Di Terengganu kini mengalami dua bahang suasana berbeza. Pertama, rakyat Ganu begitu ralit bersuka-sukaan menyambut kemeriahan dari segi sambutan pelancong luar yang bertandang. Suatu yang menguntungkan khususnya bagi peniaga kecil dan sederhana sekitar negeri.
Selebihnya pula sibuk memberi sokongan itu ini memandangkan negeri menjadi tumpuan bersempena SUKMA yang pertama kali diadakan di sini. Tak mengapa lah. Tidak salah, asalkan berpada-pada dan tak melanggar santun susila ditetapkan syariat. Semoga semangat kesukanan kalian berbaloi.
Suasana kedua yang dirasai adalah bahang kempen menuntut royalti kembali kepada rakyat Terengganu. Kempen ini adalah anjuran MAMPAT, pertubuhan yang mengumpulkan NGO-NGO tempatan dalam misi permuafakatan rakyat di negeri ini.
Tak dinafikan, setakat ini kempen anjuran MAMPAT beroleh sambutan menggalakkan. Barangkali ini adalah kesan yang berkesinambungan daripada usaha pertubuhan ini menyatukan rakyat dalam krisis kedaulatan institusi beraja baru-baru ini.
Jika kempen terdahulu mengajak rakyat beramai-ramai menyokong kedaulatan Sultan Terengganu, kempen seterusnya pula menyedarkan rakyat dalam isu hak royalti minyak yang sudah dipinggirkan Kerajaan Pusat. Tanpa mengira fahaman politik, usaha untuk menyatukan suara dan perpaduan rakyat dilihat berhasil menerusi pertubuhan ini.
Rakyat sudah sedia maklum, sewaktu kerajaan negeri beralih tampuk kerajaan pada PRU-11, kerajaan pusat telah bertindak menukar dasar daripada memberikan royalti kepada pemberian dana khas persekutuan(wang ehsan ameno) kepada Terengganu. Sejak daripada itu, tuntutan mengembalikan hak royalti kepada rakyat sudah disuarakan.
Baru-baru ini juga, dalam sidang Parlimen, sudah diterpa dengan beberapa persoalan berkenaan isu royalti minyak yang diurustadbir oleh Petronas. Antaranya, peratus bahagian bagi pemberian royalti setiap negeri pengeluar dan gesaan agar Petronas mengumumkan penyata keuntungan mereka.
Di Malaysia, ada tiga buah negeri pengeluar minyak. Sabah dan Sarawak, melalui wakil mereka, sudah bersuara mendesak agar pemberian royalti kepada kerajaan negeri hingga 20%. Menyedihkan sekali, berlainan pula nasib satu-satunya negeri pengeluar di Semenanjung. Apabila isu royalti minyak Terengganu minta dibahaskan, ia sekada dipandang sepi, dan dipinggirkan begitu saja.
Rakyat Terengganu secara umumnya mula menyedari hakikat dan kepentingan dalam usaha mendesak agar royalti dikembalikan memandangkan krisis BN(barang naik) menjadi tema utama di setiap ceruk tempat, sama ada di dada akhbar harian, di kedai kopi, di pejabat hatta budak sekolah sekalipun turut bercakap mengomel tentang BN. (Oh Be eNd...Adakah benar masa depanmu terjamin?)
Ditambah pula dalam suasana kegawatan politik dalam negeri dan krisis bekalan makanan yang meruncing kini, teramat sesuai untuk membicarakan isu royalti minyak. Ketepikan dahulu segala fahaman politik berkepentingan. Lebih bagus jika sejenak kita menelusuri bagaimana Islam melihat masalah minyak ini.
Perlu difahami oleh semua rakyat bahawa petroleum merupakan galian yang ada di dalam bumi. Jika melihat dari sudut pandangan Islam, rakyat adalah pemilik mutlak bagi galian tersebut. Dalam Islam, minyak adalah milik rakyat.
Dalam islam, terdapat tiga jenis pemilikan. Pertama, pemilikan individu. Keduanya pemilikan umum dan yang terakhir pemilikan negara. Dan kita sebagai seorang Muslim, tidak dapat tidak mesti tahu dan faham bahawa minyak bukanlah milik negara, juga bukan milik syarikat tertentu, tetapi milik semua umat Islam.
Ini sejajar dengan apa yang dirakamkan dalam satu hadith Rasulullah sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam:
Daripada Abyadh bin Hamal, bahawa dia telah meminta daripada Rasulullah hak dan keizinan untuk menyelenggarakan lombong garam yang ditemuinya. Rasulullah telah membenarkan tetapi kemudian seorang sahabat yang lain bangun memberikan pandangan.
Berkata sahabat itu : "Wahai Rasulullah, tahukah engkau Rasulullah apa engkau berikan kepadanya? Sesungguhnya engkau telah memberikan sesuatu yang bagaikan air mengalir."
Rasulullah telah bersabda sebagai jawapan kepada bantahan sahabat tersebut. "Tariklah lombong tersebut daripadanya."
Dalam hadith ini, Rasulullah ada menerangkan tentang ma’u al-‘iddu, iaitu air yang mengalir tak putus. Dalam masalah ini, Rasulullah memutuskan lombong dengan kandungan yang banyak harus menjadi milik awam.
Apabila ia terlalu banyak ia menjadi illat atau sebab untuk menjadi milik umum dan tidak boleh menjadi hak persendirian. Dalam hal ini, ia menjadi qarinah bahawa jumlah galian yang terlalu banyak akan membolehkan lombong atau telaga minyak menjadi milik umum. Baik ia lombong garam, permata, emas, atau yang berbentuk cecair seperti petroleum.
Justeru, kawasan takungan minyak adalah milik rakyat, dan sangat berhak ke atasnya. Islam tidak membenarkan syarikat swasta atau syarikat asing mengambil kesempatan meraih keuntungan untuk mendapat manfaat darinya dan mengeksploitasi sumber yang ada ini.
Mungkin tidak sesuai untuk menyalahkan mana-mana pihak, memandangkan negara yang kita duduki sekarang sudah tersebati dengan sistem pemerintahan sekular-kapitalis. Segala bentuk kronisme juga berleluasa. Makanya, jalan rasional yang boleh diambil adalah dengan menuntut hak sewajarnya menurut jalur-jalur perundangan.
Mungkin tidak sesuai untuk menyalahkan mana-mana pihak, memandangkan negara yang kita duduki sekarang sudah tersebati dengan sistem pemerintahan sekular-kapitalis. Segala bentuk kronisme juga berleluasa. Makanya, jalan rasional yang boleh diambil adalah dengan menuntut hak sewajarnya menurut jalur-jalur perundangan.
Petisyen boleh diusulkan dalam usaha mendesak agar hak dan maruah rakyat dikembalikan. Begitu juga dengan rundingan dan konvensyen yang signifikan ke arah membawa suara keluhan dan desakan rakyat diterima dan diberi perhatian pihak atasan.
Sebenarnya, royalti jika dikembalikan, pasti akan menjadi lain ceritanya. Kerajaan Negeri semestinya lebih berasa bertanggungjawab untuk menyelia royalti milik rakyat dengan sebaik mungkin, tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada Pusat seperti apa yang sudah berlaku dalam pemerintahan penggal lalu. Begitu banyak dibelanjakan untuk projek-projek yang tidak menguntungkan rakyat, sebaliknya mengembungkan poket kroni-kroni projek Pusat. Mereka ketawa, rakyat menganga...
Royalti jika diberikan kembali pasti memuaskan hati rakyat. Kerajaan negeri sedia ada mesti merancang sebaik mungkin royalti yang diperoleh dengan mengutamakan kebajikan rakyat. Sebagai contoh, adalah sesuatu yang dikira bagus apabila pemberian kupon kepada setiap rakyat Terengganu bagi urusan pembelian petrol dan diesel. Ini pastinya sedikit sebanyak menceriakan rakyat.
Setidak-tidaknya, rakyat berpuas hati sekali gus berasa 'aman' dengan status sebagai rakyat di sebuah negeri pengeluar minyak. Itu mungkin sekadar contoh dalam menyatakan pemberian royalti mampu memulihkan masalah kebajikan dan sosio-ekonomi rakyat negeri pantai timur ini.
Aku menulis ini sekadar memeriahkan kempen menuntut royalti ini. Bertindak sebagai rakyat yang prihatin, maka wajiblah untuk disebarkan kepada yang lain akan peri utamanya isu ini diketengahkan.
Sampai bila kita sekadar mampu melongo melihat perompak kelas atasan terus merampas hak kita. Membiarkan hak kita dirompak terus-menerus bagaikan membiarkan sahaja maruah rakyat terpalit najis bobrok mereka yang berkuasa. Ayuh, bangkit sekalian rakyat!
* Maklumat lanjut, pemahaman isu serta perkembangan terkini kempen MAMPAT ini boleh diikuti di sini.
# pakat lekat sticker royalti belake weh...tepek kat motor ngan kete... ghoyak kat saing-saing. Kembalikan Hak dan Maruah Rakyat Terengganu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan