Menjejak Sahmura

Ada orang bilang, dia berasal dari Tanjung. Lalu menebas lalang serta nipah di Pulau Sekati, berbuat ia kediaman bersama suri hati tercinta.

Ada juga mendakwa, ia mendiam di pinggir muara sungai Terengganu, dan duduk akrab bersama istana Sultan yang warak. Apapun kisahnya, Paloh tetap menjadi asal tinggalan, mulia jasadmu dikebumikan di situ.

Engku Abdul Rahman Al-Idrus. Orang tempatan lebih mengenalmu dengan gelar Tok Ku Paloh. Ulama yang membimbing amirul mukminin Sultan Zainal Abidin III. Dirimu juga guru yang mengasuh pejuang Tuan Guru Hj Abdul Rahman Limbong.

Wibawamu sehingga kini diperihalkan. Kisahmu memalukan penjajah aparat yang sekonyong-konyong ingin pulang, lalu terlekat kerusi di buntut si pongah itu. Habis merah padam muka mereka, lalu mengeyakan ketinggian ilmu yang dimiliki.

Karamah itu benar, kurniaan Tuhan. Dan ia kurnia bagi orang yang berjalan kepada-Nya. Ternyata dirimu muncul dari masyarakat, tampil membantu umara' mendidik istana mengikut acuan Al-Quran.

Maka benarlah dirimu adalah sahmura. Kilauan silam meski kian pudar, namun ia masih dapat dihembus digilap memercik sinar.

Semoga generasi mendatang masih mengenalmu, sahmura yang tak ternilai di bumi para awliya'.


p/s: Semoga Allah rahmati usaha ini.

Ayat-ayat cinta Habib Ali al-Jufri


Pagi-pagi lagi, sudah ramai yang memenuhi ruang hadapan masjid. Masing-masing duduk rapat-rapat berlaga lutut. Hampir semua berpakaian putih bersih. Sebahagian daripada mereka berkain selempang ridat di bahu.

Bau kasturi dan atar mengapung-apung nipis di udara lalu meresap ke rongga, membugar rasa redup di jiwa. Sementara menantikan majlis bermula, sayup-sayup menggumam lantunan selawat dan burdah indah, begitu mengusik hati.

Semua penuntut ilmu tidak sabar menantikan kehadiran ulama keturunan Rasulullah itu. Wajah beliau bagi sesiapa yang sekilas memandang, pasti akan menatap kembali.

Sungguh tenang raut persih wajah beliau. Tujuh tahun sudah tidak menjejak di bumi Malaysia, pasti kehadiran beliau dinanti-nanti bagi sekalian pencinta.

Habib 'Ali al-Jufri, akhirnya melangkah masuk sambil diiringi para murid yang setia di sisi mengawasi. Indah sekali senyuman beliau. Tidak terukir sedikit pun kedut kegelisahan mahupun pudar kusam pada wajah beliau. Maha suci Allah yang memuliakan hamba-Nya yang hidupnya penuh dengan ilmu dan adab.

Habib seindah nama beliau, disayangi oleh semua yang hadir. Rata-ratanya hadirin adalah anak muda yang masih menuntut dan mempunyai rasa kasih ulama yang cukup menebal.

Pagi itu pagi yang cerah. Langit cerah biru muda disulam awan-gemawan yang comel, melatari suasana majlis ilmu yang redup dipayungi oleh sayap-sayap malaikat.

Majlis ilmu sebegini seperti disebut hadis, didoakan oleh sekalian ikan-ikan di lautan dan diampunkan dosa bagi mereka yang ikhlas duduk memohon barakah dan manfaat.

Majlis bermula. Semua khusyuk mendengar, begitu ralit sekali. Sesekali ada yang menekuni mencatit inti bicara habib. Ucapannya teratur. Gayanya yang tawadhuk menutur hikmah dengan senyuman manis tidak lekang di bibir, menghilangkan resah di hati mereka yang mendengarnya.

Habib Ali al-Hamid di sisi, petah menyusun bicara menterjemah setiap kata-kata untuk memudahkan kefahaman hadirin yang kurang mahir dengan bahasa Arab.

"Apa jua masalah yang berlaku pada diri kita, maka lihatlah pada dalam diri kamu. Kerna di situlah punca kepada setiap permasalahan yang berlaku di luar. Lihatlah hati kamu, dan selidikilah ia. adakah ia bermasalah atau sebaliknya."

Habib menyebut firman Allah: Dan berjayalah bagi mereka yang mensucikan diri. Dan rugilah bagi mereka yang mengotorinya.

Sekiranya kita mengetahui apa hikmah yang terkandung dalam setiap kebaikan, maka kita akan berlumba-lumba untuk mengerjakan kebaikan tersebut.

Orang yang mensucikan diri mereka, kemudian menambahkan nilai kesucian tersebut dengan menyumbang dan mberi manfaat kepada orang lain, maka orang itulah manusia yang dikehendaki oleh Allah.

Habib sempat menitipkan pesan cara menumbuhkan rasa mahabbah kepada Allah dan Rasul.

Kenalilah dirimu, nescaya akan kenal dirimu kepada Allah.

Dengan mengenal diri sendiri, kita kenal kita adalah kerdil dan Allah Maha Besar. Kita akan kenal kita adalah fakir hina dan Allah maha Kaya lagi maha Mulia.

Mengenal diri sendiri akan menghilangkan rasa ujub, riya', bangga diri dalam hati, membuang keakuan pada diri.

Tanamkan rasa mahabbah juga boleh dilatih dengan mengenal nikmat-nikmat yang Allah kurniakan kepada kita selama ini. Nikmat yang dikurniakan boleh sahaja dicabut bila-bila masa disebabkan banyaknya maksiat yang kita lakukan.

Namun, maha pengasih Allah terhadap hamba-Nya, ditangguhkan balasan tesebut bagi memberi ruang untuk kembali bertaubat. Maka, syukurilah dan hayatilah setiap nikmat yang dikurniakan kepada kita.

Salah satu pesanan Habib yang cukup terkesan pada hati ramai yang hadir:

Hendaklah anda (sebagai penuntut ilmu) mahirkan diri dan bijak dengan bidang yang ada ceburi.

Anda di kemudian hari akan berjaya menjadi jurutera yang mensucikan hati, peguam yang mensucikan hati, doktor yang mensucikan hati, apa jua kerjaya yang kalian hajati akan dikira berjaya apabila anda mensucikan hati (tazkiyatun nafs).

Pada masa itu, Islam akan berjaya di tangan mereka yang mentarbiah hati, mendidik jiwa dan membersihkan diri.

Tiga jam mereguk ayat-ayat cinta Habib, seakan tidak puas dan tidak sedar ia berlalu begitu cepat. Tidak puas, apatah lagi tidak sempat untuk mendakap, mencium tangan orang soleh seperti beliau.

Para pencinta berpusu-pusu mengerumuni Habib sebaik majlis selesai. Sungguh, kami rindu kalam ulama yang ahlullah. Ulama yang hatinya terpandu, yang akrab dengan Tuhan dan subur jiwa dengan mekarnya mahabbah.

"Aku mencintai kamu semua (hadirin yang hadir)." begitu kata-kata yang dilantunkan sebelum beliau menaiki kenderaan meninggalkan perkarangan masjid.

Sollu 'alaa Muhammad wa 'ala alih!

p/s: Sedikit tersayat hati kerna tak kesampaian mengikut majlis maulid perdana di Putrajaya. Semoga Allah merahmati ulama yang tidak henti-henti mendidik jiwa ummah mengenal-Mu di zaman penuh fitnah ini.

Bedah Filem (1) : 'Bunohe' karya sarat sinikal politik


Aku sudah menonton filem ini baru dua kali. Dan aku masih lagi cuba untuk memahami beberapa babak dalam filem tersebut. Mungkin, perlu dibedah sekali lagi jika bekelapangan.

Bunohan ternyata karya kritikal yang digarap penuh seni, sendat metafora.

Bunohan menuntut penelitian yang lebih untuk memahami estetika makna dalam penceritaan yang dibawa oleh pengarah.

Ia tidak seperti filem Melayu tipikal yang banyak membangkutkan minda. Ia tidak membangkitkan rasa takut, khayal, perasan bagus, seram dan lawak yang kosong.

Garapannya berinti meski sedikit kabur (jika menonton tanpa persediaan). Sulaman falsafahnya juga halus dan tajam menikam.

Oleh sebab itu, ada yang melabel ini cerita drama aksi. Ada yang berkata ini filem cinta. Tidak kurang memilih ini cerita mistik kerna ia menekankan tema realism magis. Sedang aku pula cenderung untuk menebak Bunohan adalah karya sindir politik yang cukup kritikal.

Sisi gelap politik Bakar


Antagonis pada awalnya seakan diserahkan kepada Ilham. Namun, telahan itu silap. Watak skema si Bakar akhirnya mengambil alih peranan tersebut. Ia jelas memberi petanda kenapa filem ini suram, gelap dan kusam. Petanda betapa filem ini akan kekal kelam dalam dunia politik Bakar.

Jika Ilham dan Bunga Lalang tidak kembali ke kampung Bunohan sekalipun, Bakar tetap akan 'meratah' tanah Bunohan. Kepulangan Bakar bersebab, dan penuh muslihat yang akhirnya membunuh semua jiwa keluarganya.

Bakar yang bersama-sama Jolok, seorang watak 'opportunist' yang menjengkelkan bijak bermain politik kabur. Orang kampung ditindas dan ditekan secara halus. Ada yang tahu tapi tak nampak. Ada yang sedar tapi tak mampu untuk bertindak.


Politik Bakar menjangkaui minda khalayak. Rakus Bakar tidak setakat tanah yang ingin dibolot, bahkan lebih daripada itu. Duit diperguna sehabis mungkin untuk menjadikan nyawa adiknya sendiri sebagai taruhan. Bahkan, nyawa ayahnya sendiri sudah tiada nilai baginya.

Dialog politik yang cukup halus dipersembahkan. Sejak dari babak awal, menyerlahkan perancangan Bakar yang menjadi 'mastermind' kepada semua kerja jahat di Kampung Bunohan.

Konsep hutang budi dan cara bela kapitalis adalah kemahiran Bakar, seorang politikus licik.

Akhirnya, orang kampung terpaksa hidup dan mati semata-mata untuk memenuhi hasrat Bakar; memiliki projek pusat peranginan di Bunohan.

Begitu watak politikus gelap yang dimainkan Bakar, lakonan Pekin Ibrahim.

Bunga Lalang dan Ilham - pemberontakan jiwa rakyat tertindas

Agak pelik kerna seorang jagoan tomoi dan seorang lagi 'silent assassin' yang setia dengan lawi ayam, akhirnya tewas di tangan politikus rakus, iaitu saudara mereka sendiri.

Kedua-dua sendiri sudah memahami bahawa mereka terperangkap dalam kira-kira politik Bakar. Mereka yang digambarkan sebagai watak yang gagah dan ganas, tetapi tidak mampu melawan kuasa politik Bakar.

Dunia politik gelap Bakar nyata membutakan mereka. Kedua-dua bisa sahaja membunuh Bakar jika mahu, tetapi mereka tidak mampu. Bunga Lalang sebelum turun ke gelanggang pertarungan yang meragut nyawanya, sempat menyatakan harapan kepada Pok Woh agar dapat menikmati permainan 'Bersih' sebelum dia kembali kepada ayahnya.

Nyata Bunga Lalang akhirnya terkejang mati. Bersih yang diharapkan tidak diketemui, melainkan permainan keji oleh politikus Bakar yang mencatur perlawanan dengan kawannya sendiri, Muski.

Sindir Politik Melayu

Imej politik Bakar adalah imej tipikal politikus Melayu. Wataknya seorang yang pandai menjaga imej. Tidak gelojoh dan tersusun gerak laku. Pakaian ala skema dan berpendidikan. Strategi licik disusun elok. Tidak dibunuh ayahnya pada hari pertama pulang ke Bunohan. Sebaliknya diberinya pilihan kepada ayahnya - hidup atau mati.


Politik Bakar menjadi. Dokumen penjualan tanah ditolak Pok Eng, memberi tanda ayahnya sudah jemu untuk hidup.

Watak Pok Woh yang asyik berceramah di paya bakau disinggung oleh Muski. Akhirnya, dia sendiri secara halus menempelak ahli politik yang lebih cakap dari buat, dan gesit membantu Bunga Lalang yang menjadi watak tertindas.

Latar kedai kopi usang yang menjadi tempat Bakar dan Jolok merancang kerja jahat cukup memberi tamparan kepada kaum Melayu yang memang nyata tebal sentimen politiknya.

Jolok pada satu babak berseloroh, orang yang jujur tidak boleh bermain politik. Hakikatnya, dialah yang menjadi pemusnah. Isu kematian dua orang suruhan sendiri tidak dipedulikan. Betapa tamak yang menyelubungi menghilangkan manusiawi.

Kedai kopi itu juga diberi perlambangan sebagai medan kepada amalan politik wang.

Orang Cina tidak minat politik?

Bunohan memerihalkan dua watak Cina yang berbeza simboliknya.

Watak Cina Burung lakonan Ho Yuhang yang 'membela' anak muda Melayu berlawan tomoi digambarkan singkat namun memberi signifikan mendalam.

Cina bukan 'political player' yang aktif, tetapi ia boleh diumpamakan sebagai pemodal yang sanggup melabur dan mempertaruhkan orang Melayu ke gelanggang maut.

Wataknya dimatikan awal. Dari sisi politik perfileman tanah air, sebilangan pengkritik beranggapan, ia suatu metafora nasib pengkarya filem indie seperti Ho Yuhang memang 'dibunuh' dari diberi peluang bergiat aktif di persada filem tanah air.

Manakala watak Jimmy Lor pula lebih menampakkan sikap kaum Cina yang bermain politik selamat. Mereka tahu Melayu mendominasi, lantas mereka memilih untuk berdiam dan menjauhkan diri. Berada di pinggiran, dan berwaspada dari terjerumus dalam percaturan orang Melayu.

Watak Cina pekat loghat Kelantan juga menyerlahkan kesan asimilasi yang cukup ketara. Sehinggakan digambarkan Cina lebih dipercayai untuk menyimpan rahsia, berbanding Melayu yang busuk hati.

Di sebalik projek kerajaan...

Aku sekadar tersenyum sinis. Babak papan tanda ala-ala 'Satu Lagi Projek Kerajaan B****** N****** pada akhir cerita seolah-olah menjentik minda kita betapa di sebalik projek pembangunan di negara kita masa kini sebenarnya tersirat pelbagai tragedi.

Kerna projek, manusia membunuh. Jika tidak membunuh jiwa sekalipun, ia telah banyak membunuh perasaan dan semangat nasib kaum sendiri.

Seram juga memikirkan 'naked truth' yang dibawa oleh Bunohan. Sisi politik gelap Melayu memang tiada tandingan kejamnya.

Tahniah buat sutradara Dain Said atas naskhah yang kritis ini. Bunohan ternyata memang membunOh!


p/s: Tergerak untuk mengulang tayang filem Jogho. Filem terbaik genre tempatan sarat isu sosio-budaya setakat ini. Bunohan masih di tempat kedua. Bedah Filem (2) menyusul jika perlu.

Bergabunglah demi Islam

Malam itu, kami berlima memilih mengambil masa antara Maghrib dan Isyak untuk berdiskusi.

Alhamdulillah, semua begitu amanah dengan menepati masa seperti yang dijanjikan. Jujur untuk aku katakan, aku sangat kasihkan pertemuan ini.

Bicara kami seputar perkongsian maklumat terkini berkenaan beberapa isu semasa dalam dan luar kampus. Masing-masing penuh ceria namun bersemangat berkisah tentang pelbagai topik.

Malam itu, kami teruja dengan perkongsian yang dikisahkan oleh diri masing-masing. Kami memilih untuk bertukar-tukar idea mengenai perancangan peribadi dua-tiga tahun.

Seorang begitu bersungguh ingin merealisasikan hasratnya untuk membina bi'ah sinergi Islam dan sains dalam kampus. Beberapa sisi perancangan dikeluarkan.


Seorang lagi dengan riak wajah yang tenang tetapi berprinsip, berhujah menampakkan karakter tersendiri. Impiannya untuk membina kesatuan fikrah di kalangan 'junior' yang mula meminggir dari semangat ukhuwwah dan menjauhi manhaj wasatiy.

Manakala dua lagi tidak lari dengan segmen dakwah yang disinggung mengikut rentak yang cukup menarik. Satu jalur menampakkan nilai siasah dan seorang lagi penuh sufi membina perancangan untuk mendidik teman-teman sekampus.

"Islam itu sifatnya strategik. Bahkan, Rasulullah SAW merupakan sebaik-baik 'strategist' yang berjaya sehingga mampu membina empayar Islam sehingga ke hari ini."

Kami akhirnya bersetuju untuk mengambil ibrah dari peristiwa Fath Mekah dan hikmah dari surah al-Kahfi. Paling mengesankan, kami memilih untuk menyambung diskusi mengenai intipati strategik dalam menyusun 'masterplan' dakwah yang tajam, realistik dan berkesan untuk siri perbincangan akan datang.

Masing-masing bubar dalam dakapan mesra, menguntum kekuatan dalam senyum yang tulus terukir di riak wajah masing-masing.

Islam terbina dalam kesatuan jamaah

2012 adalah tahun yang penuh aspirasi, wawasan, cita-cita, impian dan harapan. Tahun ini beranjak gesit tanpa disedari. Sayangnya, masa yang berlalu tidak sepenuhnya dimanfaatkan untuk Islam.

Kita secara realiti lebih khayal dengan lingkungan dunia sendiri daripada membina tindakan yang menguntungkan Islam. Jika ada yang mendakwa sudah letih membantu Islam, maka saat itulah menjadi petanda bahawa mereka sudah mula menzahirkan munafiknya diri mereka dalam perjuangan Islam.

Menemani sahabat-sahabat menziarahi pejuang siasah Islam, Tuan Guru Ust Haron Din

Dakwah tidak bergerak jika perjuangan yang berasaskan hammasah semata-mata. Ia mesti disulami dengan kefahaman yang jitu, dipandu dengan thaqafah dan fikrah berasaskan nas-nas yang sahih, serta dipraktikkan dengan amal tindakan secara bersama.

Tidak ramai yang tahu, membina kekuatan peribadi tidak akan mampu terlaksana tanpa sokongan rakan-rakan seperjuangan. Itulah fungsi kumpulan, fraksi, front, jamaah, badan organisasi dan pelbagai lagi konotasi yang diberikan.

Tiada guna berdakwah jika tanpa ada kesatuan atau penggabungan dengan Islam. Dalam erti kata lain, kekuatan Islam pada masa sekarang sangat memerlukan kekuatan yang bersumberkan jiwa-jiwa yang memahami tuntutan syahadah.

Hasil daripada kefahaman itu, akan menatijahkan kekuatan yang diidam-idamkan. Tadabburlah surah as-Saff, ia mampu menerbitkan salju dalam jiwa, tanpa sedar mutiara menitis di pipi.

Namun, ramai mana yang menyedari hakikat pentingnya hidup berjuang dalam jemaah. Bukan soal konservatif mahupun rigid pada sesuatu pihak tertentu, tetapi soal ini adalah soal sunnah dan kewajipan untuk bergabung seperti mana yang dituntut.

Semoga Islam tidak rugi dengan hadirnya kita membantu agama Allah dalam hiruk-pikuk masyarakat yang sudah meletakkan Islam sebagai alat untuk mengejar dunia.

p/s: Mengumpul kekuatan dan membina kefahaman, moga-moga terus kekal dalam mata rantai perjuangan Islam.