Memburu Mursyid

"Syeikh, ini gambar mursyid aku. Kalau kau nak tahu, pengikutnya ramai. Mencecah ribu-ribu orang."

Kadang-kadang ada juga orang sebegini. Suka berbangga-bangga dengan gurunya. Sering dia perkatakan kehebatan gurunya. Tidak kira dari segi ilmunya, akhlaknya, dan ada yang mendakwa, itulah dia wali.

Persoalan sekarang, adakah semudah itu untuk kita mengenali mursyid? Adakah label mursyid itu layak diberi kepada sesiapa sahaja yang dikatakan faqih, alim dan bergaya murabbi? Dan apakah natijah yang akan kita peroleh hanya sekadar berbangga-bangga dengan guru?

Siapakah mursyid sebenarnya?

Mursyid adalah satu tanda pengenalan sesorang itu mampu membimbing anak muridnya menuju Allah. Tidak ingin dikenali dan selalunya jejaknya sukar untuk di kenal pasti. Mereka ini membimbing kepada orang yang benar-benar ikhlas untuk menuju Allah.

Ya, mursyid itu wali Allah, namun bukan semua wali itu mursyid. Salah satu cara untuk kita mengenal orang itu mursyid atau tidak, apabila ucapan-ucapannya itu tembus ke hati,dan kita rasa gentar apabila dia menyebut perihal Allah, dan janji-janji-Nya.

Sahabatku, kita semua memerlukan mursyid dalam hidup kita. Sedangkan Rasulullah s.a.w. yang kita cintai sepenuh hati mempunyai mursyid yang hebat. Sayyidina Jibrail a.s. membimbing Rasulullah s.a.w. menuju Allah.

Inikan kita yang hidup sehari-hari banyak bergumam dengan lagu-lagu. Pedoman banyak kita ambil daripada peti televisyen. Kita lebih thiqah kepada laman-laman internet Islam yang kita kagumi pengisiannya. Kita lebih gemar dipuji dalam blog seakan-akan kita sudah suci dan faqih. Kita teruja bila ramai teman berdampingan dengan kita kerana kebagusan pada mata zahir mereka.

Hakikatnya, kita ketiadaan mursyid. Kita tiada seorang yang hadir untuk menegur kesilapan kita. Seorang yang dihantar oleh Allah untuk menjernihkan jiwa kita. Kita tidak mempunyai seorang yang menutur kalam mutiara untuk kita beresak tangis menyesali betapa karatnya hati kita. Kita banyak mengenderai hidup kita dengan ilmu yang kononnya kita hadam sejak dahulu.

Alangkah ruginya kita. Hidup sekejap di dunia tapi tiada bimbingan yang sejujur mungkin. Rugi, tersangat rugi...

3 ulasan:

Umar Mukhtar Bin Mohd Noor berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Umar Mukhtar Bin Mohd Noor berkata...

Semoga jalan sulukmu itu bergemerlapan...bersama Sunnatullah dan Sunnah Habib-Nya itu...Jangan sesekali cuba melencong ...kerana sungguh jalan itu sudah ramai yang tersasar,disasarkan atau sengaja menyasarkan diri..penawarnya ilmu, du'a dan jiwa yang ikhlas..

selamat bermujahadah dalam harakah ruhanimu.

irsyad berkata...

benar kata-kata mu duhai sahabat...