah. Paling utama, mendekatkan jiwa-jiwa kita kepada sirah perjuangan Rasul junjungan.

Semoga Maulud membekalkan benih-benih cinta ke dalam hati yang dambakan ketenangan.

Solawat!

Bergelar Mantan

Mundar-mandir tanpa jawatan.

Berakhir sudah kepimpinan MPP. Kini, menyusun langkah merencana kembali misi tertunggak sekian lama; aku ingin berkarya kembali. Tambahan pula, Dr. Faisal Tehrani seakan 'mencabar' dengan karya terbaru. Meski diasak hebat dengan isu-isu kesyiahan beliau, tugas asasi sebagai sasterawan Islam tidak pernah terabai.

Tahniah Dr, kerna berjaya menerbitkan rasa cemburu dalam diri aku. Aku ingin berkarya kembali.Karya perihal Kuala Berang. Masih membuncah di cepu kepala, berkira-kira untuk menukil kisah tentang Syeikh Abdul Malek (Tok Pulau Manis). Semoga ada jalan untuk bercinta ke arah itu!

p/s: gembira bertemu rakan-rakan sekampus yang bersemangat untuk maulud. Sollu 'alaika ya Musthofa!

Pedagogi fikrah

Berhabuk. Ramai teman menyindir keras sikap enggan mengemaskini laman blog. Seolah-olah sengaja berundur ke belakang, mengambil langkah bermalas-malasan dalam keadaan manusia di luar bermati-matian mengejar impian.

Mereka mahu kita berterusan atas jalan prinsip kebenaran, prinsip keadilan. Harus ada kelantangan dan ketegasan dalam menyebarluaskan faham yang wajar bagi mereka.

Mohon maaf kepada teman yang setia mengekori. Meski kalian sudah bersedia untuk meninggalkan ujana yang tiada sisa bakti untuk disuguhi.

Mengambil sikap berdiam sepi bukan atas dasar peribadi, apatah lagi bukan diqasadkan awal-awal lagi. Sebaliknya, keengganan itu lebih kepada memberi ruang dan peluang mencukupi bagi mengisi fatrah perubahan yang perlu dimaknakan dengan teliti.

Rentak perjuangan itu sifatnya rencam dan bergerak. Berkata seorang teman yang aku kira suatu nasihat yang benar-benar ingin dipesankan,'setiap dasar atau matlamat itu perlu dipelbagaikan. Polisi yang tidak sihat adalah polisi yang statik, beku walaupun sudah menjangkaui tiga tahun."

2011 bakal menginjakkan usia ke medan lebih mencabar. Gandaan angka yang beritma sempurna. Dari angka 11 bagi tahun ini untuk sebuah kematangan perjalanan usia ke 22 tahun. Aku memandang sisi kiri dan kanan, cerminan ke belakang perlu ditoleh kembali untuk membedah inti benak yang mesti dinilai kembali baik buruknya. Mengutip perca hikmah yang terlekat di tepi denai pengalaman.

Justeru, sayugia ia disatukan menjadi batu-batu kukuh dalam membina kekuatan baharu. Dimensi dan landskap pemikiran perlu disegarkan dengan idea-idea yang ligat membuncah, mengerah kepada persiapan dan perancangan menuju suatu pencerahan hakiki.

Dalam masa yang sama, kekuatan asasi kita jangan dikesampingkan. Mutiara-mutiara dari kalam agung harus senantiasa diulang dan dihadam penuh tadabbur. Sunnah peninggalan junjungan mulia harus juga dipakaikan sebagai perhiasan jasad untuk mengindahkan akhlak.

Atas nama Islam, kita mulakan perubahan. Perlahan tindakan, tidak mengapa. Asalkan membekas, memberi kesan yang mendalam untuk ummah.

Solawat!