Ini kunjungan kali kedua aku ke KLIBF. Syukurlah masih ada ruang waktu senggang untuk aku penuhi dengan agenda wajib pencinta buku. Jujurnya sekarang ini aku sedikit gusar dalam mengurus masa sehari-hari. Dan aku akui, kelemahan mengatur dan menjadual agenda mengikuti prioriti sedikit sebanyak meresahkan jiwa. Tambah-tambah pula final exam tidak lama lagi.
Semalam, aku memutuskan untuk pergi pada sebelah petang. Sebaik usai solat Jumaat di Masjid Nilai Lama, segera mengambil KTM komuter terus ke BTS, kemudian menaiki LRT langsung ke PWTC. Perjalanan yang menyenangkan. Jika dahulu, dengan nekad turun dari KT semata-mata ke sana. Sekarang, mendiam di sini memudahkan aku menyertai mana-mana acara di KL.
Bersendirian, tapi akhirnya ditemani sahabat, Zaki yang datang sedikit lewat. Agak ralat sebenarnya untuk kunjungan kali ini memandangkan masa yang terhad untuk aku. Sekurang-kurangnya diperlukan waktu sehari-suntuk untuk meninjau-ninjau santai, menilik mesra buku-buku, meneliti dengan baik ke setiap gerai sebelum memilih buku terbaik untuk dimiliki.
Aku sekadar menyambar empat buah buku yang sudah dirancang awal-awal lagi untuk dibeli. Meski banyak buku yang menggiurkan, ya buku sememangnya sesuatu yang enak, aku terpaksa meredakan keinginan tersebut. Duit poket harus ditimbang-timbang juga.
Beberapa buah buku yang dibeli bulan lepas belum lagi aku selesaikan. Maka, kali ini aku hanya membeli apa yang dirasakan perlu sahaja dan betul-betul aku ingin menekuninya dalam masa terdekat. Lagipun, teringat aku pada nasihat seorang senior FSU, belilah buku untuk dibaca. Bukan beli tapi diperam lama tak terbaca. Itu tanda orang yang hendak berlagak sebagai pencinta ilmu. Pendapat aku, membaca buku semestinya disantuni dengan disiplin tersendiri.
Semalam, berkesempatan juga untuk turut serta dalam majlis pelancaran buku terbitan Al-Ameen. Empat buah buku terbitan mereka dilancarkan serentak oleh mantan SN, Dato' A. Samad Said. Ternyata, Bapak kekal istiqamah dengan protes beliau. Bak kata FT, Bapak kini bergelar sasterawan rakyat, dan bukan lagi sasterawan negara.
Sepanjang kunjungan tersebut, ada beberapa buku yang menarik minat tapi belum ada rezeki untuk dimiliki. Antaranya, Ahmadinejad - Singa Baru Islam dan Kassim Ahmad - Mencari Jalan Pulang. Kedua-dua buku ini pada hemat aku adalah berkisar tentang fikrah dan idealism yang jarang aku bergulat dengannya. Sesekali menekuni karya genre berat sebegitu mampu mengimbangi pemikiran kita. Penuntut ilmu yang adil adalah mereka yang mencerna karya ilmu yang kontradik secara saksama sebelum menilainya.
Ketika dalam perjalanan pulang, aku menerima panggilan daripada Abah aku. Oh, rupa-rupanya Abah aku turut berada di PWTC. Kesal tidak sempat berjumpa. Aku dimaklumkan, beliau berada di KL beberapa hari kerana menghadiri kursus kejurulatihan PLKN. Tapi tak diketahui sama ada bagi slot modul kenegaraan atau Sastera dan Budaya. Apa yang pasti, Abah aku sudah mulai ligat mengutip pengalaman baharu sejak bersara tahun ini. HeHe.
Kunjungan kedua kali ini masih menarik meski ada yang kurang memuaskan hati. Barangkali disebabkan tergesa-gesa, makanya aku kurang terasa nikmat tatkala menatap buku-buku di sana. Pun begitu, untung juga pergi pada hari Jumaat. Setidak-tidaknya jadual hujung minggu aku tidak terganggu.
Ya, study week sudah bermula. Pesan kepada diri sendiri, jangan bertangguh study, atur masa sebaiknya, jaga hubungan dengan Allah, mohon restu ibu bapa dan sahabat. InsyaAllah tenteram segala gerak kerja kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan