Barangkali boleh diberi suatu tanggapan bahawa fanatik kepartian begitu menebal dalam diri majoriti para pengekor politik negara ini. Masing-masing begitu bersungguh memperjuangkan ideologi parti masing-masing. Bukan menafikan faktor tersebut memandangkan kepentingannya tetap ada dalam sesebuah perjuangan parti yang ideal
Pun demikian, sewajarnya terlebih dahulu setiap daripada mereka yang mengamati dan menekuni dunia siasah meletakkan syariat dan ilmu sebagai asas panduan. Siasah suatu medan pertembungan ideologi, percaturan strategi dan pemilihan kuasa. Tidak boleh sewenang-wenangnya diredah tanpa ilmu.
Isu perlaksanaan Hukum Hudud kembali dijadikan bahan unttuk disensasikan. Pihak di sebelah sana beranggapan itu adalah retorik pihak satu lagi. Manakala pihak yang terkena bangun bertegas mempertahankan prinsip. Susulan daripada itu akan berlanjutan tuduh-menuduh dan bidas-membidas sesama mereka.
Bila dua-dua pihak tegar berhujah, akan jelas pada tindakan tersebut dua perkara, iaitu yang mana satu kebenaran dan yang mana pula kebatilan. Jika faham ilmu, faham ideologi, faham uslub, maka mudahlah bagi mereka untuk memahami apa itu kebenaran, dan meneliti kekurangan dalam kebatilan.
Isu hudud bukanlah isu yang sepatutnya dijadikan modal bahan kempen. Bagaimana mungkin seorang Muslim yang mengimani al-Quran sebagai kalam Allah, membuka ruang di kalangan mereka untuk masing-masing mempersoalkan perlaksanaan hudud. Seolah-solah menampakkan kerendahan nilai dalam diri mereka yang mengaku berpegang dengan syariat.
Ketepikan dahulu isu bukan Muslim yang enggan menerima. Hal ini kerana mereka sendiri tidak faham apa yang dihujahkan secara mendalam. Namun, amat menyedihkan bagi kelompok Muslim yang tidak faham hukum Allah. Bukan sahaja cetek pengetahuan, lebih buruk lagi bila memperlekehkannya.
Hukum Allah mesti dihormati, mesti disanjung dan mesti ditegakkan. Bagaimana cara, perlaksanaan dan kaedah, ia menuntut kefahaman dan penelitian terperinci. Ada kalanya keadaan setempat banyak mempengaruhi. Ada kalanya kekangan waktu menjadi cabaran kuat dalam melaksanakannya.
Namun apa jua sekalipun, batu asasnya tetap tidak berganjak. Hukum hudud tetap hukum hudud. Tiada penafian untuk perlaksanaannya dan wajib bagi setiap pemimpin Islam, pemimpin umat dan pemimpin negara meletakkannya sebagai misi mendaulatkan Islam.
Janganlah kita terpalit sama dalam berlaku biadap kepada Allah. Perkemaskan faham ideologi dengan ilmu. Syariat bukan untuk dipolemikkan. Sebaliknya amal dan penghayatan lebih utama diperjuangkan. Siasah suatu cabang dalam syariat. Ia tidak akan lari dari prinsip Islam.
Bagi yang mempersoalkan pihak yang mengusulkan itu, harus kembali renungi diri mereka sendiri. Adakah mereka selaku pemimpin sekarang, mempunyai inisatif untuk bertindak ke arah itu. Jika jawapannya tidak, maka amat wajar untuk mereka mengasingkan diri, memohon ampun dan bertaubat di atas kecuaian amanah sebagai khalifah di muka bumi negara umat Islam ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan