Bacalah, nescaya kau bakal menguasai dunia


Seorang pemimpin agung Barat dahulu pernah berkata,"Sesiapa yang menguasai buku, akan menguasai dunia." Bererti, seseorang yang mengamalkan apa yang dibaca, berpotensi untuk 'menakluki' dunia.

Sejarah mencatatkan, bahawa ada beberapa buah kuasa besar dahulu yang bangkit meluas takluk dunia bukan sekadar melalui penguasaan militari semata-mata. Sebaliknya, ia turut diakari dengan pengukuhan dalam ilmu pengetahuan yang seluas mungkin.

Negara Jepun sebagai misalan, enam puluh tahun lalu sudah pun membuktikan suatu perkara yang pada asalnya tidak diendahkan oleh kuasa lain sebelum ini namun cukup berkesan kepada kebangkitan bangsa mereka.

Sebaik kehancuran Hiroshima dan Nagasaki yang memporak-porandakan sosiopolitik secara keseluruhan, Jepun bingkas keluar dari kemunduran, tidak mahu berdiam diri sahaja. Mereka memandang terus ke hadapan dan segala peristiwa hitam disimpan dalam lipatan memori.

Mereka bangkit membangunkan kembali negara dari titik kosong. Dalam serba kekurangan sumber asas, mereka perlahan-lahan membina tangga kemajuan satu persatu. Secara berterusan mereka melaung-laung suara semangat agar bertahan, survival mereka yang bermula puluhan tahun lampau akhirnya meletakkan Jepun kini menjadi antara negara yang termaju di dunia.

Perlu diketahui, suatu fakta berkaitan momentum negara matahari terbit itu adalah kebangkitan mereka dicetuskan oleh semangat membaca. Dinyatakan, ribuan buku dari luar negara telah didatangkan ke Jepun. Para ahli bahasa dan sastera giat kemudian menterjemahkan buku-buku ilmiah ke bahasa ibunda mereka sebelum dilanjutkan ke sekolah-sekolah dan masyarakat umum. Setiap ahli masyarakat diseru menghidupkan budaya membaca di mana-mana.

Begitulah kepandaian orang Jepun. Mereka menelaah pengalaman dan mencari ruang untuk membaiki kesilapan. Cukup hanya sekali mereka jatuh. Tiada istilah kegagalan kedua bagi mereka. Apa yang jelas, mereka membangun dengan cara tersusun, bukan agresif melulu. Mereka akan memastikan diri mereka dilengkapi dengan informasi dan pengetahun terbaik untuk mencatur perkembangan bangsa mereka.

Jika dahulu, masyarakat Barat memandang sinis dan mengejek mereka sebagai bangsa bermata sepet. Sekarang kelancangan kata itu sudah tidak kedengaran. Sebaliknya rasa hormat dan kagum mula terzahir. Jepun telah membuktikan, salah satu cara untuk menguasai dunia adalah melalui jalan membaca.

Barat yang pongah akhirnya terlongo melihat kepesatan teknologi yang dibina oleh Jepun. Mereka langsung mengakui, Jepun berjaya mencipta sumber daya manusia yang unggul.

Bagaimana pula dengan kita, umat Islam akhir zaman?

Mengunjungi Pesta Buku semalam, cukup melapangkan minda. Seronok melihatkan telatah warga pengunjung yang ribuan jumlahnya bermesra-mesraan dengan pelbagai jenis buku yang berderet dan tersusun rapi di kiri dan kanan. Suasana yang cukup merangsangkan dan membakar semangat.

Bersama Hariri Daud di gerai PTS

Hati diam-diam berbisik, alangkah bagus kalau setiap dari kalangan mereka ini membaca, memahami dan mencerna, lantas mereka mengamalkan sekurang-kurangnya 10 buah buku bermanfaat yang ada di sini. Sudah tentu Melayu Islam antara bangsa yang dinobat sebagai bangsa termaju yang mampu menggugat dunia akhir zaman. Malangnya, kita masih lagi merangkak ke arah itu.

Kunjungan kali ini tidak membosankan. Tidak seperti tahun-tahun sudah, aku cenderung untuk pergi sendirian. Kali ini aku menyahut seruan Nabi, iaitu tiga waktu disaran untuk berjemaah; ketika solat, ketika berjalan atau berpergian, dan ketika makan. Mudah-mudahan kunjungan kali ini dipenuhi barakah, dengan izin-Nya.

Berkumpulan dengan sahabat-sahabat pengulit buku yang setia, kami rakus menerpa ke setiap ruang yang menyajikan santapan segar untuk disuguh minda. Tatkala berlegar-legar, acap kali kami berpapasan dengan beberapa pensyarah Usim yang difahami datang satu bas untuk turun ke pesta buku kali ini.

Menyaksi ragam sahabat terkadang membenih inspirasi. Leman si pujangga Melayu yang rajin berfalsafah, sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan bacaan bernaratifkan budaya dan sejarah bangsa. Sesekali dia lesap entah ke mana, kemudiannya kelihatan tertancap di balik rak menekuni inti bacaan yang digemari. Hasilnya, Sulalatus Salatin dan beberapa buku pemikiran berjaya disambar. Tahniah aku ucapkan.

Abdullah atau Pak Lah (sekarang kami memanggilnya Cheng Ho), sedari awal begitu teruja mahu mengulit buku berkenaan tokoh yang menjadi sanjungan. Kemilau dua buah kitab yang menjadi buruan akhirnya berjaya ditemui. Bob pula, sudah dapat ditebak, dalam kesibukan berkelintar sendirian, novel karya penulis seberang tetap kekal dalam dakapan.

Fazareez dan Bari tidak terkecuali. Asalnya sekadar mengekori, akhirnya turut menambah koleksi kitab di bilik masing-masing. Kunjungan kami tidak memakan masa yang lama. Sekitar jam tiga petang, kami beransur pulang dengan raut wajah kepuasan.

Kami sempat berlelucon, menyindir sesama kami buku yang dibeli akan berhabuk tak berbelek. Usikan itu, meski sekadar berbicara lucu, sebetulnya menjemput hikmah yang halus. Kesemua mula menanam azam, semoga disiplin dan tekun makin meningkat dalam misi bergulatan dengan lembar buku yang dibeli.

Sebelum melangkah keluar, kedengaran rakaman bacaan Al-Quran yang menenangkan mengiringi kami pulang. Semangat Iqra' lekas hadir mencumbui benak. Masing-masing mengulum senyum, meraikan nikmat Tuhan Al-'Alim.


p/s: Kunjungan kali ini, meski sekejap, mencapai matlamat awal. Kini menunggu waktu senggang untuk tenteram dalam ulitan karya-karya Usman Awang yang mengasyikkan. Tidak dilupa, bibit permulaan untuk menelusuri getaran pemikiran Hamka. Terima kasih Tuhan!

'Markah kasihan': Dakwaan yang mencemarkan

Minggu ini minggu yang menggemparkan. Tatkala semua mahasiwa/i tekun dalam mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan akhir semester, timbulnya isu yang menerjah ketenangan warga USIM di sini. Isu yang menjadi paparan muka hadapan sebuah akbar harian jelas menjejaskan reputasi USIM sebagai institut pengajian tinggi awam.

Ramai yang sedia maklum tentang isu 'markah kasihan' ini. Bahkan, topik tersebut mula menjadi bahan bualan hangat di kalangan mahasiswa/i di kampus. Tidak kira FSU atau fakulti-fakulti lain, semua di kalangan kami di sini merasakan tempias laporan yang menjengkelkan itu. Sedikit sebanyak kesannya cukup dirasai oleh kami sebagai penuntut ilmu di sini.


Aku tidak mahu mengulas panjang berkenaan siapa bekas pensyarah yang mengeluarkan dakwaan melulu dalam akhbar tersebut. Isunya cukup peribadi untuk dinyatakan di sini. Barangkali pensyarah yang menamakan dirinya Nor itu mempunyai niat tertentu, terutamanya dalam menzahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap pihak tertentu. Malangnya, tindakannya itu jelas di luar batas; ibarat menyimbah minyak ke dalam api.

Kami warga mahasiswa di sini sepakat dalam menempelak tindakan yang tidak jujur sebegitu. Dengan mengeluarkan kenyataan umum yang hanya berasaskan dakwaan sebelah pihak, jelas menampakkan suatu kebobrokan sikap Nor yang tidak menggambarkan budaya seorang pendidik yang sebenar.


Secara peribadi, aku bersetuju dan senada dengan kenyataan Naib Canselor dalam sidang media semalam. Pagi tadi juga, suatu majlis penjelasan diadakan di FSU berkenaan isu ini. Menurut NC, beliau berasa cukup kesal terhadap dakwaan yang berunsur fitnah tersebut kerana ia sangat serius dan tidak berasas sama sekali.

Menurut hemah aku secara ringkas, isu ini secara langsung memberi impak besar dalam beberapa perkara:

1. Sebagai universiti baru berbanding IPT-IPT lain, dakwaan tersebut boleh menghilang dan menghakiskan keyakinan masyarakat kepada USIM yang sudah mula mengukuhkan penubuhannya.

2. Mencemarkan integriti pensyarah-pensyarah di universiti ini, seolah-olah mencetus tanggapan awal bahawa budaya yang tidak beretika itu sudah menjadi amalan di kalangan warga akademik.

3. Menjejaskan imej bekas graduan yang sudah bekerja dan bakal graduan yang akan memasuki pasaran kerjaya di luar nanti.

4. Memberi kesan negatif kepada reputasi universiti kerana institusi pengajian tinggi awam ini dalam proses pemilihan dan pengambilan pelajar baru untuk sesi hadapan, terutamanya lepasan SPM yang bakal melanjutkan pengajian bermula Mei nanti.

5. Merendah-rendahkan Fakulti Syariah dan Undang-undang yang kini dalam usaha mendapatkan pengiktirafan Badan Kelayakan Profesion Guaman dan Majlis Peguam Malaysia, bagi kursus Undang-undang. (Boleh layari laman Malaysian Bar. Isu ini kini dalam perhatian dan mungkin menjejaskan kelayakan kursus Undang-undang di USIM).

6. Membawa gambaran negatif kepada prestasi mahasiswa/i yang cemerlang dalam pengajian, dengan tanggapan bahawa kecemerlangan yang diperoleh bukanlah prestasi sebenar mahasiswa/i tersebut sebaliknya atas belas ehsan pensyarah.

Apapun, dari sudut lain yang boleh aku nyatakan, banyak hikmah yang boleh diambil dalam hal ini. Fokus yang perlu ditumpukan sekarang adalah, nilai keilmuan yang sebenar. Ilmu bukan terletak kepada markah yang diberi dalam ujian atau peperiksaan. Ia mungkin melambangkan prestasi dan kebolehan seseorang, tetapi ia bukan pengukur mutlak tahap keintelektualan seseorang mahasiwa.

Suatu yang perlu diambil ihtimam oleh mahasiswa/i USIM sendiri dalam isu ini, ia barangkali suatu bentuk cabaran yang mesti diterima secara positif. Ya, kita menafikan dakwaan yang berniat buruk sebegitu. Secara rasional juga, mana mungkin majoriti pelajar yang berada di semester enam dan tujuh tidak pandai mengarang esei, apatah lagi menghadam subjek perundangan.

Kita berlapang dada dan tidak mahu dipanjang-panjangkan lagi isu ini. Paling utama, cabaran yang mesti disahut oleh mahasiswa/i USIM adalah, membuktikan kemahiran dan kebolehan yang dimiliki serta penggarapan yang optima dari sudut pembudayaan ilmu.

Kita tidak mahu menjadi kelompok yang hanya pandai melatah, tetapi akal fikiran kita dangkal dalam usaha mengubah keadaan. Memetik kata-kata seorang pensyarah luar jurusan undang-undang dari sebuah blog, respon beliau berkenaan budaya pelajar yang merayu markah kasihan:

"it’s not about marks only but how you appreciate when learning law subject. Just see how many people are being cheated because they’re not understand their rights. See your paper and how you write, present and argue there. Then, you'll see that’s the benefit you’ve learned from this subject. At last, you’ll see life is not entirely fair and somehow disrimination is around you. So be prepare of knowledge and understand why you need to learn this subject."


p/s: Meski sibuk dengan periksa, ramai juga blogger dari USIM yang agresif menyentuh isu tersebut. Terbukti, kalian benar-benar cinta akan institusi ilmu kita ini. Dan ketahuilah, markah bukan segala-galanya. Semua adalah pinjaman Tuhan semesta alam. Kepada-Nya kita patut kembali dan berserah. Kepada semua mahasiswa/i USIM, semoga berjaya dalam peperiksaan!

Hebahan : Pesta Buku di PWTC


"PBAKL berjaya menarik penerbit-penerbit dari USA, UK, negara-negara Eropah dan Arab, Australia, China, India dan negara-negara Asean. Ia juga menjadi medan pemasaran bagi para pustakawan dari universiti-universiti dan kolej-kolej di Malaysia. Kebanyakannya akan menggunakan bajet tahunan untuk acara sepanjang 10 hari ini.

PBAKL pada tahun ini diadakan daripada 17 hingga 26 April 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Malaysia. Ia bertujuan mempamerkan penerbitan terkini, termasuk buku-buku pendidikan yang diterbitkan oleh penerbit tempatan dan antarabangsa. Selain itu, ia juga menjadi medan pertemuan untuk semua penerbit dan peniaga buku dari serata dunia."



Sahabat-sahabat, jangan lupa untuk menandai kalendar dari 17 hingga 26 April. Pastikan kalian tak terkecuali bersama-sama pengulit buku menikmati kemeriahan PBAKL tahun ini.

Salam Imtihan

Minggu ini minggu getir bagi mereka yang akan menghadapi ujian akhir semester. Menjadi kelaziman, akan mulanya saat berpenat-penat dengan hafalan. Diberatkan pula dengan hambatan perasaan yang mahu mencapai skor terbaik, meronta-ronta dalam diri.

Masing-masing rela bersengkang mata kala malam meratah inti nota dan buku. Semuanya mahu beroleh kejayaan terbaik dalam ujian kali ini. Dan pastinya, semua mahu menyerlahkan prestasi terbaik dan tidak mahu sesal di kemudian hari.

Begitu lumrah bila berada dalam sistem pengajian hari ini. Kita tidak boleh menafikan situasi sebegitu kerana kita juga terpaksa menuruti setiap apa yang orang di sekeliling kita kerjakan. Justeru, kita yang cukup berbangga dengan gelaran mahasiswa ini, seboleh-boleh mahu juga ingin menonjol dan menjadi yang terbaik.

Pun begitu, wahai mahasiswa, jangan mudah kita menjadi lupa. Jangan cepat kita gundah dan gelabah. Dalam sibuk-sibuk kita berlelah mengejar matlamat, senantiasa beradakan Allah dalam jiwa. Juga Rasul junjungan kita yang mulia. Jangan kita abaikan kedua-dua. Ilmu yang hakiki hanya akan hadir apabila jiwa yang suci kembali kepada segala punca. Punca segala Cinta.

Selamat menjalani Imtihan.


p/s: Kepada sahabat-sahabat pencinta ilmu, pendamba ketenangan, pemusafir jiwa, dan semua yang merindukan majlis berdamping dengan para ulama', anda sangat disarankan untuk turun hadir ke taman-taman syurga yang dinyatakan di bawah ini. Semoga kesuntukan kita dalam minggu ulangkaji ini dilapangkan oleh rahmat dan barakah dari Allah, dengan hati yang ikhlas kepada-Nya. InsyaAllah.

Ekstravaganza Majlis Ilmu

MAJLIS MAULID BERSAMA ULAMA' NUSANTARA DAN YAMAN



Tarikh : 8 April 2009 (Rabu)
Masa : 7.00 Malam
Tempat : Restoran Antan Batura (Hadapan SIRIM Shah Alam)

Ulama' Undangan:
Habib Abdul Kadir Al Haddad

Habib Mohammed As Saqqaf
Habib Novel Al Qaff
Tuan Guru Baba Aziz Al Fathoni
Syeikh Fahmi Zamzam Al-maliki






JILSAH KHAS BERSAMA TETAMU HADRAMAUT

HABIB MUHAMMAD AS-SAGGAF*


Tarikh : 9 April 2009 (Khamis)
Majlis mula : 7.20 Malam (Maghrib)
Tempat : Masjid Al-Falah USJ 9

*Imam Masjid Saiyun, Hadramaut juga sebagai Pensyarah Univ al-Ahqaf , Hadramaut.





JILSAH BERSAMA MUFTI MESIR
SOHIBUS SAMAHAH ALLAMAH PROF DR ALI JUMA'AH


Hari : Jumaat
Tarikh : 10 April 2009 / 14 Rabiul Akhir 1430
Tempat : Masjid Al-Falah USJ
Aturcara majlis :
7.25 : Azan dan Solat Maghrib // Bacaan Ratib Al-Haddad
8.30 : Azan & Solat Isyak // Ceramah dan Taujihat SS Mufti Mesir

# Ustaz Syed Salim dalam kuliah Fiqh Ibadat yang terakhir, ada menghebahkan majlis ini kepada pelajar. Mahasiswa/i USIM yang mempunyai kemudahan, tidak rugi kalau hujung minggu kalian dipenuhi dengan majlis-majlis sebegini. Barakallah!


MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL صلى الله عليه وآله وسلم
DAN HAUL SYAIKH ABDUL QADIR AL-GAILANI



Tarikh: 15 Rabiulakhir 1430H/ 11 April 2009
Tempat: Masjid Negara, Kuala Lumpur
Majlis bermula: 4.30 petang – 9.30 malam

Antara jemputan khas:
Prof. Dr. Rafi’ al-Ani (Mufti Negara Iraq)
Al-Habib Umar Hamid al-Gailani (Ulama Makkah)
Sayyid Abbas bin Sayyid ‘Alawi al-Maliki al-Hasani (Ulama Makkah) -
membacakan Qasidah Burdah
Dr. Ahmad Omar Hashem (Mantan Rektor Universiti al-Azhar, Mesir)
Shohibus Samahah Prof. Dr. Ali Juma’ah Mohamad Abdul Wahab (Mufti Besar Mesir)
Al-Habib Hassan bin Muhammed bin Salim al-Athtas (Masjid Ba’alawi, Singapura)
Maulana Afeefuddin al-Gailani (Syaikh Tariqah Qadiriah)
Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady (ISTAC)
Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki al-Rembawi (Pengasas Yayasan SOFA)

Aturcara Majlis:

4.30pm : Solat ‘Asar Berjemaah
4.45pm : Persembahan Audio Visual Sirah Nabi صلى الله عليه وآله وسلم
5.15pm : Pembukaan Pengacara Majlis
5.30pm : Ceramah 1 - Prof. Dr. Rafi' al-Ani
6.00pm : Ceramah 2 – al-Habib Umar Hamid al-Gailani
6.30pm : Qasidah Burdah - Sayyid Abbas bin Sayyid ‘Alawi al-Maliki al-Hasani
6.50pm : Syair - Dr. Ahmad Omar Hashem
7.05pm : Ceramah 3 - Dr. Muhammad El-Muhammady
7.25pm : Azan dan Sholat Maghrib
7.45pm : Ceramah 4 - Prof. Dr. Ali Juma’ah Mohamad Abdul Wahab
8.31pm : Azan dan Sholat ‘Isyak
8.40pm : Ceramah 5 - Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki
8.50pm : Bacaan Maulud ad-Daiba'ie – al-Habib Hassan bin Mohammad bin Salim al-Atthas
9.20pm : Doa Penutup - Syaikh Maulana Afeefuddin Abdul Qadir al-Gaylani
9.30pm : Jamuan & bersurai



"Betapa saat bahagia buat seorang tolibul 'ilm(penuntut ilmu) apabila ruang-ruang waktu dalam kehidupannya penuh dengan saat melihat wajah para ulama’ Rabbani yang bercahaya, akhlak mereka yang indah lantas bersegera berdampingan akrab dengan mereka, menyertai kumpulan yang soleh demi mendekatkan diri kepada Allah."

Bila Tuhan Berbicara

Semalam Tuhan berbicara dengan aku. Tentang kehidupan. Aku bernafas dalam-dalam dan membiarkan diri tenggelam sejenak. Waktu itu waktu yang panjang. Dan tatkala Tuhan berbicara dengan aku, aku jadi malu. Bahkan, bercampur-baur segan dan sedih.

Aku terendam dalam sausana khali. Hanya mata hati mula berkelip-kelip, seolah-olah teruja untuk berbisik.

Tidaklah Allah menjadikan sesuatu perkara itu dengan sia-sia.


Aku jadi sebu. Hati perlahan-lahan mulai tersayat. Benar, tafakkur itu memberi nafas kepada jiwa. Mengendur gelora amarah dan meresap percikan damai dalam diri. Tafakkur mengajar hikmah. Aku redup dalam teduhan fikir dan belaian zikir.

Aku masih duduk di situ, hanya mampu diam tidak berbuat apa-apa. Dengan kerendahan dan kehambaan, mata hati terus berperanan. Pukulan demi pukulan dan belaian demi belaian. Tuhan, bicara-Mu sungguh menggetarkan. Meski ia memeritkan, namun mekar dengan belas kasihan.

Aku beroleh suatu perkara. Biar apa yang berlaku dalam kehidupan, biar seteruk mana perjuangan yang aku susuri, biar selemah mana pun benak fikiran dibandingkan dengan orang lain, ketahuilah, Allah sebenarnya membuka jalan pencerahan untuk diri aku.

Menanggung bebanan masalah dengan berasa tertekan dan marah, benci dan sedih, tidak membawa apa-apa kesudahan yang mententeramkan. Latihlah diri untuk menjiwai hikmah. Duduklah berteleku dan bertafakkurlah tentang diri. Terokailah nafsu dan santunilah ia dengan terjun dalam lautan ketenangan. Ia suatu tak terungkapkan, begitu indah kasih Tuhan.

Ingatlah, Allah sentiasa berbicara dengan kita. Cuma kita sahaja enggan mempedulikan bicara-Nya sama ada kita sedar atau tidak. Setiap perkara yang menimpa diri kita, Allah taala hamparkan suatu tamsilan untuk kita mereguk ibrah. Rugilah bagi mereka yang gagal beroleh pencerahan. Bertambah rugilah bagi mereka yang semakin kegersangan hikmah dan Cinta.


p/s: Kini menempuh waktu sukar dalam melunaskan amanah dan menyempurnakan komitmen. Mohon kekuatan daripada Allah taala akan segala urusan. Berserah hanya semata-mata kepada-Nya adalah sebaik-baik jalan penyelesaian. Misi tahannuth bermula.