Kebun Syurga

“Wahai orang-orang yang beriman! Perbantulah diri kamu dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang yang sabar.” (Al-Baqarah: 153)

Ketahuilah, kebahagiaan itu tergantung di atas tercapainya pendekatan diri kepada Allah. Dan tercapainya pendekatan kepada Allah tergantung pula atas menuruti yang benar dan menjauhi yang batil sama sekali.

Dan jiwa itu terkait dengan asal kefitrahannya yang sangat benci terhadap yang benar dan sangat cenderung kepada yang batil. Dan sesiapa yang berusaha untuk mencapai kebahagiaan, amat perlu kepada kesabaran. Ada kalanya dengan memaksa diri untuk menuruti kebenaran, dan di kala yang lain, memaksanya pula meninggalkan yang batil.

Wahai saudaraku! Hendaklah anda bersifat sabar, kerana yang demikian itu adalah sendi semua urusan, dan anda tidak boleh tidak perlu kepadanya selama anda masih hidup di dalam dunia ini.
- Wasiat Al-Habib Al-Imam Abdullah bin Alawi Al-Haddad












Sesungguhnya, jiwa-jiwa itu telah berpadu, hadir bersimpuh di bawah lembayung rahmat. Hadir bersama-sama hati yang penuh cinta. Hadir bertemu dalam ketaatan amal dan kekhusyukan hati. Harap dan khuatir menemani jiwa yang asyik bergumam dengan puji-pujian dan munajat.

Dengan izin Allah, mutiara-mutiara hikmah dalam Haul berhasil meredupkan pandangan mata hati. Jiwa yang kerap leka dan terbuai dengan nafsu dan dunia, dimesrai dan disuguhi dengan pantulan-pantulan nur yang mengesankan, menghadirkan rasa sebu dan insaf, mengalirkan salju dingin ke dalam lubuk hati.

Dengan sepenuh rendah hati, setiap jiwa yang hadir berteleku dan bertawajjuh, mendengar para kekasih Nabi Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa alihi wasallam melontarkan taujihat yang mujarab, menyentuh hati yang terseksa akibat kegersangan Cinta. Sudah lama hati ini sepi dari dzauk pencerahan. Ya Allah, tuntunlah kami ke jalan para kekasih-Mu!

Dalam majlis yang penuh barakah, duduk berkumpulnya para habaib, para solehin dan sekalian ulamak bersama-sama dengan khalayak menyemai rasa kecintaan mendalam, sebagai manifestasi sabda junjungan besar, bahawa ulama’ itu pewaris Nabi. Dan, mencintai ahlul Bayt itu adalah bukti kecintaan kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa alihi wasallam.
Segala puji dan setinggi kesyukuran kepada-Mu ya Allah. Peluang melepaskan ‘rindu’ tak terhingga dalam ketenangan dan keindahan kebun syurga akhirnya kunjung tiba!

* Antara ulama' dan habaib yang hadir ke Majlis Haul kali ini: Al-‘Alim al-‘Allamah Al-Habib Salim bin Abdullah asy-Syatiri, As-Syeikh Afeefuddin al-Gaylani, Ustaz Najib Thoha as-Seggaf, Al-Habib Sholeh bin Muhammad al-Jufri, Al-Habib Taufiq bin Abdul Qadir as-Seggaf, Al-Habib Ali Zain Al-Habsyi, dan Tuan Guru Hafidz Selamat Al-Jenderami.

p/s: Alhamdulillah, 'Jemaah al-Haddad' dari USIM kali ini sudah bertambah. (Terima kasih sekalian sahabat!) Tambah mengujakan, kumpulan penCinta dari Penang dikepalai Afif dan Azri yang turut sama hadir, merapatkan kembali ukhuwwah dan menzahirkan lagi futuwwah. Segala puji bagi Allah taala yang Maha Pengasih. Semoga Cinta ini terus subur dan mekar.

Tiada ulasan: