Semalam Tuhan berbicara dengan aku. Tentang kehidupan. Aku bernafas dalam-dalam dan membiarkan diri tenggelam sejenak. Waktu itu waktu yang panjang. Dan tatkala Tuhan berbicara dengan aku, aku jadi malu. Bahkan, bercampur-baur segan dan sedih.
Aku terendam dalam sausana khali. Hanya mata hati mula berkelip-kelip, seolah-olah teruja untuk berbisik.
Tidaklah Allah menjadikan sesuatu perkara itu dengan sia-sia.
Aku jadi sebu. Hati perlahan-lahan mulai tersayat. Benar, tafakkur itu memberi nafas kepada jiwa. Mengendur gelora amarah dan meresap percikan damai dalam diri. Tafakkur mengajar hikmah. Aku redup dalam teduhan fikir dan belaian zikir.
Aku masih duduk di situ, hanya mampu diam tidak berbuat apa-apa. Dengan kerendahan dan kehambaan, mata hati terus berperanan. Pukulan demi pukulan dan belaian demi belaian. Tuhan, bicara-Mu sungguh menggetarkan. Meski ia memeritkan, namun mekar dengan belas kasihan.
Aku beroleh suatu perkara. Biar apa yang berlaku dalam kehidupan, biar seteruk mana perjuangan yang aku susuri, biar selemah mana pun benak fikiran dibandingkan dengan orang lain, ketahuilah, Allah sebenarnya membuka jalan pencerahan untuk diri aku.
Menanggung bebanan masalah dengan berasa tertekan dan marah, benci dan sedih, tidak membawa apa-apa kesudahan yang mententeramkan. Latihlah diri untuk menjiwai hikmah. Duduklah berteleku dan bertafakkurlah tentang diri. Terokailah nafsu dan santunilah ia dengan terjun dalam lautan ketenangan. Ia suatu tak terungkapkan, begitu indah kasih Tuhan.
Ingatlah, Allah sentiasa berbicara dengan kita. Cuma kita sahaja enggan mempedulikan bicara-Nya sama ada kita sedar atau tidak. Setiap perkara yang menimpa diri kita, Allah taala hamparkan suatu tamsilan untuk kita mereguk ibrah. Rugilah bagi mereka yang gagal beroleh pencerahan. Bertambah rugilah bagi mereka yang semakin kegersangan hikmah dan Cinta.
p/s: Kini menempuh waktu sukar dalam melunaskan amanah dan menyempurnakan komitmen. Mohon kekuatan daripada Allah taala akan segala urusan. Berserah hanya semata-mata kepada-Nya adalah sebaik-baik jalan penyelesaian. Misi tahannuth bermula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan