Gadoh

Dek bosan dengan rancangan raya dalam TV yang stereotaip dan banyak membangkut minda, aku melayan koleksi filem dalam laptop, ada yang belum sempat ditonton lagi.


Cerita ini tak lulus masuk panggung, bilang rakan sebilik aku. Gadoh, cerita budak cina kutuk budak melayu. Boleh tahan jugak filem ni. Patutlah tak lulus, banyak sangat unsur prejudis ras dan bangsa yang ditonjolkan. Memang selamba si Nam Ron ni. Tapi tak dinafikan, filem bikinan orang teater memang mengesankan.

Habis menonton, aku terus bedah filem ini sikit-sikit. Untuk makluman, Gadoh sudah dilancarkan empat bulan lepas, tetapi tayangan kepada khalayak hanya di tempat-tempat tertentu sahaja. Tak masuk pawagam. Durasi sekitar 70 minit padat dengan mesej yang tersirat, tetapi sampai dengan tepat kepada penonton setiap persoalan yang diketengahkan - persahabatan, kasih sayang dan kemanusiaan.Ada beberapa inti filem ini yang mencuit aku untuk mengupas serba sedikit.

"Teater itu maksiat"

Bagi aku, ini dialog paling lawak dalam filem Gadoh. Dalam satu babak, seorang guru wanita(tidak bertudung kepala) bersama-sama seorang guru lelaki bersembang dan memberi komen tentang idea seorang guru lain berkenaan penubuhan kelab teater di sebuah sekolah milik kerajaan.

Aku rasa pengarah filem ini sudah berjaya ketengahkan salah satu idea tentang punca berlakunya kemelut akhlak dan perpaduan dalam masyarakat kita, iaitu krisis prasangka (prejudgment).

Kita sangat pandai menghukum, tetapi jauh untuk bersikap cuba memahami. Sikap ini dikesan sudah menjadi warisan yang berterusan, dari generasi tua hinggalah kepada anak-anak muda sekarang. Sikap inilah yang membantut usaha pengislahan masyarakat. Apabila mula berprasangka, maka terseraplah blok pemikiran yang menentang, akhirnya menutup sebarang bentuk tindakan.

Aku memilih untuk melihat babak tersebut sebagai satu bentuk sindiran kepada golongan yang dikatakan cerdik tetapi mempunyai pemikiran sempit. Memberi pandangan berdasarkan apa yang dia tahu. Bukannya apa yang orang lain mahu.

Dalam konteks dakwah sendiri, tak perlu kita berlagak alim kalau tidak faqih keadaan persekitaran semasa. Tak perlu bersembang lebih tentang dakwah kalau duduk letak kita jauh dengan mad'u. Jika kita tidak mengenali mereka, mana mungkin untuk kita memahami mereka.

Kadang-kadang ada juga terfikir, mengapa masih lagi wujud keadaan tarbiah itu bersifat eksklusif. Usrah, halaqah dan dakwah hanya aktiviti orang tertentu sahaja. Inilah ayat yang biasa aku dengar di kalangan sahabat yang bukan 'budak fikrah'. Mereka bukannya belum mendapat pencerahan, tetapi mereka melihat tarbiah itu sudah di'jalur'kan kepada satu-satu kelompok sahaja. Maka, mereka pun mengambil langkah menjauhkan diri.

Itu silap kita yang ada kesedaran berdakwah. Salah satu harapan yang terbayang di minda aku acap kali, untuk melihat wujudnya halaqah antara penggiat dakwah di kampus dengan penggiat seni kampus. Alangkah harmoni bila melihat budak teater Atra atau penari Fanshuri hadir dalam lingkungan usrah, berdiskusi dan berkongsi idea dengan mereka. Persoalannya sekarang bukan lagi "bila", tetapi persoalan sebenar adalah "bagaimana".

"Melayu bodoh. Belajar tak pandai pun boleh masuk U"

Dialog dalam satu babak oleh seorang pelajar Cina. Sesi luahan semua pelajar melayu dan cina untuk suarakan rasa tak puas hati sesama mereka. Ada beberapa kata-kata yang lebih 'berani' daripada ini. Nak tahu, tengok sendiri filem ini.


Cuma bagi aku, kata-kata ini sangat terkena kepada orang Melayu. Ambil dari sudut positif. Sekiranya begini persepsi orang bukan Melayu terhadap kita, bermakna ada sesuatu yang perlu kita fikirkan, khususnya mengenai nilai umat Melayu yang Muslim dari perspektif non-Muslim.

Adakah benar Melayu sinonim dengan bangsa yang bodoh dan malas? Jika direnung balik, ada benar dan silap dalam dakwaan tersebut. Melayu bergantung dengan status quo bumiputera., sedangkan bangsa lain tidak. Bangsa lain bertungkus-lumus untuk maju kerana mereka tahu, nasib mereka tak seperti bertuahnya nasib Melayu.

Bangsa Melayu melambak di universiti, tetapi berapa kerat yang membanggakan ummat?

Untuk anak-anak muda Melayu Islam, jangan perasan kita ni bagus. Ya, mungkin silap untuk mengatakan pelajar Melayu bodoh, kerana hakikat sebenarnya, pelajar Melayu sebenarnya sedang diperbodohkan, sejak dahulu lagi. Banyaknya mahasiswa mandom di kalangan Melayu. Punahnya akhlak ramai di kalangan Melayu. Jelas, anak Melayu akan musnah jika biasa dimanjakan tanpa sebarang suntikan kesedaran.

Pun demikian, seperti dinukilkan oleh Syed Hussein Al-Attas, mitos mengatakan bangsa bumiputera itu malas adalah dakwaan yang tidak ada asas. Kerna hakikatnya "malas" atau "bodoh" itu bergantung kepada diri kita sendiri.

"I tau you takkan terima kalau seni tu dipolitikkan"

Suatu kelaziman, bahkan seperti sudah menjadi budaya, apabila pengaruh politik digunakan untuk mencari kepercayaan dalam konteks hubungan sosial. Lewat Gadoh, Namron memaparkan aspek 'seni yang dipolitikkan' semasa babak terakhir ketika pementasan teater monolog yang dikendalikannya.


Teater tersebut membuatkan watak pengetua sekolah dan wakil Kementerian tidak senang duduk kerana 'terpukul' dengan monolog secara sinis daripada pelajar, yang akhirnya mereka meninggalkan dewan dalam keadaan bingung kerana terasa diperbodohkan.

Barangkali sebab itulah ramai politikus tidak menggemari penggiat seni. Bagi mereka, kelompok inilah yang banyak mendedahkan kebobrokan dunia politik yang korup melalui karya dan puisi mereka secara halus menikam.

Ini juga antara realiti yang cuba diketengahkan dalam filem ini. Pangkat dan kuasa boleh digunakan sewenang-wenang oleh seseorang untuk memenangkan situasi agar menyebelahi mereka.

Aku berpendapat, campurtangan politik dalam seni sememangnya dicemuh, namun seni berpolitik jangan pula diabaikan kerana ia adalah cabang budaya dalam masyarakat kita di Malaysia.

"Sistem(pendidikan) yang membuatkan mereka jadi macam tu"


Kritikan terhadap sistem pendidikan di sekolah melatari beberapa babak dalam Gadoh. Gambaran masalah di kalangan guru yang lebih pandai bercakap daripada berbuat, sikap pihak atasan yang hanya mengejar populariti dari mementingkan kualiti, kurangnya daya mendidik tetapi lebih suka menghukum dan sebagainya.

Tidak menghairankan, watak seorang pelajar perempuan meluahkan kekesalan terhadap persekitaran sekolah yang dihadapinya. Hal ini bagi memaparkan betapa sistem yang tidak meraikan pendidikan sejagat serta tidak bersifat mesra pelajar adalah sesuatu yang merimaskan.

Bersifat mengongkong, menafikan suara pelajar dan tiada ruang untuk menyalur pendapat, antara ketempangan dalam sistem pendidikan. Hatta gejala sebegini sudah lama merebak ke insitut pengajian tinggi.

Perlu bagi pelajar atau mahasiswa menilai kembali sistem yang mereka hadapi. Adakah kita boleh mengakui sistem yang digunapakai sekarang mampu mendidik dengan berkesan? Dan adakah sistem itu menjadi punca utama masalah di kalangan pelajar? Sesuatu yang perlu kita fikirkan bersama.

Keruntuhan institusi keluarga

Keluarga melayu prejudis dengan bangsa lain dalam persaingan mendapatkan perniagaan. Gambaran betapa korupsi menjadi amalan biasa orang Melayu yang ingin maju dengan cepat. Manakala di babak lain, keluarga cina digambarkan sebagai bangsa yang bersusah-payah mengerjakan perniagaan meski sekadar di tepi jalanan.

Latar keluarga sebegitu dipaparkan menjadi faktor terdekat yang mempengaruhi sikap anak-anak. Mereka bosan dan tertekan dengan suasana yang melingkungi ciptaan ibu bapa mereka. Prejudis juga timbul melalui sikap ahli keluarga itu sendiri yang akhirnya memerangkap pelajar ke dalam konflik perkauman di sekolah.

Pengajaran mudah yang boleh dirungkai di sini, adalah faktor keluarga yang tidak bersifat mendidik dengan adab dan nilai bukan sahaja merosakkan anak-anak, bahkan juga merebak kepada perhubungan sosial dalam masyarakat.

Secara keseluruhan, aku tidak menganggap ia filem terbaik. Namun, boleh dikatakan antara yang terbaik berbanding filem-filem tempatan yang lebih 'pancit' isu moral dan tidak realistik. Gadoh mungkin tidak menyentuh unsur agama atau tidak menyelitkan pandangan tauhidik, tetapi meluaskan wacana dalam menghuraikan persoalan "kenapa" dan "mengapa" sesuatu kemelut itu berlaku dalam konteks masyarakat majmuk.

Walaupun memaparkan dialog yang mencabar pemikiran dan lari dari klise filem-filem Melayu lain, Gadoh juga cuba memberikan beberapa dialog dan gerak ucapan yang begitu komedi sifatnya pada sesetengah babak agar filem ini tidak diihat sebagai filem propaganda kepada sesuatu pihak.

Mungkin masalah pokok yang ingin dinyatakan lewat Gadoh adalah prejudis antara kaum. Isu perpaduan sebegini sememangnya merupakan realiti yang masih wujud di kalangan masyarakat kita. Meski Gadoh dilihat cuba mencipta kontroversi, namun sewajarnya ia dilihat sebagai medium pendidikan.

Menterjemahkan sesuatu benar terkadang memang pahit, namun itulah yang perlu ditelan. Setiap permasalahan ada solusi tersendiri. Jika Gadoh ingin menjadikan seni dan budaya(teater) sebagai jalan penyelesaian, maka ia akan diterima, kerana kita tidak mahu lagi filem-filem sedia ada memaparkan masalah semata-mata, seperti filem Anak Halal, Bohsia, sebaliknya keluarkan suatu naskhah yang memperlihatkan jalan mengatasi.


Gadoh, memang banyak babak gaduh sepanjang filem ini. Cerita pelajar sekolah nakal yang biasa-biasa. Tontonlah dengan menilai estetika makna yang terkandung di dalamnya, kerna ini cerita seni, bukan cerita pop biasa. Mungkin juga, cocok sebagai filem 1Malaysia yang kritikal.
Selamat hari raya.

5 ulasan:

Tg.A berkata...

Alhamdulillah, ulasan yang kritikal sekali.


Saya bukan peminat Yasmin Ahmad tapi hari tu menonton 'talent time', naskah terakhir beliau. sindiran pada; "Melayu bodoh. Belajar tak pandai pun boleh masuk U" pun terpapar sebagai nilai dlm filem tersebut.


Apapun, cubalah menonton beberapa klip video disini.

www.15malaysia.com.my

Mohd Hazimin Harun berkata...

Terima kasih.

Pun selesai menonton kesemua 15 Malaysia.

Terbit harapan untuk melihat banyak lagi karya kritis yang mendidik masyarakat.

adele berkata...

kupasan yg panjang dan menarik..
bangga jadi melayu yang berilmu..
insyaAllah.

Tanpa Nama berkata...

Singgah sebentar. :)

Tanpa Nama berkata...

bernas dan kritis!
ana hormat mrk y m'hormati seni,,, sila membedah lagi isi seni(teater,novel,filem dll),
-perawan seni-