Di Penghujung Cinta


Hadirmu memikat pengulit Cinta
begitu ralit kau menggoda
dalam tenang mesra berbisik
kita beriringan menuju Tuhan
Aku menyahut hati berbunga
tapi Itu dahulu
waktu pertama kali kita bersua
namun kau masih setia
meski aku kini memungkirimu

Sinar terakhir sudah pun terbenam
berbondong-bondong mulai berpergian
ada yang suka ria bersorak
ada yang memuyu-muyu bertangis esak

Aku ingin sekali bertanya
sisa manismu untuk siapa
cinta bugar itu milik siapa
kau sekadar berdiam bisu
hanya dalam sendu kau ingin menjawab
itu rahsia hamba dengan Tuhan-Nya
pada satu malam tak terbandingkan

Begitu di hujung cintamu
tak ramai pedulikan
nyata hadirmu hanya untuk sedikit
yang terpilih mencicip manisnya taqwa
itu sebenar-benar kemenangan

Kerana hidupnya iman
aku tegar berbicara denganmu
meski di penghujung Cinta
aku merasa malu

duhai Ramadhan, maafkan aku...

1 Syawal 1430H
Kuala Terengganu

1 ulasan:

Wida' berkata...

Slm eidul fitri..mohon izin simpan ini di arkib