Keutamaan amal dalam berilmu


Sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa aalihi wasallam: Belajarlah ilmu yang kamu kehendaki! Demi Allah, Dia tidak akan menerima daripada kamu, sehingga kamu beramal dengan apa yang kamu pelajari.

Imam Habib Abdullah al-Haddad ketika membicarakan persoalan ilmu dalam kitabnya Nasihat Agama dan Wasiat Iman, mengumpamakan seorang yang berilmu(‘aalim) yang tiada beramal dengan ilmunya, laksana seorang hamba yang melihat isi surat tuannya serta mengetahui apa yang terkandung di dalam surat itu, akan tetapi ia enggan mematuhi segala suruhan yang terkandung di dalamnya serta menjauhi segala larangannya.

Ilmu merupakan sebaik-baik jalan bagi setiap manusia untuk menuju kepada Allah ta’ala. Ketahuilah, orang yang berilmu yang tiada beramal dengan ilmunya akan dicabut keutamaannya.

Dia tidak harus berbangga dengan firman Allah dan sabda Rasul-Nya yang membicarakan tentang keutamaan ilmu pengetahuan, lalu menganggap dirinya tergolong antara orang-orang yang diberikan keutamaan, disebabkan dia berilmu, padahal dia tidak beramal.

Sesetengah para salaf rahimatullahi’alaihim berkata: “Ilmu itu sentiasa meminta diamalkan. Jika tidak disahut permintaannya, nescaya ia akan berpindah. Maksudnya, jiwa ilmu itu dan cahaya serta berkatnya akan meninggalkan anda."

Mengambil kira keadaan pelajar dan mahasiswa Islam masa kini, memang terang lagi bersuluh bahawa gambaran yang kita amati dan kita saksikan tentang bejatnya akhlak, tempangnya sahsiah dan tirisnya adab di kalangan mereka, bahkan kalangan kita sendiri, berpunca daripada kehilangan jiwa ilmu. Belajarlah setinggi mana sekalipun, tetapi kalau jauh dari rabitah ubudiyyah, ianya sia-sia.

Dalam satu hadith ada menyebut, sesiapa yang bertambah ilmunya, tetapi tiada bertambah petunjuknya, maka ia tiada akan bertambah melainkan jauh dari Allah.

Sama-samalah kita merendahkan hati kita. Jangan terlalu megah dengan apa yang kita pelajari. Pencapaian dan kecemerlangan datangnya daripada Allah. Tujuannya tidak lain, untuk menguji sama ada seseorang hamba itu bersyukur atau sebaliknya.


p/s: Haul al-Haddad akan diadakan di Masjid al-Falah(USJ) pada 31 Okt, Masjid Baitul Aman, Jalan Ampang pada 1 Nov dan Masjid al-Bukhary, KL pada 2 Nov. Haul al-Haddad ini merupakan 'Majlis Membugarkan Cinta Rasulullah saw' dan majlis memperingati pemergian ulama besar Hadramaut, al-Mujaddid al-Imam Habib Abdullah al-Haddad. Sahabat yang berkelapangan amat dialu-alukan untuk turut serta dalam majlis ilmu ini yang bakal dihadiri ramai ulama'.

Tiada ulasan: