Awal minggu ini, sempat menonton dua filem.
Kedua-dua filem mempunyai satu persamaan - subjek utama perihal ejen perisik CIA.
Hollywood dan propaganda. Ibarat aur dengan tebing.
Apa yang membezakan, barangkali pada asas plot kedua-dua filem. Satu filem aksi thriller bermotif komersial. Satu lagi adalah filem drama thriller bermotif politik.
A Good Day to Die Hard
Sekuel terbaik untuk dinikmati penggemar filem aksi. Penceritaan yang pantas dan dramatik, dengan kekuatan plot yang berjaya membawa penonton kepada konklusi di luar kebiasaan (dan kelogikan fikiran juga!).
Menonton filem ini sangat berbaloi terutama bagi mereka yang setia mengikuti Bruce Willis dalam koleksi siri Die Hard sebelum ini.
Filem kelima Die Hard ini mungkin tidak ketara mesej-mesej kritikal untuk disuguh, melainkan unsur propaganda AS yang tidak pernah lari dalam mana-mana produk Hollywood.
Berpadanan dengan tajuk filem ini sendiri, ia tidak lebih daripada menyatakan, adalah terlalu bagus untuk menjadi hero yang susah untuk mati. Saranan aku, cukup sahaja ia ditonton sebagai salah satu sajian filem aksi yang menghiburkan.
Argo
Sebuah filem thriller berat yang baru sahaja memenangi Screen Actor Guild Awards.
Seperti biasa, Hollywood berperanan sebagai industri yang aktif mempamerkan kehebatan dan kepintaran Amerika sebagai kuasa besar dunia yang dominan dalam mesej keamanan sejagat.
Filem ini mengangkat peristiwa benar yang berlaku sewaktu Revolusi Iran pada 1979 di mana krisis diplomatik AS-Iran berada di era kemuncak.
Pencerobohan ke atas kedutaan Amerika di Tehran dan penawanan rakyat Amerika ketika itu dipaparkan dengan berkesan. Latar tempat, masa dan suasana masyarakat yang ditonjolkan berjaya menimbul debar penonton.
Argo mengkisahkan kembali bagaimana misi Canadian Caper oleh CIA untuk membawa keluar (exflitration) enam diplomat AS dari negara Iran ketika krisis kian memuncak.
Misi yang dianggap paling kreatif pernah dilaksanakan oleh CIA ini dengan penyamaran ejen perisik sebagai produksi filem bertujuan mengaburi pihak Iran untuk mengeluarkan diplomat AS tersebut.
Bagi sesiapa yang mahukan lebih penghayatan, elok dibuat sedikit pembacaan umum berkaitan bagi mendapatkan pemahaman yang lancar ketika menonton.
- sejarah pembabitan AS di Iran (kudeta dan monopoli telaga minyak)
- pentadbiran AS di zaman Presiden Jimmy Carter;
- hubungan diplomatik Iran-AS sebelum dan selepas revolusi Iran; dan
- undang-undang antarabangsa berkaitan perlindungan diplomatik dan kedutaan.
'Mesej-mesej Politik' Argo
Beberapa pesan tersirat dapat dihidu daripada pengamatan tatkala menonton Argo.
Sebagai sebuah filem non-satira politik, sudah pasti ia sarat dengan paparan mesej kritikal, terutama dalam mengangkat sesuatu ideologi dan mainan persepsi bagi menjatuhkan ideologi yang lain.
Serangan politik pemikiran lewat naskhah filem seperti Argo ini awal-awal lagi akan dapat dikesan di permulaan filem.
Argo mewajahkan saat-saat getir pentadbiran White House yang menerima tekanan daripada pelbagai pihak terutama rakyat untuk membebaskan warganegara mereka yang ditawan Iran.
Konflik yang mengakibatkan Washington memutuskan hubungan diplomatik dengan Tehran itu dikisahkan secara mendatar. Pun demikian, kemelut politik yang dialami oleh Presiden AS ketika itu jelas memperlihatkan kononnya setiap keputusan yang ingin diambil oleh Amerika akan memberi kesan kepada landskap politik antarabangsa.
Hakikatnya, Amerika sebenarnya sentiasa dilihat angkuh dan enggan mengakui kesilapan mereka.
Dasar luar (foreign policy) Amerika
Antara yang sengaja disinggung adalah situasi tegang ketika Presiden AS bergolak untuk mempertahankan kedudukan beliau. Iran Hostage dianggap portfolio kritikal yang perlu ditangani Carter ketika itu.
Ia terlihat sebagai satu 'amaran' kepada mana-mana Presiden dalam mengingatkan kembali bahawa setiap keputusan yang melibatkan dasar luar negara AS sangat dipengaruhi dengan desakan kepada keutamaan rakyat.
Perlindungan dan keselamatan rakyat Amerika yang menjadi teras konflik dan misi ketika itu cukup memberi kesan kepada reputasi kepimpinan AS. Peralihan kepimpinan kepada Ronald Reagen selepas itu juga dikatakan terkesan dengan insiden tersebut, di mana Carter mengalami krisis keyakinan di kalangan rakyat akibat dasar luar negara beliau yang tidak konsisten.
Dalam konteks semasa, Argo dianggap sebilangan pengamat politik secara diam menempelak sikap Obama yang sama dengan Carter ketika menangani krisis di Libya beberapa tahun lalu. Bahkan, sewaktu debat ketiga Presiden dalam siri kempen pilihanraya AS, ia menjadi topik hangat antara Obama dan Romney.
Kematian 4 warganegara dan diplomat AS di Libya misalnya, dipersoalkan di samping mempertikaikan komitmen sebenar AS dalam penyelesaian sesuatu konflik antarabangsa.
Sama ada ianya kebetulan atau disengajakan, ia tetap membawa satu jalur maksud yang tersirat tentang sikap AS dari dulu sehingga sekarang.
Amerika sentiasa bertindak opportunis dalam setiap kemelut politik negara-negara luar, dan ia masih kekal angkuh tanpa mengakui bahawa mereka tidak mampu untuk berperanan problem solver di peringkat antarabangsa.
Pengaruh Khomeini dalam gerakan Revolusi Iran
Sebuah coup d' etat (gerakan pemberontak bagi menggulingkan kerajaan) akan dipandu arah oleh satu kepimpinan yang berpengaruh. Revolusi Iran pimpinan Ayatollah Khomeini digambarkan telah menyebabkan seluruh rakyat bencikan Amerika.
Protagonis dalam filem ini digambarkan sedang berdepan dengan satu misi pengasingan daripada suatu lingkup dunia yang menekan dan boleh mengancam nyawa, dengan paparan Khomeini yang sentiasa membayangi.
Khomeini secara tersirat ingin dilihat oleh khalayak seakan-akan menjadi antagonis utama dalam filem ini.
Ia menjadi suatu mesej yang sengaja dipaparkan bagi menyatakan pendirian politik AS sehingga kini sentiasa memusuhi pimpinan spiritual Iran itu.
Secara tuntas, beberapa babak dalam Argo seolah-olah membuat perlambangan betapa pemikiran konservatif dipelopori Syiah Iran ketika itu begitu menggusarkan AS yang tidak berupaya untuk mengekang revolusi yang meningkat dan turut merebak ke negara-negara Islam lain.
Penggulingan Shah Iran yang merupakan sekutu rapat AS oleh revolusioner pimpinan Ayatollah Khomeini mengakibatkan pemberontakan anti-Amerika di kalangan rakyat Iran begitu membuak-buak.
Kebencian melampaui sentimen keagamaan, hingga digambarkan rakyat Iran mengabaikan hak kemanusiaan. Suntikan babak-babak yang memerihal situasi genting dilihat bertujuan menyusup pemikiran penonton betapa radikalnya rakyat Iran.
Babak rakyat dan pelajar Iran menceroboh kedutaaan AS dan menangkap rakyat Amerika.
Babak rakyat Amerika digantung dengan kren di tengah bandar.
Babak wanita dan kanak-kanak bertungkus-lumus menyusun balik carikan kertas-kertas yang terkandung maklumat sulit dari kedutaan AS.
Babak demonstran yang agresif mengutuk tindakan Amerika memberikan suaka politik kepada Shah.
Babak demonstran yang agresif dan marah apabila gambar Khomeini di kedutaan AS dijadikan papan dart.
Babak peniaga Iran yang bengang dengan warga asing yang mengambil gambar, semata-mata emosi dengan kematian anaknya.
Ternyata, Argo berjaya 'merebahkan' imej Khomeini secara halus lewat filem itu. Ia lantas meneruskan kelangsungan 'psycho-war' antara Amerika dan Iran.
Wajib tonton
Benar, Argo filem propaganda.
Jika tidak, masakan Iran memilih untuk tidak sekadar berdiam diri dan sudah bersiap untuk merencana sebuah filem versi mereka sendiri bagi menyaingi naskhah filem versi AS tersebut.
Ataollah Salmanian, aktor dan sutradara Iran memaklumkan bahawa Pusat Kebudayaan iran telah bersetuju untuk peruntukan bagi penggambaran sebuah filem yang akan menjawab kembali fakta-fakta yang menyimpang dalam Argo.
Menurutnya, pengkisahan Argo bertentangan dengan sejarah kerana lebih menumpukan kepada peranan CIA, tanpa melihat pentingnya peranan kedutaan Kanada di Tehran ketika itu.
Sudah tentu ianya suatu yang menarik apabila isu diplomatik dan dasar politik luar dikisahkan secara nyata, ia bakal mengundang wacana filem yang lebih matang untuk ditonton khalayak.
Bagi penggemar filem sejarah (a true-based story film), aku sangat mengesyorkan filem ini.
Skala : 8/10.
p/s: Masih belum terlihat filem-filem cerdik dari produser Malaysia untuk 2013. Hanya ada lambakan hantu dan lelucon. Oh...