Cemerlang Peperiksaan (1)



"Orang yang menanam padi, pasti dengan izin Allah akan mendapat hasilnya. Sebaliknya orang yang menanam lalang, tiada hasil bermanfaat baginya melainkan lalang semata-mata."

Tatkala musim peperiksaan kembali menjengah kini, aku terhimbau akan teguran mendalam Ustaz Najib ini. Dalam kuliah terakhir sewaktu Tamhidi tahun lalu, Ustaz Najib 'mencuci' bersih-bersih cepu fikir kami.

Disuguh kepada kami pelbagai nasihat yang menikam kalbu. Setiap daripada jiwa kami 'disental' kuat-kuat agar bangkit dan sedar dari lamunan. Sungguh-sungguh dia mahu menyedarkan kami akan suatu hakikat.

Ilmu bukanlah suatu permainan. Ia menuntut daya kesungguhan yang tinggi. Ilmu itu bersama-samanya ada barakah dan rahmat. Kita mempelajari sesuatu ilmu bukan bermakna ia milik mutlak kita, sebaliknya ia sekadar suatu bentuk pinjaman.

Kita meminjam ilmu daripada Allah taala. Pinjam bukan sekadar pinjam. Pinjaman itu menuntut kepada suatu rabitah. Suatu pertalian suci antara Tuhan dan hamba-Nya. Isunya sekarang, sejauh manakah kita meletakkan martabat ilmu yang kita pelajari itu ke makam yang sewajarnya?

Bila kita lihat, kala peperiksaan mendekati, ramai pelajar bermati-matian bersiap untuk menghadapi ujian akhir. Mereka seolah-olah bertanggapan, ujian itu adalah segala-galanya. Apabila selesai ujian, ilmu entah ke mana, segala yang dihafal hilang pergi.

Perlakuan sebegitu jelas suatu bentuk kecuaian kepada ilmu itu sendiri. Satu tindakan yang memaparkan betapa kurang adabnya kita kepada ilmu, bahkan lebih teruk lagi, mendorong kepada kurang adab kepada Allah! Tujuan ilmu untuk mendekati Allah. Menyedihkan, sebaliknya pula berlaku.


Kita seperti bersungguh untuk mendapat ganjaran dunia. Berkobar-kobar belajar sebab ingin mendapat anugerah dekan, ingin mengejar pointer tinggi. Juga mahu merebut tempat biasiswa dan ingin dipandang tinggi dan hebat di fakulti.

Bukan untuk mengatakan salah jika belajar bermatlamatkan ingin berjaya dalam peperiksaan. Kerna sesuatu ujian menjadi kayu ukur bagi menilai prestasi kita. Namun yang menjadi silapnya, kesedaran dalam mengerti maksud kecemerlangan.

Ramai yang mengabaikan keperluan memahami hakikat ilmu yang sebenar-benar. Konsepnya mudah. Kita belajar untuk dapatkan ilmu. Ilmu itu untuk mendekatkan diri kita kepada Pencipta. Melalui manifestasi ilmu, kita menzahirkan ilmu dengan beramal dengan apa yang dipelajari.

Jika seseorang pelajar itu penuh yakin bahawa dengan ilmu yang hadir dalam jiwa mereka itu bersumberkan dari Allah, dan mereka bergantung penuh kepada Allah, insyaAllah ilmunya bukan sekadar di kertas soalan semata-mata. Lulus cemerlang atau tidak, bukanlah persoalan besar.

Segalanya datang dari Allah jua. Apa yang penting, ilmu itu dihidupkan dalam hati, bukan sekadar di benak kepala. Allah akan memberikan setimpal dengan apa yang diusahakan dan mengabulkan segala hajat yang diharapkan. Yakinlah kepada Allah.

Tuntasnya, fahamlah kita akan peri penting dasar amalan, iaitu niat. Apa yang kita qasadkan bila menekuni buku yang sedang ditelaah, apa yang kita tanamkan dalam jiwa kita bila mengulangkaji pelajaran, apa yang dikeranakan pembelajaran kita, sayugialah kita perbaharui dan perbetulkan.

Sesungguhnya hati itu terlalu mulia untuk dikotori dengan sesuatu qasad yang tidak suci.
Renung-renungkan dan selamat beramal.

Tiada ulasan: