Keranda 152


Senjata disandang dijulang
Tekad kukuh tujuan murni
Bahasa usah dijual beli dangan mutiara
Atau tolak ansur walau segaris kapur
Kerana ia hak mutlak perairan ini

Bahasa Melayu di keranda
Dada mana yang tak sebak
Telinga mana yang rela mendengar
Mata siapa yang bisa kutup rapat
Sedang kita dilahirkan dengan iramanya

Apa guna janji pada gelombang
Kalau sikap kita cuma ulam
Bahasa di keranda bisa diusung ke lahad
Kelaku itu apa bisa kita ratap dan pinta
Darah yang mengalir berubah warnanya

p/s: Keranda 152 merupakan sajak bagi memperingati peristiwa Bahasa Melayu 'dikafankan' pada 3 Mac 1969. Terkini, mula menekuni signifikan perjuangan mendaulatkan bahasa.

Kembali bertamu


Suatu ketika dahulu, ada sesuatu saat yang menggembirakan dalam hidup aku. Asal puncanya daripada dua kisah: Taujih di Jabal Uhud dan Kuliah Imam Muda. Segala puji hanya milik-Mu Tuhan. Menghimbau ia kembali, pasti menguntum jiwa. Biarlah aku sahaja yang menyelami rasa ini.

Tatkala menatap dua gambar di atas, mengencarkan kembali semangat dalam diri. Hati terdorong tidak tertahan mahu tangkas berkarya. Benar sekali, sudah lama aku membiarkan dipancit ketandusan ilham. Minat merumbu-rumbu, malangnya minda dibiar tepu dan tak dirangsang. Sekadar berlegar dalam fikiran tanpa cekatan memantapkan pena.

Begitulah uniknya ilham. Datang tak dijemput, namun kehadirannya pasti mencuit rasa yang mengujakan demi karya nan indah. Semoga Allah mengiringi usaha ini menuju redha dan matlamat kembali kepada-Nya.


Februari yang macet


Imam Ali pernah berpesan: "Kesempatan datang bagai awan yang berlalu. Pergunakanlah ketika ia nampak di hadapanmu."

Manusia jarang melihat sesuatu yang berlaku dalam hidup mereka sebagai suatu ketetapan yang sudah ditentukan. Mereka memandang kelemahan yang menimpa diri sebagai suatu bebanan yang bukan layak baginya untuk memikulnya. Lantas, dipinggirkan begitu sahaja, tanpa terlintas untuk mereka menghadirkan hati, duduk merenung dan memperbaiki kelemahan tersebut.

Itulah nilai amanah Tuhan yang akan dirasai bagi sesiapa sahaja yang menerima tanggungjawab di dunia ini. Tekanan akan terasa, namun janganlah begitu mudah untuk mengetepikan amanah tersebut. Tegar dalam menempuh ujian merupakan suatu yang lumrah. Sayugia akan segala yang diterima dilunaskan sebaik mungkin dan disusuli dengan unsur muhasabah yang mengesankan.


Saat ini, aku berkelana di UM bersama-sama sahabat, Umar Mukhtar mengikuti pasukan mut(mooting club) USIM. Selama tiga hari, wakil-wakil fakulti perundangan IPT seluruh negara akan berentap dalam pusingan awal(national round) bagi menentukan pasukan terbaik untuk mewakili negara ke peringkat antarabangsa. Meski tidak tinggi sasaran kami, harapan kali ini sekurang-kurangnya kami mampu memperbaiki kedudukan berbanding tahun lalu. Doakan kejayaan pasukan kami.

InsyaAllah, selesai berprogram di UM, menyusul beberapa program anjuran fakulti dan kolej kediaman yang perlu diberi perhatian. Semestinya menuntut masa dan tenaga yang maksima bagi memastikan kelancaran gerak kerja. Namun apa yang terpenting, pastikan setiap amal kerja diqasadkan sebagai ibadat penghubung utuh antara kita dengan Tuhan.

Acap kali hati ini berdoa dalam-dalam, aku sangat bermohon agar dikurniakan rezeki waktu yang mencukupi. Sungguh, semester ini aku agak berlaku zalim dalam peruntukan waktu untuk pelajaran. Istighfar. Istighfar. Semoga dipermudahkan-Nya, ameen.

p/s: Mohon maaf kerana kelemahan diri yang semakin culas dalam mengendali blog ini. Jika diizinkan Tuhan,
blog ini akan terus bernyawa dengan penulisan sederhana dan ringan sahaja. Juga belum terlambat untuk merakamkan ucapan tahniah kepada FSU kerana menjuarai debat Piala NC baru-baru ini. Kalian memang terbaik!

Tugasan :


Anda diminta untuk menjalankan kajian secara terperinci berhubung dengan isu-isu yang dikemukakan di bawah ini. Kajian anda hendaklah tidak menunjukkan sentimen kepartian melulu atau obses melampau kepada mana-mana pihak.

Walau bagaimanapun, tidaklah menjadi kesalahan seandainya anda menyatakan pendapat dan saranan yang dirasakan wajar untuk berpihak kepada mana-mana pihak selagi matlamat yang ingin disampaikan adalah jelas, iaitu KEBENARAN dan KEADILAN.

Anda tidak diperuntukkan tempoh masa tertentu untuk menyiapkan tugasan ini. Tiada had waktu. Apa yang perlu diutamakan daripada pengkajian ini adalah, mengutamakan sumber AL-QURAN dan HADITH NABAWIYYAH serta QAUL ULAMA' yang mu'tabar sebagai rujukan. Juga rujuk silang daripada sirah Nabi dan para sahabat adalah digalakkan.
Sebarang diskusi atau wawancara yang dijalankan adalah amat diharapkan tidak berkepentingan pada mana-mana pihak

Perhatian sekali lagi, matlamat yang ingin dicapai daripada tugasan ini adalah; KEBENARAN dan KEADILAN.

Sekian, terima kasih.



ISU-ISU YANG BERBANGKIT UNTUK KAJIAN

1. Lompat parti di kalangan ahli politik - Suatu kewajaran atau sebaliknya menurut perspektif Islam.

2. Penderhakaan kepada institusi beraja, apakah ini dilema bagi Melayu Muslim masa kini?

3. Tahaluf siyasi dalam politik Malaysia - suatu pendekatan atau perangkap?

4. Sikap dan akhlak yang perlu ada pada diri seorang pemain siasah(political player) dan pemimpin negara(nation leader).


Ramai orang bercakap politik sekarang semakin kotor. Adakah benar penyataan ini? Politik ada dalam Islam. Islam dan politik suatu yang tak terpisahkan. Jika kotor politik, bermakna Islam akan terkena sama. Benarkah begitu? Ibarat lembu seekor habis semua terpalit.

Aku tak reti ilmu siasah walaupun semacam teruja untuk bermain siasah. Justeru, aku tidak boleh bermain-main dengan siasah. Ia bukan sekadar semangat yang dilaung-laung. Perlu faham konsep dan perjuangan. Sebab itu, aku perlu lunaskan tugasan ini. Usah kusut memikirkan, ini sekadar tugasan peribadi aku.

Aku hanya seorang pelajar, mahu belajar dari situasi dan pengalaman. Takkan selamanya aku mahu jadi pengekor(muqallid). Mengikut dan menyokong tanpa alasan yang rasional tak membantu kita pada masa hadapan. Sesiapa yang berminat untuk membantu aku dalam kajian kecil-kecilan ini, amatlah dialu-alukan.

Perkasakan kematangan mahasiswa USIM

Isnin lalu, majlis watikah pelantikan sidang MPP yang baharu menggantikan barisan pemimpin sesi lepas telah diadakan di Canselori. Seperti mahasiswa-mahasiswi USIM yang lain, kami berbesar hati dalam mengharap akan adanya agenda perubahan yang progresif dan realistik daripada barisan MPP kali ini.

Tiga misi utama yang mendasari gerak kerja MPP kali ini iaitu: Empati/Prihatin Kebajikan Mahasiswa; Optima Potensi Intelektual Mahasiswa dan Pengantarabangsaan; dan Jana Personaliti Mahasiswa Dinamik dan Islamik. Misi pertama dan ketiga bagi aku adalah bentuk kesinambungan gagasan yang dibawa oleh barisan kepimpinan terdahulu.

Aku tertarik untuk mengekori misi kedua, iaitu usaha memperkasakan nilai intelektualiti mahasiswa dan menganjakkan kedudukan mahasiswa ke peringkat global. Suatu misi yang cukup mencabar untuk dijayakan namun tampak sangat idealistik khususnya dalam membentuk kelompok mahasiswa USIM yang berdaya saing.

Secara umum, kebanyakan mahasiswa dalam ruang lingkup kampus, tidak begitu terdedah secara kritikal tentang wacana pemikiran yang mencetus minda. Sebaliknya, mahasiswa lebih disajikan dengan isu remeh-temeh seperti seminar percintaan. Lama-kelamaan, perkara ini berupaya mengecilkan kapasiti mahasiswa apabila terjun dalam kelompok masyarakat.

Misi menjana intelek tidak boleh bergantung dalam kuliah semata-mata, sebaliknya pendedahan secara langsung menerusi seminar dan diskusi luar perlu diperbanyak. Jangan biarkan kebekuan minda berlarutan, terutamanya dalam kondisi sekarang yang memerlukan mahasiswa menggarap habis-habisan kematangan dalam diri mereka. Jangan sekadar duduk menerima, sebaliknya gigih menekuni pemikiran dan mencipta idealisme.

Kepada barisan kepimpinan MPP terkini, aku mengucapkan selamat maju jaya, semoga aspirasi mahasiswa sentiasa menjadi misi dalam setiap agenda yang ingin dilaksanakan. Teks ucapan dasar Yang Dipertua MPP USIM , saudara Aliff Ismail boleh diikuti di sini.

Buat Pencinta Kebenaran


Maklumat lanjut berkenaan seminar ini, klik di sini
p/s: Tahniah buat Perwakilan Pelajar Mahallah CFS IIUM kerana dengan izin Allah, kalian berupaya membuat program berkepentingan ummah seperti ini. Buat sekalian sahabat dan mahasiswa yang berkelapangan, adalah digalakkan untuk hadir ke majlis ulama' dan seminar pemikiran Islam ini.