Di luar lingkungan minda

Menempuh fasa awal berada dalam saf kepimpinan sebesar ini menuntut banyak perahan minda dan mencatur perancangan. Tekanan, cabaran, hentaman, dugaan dan sinikal itu menjadi rutin saban hari. Berperanan sebagai wakil pelajar menuntut wibawa yang tinggi di samping konsistensi idealisme yang perlu dibugar sentiasa.

Cabaran utama sudah pasti adalah kesuntukan masa yang ada.

Bayangkan, sekiranya tidak ada perancangan yang benar-benar kukuh, sesi satu penggal dalam kepimpinan mahasiswa akan dilalui dengan serba kekalutan, hilang fokus dan paling merisaukan, ketidakupayaan meletakkan benchmark yang menyentak dan disegani untuk generasi seterusnya.

Maka, ketika itu tamparan terhebat akan memukul seluruh kepimpinan dek kerana kuasa menggugat yang dicanang di awal manifesto didegar-degarkan, hanya tinggal omongan basi. Lebih memalukan, mahasiswa akan dicop oleh pihak-pihak tertentu dengan istilah yang me'layu'kan mahasiswa.

Mahasiswa lesu

Salah satu jenayah yang kerap kali dilakukan oleh sesetengah pihak adalah sikap melabel mahasiswa dengan konotasi-konotasi memperlekeh dan mencebik mahasiswa.

Istilah mahasiswa lesu, mandom, mahasiswa tak matang, spoon-fed, dan seumpamanya menggambarkan betapa skeptikal pihak tertentu terhadap mahasiswa sehingga wujudnya gambaran pada pandangan masyarakat bahawa mereka yang menuntut di menara gading seperti pelajar sekolah.

Disogok, disudu, disuap, dihulur, diberi segala-gala, dan mahasiswa ketika itu secara rasminya bergelar budak sekolah terhormat, kerana mereka hadir ke empayar keilmuan retorik bernama varsiti sekadar untuk menadah telinga, menggumam dengan siri kuliah berpandukan nota-nota yang disediakan pensyarah, melangut di kafetaria sambil menjeling dan mengenyit mata kepada rakan-rakan sekelas yang genit lagi gedik, dan akhirnya di katil hostel sambil memutar lagu-lagu kegemaran yang membuai rasa, melunyai idealisme.

Mungkin kebenaran tentang mahasiswa lesu diakui dan terserlah. Hakikatnya, mahasiswa tidak sepatutnya begitu. Kasihan mahasiswa.

Gejala takut

Orang kebanyakan selalu berkata dengan penuh bernafsu, muda hanya sekali. Maka jangan sia-siakannya.

Berada di kampus juga hanya sekali, tatkala usia muda. Barangkali tiga, atau empat tahun. Mungkin juga lima atau enam tahun pengajian di universiti.

Sedar atau tidak, keberadaan di universiti bukan semata-mata pengajian. Fasa peralihan antara muda dan tua, remaja dan dewasa, ia adalah fasa genting yang menentukan siapa kita bila keluar dari varsiti kelak.

Jika sering bernaka-nakal di varsiti, berkemungkinan besar gelagat dan tindak-tanduk sebegitu juga akan terbawa-bawa ke alam dewasa. Jika takut dan duduk diam menjadi budaya, maka sebegitu rupa gelagatnya bila sudah melangkah ke dunia orang tua.

Sayang sekali, persekitaran dan sistem begitu rakus menjamah setiap inci kematangan mahasiswa. Wujudnya hadangan-hadangan yang meresahkan, namun tidak ramai yang terdaya melawan, hanya menikus dan mengangguk-angguk. Diam dalam kepatuhan lebih selamat untuk dipilih sebagai 'candu' kehidupan di alam kampus.

Gejala ketakutan menular dan meresap, mengakari setiap gerak langkah. Kepatuhan tanpa pertentangan yang rasional menjenazahkan autonomi mahasiswa secara tuntas. Tiada lagi soal cabar-mencabar, kerana dibunuh dengan lambakan tugasan yang lebih mencorakkan manusia rigid dan statik.

Mengapa ia semakin parah? Kerana ketiadaan jalan atau kaedah tegas yang memusatkan tindakan kepada aksi-aksi dramatik mahasiswa. Tiada analisis yang mendalam untuk merawat barah kepada dunia mahasiswa. Lama-kelamaan, mahasiswa keseluruhan mandom.

Tidak peka, hilang prihatin, keakuan, lenyap komitmen, hancur idealisme dan sebagainya akan menjadi budaya baru kesan daripada gejala takut di kalangan mahasiswa.

Kepada seluruh kepimpinan mahasiswa di seluruh negara, sama ada yang terpilih sebagai pimpinan di peringkat kampus, atau di peringkat luar kampus, selamat menjalankan amanah sebaik mungkin. Semoga tidak takut untuk berbuat kesilapan, kerana proses yang dilalui adalah proses belajar. Belajar untuk berani. Berani menggugat.

Usia kita di kampus tidak lama. Dalam dua tiga tahun sahaja lagi, menanti detik melempar sijil kematian ke langit dunia untuk menyatakan, kita sudah puas bergelumang dengan ilmu. Kasihanlah kepada diri sendiri....


p/s: Sedang seronok mengulang tayang filem-filem perang dan tokoh pemimpin.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

hebat! mahasiswa mampu hebat! persis pahlawan trdahulu...
thabat n yaqin untuk anta, tewas bkan menyerah, sakit bkan mengalah,
moga sirah trdahulu mampu trhadam,
mampu bangkit andai trjatuh,-sheikh

Tanpa Nama berkata...

1.ESOK MAJLIS BERSAMA AD-DAIE - HABIB MUNZIR BIN FUAD AL-MUSAWA : http://wp.me/piAx4-179

2.Pandangan NU/Nahdlatul Ulama tentang Perayaan Maulid Nabi dan Kontroversi Ma’na Bid’ah : http://wp.me/piAx4-1de

3.Mengapa Mempertikaikan Maulid? - Syeikh. Fuad Kamaluddin : http://wp.me/piAx4-1bf

4.Sambutan Maulidurrasul.Hukum dan Perbahasan. : http://wp.me/piAx4-1aC

5.Hukum Menyambut Maulidul Rasul -Ustaz Rashidi : http://wp.me/piAx4-ne

6.Mengapa Menyambut Maulidur Rasul ? : http://wp.me/piAx4-1ap

7.Mengapa sambut Maulid Nabi-Yayasan Sofa : http://wp.me/piAx4-1at

8.Tanda Cinta Kepada Rasulullah : http://wp.me/piAx4-1an

9.Maulid Nabi SAW : http://wp.me/piAx4-1a6

10.Mengenai Maulid Nabawi : http://wp.me/piAx4-19X

11.Memperingati Manusia Agung : http://wp.me/piAx4-19L

12.Risalah sambut Maulidurrasul s.a.w : http://wp.me/piAx4-19J

13.Mawlid - Fatwa Ibnu Taimiyyah : http://wp.me/piAx4-mq

14.Mawlid - al-Qardhawi : http://wp.me/piAx4-mo

15.Marhaban Ya HabibAllah : http://wp.me/piAx4-19r

SIRC berkata...

salam,

dah lama tak menjengah ke blog min,kelas dah start (dan dah nak habispun) dan program dah byk.masih memukau dan memaku dalammya kata-kata dan jelasnya maksud.semoga siapa yg hadir boleh memikir dan mendapat sedikit sebanyk kesedaran dan cuba merubah nasib diri.

tabahkan hati kuatkan azam dan sentiasa sabar dalam menghadapi perjuangan yg mencabar ditampuk kepimpinan mahasiswa.kutip segala macam pengalaman dan teladan utk kehidupan yg lebih baik.jangan putus asa dalam mendidik diri dan rakan-rakan lain, sepak terajang politik situ dan sini dan paling penting tuntutan sebagai pelajar dalam menuntut ilmu.

we miss you though...

Mohd Hazimin Harun berkata...

SIRC,

semacam mengenali..
apapun terima kasih atas nasihat dan saranan yang dihulurkan.