Kisah Masjid Kristal

Beberapa sahabat dari luar bertanyakan kesahihan dakwaan menyatakan sebenarnya arah kiblat Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam adalah menyimpang. Dikatakan arah kiblat di masjid itu tersasar 30 darjah daripada arah sebenar.

Ada baiknya juga ditimbulkan isu ini. Aku sendiri tidak mempunyai jawapan yang tepat untuk pertanyaan itu. Sekadar khabar dari media alternatif dan poster-poster pihak tertentu yang mempersoalkannya. Bagi aku, tempat paling berhak untuk dirujuk adalah Majlis Mufti Terengganu. Dan terbukti, Jabatan Mufti mengeluarkan sijil pengesahan arah kiblat bagi Masjid Kristal.

Pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Terengganu turut tidak ketinggalan mahu membetulkan keadaan. Merujuk memo pemberitahuan yang dikeluarkan, pihak mereka sudah beberapa kali membuat semakan semula bersama-sama kakitangan Pejabat Mufti berserta dengan pihak kontraktor binaan.

Mereka telah mengesahkan bahawa arah kiblat Masjid Kristal adalah tepat dan betul. Kaedah semakan yang digunakan adalah dengan membuat tilikan matahari untuk kawalan bearing kemudian diunjurkan kepada arah saf dalam masjid tersebut adalah 291 20' 08" sebagaimana arah kiblat yang sepatutnya di sekitar Kuala Terengganu.

Spekulasi ini juga sudah dijawab sendiri oleh MB dalam sidang DUN. Keraguan ketepatan arah kiblat masjid itu bermula dikatakan berbeza dengan arah yang ditunjukkan oleh kompas yang dibawa pengunjung. Mengulas lanjut, beliau berkata, keadaan itu mungkin berlaku disebabkan gangguan magnetik di dalam masjid itu yang terlalu kuat kerana struktur utama Masjid Kristal adalah diperbuat daripada besi keluli.

Apapun, jalan terbaik adalah menghormati setiap apa yang diputuskan, lebih-lebih lagi ia disokong Majlis Mufti yang mana rakyat hormat dan patuh kepada mereka. Rasa-rasanya sekarang bukan lagi masa untuk terus mempolitikkan isu ini. Tiada apa yang diperoleh melainkan menambahkan rasa geram dan marah meluap-luap.


Tertarik dengan apa yang diutarakan oleh penasihat Sultan Mizan, Syed Umar Syed Abd Kadir Al Idrus dalam kuliah mingguan di Masjid Tokku baru-baru ini. Ujar beliau, majlis penasihat sultan dan majlis mufti kini sedang berbincang bagaimana untuk menyelia masjid bernilai tinggi ini. Salah satu cadangan ialah dengan mewujudkan ahli kariah di Pulau Wan Man.

Dalam erti kata lain, mereka mencadangkan agar dibina satu petempatan penduduk di atas pulau tersebut. Hal tersebut perlu dengan harapan penduduk yang menjadi 'penghuni pulau' dan bermukim di situ mampu mengimarahkan masjid tersebut dan solat Jumaat boleh diadakan.

Aku gembira mendengar khabar sebegini. Bukan lagi cerita mengutuk dan memperli. Ya, kita memang tidak meredhai setiap 'rompakan terhormat' yang dilakukan oleh 'perompak tarbus negara' beserta balaci mereka. Namun, tak bermakna selamanya kita mencemuh dan merungut. Itu bukan sikap seorang Muslim yang bijaksana.

Islam sendiri tidak mengajar kita untuk mengusutkan masalah, sebaliknya berlaku cerdik dengan bertindak sebagai penyelesai masalah. Meladeni isu sebegini biarlah berhemah. Ibarat anjing yang menyalak bukit, takkan runtuh meski lolongan garau lantang sekali. Biarlah mereka sendiri menjawab di hadapan Allah kemudian hari tentang pengkhianatan ke atas rakyat yang mereka lakukan.

Jika mereka dilihat masyarakat sebagai kelompok yang hanya mementingkan projek dan wang besar, mengapa tidak kita sebagai sebahagian daripada entiti kelompok yang mengaku menyokong perjuangan Islam, membuktikan bahawa kita mementingkan syiar Islam tertegak dan tersebar di bumi Darul Iman ini.

Salah satu usaha ke arahnya adalah melalui pengimarahan masjid dan surau-surau. Peranan kita adalah sebagai daei kepada masyarakat. Dengan melazimi surau-surau dan masjid saban hari dengan pengisian kuliah agama dan solat berjamaah, mudah-mudahan pihak-pihak tertentu akan terkena tempias bahang dakwah bil hal kita, dengan izin dan hidayah Allah. Ameen.

Paling kurang pun, kita mulakan dahulu di surau dan masjid berhampiran rumah kita. Hidupkan dengan berjamaah dan berkuliah. Tiada guna kita sibuk bising mempersoalkan pihak yang hanya tahu mendirikan masjid cantik dan bermegah dengannya, sedang kita dua kali lima tidak tahu malu dengan tidak turut serta mengimarahkan masjid dan surau yang hanya sepuluh langkah dari rumah.
Renungkan dan jom beramal.

Daripada Anas bin Malik r.a., Rasulullah saw. bersabda:

"Tidak berlaku (terjadi) hari qiamat sehingga umatku bermegah-megah (dengan binaan) masjid."

1 ulasan:

Tariq Ziad berkata...

mabruk akh..jom imarah masjid!!