Menanti Detik Perubahan?

Akta Universiti dan Kolej Universiti yang menjadi tumpuan dan perdebatan hangat mahasiswa khususnya para aktivis muda di kampus, telah dipinda dan digazetkan awal tahun ini.

Sekilas pandang, kelonggaran yang minima menerusi pindaan tersebut tiada membawa sebarang manfaat besar apatah lagi dalam memberi dampak kepada pergerakan mahasiswa. Namun, jika difahami secara makna statut(purposive approach), ia sedikit sebanyak membenarkan mahasiswa untuk beranjak dari posisi 'kegentaran' kepada posisi 'keberanian' yang wajar.

Sememangnya sukar untuk mencari ruang kebebasan seluas mungkin dalam mana-mana akta dan statut di negara ini. Melainkan dengan pemansuhan AUKU itu sendiri, barulah dikatakan keterbukaan dihulur secara adil kepada mahasiswa. Ternyata, sejak dahulu lagi, akta tersebut dilihat memenjarakan mahasiswa dari sudut aktivisme dan intelektualisme sehingga melesukan kelompok mahasiswa di negara ini.



Secara peribadi, aku berpandangan bahawa untuk tidak bersetuju dengan AUKU tidaklah sampai kepada tuntutan terhadap pemansuhan akta tersebut memandangkan peruntukan-peruntukan selain Seksyen 15 dan Seksyen 16 AUKU. Mungkin penelitian dan pindaan perlu diperhalusi dan dibincangkan mengikut lunak bahasa mahasiswa dan melibatkan badan mahasiswa sendiri.

AUKU sudah dipinda

Walaupun belum seratus peratus pindaan yang dibuat, sebenarnya sudah banyak peluang yang boleh diambil oleh mahasiswa untuk melakukan sesuatu. Suatu kerugian besar apabila tingkap sudah terkuak, tetapi masih ada yang takut-takut untuk keluar dan bertindak sebagai penggerak perubahan.

Tambah rugi apabila masih ada sesetengah mahasiswa yang menjadikan AUKU sebagai alasan untuk mengehadkan perkembangan mereka, tidak kira dari sudut keterbukaan mengemukakan pandangan, dan kebebasan menggerakkan sesuatu idealisme secara lantang dan dinamik.

Sememangnya AUKU dilihat sebagai kekangan dalam konteks fizikal mahasiswa. Namun, dari sudut keintelektualan dan kebebasan bersuara, pindaan terbaru memungkinkan suara mahasiswa diangkat untuk dicetus kepada pihak atasan. Hakikatnya secara sedar atau tidak, tiada peruntukan terkini dalam AUKU yang memandulkan kapasiti minda mahasiswa.

Sayang sekali, kebanyakan mahasiswa melepaskan peluang menerusi 'bukaan kecil' itu dan tidak memanfaatkan sepenuhnya semangat pindaan tersebut. Sebaliknya, mereka masih seperti dahulu; perlahan dan rendah daya semangat. Seolah-olah pindaan itu tiada makna.

Tidak dinafikan, sesetengah IPTA ada yang lebih awal mendepani cabaran melawan arus merentasi semangat akta tersebut, namun bilangan mereka masih dikira kecil oleh pihak luar kerana mereka dikira tidak mewakili suara majoriti mahasiswa. Barangkali juga peranan kecil mereka hanya dilihat pada kerahan mobilisasi dan rapat umum bersama-sama khalayak awam.

Jadi, harus bagaimana untuk merealisasikan nilai keterbukaan yang mampu disaring daripada semangat pindaan itu?

Kebebasan yang dimaksudkan berhala tujukan memberi ruang kepada mahasiswa membuktikan keupayaan mereka dalam berperanan melalui taakulan minda mereka secara matang. Kebebasan juga membawa gambaran kebangkitan agar suara mahasiswa diiktiraf dan dikira berperanan sebagai check and balance kepada pihak kerajaan.

Mencari Salah siapa?

Kongkongan secara berpanjangan terhadap gerakan mahasiswa oleh kebanyakan IPTA sekarang ini sebenarnya suatu yang merugikan negara. Kurang wajar bagi sesetengah pihak seperti HEP cuba untuk menyekat perkembangan yang ingin dicetuskan sendiri oleh mahasiswa.

Sekarang ini, layanan terhadap mahasiswa masih seperti pelajar sekolah. Mahasiswa sentiasa dicemaskan dengan ‘ugutan’ dan ‘amaran’ yang bertujuan mengelakkan mahasiswa agar tidak cuba lari dari kebiasaan yang ditetapkan oleh pihak mereka.

Mahasiswa serik untuk dilayan seperti budak sekolah. Mahasiswa tidak mahu suara mereka yang diwakili badan perwakilan mahasiswa seperti MPP menjadi pak turut dan pasukan 'pengawas sekolah' yang sekadar berkata 'yes man' kepada pihak atasan.

Bukan menolak budaya diplomatik, tetapi sekadar mahu mengingatkan, perjuangan mahasiswa dalam menentukan hala tuju ideologi masing-masing adalah hak mereka. Pihak atasan tidak berhak dalam urusan ini. Sekiranya mereka hadir untuk membantu urusan kebajikan pelajar, maka mereka sangat dialu-alukan. Namun, sekiranya hadir untuk membantut gerakan mahasiswa, maka pasti ia disambut dengan bantahan keras.

Ini antara intisati analisis yang boleh aku lunaskan hasil pencerahan yang aku peroleh daripada pertemuan bersama Timbalan Menteri KPT khamis lalu. Sesi dialog antara pimpinan mahasiswa dari persatuan dan kelab pelajar diadakan di Bilik Senat Canselori tanpa dihadiri oleh mana-mana pegawai atasan termasuk NC sendiri.

Lawatan mengejut Dato’ Saifuddin ke kampus khamis lalu sedikit sebanyak membuka fikiran mahasiswa USIM khususnya berkaitan isu-isu kritikal dalam dunia kampus. Menerusi misi 3M – Menyelami Minda Muda – dalam usaha beliau menjiwai aura semangat jiwa muda sekarang yang pada pandangan beliau, harus diberi perhatian oleh pihak kerajaan.

Pertemuan dua hala yang berlangsung satu jam setengah tersebut banyak menyentuh isu-isu kebajikan mahasiswa. Antara isu yang dibangkitkan oleh mahasiswa seperti nasib kumpulan usahawan siswa setelah lumpuhnya MECD, isu diskriminasi pelajar ijazah pendidikan yang tiada pengiktirafan MQA, kerenah JPA dalam urusan pemberian biasiswa, isu pertikaian kualiti graduan dalam dan luar negara, dan isu pelajar jurusan agama yang dipinggirkan.

Isu-isu politik dalam dan luar kampus turut mewarnai majlis dialog petang itu. Lontaran persoalan dan luahan rasa secara berani oleh mahasiswa berkaitan isu partisipasi mahasiswa secara serius dalam politik kampus, kongkongan gerakan mahasiswa dan kejumudan HEP, pembawaan ideologi politik kepartian dalam kampus, dan krisis di Perak.

Aku melihat, usaha Dato' Saifuddin sebagai menteri yang mewakili KPT ini ke arah proses pemurnian gerakan mahasiswa di semua kampus. Meraikan mahasiswa dengan menghargai suara mereka adalah turning point ke arah pembaharuan iklim kampus yang melatari mahasiswa.


Dalam ucapan terakhir pertemuan tersebut, beliau merumuskan dua perkara penting kepada mahasiswa, khususnya di USIM. Pertama, semangat pindaan AUKU perlu diperjuangkan dan perubahan mesti dilakukan. Mahasiswa sekarang mungkin hebat dalam pemikiran, tetapi lemah dari sudut tindakan. Always thinking but loss in action.

Kedua, bahasa politik perlu difahami dan ditekuni oleh mahasiswa. Serius dalam memahami politik ketika masih berada di kampus. Untuk mengatakan tidak kepada politik adalah kesilapan besar kepada mahasiswa dalam menentukan corak kehidupan mereka sebaik selesai bergraduasi. Pendek kata, seni dan ilmu politik perlu difahami oleh mahasiswa.

Banyak perkongsian yang diperoleh dalam sesi yang berlangsung penuh harmoni pada petang tersebut. Cukup perkongsian sedikit ini dapat melanjutkan kefahaman kita akan sejauh mana peranan kita sebagai mahasiswa. Adakah sekadar menghadiri kuliah semata-mata, atau jauh lebih besar tanggungjawab kita yang semakin hari semakin jauh dipinggirkan? Sama-sama kita fikirkan.

Tiada ulasan: