Menjunjung Kasih


Cemburu benar aku kepada 30,000 rakyat yang menyambut ketibaan YDP Agong Sultan Mizan semalam. Meski tidak turut sama menyertai perhimpunan terbesar menyambut Sultan Terengganu dalam tempoh 20 tahun, kehangatan suasana dan kemeriahan sambutan seakan terasa. Rugi sungguh rasanya tidak berpeluang berada di sana.

Belum pernah aku melihat betapa simboliknya kesepaduan rakyat Terengganu dalam pagi bersejarah semalam. Ada yang sanggup keluar dari rumah awal pagi, mengeluarkan belanja dan duit minyak(Harus diingat, mereka tidak diupah atau diberi kain batik,nasi bungkus, air kotak dan sebagainya) berkumpul sama-sama tidak mengira fahaman politik dan bangsa, dengan matlamat dan laungan yang satu; menyokong institusi beraja dan mendaulatkan Seri Paduka Sultan.

Syukur kepada Allah taala, maha pemberi nikmat kepada hamba-Nya. Kini segala-galanya terserlah jua. Pejuang agama adalah mereka yang taat kepada pemerintah Islam yang adil. Pejuang bangsa adalah mereka yang setia mendaulatkan Sultan. Pejuang sebenar adalah rakyat Darul Iman yang sedar akan peri pentingnya peranan Sultan. Pastinya sekarang mereka faham betapa aib bagi mereka, khususnya bangsa Melayu, untuk derhaka kepada institusi beraja.

Isu pergolakan MB yang berlarutan di Terengganu sebenarnya sesuatu yang memalukan bangsa Melayu itu sendiri. Ibarat meludah ke langit, jatuh ke atas muka sendiri. Sebelum itu, begitu lantang menempelak bangsa lain yang berlaku khianat. Nah sekarang, paku dulang paku serpih, mengata orang dia berlebih-lebih.

Aku malas untuk berkomentar tentang isu siapa MB. Itu rasa-rasa aku sudah berakhir. Begitu juga dengan krisis dalaman parti kerajaan. Kesilapan dan salah laku mereka, wajib mereka akui, sedar dan perbetulkan. Biarkan mereka belajar untuk jadi pandai. Kerna selama ini mereka menganggap mereka pandai. Mereka bijak mentadbir negeri. Mereka anggap rakyat aman dan negeri makmur disebabkan jasa mereka. Sebenarnya silap.

Rakyat tidak laparkan wang ehsan yang disogok mengikut musim. Rakyat tidak mahu masjid cantik-cantik, kristal intan berlian. Tidak perlu semua itu kalau tiada pengimarahan yang sewajarnya. Rakyat tidak mahu berasa bangga dengan acara-acara 'halam'(halal campur haram) mewarnai hidup masyarakat. Rakyat bahkan tidak senang jika segala macam kapal berlegar di sekitar pulau tinggalan Tok Syeikh Duyong, ulama besar suatu ketika dahulu.

Rakyat hanya ingin mengecap damai sebenar. Ingin menghirup angin pantai bersepoi-sepoi dengan berkah Ilahi. Bukan dengan cara diperbodoh melihat kafir bermain kapal layar. Bukan dengan melongo pada bangunan hasil songlap duit rakyat. Bukan juga dengan pesta hiburan pengulit maksiat. Bukan dengan melihat adegan tarik-menarik projek untuk kroni. Itu semua tak membahagiakan rakyat.


Cukuplah, bagi kami rakyat Darul Iman, duduk merendah menghimpun redha dan tawadhuk bersama, di bawah pemimpin yang adil berdaulat. Patuh pada pemimpin yang bukan kaki ampu, kaki bodek. Kami selesa dengan pemimpin yang jiwanya lekat di sanubari rakyat. Rakyat seperti kami tidak dapat tidak akan setia kepada pemimpin yang kasihkan rakyat, dan hiraukan nasib rakyat.

Sebab itulah kami kukuh di belakang baginda. Ya, baginda YDP Agong sekarang. Kita seluruh rakyat Malaysia berkongsi raja sekarang. Dan, kami rakyat Darul Iman semestinya berasa lebih bertuah, kerana sudah mengenali diri Sultan. Susur galur, latar hidup baginda kami sedia maklum.

Baginda berdarah ahlul bait. Asalnya dari keturunan ulama. Tok Ku Pulau Manis, Tok Ku Paloh kerabat baginda. Tidak menghairankan, baginda sangat kasihkan golongan ulama. Kami masih ingat, kasihnya pada ulama hingga baginda keberatan untuk melepaskan mantan Mufti Terengganu Syeikh Abdul Halim sebaik bertukar tampuk kerajaan pada tahun 2004. Namun baginda akur, sebagai menghormati pendirian ulama tersebut.

Baginda juga cintakan ahlul Bait. Baginda sangat menyukai majlis keraian yang dihadiri para ulama besar. Misalnya, baginda gemar mencemar duli ke majlis hol ulama ahlul Bait. Jiwa baginda akrab dengan ulama. Betapa hormatnya kepada golongan alim sehinggakan penasihat baginda sendiri adalah seorang ulama, Habib Umar al-Idrus.

Pastinya, hati baginda kembang berbunga jika kerajaan negeri dikepalai oleh ulama. Ulama' menjadi umara'. Itu tidak kami nafikan. Mengapa? Kerna sudah terbukti indahnya hubungan ulama dan umara mentadbir, seperti mekarnya Islam di Darul Iman beberapa tahun sudah. Masihkah kau ingat?

Mungkin sedikit untuk akun menyentuh tentang isu MB yang memalukan itu. Aku berpendirian, Majlis Penasihat Pemangku Raja sangat matang membuat keputusan. Keputusan yang dikeluarkan selaras dengan apa yang dimahukan rakyat. Itu petanda suara rakyat masih didengari sayup-sayup meski hampir tenggelam dek rakusnya kronisme dan bobrokan dari luar tembok istana.

Jelas daripada timbulnya isu tersebut, pihak beraja sebenarnya sudah bijak menguji pemerintahan sedia ada. Dari sudut undang-undang sekalipun, tidak mungkin untuk menafikan kuasa raja seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Hikmah yang mungkin dapat direnungkan di sini, adalah sejauh mana kuasa yang ada pada insitusi beraja berteraskan konsep Raja Berperlembagaan.

Kata tuntas aku mudah, tindakan 'mengacah-ngacah' tapi 'lincah' itu sebenarnya satu permainan ulung sang sultan. Kemas bergaya bak pahlawan Melayu menguji 'Melayu celup'. Pastinya bukan setakat menghiburkan rakyat, malahan menaikkan semangat, kerna hakikat sultan adalah penaung rakyat sudah terbukti nyata.


Aku sekadar berharap dan berdoa kepada ALlah, agar negeri kelahiranku Darul Iman senantiasa aman, makmur dengan berdaulat kepada amir kami al-Sultan. Baginda simbol kedaulatan Islam di negeri kami.


Tempana Nipis Nama Asal Ku
Keris Pusaka Ratu Demangga
Andai Derhaka Kepada Raja Ku
Bersanggah Taming Keris Pusaka


Patik rakyat Terengganu menjunjung kasih,
Daulat Tuanku!


# Raut wajah Sultan Mizan yang terharu melihat sokongan rakyat kepada baginda. Lagi gambar di BLOG AMDANG.

Tiada ulasan: