Secara jujur, berpergian seorang diri lebih aku gemari. Bukan sengaja mengingkari sunnah yang menggalakkan berjemaah dalam permusafiran, tetapi ia lebih memuaskan hati, bebas dan selesa kerana tidak perlu terikat dengan mana-mana teman yang mungkin berbeda hadaf. Pertemuan dengan kenalan baru, meneroka tempat yang kurang dikunjungi dan mengutip hikmah pengalaman di sebalik musafir.
Selesai melunasi tanggungjawab untuk peperiksaan akhir semester, aku bersama-sama teman sempat menyusun sedikit masa berziarah dalam musafir ke Pulau Pinang. Hajat memenuhi undangan perkahwinan sahabat kami terlaksana jua. Masa senggang yang ada terisi dengan satu kunjungan ke rumah teman sekuliah.
Tak terduga, kunjungan sore itu disambut baik oleh seorang lelaki lewat 60-an, namun raut wajah yang bersih dan segar masih terserlah, membuatkan kami terasa diraikan dengan penuh mahabbah. Tahulah kami lelaki yang juga bapa kepada teman sekuliah kami itu merupakan ahli akademik dan penulis buku yang prolifik.
Kami tidak sahaja dijamu dengan santapan petang yang enak, bahkan cepu fikir kami berjelira meratah inti bicara beliau yang begitu bersemangat memberi perkongsian ilmu. Beliau boleh aku kata memiliki ketokohan yang baik dalam bidang sejarah dan tamaddun Islam nusantara. Pelbagai percambahan idea dikongsikan lewat kupasan buku-buku karangan beliau sendiri yang sempat ditunjukkan kepada kami.
Dr Abdul Rahman Abdullah, antara panel akademik yang aktif menerbitkan penulisan buku dan makalah berorientasikan Islam dalam konteks ilmu sejarah dan ketamadunan. Karya dan naskhah beliau banyak menyinggung isu-isu pemikiran umat Islam, sejarah gerakan dakwah dan perkembangan tamadun Islam. Sesekali, isu-isu politik, tarbiyyah siyasi dan kritikan terhadap isme dalam berjemaah dibincangkan dalam suasana penuh ilmiah.
Pertemuan tersebut berlangsung lebih satu jam. Siapa menyangka, kami diberi peluang untuk bersemuka dan mendengar ocehan beliau yang berinti maklumat dan membuncah kefahaman yang kritis untuk kami hadami. Secara peribadi, aku mengagumi konsistensi beliau dalam memperkaya khazanah intelektual Melayu Muslim. Sayangnya, banyak buku beliau sudah tidak lagi diterbitkan atau diulang cetak. Namun, tidak terbit riak untuk beliau berhenti memberi sumbangan kepada dunia keilmuan tanah air.
Seperti ilmuan-ilmuan yang pernah aku kenali, salah satu kekuatan yang ada pada beliau adalah kesungguhan MEMBACA dan MENULIS. Dua disiplin keilmuan yang wajib bagi mereka yang beriltizam dengan ilmu dan amal.
Terima kasih sahabat-sahabat yang sudi berkelana bersama-sama. Semoga Allah menyebar rahmat ke dalam jiwa kita semua atas asbab taufik yang ditunjukkan kepada kita.
Dalam perjalanan pulang ke kampung halaman, aku dipertemukan dengan seorang lelaki berusia 40-an. Seorang tabligh dengan perawakan yang ringkas, seperti kebiasaan yang terlihat pada ahli jemaah tersebut. Kelewatan bas yang tertangguh jadual perjalanan selama sejam, terisi dengan perbualan bermanfaat bersamanya. Beliau dalam usaha keluar dua bulan berdakwah di sekitar Perak.
"Isteri abang sakit, ditahan wad. Risau dengan keadaan dia dan anak-anak, abang kena balik," ujarnya. Aku menghormati dan mengagumi beliau. Dakwah itu wajib bagi umat Islam, dan melaksanakan tanggungjawab bekeluarga itu wajib bagi setiap lelaki Muslim. Dan dia seboleh-bolehnya tidak mengabaikan kedua-dua peranan itu.
Abang Awang namanya, berasal dari Tepoh. Aku menyantuni beliau dengan mesra. Semestinya kita terasa seronok bila tatkala bertemu dengan orang yang hatinya sentiasa tenang dengan zikir, tiada guris gundah terukir di wajah atau remuk benci dalam hati untuk menyapa berbual akrab bersama orang yang baru dikenali. Beliau seronok berkisah pengalamannya berkelana penuh cabaran dalam dunia dakwah hampir 20 tahun.
"Mudah-mudahan usaha kecil para pendakwah yang bermujahadah berjalan sepanjang hari dapat meredakan murka Allah atas segala kemaksiatan yang dilakukan oleh hamba-Nya di atas muka bumi ini."
Aku bersetuju dengan titipan nasihat yang sempat dilontarkan kepadaku. Sebelum beredar, Abang Awang menghadiahkan sebotol minyak atar sebagai tanda persahabatan kami. Aku dengan senang memberikan nombor untuk dihubungi.
Sungguh, aku menyukai orang sebegini kerana keikhlasan dan istiqamah dalam merealisasikan kesaksian iman pada diri. Barangkali pesimis wujud di kalangan masyarakat akan usaha beliau. Namun, siapalah kita untuk mengukur darjat dan menilai usaha murni melainkan Allah juga yang menghitung setiap amal hamba-hamba-Nya.
Semoga kita dijauhi dari fitnah munafik dan penyakit al-wahn yang menjadi punca hati mati.
p/s: cuti terisi dengan latihan praktikum dan beberapa pelan yang dirancang. Semoga dipermudahkan oleh Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan