Barisan Kabinet Malaysia terkini sudah diumumkan dua hari lepas. Boleh dikatakan hampir separuh Menteri yang dilantik adalah muka-muka baru. Tiada lagi terpampang nama dan gambar menteri-menteri yang sudah sinonim sekian lama dengan kementerian yang berada di bawah kawalan mereka. Contohnya, Rafidah Aziz, Samy Vellu.
Lagi, desas-desus mengatakan Khairy bakal menjadi menteri, sudah terjawab. Nyata, Pak Lah masih 'bermain-main' dengan menantunya. Tapi, Pak Lah juga harus beringat. Khairy belum hilang pengaruhnya kerana beberapa orang digelar 'budak Khairy' sudah naik menjadi menteri. Jaga-jaga, Khairy masih kukuh 'bahtera'nya...
Sebenarnya, mungkin tidak ramai yang perasan ada sesuatu yang tak kena dengan barisan kabinet terbaru ini. Kroni-kroni itu satu hal. Ada satu lagi yang 'berbahaya' sebenarnya. Kenalkah anda pada Zaid Ibrahim?
Untuk tugasan subjek GPML, aku disaran menghadam buku karangan Zaid Ibrahim, In Good Faith. Terima kasih Miss Leen, sudi meminjamkan buku tersebut. Dan awal-awal lagi Miss berpesan - ini buku dari permikiran seorang liberal. Kami mengangguk tanda faham 'maksudnya'.
Siapa Zaid Ibrahim?
Seorang peguam yang mempunyai firma guaman terbesar di Malaysia dan mempunyai cawangan di beberapa negara jiran. Pernah menjadi ahli Parlimen(Kota Bharu) dan bergiat aktif dalam UMNO.
Mungkin kita masih ingat, ketika timbulnya isu-isu perbahasan Fasal 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, cadangan penubuhan Inter-Faith Council (IFC) dan pertubuhan Artikel 11.
Satu-satunya nama orang Melayu Islam yang agak sinonim sebagai pendokong IFC dan Article 11 serta ialah Zaid Ibrahim.
Apa 'sumbangan' dia?
* Mengemukakan permohonan saman untuk pengisytiharan bantahan terhadap Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu yang memperkenalkan Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Negeri Terengganu dan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993 dengan alasan, rang Undang-undang tersebut adalah tidak sah dan tidak ada kuatkuasanya.
* Mempersoalkan keperluan wujudnya Fasal 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan. Fasal 121(1A) hangat dibincangkan selepas isu kematian Muhammad (Moorthy) Abdullah. Zaid adalah antara mereka yang mengesa kerajaan untuk membatalkan peruntukan yang telah memartabatkan Mahkamah Syariah pada tahun 1988.
* Terlibat dalam beberapa sesi penerangan yang dilakukan oleh pertubuhan Article 11 (lanjutan kes Shamala) yang dibantah oleh orang ramai dengan dokongan pelbagai NGO Islam sekitar 2007.
* Zaid adalah pencadang asal kandungan Akta WPI 664 dalam mewujudkan Wilayah Pembangunan Iskandar yang diluluskan dengan tergesa-gesa dan dilihat sebagai menjual wilayah tersebut kepada Singapura.
* Sering kali pandangan dan komentar beliau mendapat pujian daripada mereka yang kerap dilihat sebagai yang memusuhi Islam, tidak kira non-Muslim atau di kalangan Islam 'gunting dalam lipatan'.
Apa yang menggusarkan, perlantikan liberalis ini sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri menunjukkan betapa 'tidak cerdik'nya dalam melantik menteri di bawah beliau. Sudahlah dikekalkan menteri 'celupar' Nazri, sekarang dibawa pula seorang lagi yang berbakat besar dalam mecelarukan umat Islam di negara ini.
Apakah dia ini yang diharapkan oleh Pak Lah untuk reform sistem perundangan negara kita? Maka, berhati-hatilah dengan kumpulan Menteri seperti ini. Mungkin ada agenda tersendiri yang ingin diselit dan mempengaruhi pucuk pimpinan negara.
Kita doakan agar kedaulatan Islam di tanah air senantiasa terpelihara daripada tangan-tangan kotor mereka yang cuba meranapkan Islam.
p/s: Antara yang menarik bakal dilihat dalam Parlimen nanti, kemunculan peguam dan aktivitis anti-murtad, Zulkifli Nordin(YB Kulim) sebagai ahli Dewan Rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan