Peduli Palestin

Sifat kebinatangan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin semakin menjadi-jadi. Serangan terbaru terhadap bumi Palestin dianggap keganasan terburuk pengganas dunia tersebut di Gaza sepanjang konflik Palestin-Israel sejak 1967. Jumlah maut terkini di Gaza adalah 345, manakala lebih 1650 telah tercedera.

Jelas, kebobrokan rejim terlaknat ini adalah suatu tindakan yang tidak boleh dimaafkan dan dibiarkan begitu sahaja. Ketahuilah bahawa setiap warga Palestin kini sedang berjuang mempertahankan tanah air mereka. Seluruh dunia Islam kini bersiap-siaga untuk bersatu dalam meniupkan kembali semangat intifadhah.

Mereka percaya dan yakin, hati mereka dekat dengan al-Quds. Jiwa mereka rindu pada derap langkah pejuang Palestin. Yang pasti, mereka mengerti bahawa iman mereka sudah sebati dengan ruh jihad para syuhada’ dan pejuang Palestin. Bagaimana dengan diri kita?

Sudah-sudahlah berbangga dengan status seorang Islam tetapi jiwa sanubari tiada secuit rasa belas kepada nasib warga Palestin. Malulah pada diri sendiri seandainya semangat intifadhah tidak meresap dalam diri kita. Ketahuilah, umat Islam di Palestin tidak akan memaafkan setiap kealpaan kita di Malaysia apabila gugurnya setiap titisan darah dan tangisan saudara kita di sana!

Setiap dari kalangan kita kini sedang dipertanggungjawabkan. Bumi Palestin sekarang adalah amanah bagi setiap jiwa umat Islam. Usahlah kita sekadar berpeluk tubuh dan sentiasa berasa dalam keadaan selesa. Ingatlah, setiap jiwa yang merintih ‘diratah’ oleh rejim Zionis di Palestin, sedang kita ralit bergembira di sini, ketika itulah kehinaan besar menghunjam ke atas diri kita!
Justeru, atas dasar sifat kemanusiaan, atas dasar persaudaraan seislam dan atas dasar pegangan akidah, rakyat Palestin di Gaza perlu dibantu.

Perbanyakkan doa, solat hajat dan bacaan qunut nazilah setiap hari, setiap malam. Suatu yang pasti mengharukan saudara kita di sana seandainya mereka tahu bahawa kita menumpahkan air mata bermunajat kepada Allah agar rakyat Palestin mengetahui bahawa mereka tidak berjuang bersendirian dalam perjuangan bagi memastikan kebebasan mutlak diperolehi oleh Islam.

Ayuh semarakkan Intifadha !

HANCUR ZIONIS! HIDUP ISLAM! BEBAS PALESTIN!


Tiada ulasan: