Pelihara potensi diri

Saat ini adalah tempoh para penuntut di universiti-universiti berdepan dengan peperiksaan akhir. Rutin di hujung semester, semua akan kesibukan menelaah buku dan mengulang-ulang nota sebelum menginjak tiba ke dewan peperiksaan.

Hampir lima tahun mendiam di bumi Nilai, sebagai pelajar kerdil di pusat pengajian di sini meski hampir tiada langsung dalam benak fikiran aku untuk bergelar penuntut jurusan undang-undang sebelum ini. Aku cuba mengingat-ingat kembali, bagaimana terjadi sehingga menatijahkan keadaan aku seperti sekarang. Segala pesan Abah, harapan tinggi emak dan inspirasi yang terzahir oleh adik, abang dan dua kakak mendorong kekuatan untuk terus kekal dalam pengajian ini.

Bersama teman-teman seperjuangan kampus menghirup udara kebebasan akademik

Begitu hebat percaturan Allah. Kita sebagai hamba tersangat dangkal berbanding pengetahuan-Nya yang maha luas. Kita mungkin sahaja boleh berangan dan mengimpikan sesuatu, tetapi tidak semua yang kita harapkan akan berlaku. Mungkin kita akan mengeluh sekarang, tetapi esok pasti kita akan mengucap syukur dan mengukir senyum, tanpa kita hiraukan jerih payah sebelum ini yang terus luput dari benak fikiran.

Allah sebaik-baik perancang. Allah jua sebaik-baik tempat bergantung.

Aku positif dan cuba bersikap adil dalam menerima cabaran tatkala menempuh dunia pengajian sekarang ini. Dunia kampus sememangnya kaku, melainkan kita sendiri yang mengolah dan membina persekitaran yang diinginkan.

Pengalaman mampu mematangkan fikiran dan tindakan

Universiti, tidak lebih daripada medan uji kaji. Dunia varsiti tidak lari dari rencam suasana yang menyulitkan. Medan uji kaji ini hanya berkitar selama empat hingga enam tahun. Terserah kepada diri kita sendiri untuk mencetuskan suasana yang membina peribadi dan menjana pengalaman kita sendiri.

Secara peribadi, aku mendoakan yang terbaik dalam peperiksaan kali ini. Baki tiga semester yang perlu dilunaskan, aku bersyukur dikurniakan anugerah pengetahuan dan hadiah persahabatan yang cukup besar manfaatnya pada diri. Belajar dengan penghayatan akan membuatkan diri kita 'hidup', dan jauh dari benak yang ternyata palsu dengan hafalan dan kongkongan jeriji menara gading.

Apapun, jauh lebih besar aku mendoakan yang lebih baik dalam perancangan yang akan diteruskan untuk beberapa tahun mendatang. Sahabat dan teman sekeliling hadir membantu dan menyokong sesekali, hasrat yang ingin dikecap.

Ingatan terpenting yang perlu aku pasakkan, setiap kita dianugerahkan potensi tersendiri. Allah tidak pernah mensia-siakan hamba-Nya. Maka, jika kalian menyedari kebaikan apa yang wujud dalam diri serta bermanfaat pada diri kalian, maka peliharalah potensi tersebut. Fokus dan bentukkanlah ia dengan tindakan yang menguntungkan diri dan Islam.

Semoga usaha kita semua dipermudahkan. Paling penting, semoga apa yang dirancang mendapat redha Allah dan memberi manfaat kepada orang lain. Sebaik-baik manusia adalah mereka yang paling memberi manfaat kepada orang di sekelilingnya.



p/s: Merindui detik-detik 'larut' dalam pengembaraan jiwa, lima tahun lalu. Ingin kembali dengan jiwa yang lebih besar!

3 ulasan:

Inniakhofullah berkata...

Menurut suatu pembacaan, potensi diri yang WAJIB dikembangkan ialah potensi fitrah secara spritual.Contohnya, potensi fitrah tauhid dan akidah.

Jika tiada sesiapa pun yang mengembangkan potensi ini, maka sia-sialah segala potensi diri yang lain. Potensi seperti inilah yang bernilai ukhrowi, bukan semata-mata dunia.

p/s: potensi diri boleh dikenalpasti melalui juzuk alquran. Contohnya, orang yang lahir pada tarikh tertentu, kemudian dikenalpasti dirinya mempunyai komposisi beberapa surah, maka, potensi-potensi daripada surah terbabit boleh cuba untuk dikembangkan.

Nurun Nur 9111 berkata...

salam ziarah...

salam perkenalan.penulisan yang cukup tenang...:)

Tony berkata...

Potensi diri adalah sepenuhnya karunia dari Allah. Gunakanlah potensi diri semaksimal mungkin dan untuk kebaikan umat......