Keutamaan amal dalam berilmu


Sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa aalihi wasallam: Belajarlah ilmu yang kamu kehendaki! Demi Allah, Dia tidak akan menerima daripada kamu, sehingga kamu beramal dengan apa yang kamu pelajari.

Imam Habib Abdullah al-Haddad ketika membicarakan persoalan ilmu dalam kitabnya Nasihat Agama dan Wasiat Iman, mengumpamakan seorang yang berilmu(‘aalim) yang tiada beramal dengan ilmunya, laksana seorang hamba yang melihat isi surat tuannya serta mengetahui apa yang terkandung di dalam surat itu, akan tetapi ia enggan mematuhi segala suruhan yang terkandung di dalamnya serta menjauhi segala larangannya.

Ilmu merupakan sebaik-baik jalan bagi setiap manusia untuk menuju kepada Allah ta’ala. Ketahuilah, orang yang berilmu yang tiada beramal dengan ilmunya akan dicabut keutamaannya.

Dia tidak harus berbangga dengan firman Allah dan sabda Rasul-Nya yang membicarakan tentang keutamaan ilmu pengetahuan, lalu menganggap dirinya tergolong antara orang-orang yang diberikan keutamaan, disebabkan dia berilmu, padahal dia tidak beramal.

Sesetengah para salaf rahimatullahi’alaihim berkata: “Ilmu itu sentiasa meminta diamalkan. Jika tidak disahut permintaannya, nescaya ia akan berpindah. Maksudnya, jiwa ilmu itu dan cahaya serta berkatnya akan meninggalkan anda."

Mengambil kira keadaan pelajar dan mahasiswa Islam masa kini, memang terang lagi bersuluh bahawa gambaran yang kita amati dan kita saksikan tentang bejatnya akhlak, tempangnya sahsiah dan tirisnya adab di kalangan mereka, bahkan kalangan kita sendiri, berpunca daripada kehilangan jiwa ilmu. Belajarlah setinggi mana sekalipun, tetapi kalau jauh dari rabitah ubudiyyah, ianya sia-sia.

Dalam satu hadith ada menyebut, sesiapa yang bertambah ilmunya, tetapi tiada bertambah petunjuknya, maka ia tiada akan bertambah melainkan jauh dari Allah.

Sama-samalah kita merendahkan hati kita. Jangan terlalu megah dengan apa yang kita pelajari. Pencapaian dan kecemerlangan datangnya daripada Allah. Tujuannya tidak lain, untuk menguji sama ada seseorang hamba itu bersyukur atau sebaliknya.


p/s: Haul al-Haddad akan diadakan di Masjid al-Falah(USJ) pada 31 Okt, Masjid Baitul Aman, Jalan Ampang pada 1 Nov dan Masjid al-Bukhary, KL pada 2 Nov. Haul al-Haddad ini merupakan 'Majlis Membugarkan Cinta Rasulullah saw' dan majlis memperingati pemergian ulama besar Hadramaut, al-Mujaddid al-Imam Habib Abdullah al-Haddad. Sahabat yang berkelapangan amat dialu-alukan untuk turut serta dalam majlis ilmu ini yang bakal dihadiri ramai ulama'.

Cemerlang Peperiksaan (3)

Kejayaan hakiki dalam menuntut ilmu adalah keberkatan dari pemilik ilmu tersebut. Bukti keberkatan itu adalah bila mana seseorang berjaya mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Maka, berhasillah ilmu itu sebagai nur, pembimbing manusia menemui jalan kebenaran. Adapun natijah bertulis hanyalah penilaian kecil yang tidak harus diperkecil. Justeru, jadilah penuntut ilmu yang cemerlang lagi terbaik dari segenap aspek!”

Manusia ini mempunyai pelbagai ragam. Masing-masing berbeza. Ada yang begitu menggemari peperiksaan. Begitu rindukan saat menatap kertas soalan. Berbanding orang lain, mereka cukup teruja untuk menjawab semua soalan. Dan semestinya, akan wujud pula mereka yang akas. Golongan yang seboleh-bolehnya enggan menduduki peperiksaan. Apatah lagi untuk rasak bergelumang, berpening mengulangkaji semata-mata kerana exam.

Tidak dapat tidak, sebagai pelajar dan secara amnya sebagai manusia itu sendiri, melalui sesuatu ujian itu adalah rencah kehidupan. Secara manusiawi, ujian itu banyak mendidik diri. Ujian mematangkan akal fikiran. Ujian membentuk peribadi. Ujian mengolah keluhuran sanubari. Hakikatnya, ujian itu merupakan suatu nikmat dan anugerah Ilahi.

Sudah pasti, ujian adalah suatu bentuk cabaran yang memerlukan persiapan. Kelewatan dalam melakukan persiapan boleh memakan diri sendiri. Justeru, langkah awal untuk menghadapi ujian adalah bertindak secara positif melalui cara - Kenali Diri Kita.

Perlu diketahui bahawa dengan mengenali diri sendiri, secara langsung kita telah menghormati hak-hak peribadi. Berlaku adil kepada diri adalah tanggungjawab yang wajib kita lunaskan. Maksud mengenali diri di sini, adalah mengerti serta faham akan kemampuan dan kelemahan diri.

Misalan, kita sepatutnya tahu tabiat jasmaniah pada diri. Bila waktu ulangkaji yang paling sesuai untuk kita, berapa lama waktu rehat dan tidur yang wajar, setakat mana kemampuan kita dalam menghafaz dan mengingat fakta, sejauh mana kita boleh menghadap buku dalam satu hari.

Sedikit sebanyak, dengan mengenali dan memahami diri, kita mahir tentang bagaimana untuk belajar secara adil dan paling sesuai untuk diri kita. Dan paling utama, dengan melakukan cara mengenali(koreksi atau muhasabah), kita sentiasa membugarkan niat dan matlamat kita. Jiwa kita mesti diperbaharui dengan kesedaran tentang hakikat sebenar tujuan kita belajar.

Melalui proses mengenali diri, mudah-mudahan akan memberi rangsangan hebat dan berkobar kepada semangat belajar kita. Tiada lagi tekanan, kebosanan atau keletihan. Juga, akan mewujudkan keyakinan jitu dalam diri. Kita barangkali tidak lagi mengeluh atau cemburu melihatkan kejayaan dan prestasi sahabat kita. Sebaliknya, hati akan sentiasa ceria dan tenang tanda berlapang dada dan redha akan kemampuan diri kita. Saat itu, kita menikmati kedamaian yang menyenangkan sekali.


Semoga hati kita sentiasa disantuni dengan muhasabah dan mulahazah yang berterusan dalam menghadapi tarbiyah daripada Allah taala.

Cemerlang Peperiksaan (2)

Mengambil kira mood exam yang melanda sebilangan besar pelajar di universiti sekarang ini, ada baiknya untuk sama-sama berkongsi tips berguna yang bermanfaat untuk diamalkan.

Meski aku bukanlah pelajar psikologi, tetapi baru-baru ini dengan izin Allah, aku berhasil memperoleh suatu input yang agak menarik tentang psikologi dalam belajar. Jangan tak tahu, bab psiko ni sebenarnya memainkan peranan besar ketika mengulangkaji.

Di sini ada beberapa contoh langkah yang mengkombinasikan disiplin psikologi ketika belajar.
Pertama, memberi penghargaan kepada diri bila selesai melangsaikan tugas atau dapat menyiapkan nota dan hafazan mengikut jadual yang ditetapkan. Contoh penghargaan, seperti memanjangkan waktu rehat(tidur), membeli makanan yang agak best, surf internet dan lain-lain yang dikira memadai.


Kedua, meletak gambar orang tersayang. Maksud orang yang tersayang bukan orang yang buat kita angau. Itu lalai namanya. Sebaliknya orang yang boleh bagi inspirasi. Orang yang wajah mereka ada nur motivasi untuk kita jadi semangat. Contoh senang, gambar mak ayah lah, siapa lagi.

Ketiga, menampal kata-kata semangat di dinding atau di hadapan meja studi. Kata-kata semangat tu kalau boleh biarlah menampar kalbu sikit. Ada sindiran sayang lagi membina. Kalau lahir dari kepala otak kita sendiri, lagi bagus. Baru nampak berfalsafah dalam hidup.

Keempat, tick, pangkah atau palang segala kerja yang terlunas di kertas yang dikhususkan. Kalau boleh, tampal di atas softboard atau dinding meja kita. Apabila melihat kualiti pelaksanaan kerja atau penghafazan nota secara visual, kita akan menjadi semakin bersemangat untuk menyiapkan kerja-kerja berikutnya dan bukanlah rasa terbeban.

Kelima, buat countdown supaya diri tak terleka dan kerap rasa takut untuk buang masa kerana sudah set dalam minda, exam makin hampir. Jadi, kita akan selalu beringat dan akan guna masa seoptimum yang mungkin.

Lima di atas ni sekadar contoh. Masing-masing mungkin ada pelbagai cara. Paling penting, sekurang-kurangnya langkah sebegini bukan saja membantu kita, malahan menolong roommate kita(mudah-mudahan!) Tak adalah seorang tu rajin, seorang tu malas. Ingat, kejayaan bukan untuk seorang.

Selamat beramal!

Cemerlang Peperiksaan (1)



"Orang yang menanam padi, pasti dengan izin Allah akan mendapat hasilnya. Sebaliknya orang yang menanam lalang, tiada hasil bermanfaat baginya melainkan lalang semata-mata."

Tatkala musim peperiksaan kembali menjengah kini, aku terhimbau akan teguran mendalam Ustaz Najib ini. Dalam kuliah terakhir sewaktu Tamhidi tahun lalu, Ustaz Najib 'mencuci' bersih-bersih cepu fikir kami.

Disuguh kepada kami pelbagai nasihat yang menikam kalbu. Setiap daripada jiwa kami 'disental' kuat-kuat agar bangkit dan sedar dari lamunan. Sungguh-sungguh dia mahu menyedarkan kami akan suatu hakikat.

Ilmu bukanlah suatu permainan. Ia menuntut daya kesungguhan yang tinggi. Ilmu itu bersama-samanya ada barakah dan rahmat. Kita mempelajari sesuatu ilmu bukan bermakna ia milik mutlak kita, sebaliknya ia sekadar suatu bentuk pinjaman.

Kita meminjam ilmu daripada Allah taala. Pinjam bukan sekadar pinjam. Pinjaman itu menuntut kepada suatu rabitah. Suatu pertalian suci antara Tuhan dan hamba-Nya. Isunya sekarang, sejauh manakah kita meletakkan martabat ilmu yang kita pelajari itu ke makam yang sewajarnya?

Bila kita lihat, kala peperiksaan mendekati, ramai pelajar bermati-matian bersiap untuk menghadapi ujian akhir. Mereka seolah-olah bertanggapan, ujian itu adalah segala-galanya. Apabila selesai ujian, ilmu entah ke mana, segala yang dihafal hilang pergi.

Perlakuan sebegitu jelas suatu bentuk kecuaian kepada ilmu itu sendiri. Satu tindakan yang memaparkan betapa kurang adabnya kita kepada ilmu, bahkan lebih teruk lagi, mendorong kepada kurang adab kepada Allah! Tujuan ilmu untuk mendekati Allah. Menyedihkan, sebaliknya pula berlaku.


Kita seperti bersungguh untuk mendapat ganjaran dunia. Berkobar-kobar belajar sebab ingin mendapat anugerah dekan, ingin mengejar pointer tinggi. Juga mahu merebut tempat biasiswa dan ingin dipandang tinggi dan hebat di fakulti.

Bukan untuk mengatakan salah jika belajar bermatlamatkan ingin berjaya dalam peperiksaan. Kerna sesuatu ujian menjadi kayu ukur bagi menilai prestasi kita. Namun yang menjadi silapnya, kesedaran dalam mengerti maksud kecemerlangan.

Ramai yang mengabaikan keperluan memahami hakikat ilmu yang sebenar-benar. Konsepnya mudah. Kita belajar untuk dapatkan ilmu. Ilmu itu untuk mendekatkan diri kita kepada Pencipta. Melalui manifestasi ilmu, kita menzahirkan ilmu dengan beramal dengan apa yang dipelajari.

Jika seseorang pelajar itu penuh yakin bahawa dengan ilmu yang hadir dalam jiwa mereka itu bersumberkan dari Allah, dan mereka bergantung penuh kepada Allah, insyaAllah ilmunya bukan sekadar di kertas soalan semata-mata. Lulus cemerlang atau tidak, bukanlah persoalan besar.

Segalanya datang dari Allah jua. Apa yang penting, ilmu itu dihidupkan dalam hati, bukan sekadar di benak kepala. Allah akan memberikan setimpal dengan apa yang diusahakan dan mengabulkan segala hajat yang diharapkan. Yakinlah kepada Allah.

Tuntasnya, fahamlah kita akan peri penting dasar amalan, iaitu niat. Apa yang kita qasadkan bila menekuni buku yang sedang ditelaah, apa yang kita tanamkan dalam jiwa kita bila mengulangkaji pelajaran, apa yang dikeranakan pembelajaran kita, sayugialah kita perbaharui dan perbetulkan.

Sesungguhnya hati itu terlalu mulia untuk dikotori dengan sesuatu qasad yang tidak suci.
Renung-renungkan dan selamat beramal.

Senandung Fitrah

Hati kembali berseri dipuput bayu yang ceria. Perlahan-perlahan mengukir senyum tanda syukur kepada Tuhan. Meski untuk kembali kepada fitrah, bukanlah jalan yang mudah. Namun, tekad mendalam itu menjadi bukti. Tingkah dan amal itu menjadi saksi. Semoga Tuhan kabulkan.

Manusia yang kembali kepada asal, pulang kepada fitrah, tanda dia berjaya mensucikan jiwanya untuk kembali menghadap Allah. Ramai yang tunggang-terbalik mengerjakan ibadat, mulut kumat-kamit basah bermohon berdoa, hati merintih-rintih mengeluh dan berhajat, tapi sayang, hati mereka tetap lalai.

Hati seringkali terlupa. Mereka bisa menyebut nama-nama yang Maha Agung, tapi hati mereka lekas untuk berpaling. Bila saat rebahkan diri bersujud, hati jarang dijemput hiba. Lama-kelamaan, hati sukar melepaskan rindu, keras membatu dan kering linangan air mata. Sebab itu, mereka gagal merasai nikmatnya bercinta. Hati mereka dan Cinta Allah gagal berpadu.

Ayuh, kembali kita gagahkan diri. Menerpa menapak menderas menuju kepada Cinta. Barangkali kita tidak berjaya untuk kembali kepada fitrah sepenuhnya. Pun begitu, percayalah. Seandainya kebergantungan tetap pada Allah, tiada apa perlu digusarkan. Kerna rahmat-Nya tetap mesra menghampiri.

Salam Syawal dan Selamat Hari Raya Aidilfitri.


p/s: Terkilan raya kali ini kempunan dalam berziarah. Mohon maaf dari kejauhan bagi sesiapa yang tak berkesempatan untuk sebarang kunjungan. Khususnya untuk sahabat-sahabat lama, meski keuzuran membataskan, persahabatan tetap dikenang. Maaf zahir dan batin.