Menjelang PEMIKIR '09

“Sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang mendengarkan perkataan dan mengikuti yang terbaik dari kata-kata itu, mereka itulah orang-orang yang mendapatkan petunjuk bimbingan Allah; mereka itulah orang yang menggunakan fikiran.”
(Az-Zumar : 17 - 18)

Satu hari lagi, satu program bakal berlangsung di kampus USIM Nilai. Keberhasilan Wacana Pemikiran Islam 2009, atau PEMIKIR '09 akan diketahui esok. Bukan terlalu mengharap sesuatu yang prestij sifatnya, namun jauh di sudut hati bertekad agar ia mampu menjadi persada yang membawa hasrat kudus ke langit cita dengan penuh rasa kehambaan.

Istighfar dan selawat sayugia bertingkah melazimi rutin gerak kerja sepanjang tiga minggu. Biarlah hembusan rahmat memaut dan mendamai dalam suasana penuh barakah. Dengan penuh kerendahan hati, kami bermunajat memohon segala objektif yang kami gariskan berjaya untuk dicapai.

Secara peribadi, aku menaruh harapan agar budaya cintakan ilmu ini subur dan berkekalan. Budaya yang tidak berorientasikan kuliah dan teks nota semata-mata, sebaliknya ghairah menekuni nilai dan falsafah keilmuan, serta asyik menyelami hakikat pencerahan dalam pengalaman meneroka ilmu itu sendiri.

Menerusi PEMIKIR, aku cuba meletakkan dua misi utama yang tersirat, iaitu 'islamisasi ilmu' dan gagasan 'tauhidic worldview' sebagai teras penganjuran wacana ini. Proses memugarkan kembali ilmu-ilmu bersifat duniawi dengan nilai agama diumpamakan kembalinya pemahaman ilmu kepada fitrah Islam, sebagaimana yang dilakukan oleh intelektual Muslim seperti Imam Al-Ghazali, Muhammad Iqbal, Al-Mawdudi, Badiuzzaman Nursi dan Syed Naquib Al-Attas(sekadar menyebut beberapa nama) melalui pembinaan sekolah pemikiran yang mengagumkan para pemikir dunia Islam dan Barat.

Juga, terukir harapan untuk menyaksikan manifestasi tunjang Muslim, yakni akidah terserlah dengan penuh penghayatan dalam pembudayaan ilmu. Falsafah agung 'Sesungguhnya daripada Allah kita datang, dan kepada Allah jua kita kembali' mesti terpasak utuh dalam jiwa yang ikhlas dengan ilmu. Biar hadir keinsafan pada diri akan hakikat sebenar ilmu iaitu tawhid yang benar. Sudah pasti, matlamatnya adalah semata-mata demi mencapai redha Allah.

Segala puji hanya bagi-Nya yang maha Agung.
Salam Pemikir Ummah.

* Kepada sahabat-sahabat yang menyertai wacana PEMIKIR, persiapan awal berkenaan pemahaman jargon penting seperti epistemologi, worldview, paradigma, falsafah, ontologi dan seumpamanya.

Wacana Pemikiran
Islam 2009 - Memahami Cabaran Liberalisme di Malaysia


Ucaptama Wacana : Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri


Sidang Wacana 1

1. Dr Khalif Muammar A. Harris (Felo Penyelidik ATMA, UKM)

Tajuk : Epistemologi dan Metodologi Islam : Tanggapan Kritis


2. Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani (Timbalan Dekan FKP, USIM)

Tajuk : Peranan Kerohanian Islam Dalam Menghadapi Ancaman Islam Liberal


3. Mohd Faizal Musa (Faisal Tehrani)

Tajuk : Peranan Persuratan Melayu Dalam Menangani Pemikiran Islam Liberal


Sidang Wacana 2

1. Prof Madya Dr Syamsul Bahri Andi Galigo (Pensyarah FKP, USIM)

Tajuk : Penilaian Terhadap Pemikiran Islam Liberal : Satu Analisa Ilmiah Islamiah


2. Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah (Pensyarah Pengajian Media, UM)

Tajuk : Kuasa Media dan Jejak-jejak Liberalisasi


3. Prof. Dr Sidek Baba (Profesor Pendidikan UIAM)

Tajuk : Aliran Liberalisme dan Perkaitannya Dengan Pemerkasaan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ibunda



3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tahniah kpd anda selaku Pengarah PEMIKIR'09 ..dihrapkan agr dpt dibuat lg pd masa2 akn dtg...

Mohd Hazimin Harun berkata...

Terima kasih atas sokongan sahabat.
Segala perancangan tak kan berjaya tanpa pertolongan dan rahmat daripada Allah taala.

Segala puji hanya bagi-Nya.

amir berkata...

Terasa sdkt kekecewaan xbksmpatan hdir sma di wacana tmpoh ari,ala' kulli hal,thniah pd tuan pgrah ats idea dn gagasn pmikirn shgga thasilnya wacana ini....