Terkadang kepuasan yang kita ingin kecapi lebih bermakna dalam keadaan diri kita menerima sebarang bentuk tekanan yang positif. Tekanan intelektual yang berat misalnya, tetap berhasil memugar minda meski tanggapan umum selalunya cenderung untuk tidak mahu terbeban dengannya.
Meski dihambat tugasan akademik yang bertindan-tindan, juga sedikit kelam-kabut dalam gerak kerja fasa terakhir program wacana PEMIKIR, sempat juga mencuri masa untuk menikmati halwa fikir lewat kongres pelajar dua hari lalu.
Seperti dijangka, persidangan ilmu yang menyajikan buah-buah pemikiran bernas luar kotak dalam korpus intelektualisme Muslim sebegini cukup melebarkan kapasiti minda. Keluar seketika dari medan ilmu di kampus untuk bermesra-mesraan dengan para pengulit falsafah dan pengkaji ketamadunan adalah suatu perkara yang mengujakan.
Awal-awal program, peserta sedia menggugah benak tatkala menyuguhi idea-idea Datuk Saifudin secara langsung. Dan sememangnya jelas sekali, beliau yang juga Timbalan Menteri KPT konsisten dengan gagasan 'politik baru' yang diwara-warakan sejak beberapa bulan lalu.
Sesekali beliau berkritikal dalam isu-isu dasar gerakan Islam, kejanaan intelek mahasiswa, dan pelbagai permasalahan, seakan menzahirkan semangat Che Guevara masih mekar dalam nafas perjuangan beliau.(juga sempat mempromosikan e-Book beliau Kalau Saya Mahasiswa, yang boleh dimuat turun di sini).
Saranan beliau antara lain, menyeru agar mahasiswa berterusan bangkit sebagai suara pembeza dan mendokong watak tidak homogeneous dalam wacana politik. Secara keseluruhan, lontaran idea beliau menjurus kepada pengupayaan pelajar (student empowerment) dalam dimensi politik kampus yang mesti diperhebatkan oleh mahasiswa sekarang.
Selesai ucaptama, masa untuk menikmati gugusan mutiara ilmiah daripada seorang intelektual Muslim tanah air. Prof Dr. Wan Nor Wan Daud, aku masih baru dalam mengenali beliau. Namun, jika diteliti, beliau antara nama yang disegani baik di Malaysia juga di Indonesia dalam pengkajian ilmu dan peradaban dunia Melayu Islam.
Menekuni setiap inti kupasan beliau, terutama berkaitan isu penerapan nilai Islam dalam teras-teras kenegaraan. Saranan beliau kepada mahasiswa berbekas di minda: hendaklah kalian menjadi kritikal, tetapi jangan sekali-kali kita sinikal.
Begitu tunjuk ajar adab bagi seorang pemikir yang ingin memahami nilai keilmuan. Mengkritik tidak atas dasar emosi dan sentimen, tetapi menjurus kepada penilaian baik buruk sesuatu. Juga menjauhi sinikal, yang hanya bertujuan meremeh-remehkan dan mempermainkan sesuatu prinsip atau dasar yang pasti mempunyai kelemahan.
Pemugaran dari sudut pandangan alam (worldview) banyak dikesani daripada pembentangan Prof Dr Wan Nor. Antara perkara yang ditegaskan beliau, dalam usaha memasakkan nilai Islam ke dalam jati diri Melayu, pemahaman terhadap konteks Melayu dari sudut akar umbi sejarah bangsa dan tanah air perlu diperhalusi dengan baik terlebih dahulu.
Jelas bagi beliau, pengamatan sejarah telah membuktikan bahawa ketamadunan Melayu di Negara kita sudah kental dengan nilai-nilai Islam. Malangnya, ketirisan yang berlaku sekarang berpunca daripada kelemahan umat Melayu Islam yang luntur penghayatan tentang ilmu dan adab.
Kupasan berkaitan masalah tersebut disampaikan oleh Dr Farid Shahran selaku pengulas bagi sidang utama itu. Pakar teologi dan mantiq dari UIA tersebut sejurus selepas berkomentar secara ringkas namun padat pembentangan Prof Wan Nor, menyarankan kepada semua peserta untuk melakukan homework bagi menganalisa istilah sekularisme secara terperinci.
Beliau yang mengangkat pemikiran Syed Naquib Al-Attas yang ternukil dalam karya terkenal, Islam and Secularism, menerangkan konteks perbahasan sekular pada zaman sekarang tidak menjejak pada realiti kerana ramai masih merewang kepada dahan masalah, sedangkan akar itu yang perlu disinggung dan difahami sebenarnya.
Kuasa percambahan idea makin terasa apabila beliau menimbulkan persoalan untuk mahasiswa bangkit membudayakan ilmu bagi membawa gagasan desekularisasi sekali gus mengembalikan nilai-nilai kudus menerusi pandangan alam dalam segenap aspek keilmuan. Penjajahan ilmiah yang dialami sehingga kini, menurut beliau, wajar diislahkan agar segala bentuk faham yang mengelirukan tidak terus membarah dalam pemikiran umat Islam.
Setengah hari berwacana bersama tokoh intelektual tempatan dan para pemikir muda, memberi kepuasan bermakna. Kongres yang dikelolakan oleh PKPIM, bersempena muktamar tahunan gerakan pelajar itu mengangkat tema kenegaraan yang merangkumi dimensi sosial, ekonomi dan integriti.
Suatu bentuk pengalaman baru yang mulai untuk dibugarkan dalam diri. Mengulit wacana bersama-sama para intelektual tempatan dan kelompok pemikir muda yang sarat idealisme. Berpapasan dengan saudara Wan Fayshal (rausyanfikir) yang pada petang itu bertindak sebagai pengulas bagi topik integriti dalam jati diri. Aku tak berkesempatan mengikuti bicara beliau kerana kami memilih untuk menyertai sidang selari yang membawa perbincangan liberalisasi ekonomi.
Sebelum beredar, sempat juga menyapa Ustaz Syaari yang hadir bersama isteri. Tak disangkal, mereka contoh pasangan yang ideal dalam pemburuan ilmu. Program sebegini ternyata mampu menghimpunkan ramai pemikir muda yang tegar menadah curahan pengetahuan daripada ahli intelektual Muslim. Tahniah buat PKPIM. Salah satu usaha bagi memberi sudut pandang berbeza dan memberi peluang untuk mengopak pemikiran yang lebih terbuka dan menjauhi kejumudan.
Memetik kata-kata Sulaiman yang turut menemani aku dalam program tersebut, sudah sampai waktunya untuk memecah kerangka pemikiran kera di kalangan orang kita. Aduhai Leman...
Selepas ini USIM pula akan cuba menggegar jiwa-jiwa pemikir muda. Biar sedikit orang yang peduli, biar ramai yang mencemuh, asalkan kita kekal dalam ketegasan untuk memperkasakan minda Muslim. Ayuh sama-sama menjayakan misi ke arah membudayakan wacana dan menjiwai intelektualisme.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan