Secangkir Ilmu di Kopitiam Ghadir

Aku masih ingat, kali terakhir menonton karya teater Faisal Tehrani adalah kira-kira tujuh tahun lalu. Hasil gandingan FT dan Nam Ron, Drama MISI yang dipentaskan di Taman Budaya Kuala Ibai, Terengganu masih mekar dalam ingatan mesej yang tersirat dalam teater tersebut. Ruang latar yang tidak sarat props. Hanya dua watak berperanan, sepanjang pementasan, namun karya tersebut mewah dengan estetika makna, terkandung nilai sosial dan falsafah budaya tersendiri.

Semalam, kesempatan menikmati pementasan teater Kopitiam Ghadir,
memberi peluang untuk aku kembali meneroka pemikiran budaya yang melingkari dunia 'misteri' FT. Masih dalam proses memahami idea supra mazhab dalam karya beliau. Bukan kerana obses melulu, tetapi lebih cenderung untuk aku menilai gagasan pemikiran beliau yang diadun secara ilmiah lewat teater tersebut.

Mungkin apa yang boleh dinyatakan, Kopitiam Ghadir merupakan manifestasi sikap sosial untuk merealisasikan kesatuan ummah menerusi medium 'pencerahan' mengikut acuan beliau. Barangkali menginsafi tanggungjawab agama sebagai orang seni, beliau ingin gagasan memasjidkan seni dimulakan mengikut langgam budaya setempat. Secara mudah, usaha itu boleh dikira tajdid menuju pencerahan yang dihidangkan dalam lingkungan ilmiah dan didasari kebenaran.

Satu jam berlangsung dengan kira-kira 80% pementasan diisi dengan nasyid dan selawat, Kopitiam Ghadir memberi evolusi dalam proses islamisasi teater. Tidak lagi gaya mensyarah secara panjang lebar. Juga tiada lagi watak pemberi kuliah atau pembaca khutbah, meski inti utama teater tersebut adalah matan-matan hadis Nabi s.a.w. Diselang-seli dengan unsur humor dan sinikal yang sesekali mengundang tawa khalayak, karya ini segar mengisi benak penonton untuk tangkas memikirkan makna dalam setiap babak persembahan.

Aku cuba mendorong diri untuk berlapang dada sepanjang menonton Kopitiam Ghadir. Jalan yang aman adalah melihat dari sudut seni dan dakwah, bukan kerana mencari titik pertentangan fahaman yang lebih menjurus kepada emosi.

Bila mengenangkan industri seni di negara kita yang miskin dengan produk berunsur Islami, aku kira perlu juga untuk kita merubah persepsi. Berada di lapangan berbeza mendorong kita untuk lebih terbuka memahami bagaimana uslub yang pelbagai perlu digunakan dalam kerja dakwah dan islah.

Sekadar pandangan peribadi, ada kalanya perlu untuk kita meletakkan kepentingan dakwah di hadapan berbanding prinsip diri. Maksudnya, pinggirkan seketika apa yang boleh dikatakan bersifat kepentingan peribadi atau entiti tertentu.
Meminjam kata-kata FT dalam pertemuan dengan beliau baru-baru ini, perlu pada suatu ketika untuk kita meliberalisasikan diri, atau lebih tepat, 'liberal dalam lingkungan'.

Setiap permasalahan ummah harus kita fikirkan jalan bagi merungkaikannya. Tidak cukup untuk kita sekadar berbincang dan meninggalkan persoalan begitu sahaja. Jika ada usaha murni ke arah maslahah ummah, wajar untuk kita dahulukan dan berikan ruang.

Masalah tidak akan selesai jika kita hanya pandai mengkritik, melabel orang itu bid'ah, menuduh orang sesat dan menghukum tanpa usul. Itu sikap yang merugikan umat Islam sendiri. Bahkan, menyitir kata-kata Syed Naquib Al-Attas, ketempangan adab (the lost of adaab) yang berlaku dalam ummah menjadi penyebab masalah ummah terus berlarutan.

Tiada salah untuk kita berbeza pendapat dalam konteks pengkajian ilmiah dan kritikal dalam berfikir. Asalkan niat bersih dari sebarang pengkhianatan iktikad, dan panduan kita sentiasa benar menurut asas wahyu. Seperti pesan Dr Siddiq Fadzil, jangan lupa pangkalan.

Selesai sudah cicipan enak secangkir ilmu di Kopitiam Ghadir. Sekembalinya ke Nilai, terdetik satu dua persoalan yang mula berlegar dalam benak. Apakah wujud perdebatan di kalangan ulama' sirah dan para muhaddith dalam peristiwa Ghadir al-Khumm? Dan apakah ucapan Nabi s.a.w. itu memberi titik mula perbahasan mengenai Islam dan kepimpinan umatnya setelah peninggalan baginda?

12 ulasan:

Khalifa Masyhur berkata...

Wah. Ulasan yang menarik, menambah cemerlangnya Kopitiam Ghadir. Saya menumpang setuju. Anda benar. Tahniah.

Jong berkata...

Salam,
Terima kasih sdr kerana 'berusaha menangkap makna' Kopitiam Ghadir. Benar, itu lah niat suci saya. Dipandang serong itu biasa, tetapi menyerongkan agama itu yang benar2 serong.
wassalam

CameronSweetHomestay berkata...

sudah menjadi kebiasaan untuk memertabatkan agama, jalannya cukup berliku..tetapi percayalah kekuatan iman mampu atasi segalanya..teruskan berjuang...

Iswazi berkata...

Syukran atas kesudian antum melewati pementasan KG. Tahniah krn beroleh lapis terakhir maksud pementasan...Masalah ummah bermula tatkala Ghadir Khumm dipinggirkan...Teruskan kajian...

fahana_ann berkata...

salam singgah..
lalu kat sini dari blog pena faisal tehrani..

'Tiada salah untuk kita berbeza pendapat dalam konteks pengkajian ilmiah dan kritikal dalam berfikir'
saya setuju yang ni.. kita manusia memang punya pelbagai pandapat, dan perbezaan tu bukan untuk kita lebih bermush dan mendengki..

Ahmad Ridhwan berkata...

Salam Hazimin

Hebat lah enta....

Tapi yang tolong ambik gambar lagi hebat kot hehehe.

nanti ana bayar balik duit tambang tempoh hari.

Salam Ramadhan

Tanpa Nama berkata...

Salam...

Alhamdulillah, apa yg saudara dpt drpd tontonan itu diharap dpt mengorak langkah utk mencari kebenaran seperti mencari jawaban bg persolan di akhir ulasan...
iqra'...

Umar Mukhtar Bin Mohd Noor berkata...

bob mencapab..:)

Mohd Hazimin Harun berkata...

Salam,

terima kasih FT, juga kepada saudara/i yang lain.

Banyak yang saya pelajari bagaimana untuk melakukan penilaian dengan memastikan sisi keadilan diletakkan di tempat yang sewajarnya.

Apapun, KG memang memukau. Tahniah kepada warga KG.

tok pulai chondong berkata...

Menegenai teater faisal Tehrani, pada pandangan sy kita perlu berhati-hati..

sebagai seorang agamawan yang belajar, sepatutnya kita kaji sumber hadis yg dibawa dlm teater...

bimbang sekali unsur syiah bermaharajalela di Malaysia...

Jika diberi pilihan antara cerita yang kurang moral dgn cerita yg menjejaskan akidah, saya memilih untuk menonton cerita yg kurang moral....

Mohd Hazimin Harun berkata...

Terima kasih saudara Tok Pulai Chondong.

dan saya juga ingin menambah, sebagai bakal agamawan yang masih menuntut ilmu Tuhan, wajar untuk kita bersikap telus dalam mengkaji sesuatu. Sikap menghukum sebelum meneliti dengan adil harus dihindarkan. Ia merugikan ummat.

Berkenaan teater yang dikhuatiri menjejaskan akidah, saya berpandangan, nada sebegitu lebih bersifat sangkaan awal(presumption). Tidak salah kalau kita pergi menyaksikan terlebih dahulu untuk mengetahui di mana bahagian yang 'menjejaskan' dan yang mana tidak.

Ahmad Deedat dalam melakukan perbandingan agama, tidak keberatan untuk mengkaji isi Bible dengan mendalam. Pokoknya, adalah akar keyakinan kita.

Usah bimbang, saya masih utuh dengan keyakinan akidah yang haq. Ahlus Sunnah wal jamaah menurut aliran Asya'irah.

Salam Ramadhan.

pena kajian berkata...

salam...

maal salawat ala muhammad wa aali muhammad...

m'hukum sebelum meneliti adalah 1 sikap @ tanda2 org yg sombong @ takbur...

ana setuju dgn pandangan saudara dan FT...

"Kopitiam Ghadir" sgt patut di pertontonkan dan di siarkan dgn meluas di malaysia...

kerna byk ilmu yg terselit di dalamnya...

sbb itulah dlm AQ menyebutkan ALLAH SWT akan mengangkat kedudukan org2 mukmin yg berilmu beberapa darjat berbanding org2 mukmin yg kurang ilmunya...

selagi ia di sebut ilmu kita wajib mengkajinya terlebih dahulu sebelum 'menghakiminya'...

kerna jika kita m'hukum kaum yahudi sesat dgn m'gunakan kitab kita adlah tidak adil bagi mereka..

so,jika kita x banyak ilmu dlm membicarakan sesuatu hal yg kita x fahami...
adalah lebih baik kita diam dari berbicara...

kerna diam di bulan ramadhan ini adlah zikir...

maal salawat ala muhammad wa aali muhammad...

salam dari "pena kajian"

ALLAHUMMA SHOLLI ALA MUHAMMAD WA 'AALI MUHAMMAD...