Al-Fatihah

Pemergian Tok Guru Haji Lah lubok Tapah diketahui sebaik dimaklumkan oleh Ustazah Manal dalam kelas petang tadi. Disusuli panggilan telefon daripada sahabat yang berada di sana menziarahi dan turut bersama-sama pimpinan tertinggi, para ulama dan ribuan murid menyembahyangkan jenazah Tok Guru di Pondok Lubok Tapah.

Jenazah Allahyarham Tok Guru Haji Lah selamat dikebumikan selepas solat Asar. Sungguh pun tidak pernah bersua, tetapi sebalik menerima khabar duka ini dan kemudian menatap wajah beliau, tersentuh juga hati. Mengenangkan jiwa suci seorang ulama, pastinya indah tatkala pertemuan dengan Allah taala. Semoga roh Tok Guru Haji Lah dicucuri rahmat dan bersama di kalangan para solehin.

Tiga minggu sudah, Tuan Guru Abdul Rahman Pombeng(Tok Guru Haji Man Patani) juga telah kembali ke rahmatullah. Allahyarham membuka dan menjadi mudir Pondok Darussalam, Taman Purnama Kuala Ibai. Terkilan juga rasa kerana tidak sempat bersama-sama hadir menziarahi untuk kali terakhir kerana aku hanya pulang tiga hari sesudah pemergian beliau.

Masih aku ingat, ketika berkeletah lagi nakal, Alhamdulillah, aku diberi peluang mereguk ilmu sewaktu Allahyarham Tok Guru Man hidup. Kala itu aku muda benar. Masih sekolah rendah. Tapi terbayang-bayang lagi dalam benak, saat-saat hati jadi redup menghormati dan penuh beradab mengikuti pengajian beliau.

"Barangsiapa yang mempunyai rasa cinta kepada ulama walau sebesar zarah akan dimasukkan ke dalam syurga. Dan barangsiapa yang mempunyai rasa benci walau sebesar zarah, akan dimasukkan ke dalam neraka." (Riwayat Hadis)

Perginya satu persatu obor Islam di negara kita. Merekalh ulama besar yang banyak menyumbang ilmu dan dakwah. Pewaris Nabi s.a.w. yang gigih memperjuangkan agama dan memartabatkan Al-Quran dan Sunnah. Merekalah penyatu ummah, pembimbing dan pemimpin di kalangan masyarakat yang berakhlak dan beramal. Kini, mereka pergi, seorang demi seorang, hari ke hari.

Suatu kesedaran untuk kita renungi. Matinya para ulama merupakan suatu balasan bagi kita. Ilmu ditarik sedikit demi sedikit. Itulah petanda hari makin tua. Masa juga makin suntuk. Kiamat kian mendekat. Akhirat pasti tiba. Semestinya.

Sedangkan kita, bagaimana agaknya diri ini sekarang? Masih leka. Lalai dengan pelbagai keseronokan. Lupa akan batas agama. Jauh dari ulama. Terpinggir dari majlis ilmu. Sunyi dari seruan taubat dan taqarrub Ilah.

Alangkah, setiap manusia senantiasa dalam kerugian yang besar, melainkan mereka yang benar-benar beriman hingga membuahkan taqwa. Juga bagi mereka yang beramal soleh, istiqomah dan ikhlas kepada-Nya.

Renungan sebegini wajar hadir dalam jiwa kita, saban hari, saban waktu. Sama-sama menghisab diri.

- Al-Fatihah untuk Allahyarham Tuan Guru.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Al-Fatihah...