Insiden 0714

Hari ini hari yang aneh.

Nasihat seorang sahabat, tiada apa yang perlu digusarkan andai pergantungan sepenuhnya kepada yang selayaknya. Qasadkan qalbumu. Pasakkan tekadmu. Ledakkan semangatmu. Damaikan jiwamu. Aku mengiyakan, teramat setuju.

Kata sahabat lagi, mengapa perlu menghampiri ketakutan, sedangkan ketenangan senantiasa mendekat. Yakinlah. Segala yang dituntut adalah ilmu Allah. Kamu hanyalah hamba yang faqir hina-dina. Jangan terasa gundah. Jangan berkelu-kesah. Jagalah rabitah Ilah. Dengan izin-Nya, pasti beroleh cahaya. Aku turut mengiyakan. Benar sekali.

Dan sekali lagi pesan sahabat, tak semua kejayaan itu membawa kebaikan. Dan tak bermakna setiap kegagalan mendorong kepada keburukan. Benarkah? Ya. Aku menggangguk.

Hari ini masih hari yang aneh.

Jiwa. Jangan cuba berlaku rusuh. Tiada guna untuk memberontak.
Mata. Jangan terlalu memandang. Nanti padah menyeksa diri.
Akal. Mohon berlaku saksama. Jangan rebah diasak angan-angan.
Hati. Damaikan, jangan mudah terasa bagus dan merasa baik.

Terkadang gembira yang diharap, celaka yang hadir. Terkadang senyum kita untuk kedukaan, menangis kita untuk keriangan. Begitulah pentingnya untuk mengerti hakikat itu.

Mereka?
Tak mengapa. Lain orang lain perihalnya. Jangan terikut-ikut. Kelak dirundung geram. Sakit qalbu. Sakit hati. Sakit kepala. Kita juga yang merana.

Hari ini hari yang aneh.

Dan, awal tadi aku melangkah. Dua itu mampir menerkam. Ketakutan dan pengharapan. Aku suka akan kedua-duanya. Mesra dan santun membelai. Aku menerimanya. Sedaya-upaya dengan keikhlasan.

Allah Tuhanku,
Syukur hamba-Mu akan anugerah itu. Untuk hari ini. Dan hari-hari seterusnya.
Semoga senantiasa hari-hari yang dilalui adalah hari yang aneh. Hari yang aneh adalah hari yang ganjil. Dan, Allah suka akan sesuatu yang ganjil.

Aku akur dengan insiden itu. Begitu mengajar dan mencetus hikmah.
...Cukuplah bagiku Ilmu Tuhanku…

Hari Gila

Hari ini aku buat kerja gila. Tenang, tenang... Ni gila bagi aku sendiri aje. Ceritanya macam ni. Sahabat aku, Wak Joyo ajak aku pergi KLCC. Memandangkan hari ini hari terakhir PC Fair, Maka dia pun dengan penuh harap mengajak aku turun menemani dia pergi beli laptop baru. Sebaik dipelawa, serta-merta aku setuju. Tak ada nak fikir panjang.

Pasal apa aku kata gila? Pasal hari ini memang aku cadang tak akan ke mana-mana. Nekad. Dan awal pagi tadi pun memang aku ingat tak akan mengubah agenda asal aku walau apa pun. Exam dekat bos.. takut jugak nak buat rilek, buat dek aje tapi dalam kepala otak, tepu kosong. Budak-budak lain sudah gila-gila ratah buku, aku pulak santai buang duit turun KL. Macamlah duit ada banyak sangat. Adoi..

Tapi tak kisahlah. Fikir-fikir pun, kesian jugak aku kat kawan aku seorang ni. Wak budak Jawa, tukang masak terhandal di kalangan pelajar Tamhidi. Tiap-tiap minggu wajib makan masakan dia. Juga mahir dalam jahit-menjahit seluar. Haha. Memang jasa dia ni banyak gila. Jadi, tak apalah kut kita penuhi hajat sahabat. Walaupun kita gila-gila sekalipun, ukhuwwah tetap kena jaga bro... Sahabat penting untuk kita. Senang susah rasa sama-sama. Baru berbaloi rasa bersahabat.

Kami tak pergi berdua. Seorang lagi rakan yang berkompromi dengan kami hari ini, Syafik Ikhwan. Sebelum pergi, kami sudah siap-siap pasang target; Beli dan Blah. Tengah hari wajib balik. Kononnya nak prihatin dengan masa yang ada. Heh. Dan akhirnya kami berhasil. Selepas satu jam lima belas minit meredah lautan manusia di dewan KLCC yang besar bagat tu(memang ramai betul manusia yang berkunjung), kami akhirnya berhasil mencapai sasaran awal. Itulah dinamakan strategi. Gila-gila pun perlu pandai mengatur...

Aku tak pergi dengan sia-sia. Sambil menemani Wak usha2 laptop yang dikehendaki, MP3 player (2GB + microSD 1GB) jenama Sandisk beserta dua gajet laptop sempat aku sambar. Ni pun satu lagi kerja gila aku hari ni. Kenapa? Mahu tak gila. Tanpa fikir panjang jugak, aku merelakan duit simpanan aku untuk susut mendadak pada hari ini.

Pengajaran mudah yang aku dapat sebaik pulang dari PC Fair ni, fikir dulu sebelum buang. Apa yang jelas, selepas ni tiap-tiap hari roti dan nasi bujang akan menjadi santapan utama aku. HuHu.

Sungguh, hari ni memang gila. Aku harap, semoga gila-gila ni terbawa-bawa dalam study aku untuk final.
Alangkah bagusnya kalau macam tu...

Berpesta Buku (2)

Ini kunjungan kali kedua aku ke KLIBF. Syukurlah masih ada ruang waktu senggang untuk aku penuhi dengan agenda wajib pencinta buku. Jujurnya sekarang ini aku sedikit gusar dalam mengurus masa sehari-hari. Dan aku akui, kelemahan mengatur dan menjadual agenda mengikuti prioriti sedikit sebanyak meresahkan jiwa. Tambah-tambah pula final exam tidak lama lagi.

Semalam, aku memutuskan untuk pergi pada sebelah petang. Sebaik usai solat Jumaat di Masjid Nilai Lama, segera mengambil KTM komuter terus ke BTS, kemudian menaiki LRT langsung ke PWTC. Perjalanan yang menyenangkan. Jika dahulu, dengan nekad turun dari KT semata-mata ke sana. Sekarang, mendiam di sini memudahkan aku menyertai mana-mana acara di KL.

Bersendirian, tapi akhirnya ditemani sahabat, Zaki yang datang sedikit lewat. Agak ralat sebenarnya untuk kunjungan kali ini memandangkan masa yang terhad untuk aku. Sekurang-kurangnya diperlukan waktu sehari-suntuk untuk meninjau-ninjau santai, menilik mesra buku-buku, meneliti dengan baik ke setiap gerai sebelum memilih buku terbaik untuk dimiliki.
Aku sekadar menyambar empat buah buku yang sudah dirancang awal-awal lagi untuk dibeli. Meski banyak buku yang menggiurkan, ya buku sememangnya sesuatu yang enak, aku terpaksa meredakan keinginan tersebut. Duit poket harus ditimbang-timbang juga.

Beberapa buah buku yang dibeli bulan lepas belum lagi aku selesaikan. Maka, kali ini aku hanya membeli apa yang dirasakan perlu sahaja dan betul-betul aku ingin menekuninya dalam masa terdekat. Lagipun, teringat aku pada nasihat seorang senior FSU, belilah buku untuk dibaca. Bukan beli tapi diperam lama tak terbaca. Itu tanda orang yang hendak berlagak sebagai pencinta ilmu. Pendapat aku, membaca buku semestinya disantuni dengan disiplin tersendiri.

Semalam, berkesempatan juga untuk turut serta dalam majlis pelancaran buku terbitan Al-Ameen. Empat buah buku terbitan mereka dilancarkan serentak oleh mantan SN, Dato' A. Samad Said. Ternyata, Bapak kekal istiqamah dengan protes beliau. Bak kata FT, Bapak kini bergelar sasterawan rakyat, dan bukan lagi sasterawan negara.

Sepanjang kunjungan tersebut, ada beberapa buku yang menarik minat tapi belum ada rezeki untuk dimiliki. Antaranya, Ahmadinejad - Singa Baru Islam dan Kassim Ahmad - Mencari Jalan Pulang. Kedua-dua buku ini pada hemat aku adalah berkisar tentang fikrah dan idealism yang jarang aku bergulat dengannya. Sesekali menekuni karya genre berat sebegitu mampu mengimbangi pemikiran kita. Penuntut ilmu yang adil adalah mereka yang mencerna karya ilmu yang kontradik secara saksama sebelum menilainya.

Ketika dalam perjalanan pulang, aku menerima panggilan daripada Abah aku. Oh, rupa-rupanya Abah aku turut berada di PWTC. Kesal tidak sempat berjumpa. Aku dimaklumkan, beliau berada di KL beberapa hari kerana menghadiri kursus kejurulatihan PLKN. Tapi tak diketahui sama ada bagi slot modul kenegaraan atau Sastera dan Budaya. Apa yang pasti, Abah aku sudah mulai ligat mengutip pengalaman baharu sejak bersara tahun ini. HeHe.

Kunjungan kedua kali ini masih menarik meski ada yang kurang memuaskan hati. Barangkali disebabkan tergesa-gesa, makanya aku kurang terasa nikmat tatkala menatap buku-buku di sana. Pun begitu, untung juga pergi pada hari Jumaat. Setidak-tidaknya jadual hujung minggu aku tidak terganggu.

Ya, study week sudah bermula. Pesan kepada diri sendiri, jangan bertangguh study, atur masa sebaiknya, jaga hubungan dengan Allah, mohon restu ibu bapa dan sahabat. InsyaAllah tenteram segala gerak kerja kita.

Debat Piala NC

Sesudah kerjohanan SUFA yang sekadar mengutip satu gangsa, kini pentas perdebatan menjadi sasaran utama kelompok pelajar Tamhidi dalam arena persaingan dalam kampus, yang membabitkan saingan-saingan senior dari fakulti utama. Ini menjadi medan terakhir bagi mereka untuk saling berentap menguji kehandalan masing-masing dalam acara debat yang dipertandingkan dalam tiga bahasa utama.

Siapa sangka cempedak jadi nangka
siapa duga Tamhidi jadi juara

Malam tadi boleh diandaikan sebagai malam kemuncak untuk pelajar Pusat Tamhidi. Malam gemilang khasnya kepada mereka. Lebih-lebih lagi, berjaya dalam pertandingan debat adalah suatu yang mengujakan dan membanggakan warga Tamhidi keseluruhannya.
Johan Debat Bahasa Melayu dirangkul oleh pasukan Tamhidi I. Begitu juga dengan Debat Bahasa Inggeris, berjaya dinobat sebagai juara. Paling meriah, sahabat daripada pasukan Tamhidi, Ikhwan dan Atiqah kedua-dua merangkul gelaran pendebat terbaik bagi kategori BM dan BI.

Kejayaan berganda dan tak terjangka tersebut sekali gus mengisytiharkan Piala Naib Canselor USIM yang buat julung kalinya, berjaya dirangkul oleh pasukan dilabel sebagai 'adik junior', menewaskan saingan yang lebih berpengalaman.

Suatu kejayaan manis khususnya bagi para pendebat yang mempamerkan kesungguhan dan kehebatan di peringkat saringan lagi. Menyitir kata NC pada malam penutup tadi, yang baharu tak semestinya tak mampu menyaingi yang lama. Semuanya dilihat pada keazaman dan tekad yang mendalam.

Tahniah Tamhidi!