Hadiah Cinta daripada Allah

Beruntunglah bagi mereka yang merindui Ramadhan. Terbitkan rasa syukur dengan bemunajat di awal Ramadhan, dengan harapan yang penuh kehambaan. Beberapa titipan nasihat oleh guru yang dikasihi, Al-Fadhil Ustaz Mustaffa Kamal.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang kita bertaubat bersungguh-sungguh kepada Allah agar diampunkan segala dosa kita dengan Allah. Jika dosa kita berkaitan dengan manusia, maka mohonlah kemaafan daripada mereka yang berkenaan. Jangan biarkan amal kita tergantung dek kerana malu untuk memohon maaf dengan orang lain.

Banyakkan berzikir, beristighfar berselawat dan seumpamanya, kita tetapkan zikir kita umpama ingin berzikir 10 ribu sehari atau mengikut kemampuan masing2.

Bangunlah pada waktu malam bertahajjud dan munajat di malam hari kepada Allah. Banyakkan bertafakur dan berkhalwah dengan menumpukan tawajjuh kepada Allah agar hati kita tunduk kepada-Nya.

Jagalah anggota kita daripada maksiat terutama maksiat mata dan lidah. Infaklah harta pada jalan Allah dalam keadaan ikhlas. Berbuka dan bersahurlah dalam keadaan mengikut sunnah dan jauhkan daripada pembaziran.


Jangan abaikan ilmu dengan mendengar tazkirah dan seumpamanya.



Ramadhan adalah hadiah cinta daripada ALlah. Sambutlah Cinta itu dengan kegembiraan. Balas Cinta dengan ketaatan dan kehambaan. Menangislah dengan kasih sayang, kerna Ramadhan itu nikmat tak terungkapkan.

Dunia hitam putih

Dua minggu berpraktikum di firma guaman kurang mengujakan.

Memenuhi keperluan kursus latihan industri yang berbaki sebulan lebih, harap-harap ia segera berlalu. Bukan tidak menggemari tugasan yang diberi. Apatah lagi dengan pendedahan kerjaya yang diperoleh, ia suatu pengalaman yang menyenangkan hati.

Pun begitu, mengenangkan prospek yang samar-samar, ia sedikit menjejaskan minat untuk meneruskan hasrat ke dalam karier ini. Jika ada rezeki, segala puji bagi Allah. Jika tidak, hanya Allah jua yang maha mengetahui dan sebaik-baik pengatur rencana untuk hamba-Nya.


Barangkali ini sedikit menghiburkan hati. Tatkala pulang dari rutin harian di firma, menonton siri drama TV ini tidak menjemukan dan terasa 'bijak'. The Suits, kisah menarik dua rakan di sebuah firma guaman. Seorang peguam yang handal dan sentiasa terkehadapan, seorang lagi lincah sebagai pembantu dan pintar.

Tiba-tiba teringat satu siri drama urban Melayu, yang disiar lima tahun lalu. Malaysia jarang ada drama siri yang cerdik pengisiannya seperti ini. Mungkin lepas ni perlunya profesional yang sudah kaya-raya pergi membantu pembikin filem berkarya dan menulis skrip yang boleh memandaikan rakyat.


Aku, meneruskan baki hari-hari di Alias Abdullah & Co. dengan terus menghadap fail-fail kes jenayah. Cepatlah berlalu.

p/s: Mahu jadi pengamal undang-undang dan usahawan Muslim. Doakan, insha-Allah.

Sehari di Penang

Salah satu kesukaan aku adalah tatkala berpeluang untuk berkelana di tempat orang dan mengenal hati budi manusia yang ada di situ. Masih tertancap dalam ingatan sewaktu usia menganjak 17 tahun, tekad yang tinggi untuk berjumpa dan mengekori seorang penulis buku mendorong aku untuk berpergian ke Kuala Lumpur seorang diri semata-mata untuk tujuan itu sahaja. Dan ternyata, ia memberi kepuasan yang berbeza.

Secara jujur, berpergian seorang diri lebih aku gemari. Bukan sengaja mengingkari sunnah yang menggalakkan berjemaah dalam permusafiran, tetapi ia lebih memuaskan hati, bebas dan selesa kerana tidak perlu terikat dengan mana-mana teman yang mungkin berbeda hadaf. Pertemuan dengan kenalan baru, meneroka tempat yang kurang dikunjungi dan mengutip hikmah pengalaman di sebalik musafir.

Selesai melunasi tanggungjawab untuk peperiksaan akhir semester, aku bersama-sama teman sempat menyusun sedikit masa berziarah dalam musafir ke Pulau Pinang. Hajat memenuhi undangan perkahwinan sahabat kami terlaksana jua. Masa senggang yang ada terisi dengan satu kunjungan ke rumah teman sekuliah.

Tak terduga, kunjungan sore itu disambut baik oleh seorang lelaki lewat 60-an, namun raut wajah yang bersih dan segar masih terserlah, membuatkan kami terasa diraikan dengan penuh mahabbah. Tahulah kami lelaki yang juga bapa kepada teman sekuliah kami itu merupakan ahli akademik dan penulis buku yang prolifik.

Kami tidak sahaja dijamu dengan santapan petang yang enak, bahkan cepu fikir kami berjelira meratah inti bicara beliau yang begitu bersemangat memberi perkongsian ilmu. Beliau boleh aku kata memiliki ketokohan yang baik dalam bidang sejarah dan tamaddun Islam nusantara. Pelbagai percambahan idea dikongsikan lewat kupasan buku-buku karangan beliau sendiri yang sempat ditunjukkan kepada kami.

Dr Abdul Rahman Abdullah, antara panel akademik yang aktif menerbitkan penulisan buku dan makalah berorientasikan Islam dalam konteks ilmu sejarah dan ketamadunan. Karya dan naskhah beliau banyak menyinggung isu-isu pemikiran umat Islam, sejarah gerakan dakwah dan perkembangan tamadun Islam. Sesekali, isu-isu politik, tarbiyyah siyasi dan kritikan terhadap isme dalam berjemaah dibincangkan dalam suasana penuh ilmiah.

Pertemuan tersebut berlangsung lebih satu jam. Siapa menyangka, kami diberi peluang untuk bersemuka dan mendengar ocehan beliau yang berinti maklumat dan membuncah kefahaman yang kritis untuk kami hadami. Secara peribadi, aku mengagumi konsistensi beliau dalam memperkaya khazanah intelektual Melayu Muslim. Sayangnya, banyak buku beliau sudah tidak lagi diterbitkan atau diulang cetak. Namun, tidak terbit riak untuk beliau berhenti memberi sumbangan kepada dunia keilmuan tanah air.

Seperti ilmuan-ilmuan yang pernah aku kenali, salah satu kekuatan yang ada pada beliau adalah kesungguhan MEMBACA dan MENULIS. Dua disiplin keilmuan yang wajib bagi mereka yang beriltizam dengan ilmu dan amal.

Terima kasih sahabat-sahabat yang sudi berkelana bersama-sama. Semoga Allah menyebar rahmat ke dalam jiwa kita semua atas asbab taufik yang ditunjukkan kepada kita.

Dalam perjalanan pulang ke kampung halaman, aku dipertemukan dengan seorang lelaki berusia 40-an. Seorang tabligh dengan perawakan yang ringkas, seperti kebiasaan yang terlihat pada ahli jemaah tersebut. Kelewatan bas yang tertangguh jadual perjalanan selama sejam, terisi dengan perbualan bermanfaat bersamanya. Beliau dalam usaha keluar dua bulan berdakwah di sekitar Perak.

"Isteri abang sakit, ditahan wad. Risau dengan keadaan dia dan anak-anak, abang kena balik," ujarnya. Aku menghormati dan mengagumi beliau. Dakwah itu wajib bagi umat Islam, dan melaksanakan tanggungjawab bekeluarga itu wajib bagi setiap lelaki Muslim. Dan dia seboleh-bolehnya tidak mengabaikan kedua-dua peranan itu.

Abang Awang namanya, berasal dari Tepoh. Aku menyantuni beliau dengan mesra. Semestinya kita terasa seronok bila tatkala bertemu dengan orang yang hatinya sentiasa tenang dengan zikir, tiada guris gundah terukir di wajah atau remuk benci dalam hati untuk menyapa berbual akrab bersama orang yang baru dikenali. Beliau seronok berkisah pengalamannya berkelana penuh cabaran dalam dunia dakwah hampir 20 tahun. 

"Mudah-mudahan usaha kecil para pendakwah yang bermujahadah berjalan sepanjang hari dapat meredakan murka Allah atas segala kemaksiatan yang dilakukan oleh hamba-Nya di atas muka bumi ini."

Aku bersetuju dengan titipan nasihat yang sempat dilontarkan kepadaku. Sebelum beredar, Abang Awang menghadiahkan sebotol minyak atar sebagai tanda persahabatan kami. Aku dengan senang memberikan nombor untuk dihubungi.

Sungguh, aku menyukai orang sebegini kerana keikhlasan dan istiqamah dalam merealisasikan kesaksian iman pada diri. Barangkali pesimis wujud di kalangan masyarakat akan usaha beliau. Namun, siapalah kita untuk mengukur darjat dan menilai usaha murni melainkan Allah juga yang menghitung setiap amal hamba-hamba-Nya.

Semoga kita dijauhi dari fitnah munafik dan penyakit al-wahn yang menjadi punca hati mati.

p/s: cuti terisi dengan latihan praktikum dan beberapa pelan yang dirancang. Semoga dipermudahkan oleh Allah.