Taman syurga: tetamu dari Madinah


Isnin lalu, Allah memberi keizinan dan kesempatan waktu untuk menghadiri majlis bicara ilmu yang diadakan di Ribath Al-Hidayah Al-Ghazaliyyah, sebuah madrasah di Batu Burok diasaskan oleh pendakwah tempatan yang muda dan disegani masyarakat, Ustaz Mustaffa Kamal bin Hamzah.



Tajuk pada malam tersebut iaitu ‘Permasalahan Akidah dan Ummah Masakini’ telah dikupas dengan cukup bernas dan penuh kalam hikmah oleh seorang alim besar dari Madinah Al-Munawarrah, Syeikh Dr. Mahmoud Abd. Rauf Al-Husaini.



Tetamu istimewa ini merupakan pengkaji dalam bidang aqidah dan tasawwuf, serta pernah mendalami ilmu hadith dan menjadi murid setia kepada seorang ulama hadith Melayu Nusantara, Syeikh Yasin Fadani. Perwatakan beliau sederhana. Raut wajah beliau jernih, tenang sekali. Cara penyampaian beliau juga cukup bersahaja dengan diterjemahkan oleh seorang penterjemah muda yang fasih.

Banyak mutiara ilmu yang sempat dikutip dan dihadam sepanjang majlis tersebut. Penekanan utama diberi dalam bab akhlak dan kesempurnaan hati yang terikat dengan Rasulullah sallallahu alaihi wa aalihi wasallam.



Antara pesanan yang diingati, barangsiapa terlepas satu adab, terlepaslah ia dari zuhud. Dan barangsiapa terlepas satu adab, terlepaslah ia dari taqwa. Kerna Rasulullah sallallahu 'alaihi wa aalihi wassalam telah bersabda: Allah telah mengadabkan aku dan Dia telah benar-benar baik mengadabkan aku. Dan sabda junjungan Rasulullah sallallahu 'alaihi wa aalihi wassalam lagi: Demi sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.

Sesungguhnya Rasulullah sallallahu 'alaihi wa aalihi wassalam berada di atas perjalanan akhlak yang agung. Selaku ummat yang mengaku cintakan Nabi, tiada yang lebih utama melainkan memberi keutamaan yang sebenar-benar kepada pembentukan akhlak dan pemurnian hati menurut Rasulullah sallallahu 'alaihi wa aalihi wassalam.

Dengan berkat dan kemuliaan yang diturunkan oleh Allah SWT kepada junjungan Rasulullah sallallahu 'alaihi wa aalihi wassalam, semoga kita bersama-sama dengan mereka yang mencintai Allah dan Rasul.


Pada awal bicara, beliau menyatakan perasaan gembira beliau berada di Terengganu dan merasakan ini suatu jemputan yang mulia daripada Syeikh Tok Ku Ibrahim Mohamad (Pulau Manis) dan menghargai kunjungan beliau ke negeri yang terkenal dengan ramai auliya' seperti Terengganu.



Meskipun Syeikh Mahmud dikhabarkan agak keletihan kerana memenuhi jemputan dari pelbagai tempat, namun tidak terlihat sedikit pun riak jemu dan penat pada wajah beliau. Sebaliknya, terserlah cahaya yang terpancar pada wajah, tanda seorang ulama yang ikhlas dalam menyebarkan ilmu dan dakwah serta hidup bersantunkan taqwa.

Jundi-jundi Islam yang masih cilik. Kecintaan mereka terhadap ilmu sama mekar kecintaan mereka terhadap sunnah Rasul. Alunan qasidah mereka benar meredupkan hati sesiapa yang mendengarnya.

Tidak digambarkan rasa terharu sebaik mendengarkan mutiara-mutiara ilmu yang dikongsikan beliau. Penyampaian Syeikh Mahmud bersahaja, kadang-kala diselitkan kata-kata yang mencuit hati. Ada ketika, bicara beliau meruntun sanubari. Betapa Allah merahmati hamba-Nya yang tidak henti memberi nasihat kepada umat manusia yang semakin ramai leka dan lalai.



Benarlah kata seorang sahabat, majlis sebeginilah yang mampu menampar hati kita. Majlis sebegini akan menjadi ruang untuk kita mengenal diri. Setiap untaian kata yang dilontarkan oleh sang alim itulah yang mampu meremuk-redam gelojak nafsu dalam diri kita yang sering merasakan diri bagus, ujub dan bangga dengan pencapaian diri.


Dalam majlis pada malam itu juga, suatu lagi rahmat dan rezeki ilmu bagi sekalian jemaah yang hadir apabila Syeikh Mahmud mengijazahkan secara umum dan mutlak lima hadis musalsal yang diperoleh daripada guru beliau, Syeikh Yasin Al-Fadani(Sumatera), ulama hadith yang hafal hadith(sanad dan matan) dalam enam kitab hadith muktabar.

Beliau turut memberi penekanan betapa ilmu bersanad ini sangat penting dalam dunia ketika ini yang sudah mengabaikan kecintaan kepada Rasul, mengetepikan khazanah ulama' dan memperlekehkan tarbiah ruhiyyah tinggalan alim sufi yang rabbani terdahulu.


Tanpa disedari, gelagatku 'mencuri' perhatian PakCik Tolahah.

Jemaah yang hadir bersalaman dengan para ulama': Dari kiri Ustaz Mustaffa Kamal(mudir Ribath Al-Hidayah, pengerusi IPTAF), Tuan Guru Syeikh Tok Ku Ibrahim Mohamad(Mudir Pondok Pulau Manis) dan Syeikh Mahmud Rauf Al-Husaini.

Segala puji bagi Allah Tuhan yang merahmati sekalian alam. Puji-pujian bagi Rasulullah sallallahu 'alaihi wa aalihi wasallam yang menjadi punca cinta mahabbah orang yang bertaqwa dan rindukan redha Allah. Semoga Allah mengurniakan barakah kepada para alim, para pencinta auliya', para penuntut ilmu dan para mukmin yang berjalan menuju Allah.


p/s: Terubat rindu pada majlis qasidah yang mententeramkan jiwa. Alangkah manisnya qalbu adik-adik yang melantunkan burdah penuh kesedaran dan penghayatan, lalu meresap dalam jiwa yang gersang mahabbah. Mohon ampun kepada Allah.


*Foto: kredit kepada Encik Tolahah

3 ulasan:

Ahmad Ridhwan berkata...

salam,

terima kasih pak cik Tolahah, akhirnya terpacul jua handset hazimin yang baru didalam blog nya....

zimin camne ngan kamera, printer dan NAR anda? sudah pulih...

inniakhofullah berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Mohd Hazimin Harun berkata...

Bob, semoga kata-katamu tidak menjadi salah satu asbab hadirnya alwahan.

ketiga-tiganya belum pulih.