Awas Budaya Khamar

Kini timbul fenomena yang agak membimbangkan kita. Usaha membudayakan khamar dilihat cuba diserap perlahan-lahan kepada masyarakat Islam di negara ini.

Misalnya, Carlsberg Brewery Malaysia Bhd baru-baru ini bertekad untuk mengeluarkan bir tanpa alkohol dalam pelan pemasaran syarikat mereka. Bir tersebut akan dikeluarkan dari kilang yang sama memproses minuman beralkohol yang lain keluaran syarikat tersebut.

Sebelum itu juga, syarikat pengeluar arak Guiness Stout berjaya memasarkan produk air minuman Guiness Malta. Minuman malt yang sudah menembusi pasaran tempatan itu dikilangkan oleh Guiness Anchor Berhad.

Terbaru, syarikat pengeluar minuman 'Istak' pula bersedia untuk mengeluarkan minuman malt berperisa yang dikatakan sebagai bir alternatif kerana tidak mengandungi alkohol. Syarikat berpangkalan di Iran itu menyakinkan pengguna Islam bahawa minuman itu tidak memabukkan, bahkan kandungannya baik untuk kesihatan. Istak dihasilkan melalui pemilihan malt - bijirin biasanya barli yang diperam.

Persoalan yang timbul, apakah hukum bagi orang Islam minum minuman bir seperti yang disebutkan tadi? Adakah ia ditentukan pada kandungan (substances) minuman atau penggunaan istilah nama yang digunapakai (beer) bagi minuman itu?

Qias menjelaskan hukum

Dalam kaedah usul fiqh, sesuatu perkara baru yang tiada kedapatan nas pada menentukan hukum syara' ke atasnya, maka digunakan qias sebagai kaedah yang disepakati untuk memudahkan fuqaha' menetapkan hukum bagi perkara baru itu.

Dalam isu ini, kita menqiaskan bir tanpa alkohol dengan arak. Sementara 'illah(ratio decidendi) bagi hukum asal iaitu haram, adalah memabukkan.

Dalam hal ini, memabukkan akan menjadi penentu sama ada biar tanpa alkohol itu adalah haram untuk diminum atau tidak. Atau dalam erti kata lain, 'memabukkan' itu yang akan menjadi titik temu dalam menyamakan hukum bagi sesuatu perkara yang baharu dan yang sudah termaktub dalam nas.

Justeru, dalam isu ini, berdasarkan apa yang dilihat pada zat dan kandungan di dalamnya, hukumnya adalah harus, dan dibolehkan, kerana tiada kandungan alkohol yang menjadi asbab kemabukan dan lantas, tidak membawa kesan memabukkan selepas meminumnya.

Kemudian, timbul pula isu yang lain. Bagaimana pula dengan nama atau istilah yang digunakan? Adakah 'bir' itu boleh diterima pakai, dalam konteks masyarakat dan 'uruf di sini?

Bagi kita sebagai Muslim, perkataan 'bir' atau dengan ejaan 'beer' itu sendiri dilihat sinonim dengan minuman beralkohol. Maka, mereka seboleh-boleh untuk cuba menjauhkan diri dari meminumnya meski ia bukan arak sebenar.

Sama seperti lambang cross dalam Kristian juga. Umat Islam sangat menjaga hinggakan apa-apa yang dilihat cuba menyelitkan simbol seperti palang salib adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Ini bukan mentaliti dangkal. Ini suatu nilai yang sudah terpasak dan tersebati dalam minda orang Islam. Kita tidak boleh untuk mengelak daripada hal seperti itu.

Ini juga bukan isu penafian kebebasan beragama, kerana sensitiviti yang terzahir adalah fitrah pada diri umat Islam. Seluruh umat Islam terasa berdosa bila hanya mampu melihat negara tercinta ini menjadi pengeluar arak terbesar untuk pasaran dalam dan luar negara.

Sikap sebegini sebenarnya tetap berpijak pada syara'. Umum mengetahui bahawa air minuman apa sekalipun, jika dibayangkan air minuman tersebut sebagai arak, maka hukumnya adalah haram kerana menganggap ianya sebagai arak untuk diminum.

Sekiranya minuman bir tidak beralkohol sebegitu berleluasa, maka dapat kita jangka akan adanya kelompok anak muda yang berbangga apabila memegang botol minuman tersebut dan meneguknya dengan gaya meniru pelakuan si peminum arak.

Apakah natijah seperti ini yang kita inginkan?


Memelihara kemaslahatan

Islam agama yang selamat dan menyakinkan. Sesuatu yang menimbulkan keraguan dan syak, tidak diterima sebagai penthabitan syara'. Dalam menentukan hukum bagi minuman yang diragui ia adalah jenis khamar atau tidak, perlu kita fahami beberapa perkara.

Hasrat pengeluar dari Iran itu memang asalnya berniat baik. Satu potensi besar untuk perkembangan ekonomi umat Islam. Malangnya, ia bertukar menjadi fitnah besar kepada masyarakat bila dilihat dalam jangka masa panjang.

Mungkin akan ada yang beralasan tipikal, jangan terlalu tertutup dalam menerima sesuatu pembaharuan, jangan berfikiran kolot dan sempit, atau jangan hanya sibuk menekan pada perkara-perkara ranting(furu') semata-mata.

Isu ini adalah isu ijtima'i. Mahukah kita membiarkan sensitiviti dan kebiasaan orang Islam diabaikan dalam hal ini?

Dari sudut pandang siasah syar'iyyah, penerimaan budaya khamar sebegini harus dielakkan kerana dikhuatiri mengelirukan dan menjerumuskan kepada perkara yang lebih buruk.Sewajarnya ia tidak boleh dibuka seluas-luasnya bagi khalayak awam atas beberapa sebab:

1. Menutup jalan kejahatan (saddul zaraa-i'). Dibimbangi langkah memperkenalkan bir tanpa alkohol sebegini akan membuka ruang kepada orang Islam untuk mencuba liquor atau bir beralkohol pula. Juga, akan ada yang mengambil kesempatan untuk berselindung ketika meminum arak dengan alasan ia tidak beralkohol.

2. Mengelirukan umat Islam, khususnya generasi muda yang mudah terdedah kepada perkara-perkara yang bercampur sebegini. Kurangnya penjelasan dalam isu ini akan membuatkan umat Islam tidak dapat lagi membezakan yang mana halal dan yang mana haram.

3. Mengekang usaha-usaha licik pihak bukan Islam yang cuba mengubah persepsi masyarakat Islam tentang budaya meminum arak. Jika dibiarkan, lama-kelamaan umat Islam tidak lagi memberatkan hukum minuman arak seperti yang difahami dalam nas Al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w..

Jalan keluar

Penyelesaian bagi isu ini sebenarnya terletak pada kuasa pemerintah. Mereka yang menentukan sama ada ia boleh dijual kepada umum atau tidak. Pihak pemerintah jugalah yang akan menggariskan peraturan penjualan arak dan menguatkuasakan perintah larangan.

Cuma, sebagai meraikan semua pihak, adalah terlebih baik bagi pihak pengeluar minuman tersebut untuk menjaga sensitiviti komuniti Muslim di negara ini.

Sebagai contoh, mengubah nama yang lebih mesra pengguna Muslim. Label serta pembotolan juga perlu dibezakan daripada tin atau botol minuman bir beralkohol yang biasa kita lihat. Takut-takut jika mempunyai persamaan jika dipandang, dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan kepada pengguna.

Untuk minum atau tidak, ia terpulang kepada peminum itu sendiri. Barangkali hadith Nabi s.a.w. di bawah ini wajar diambil pedoman kepada kita sebagai umat Islam, bagaimana Rasulullah SAW memberi amaran keras kepada umatnya yang meniru atau mencontohi sesuatu kaum dari segi perilaku, budaya dan penampilan.



من تشبه بقوم فهو منهم

"Barangsiapa meniru sesuatu kaum maka dia adalah sebahagian dari mereka."




Direkodkan oleh Abu Daud, diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a, Sunan Abu Daud, no: 4031; Ibn Hibban, no: 437 dalam Bulughul Maram, hadith ini sahih; Zaila’ie dalam Nusub ar-Rayah, 4/347; Haithami, Majmak Zawaid, 10/274; Fathul Bari, Al-Hafidz al-Asqalani, 6/166, 10/282 – darjat hadith: hasan; Al-Albani, Ghayatul Maram, no: 198, darjat hadith: Sahih.

Tepuk dada, tanyalah iman!

1 ulasan:

Muhammad Ariff berkata...

Good article. Syabas Mat Zan.