Cemerlang Peperiksaan (3)

Kejayaan hakiki dalam menuntut ilmu adalah keberkatan dari pemilik ilmu tersebut. Bukti keberkatan itu adalah bila mana seseorang berjaya mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Maka, berhasillah ilmu itu sebagai nur, pembimbing manusia menemui jalan kebenaran. Adapun natijah bertulis hanyalah penilaian kecil yang tidak harus diperkecil. Justeru, jadilah penuntut ilmu yang cemerlang lagi terbaik dari segenap aspek!”

Manusia ini mempunyai pelbagai ragam. Masing-masing berbeza. Ada yang begitu menggemari peperiksaan. Begitu rindukan saat menatap kertas soalan. Berbanding orang lain, mereka cukup teruja untuk menjawab semua soalan. Dan semestinya, akan wujud pula mereka yang akas. Golongan yang seboleh-bolehnya enggan menduduki peperiksaan. Apatah lagi untuk rasak bergelumang, berpening mengulangkaji semata-mata kerana exam.

Tidak dapat tidak, sebagai pelajar dan secara amnya sebagai manusia itu sendiri, melalui sesuatu ujian itu adalah rencah kehidupan. Secara manusiawi, ujian itu banyak mendidik diri. Ujian mematangkan akal fikiran. Ujian membentuk peribadi. Ujian mengolah keluhuran sanubari. Hakikatnya, ujian itu merupakan suatu nikmat dan anugerah Ilahi.

Sudah pasti, ujian adalah suatu bentuk cabaran yang memerlukan persiapan. Kelewatan dalam melakukan persiapan boleh memakan diri sendiri. Justeru, langkah awal untuk menghadapi ujian adalah bertindak secara positif melalui cara - Kenali Diri Kita.

Perlu diketahui bahawa dengan mengenali diri sendiri, secara langsung kita telah menghormati hak-hak peribadi. Berlaku adil kepada diri adalah tanggungjawab yang wajib kita lunaskan. Maksud mengenali diri di sini, adalah mengerti serta faham akan kemampuan dan kelemahan diri.

Misalan, kita sepatutnya tahu tabiat jasmaniah pada diri. Bila waktu ulangkaji yang paling sesuai untuk kita, berapa lama waktu rehat dan tidur yang wajar, setakat mana kemampuan kita dalam menghafaz dan mengingat fakta, sejauh mana kita boleh menghadap buku dalam satu hari.

Sedikit sebanyak, dengan mengenali dan memahami diri, kita mahir tentang bagaimana untuk belajar secara adil dan paling sesuai untuk diri kita. Dan paling utama, dengan melakukan cara mengenali(koreksi atau muhasabah), kita sentiasa membugarkan niat dan matlamat kita. Jiwa kita mesti diperbaharui dengan kesedaran tentang hakikat sebenar tujuan kita belajar.

Melalui proses mengenali diri, mudah-mudahan akan memberi rangsangan hebat dan berkobar kepada semangat belajar kita. Tiada lagi tekanan, kebosanan atau keletihan. Juga, akan mewujudkan keyakinan jitu dalam diri. Kita barangkali tidak lagi mengeluh atau cemburu melihatkan kejayaan dan prestasi sahabat kita. Sebaliknya, hati akan sentiasa ceria dan tenang tanda berlapang dada dan redha akan kemampuan diri kita. Saat itu, kita menikmati kedamaian yang menyenangkan sekali.


Semoga hati kita sentiasa disantuni dengan muhasabah dan mulahazah yang berterusan dalam menghadapi tarbiyah daripada Allah taala.

Tiada ulasan: