Siap Siaga

Semalam 13 Februari, Pak Lah yang banyak berteka-teki sebelum ini akhirnya mengisytiharkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan pilihan raya umum ke-12 diadakan. Pembubaran Parlimen di bawah peruntukan perkara 55 Perlembagaan Persekutuan berkuatkuasa serta-merta semalam, disusuli pembubaran Dewan Undangan Negeri bagi setiap negeri.

Tarikh penamaan calon dan pilihan raya diadakan akan diumumkan oleh SPR tengah hari ini, sebaik selesai mesyuarat suruhanjaya tersebut. Cakap-cakap awal yang meramalkan, tarikh dijangka diadakan pilihan raya pada 1 Mac. Itu ramalan paling kuat di kalangan pemerhati politik dan jika tidak sekalipun, antara 8 Mac atau 15 Mac. Kebiasaannya(mengikut PRU 2004) bermula proses pembubaran Parlimen hingga hari membuang undi, tempohnya sekitar dua minggu sahaja. Terserahlah kepada Tok Rashid nak isytihar tarikhnya bila.

Apa yang jelas sekarang, musim hangat politik sudah terasa bahang. Suasana rancak akan dirasai. Jentera pilihan raya yang sudah lama dipanaskan enjin, kini menanti masa dipacu, mara untuk gerak kerja parti dan kempen habis-habisan. Perang poster. Ceramah sana-sini. Mereka yang bertanding, mula tersengih-sengih turun padang, berziarah dari rumah ke rumah walaupun sebelum ini susah benar nak nampak batang hidung. Maklum sahaja, adat orang politik.


Senario di Terengganu


Bukan aku nak beri komen sangat. Sekadar ingin menyatakan apa yang diamati dan diperhatikan setakat ini. Rumusan mudah aku boleh bagi, dua-dua pihak sekarang mempunyai peluang sama rata. Fifty-fifty kata orang ber'kecek' bahasa Inggeris. Hal ini barangkali disebabkan isu-isu yang berlegar di Terengganu agak berbeza berbanding negeri-negeri lain. Masing-masing punya modal tersendiri.

Maka, tumpuan penuh diberikan tidak kira dari pihak dacing(yang tak pernah seimbang) dan pihak bulan(harap-harap gerhana itu pergi..). Hatta pimpinan tertinggi negara kerap turun ke sini untuk memastikan kelancaran agenda mereka. Semestinya Terengganu adalah negeri sektor satu - skor utama untuk direbut bagi kedua-dua pihak.

Gerak kempen pun sudah dilancarkan, beberapa minggu lebih awal. Bendera-bendera parti sedia dipacak, dinaikkan bagi 'menakluki' sesebuah kawasan untuk menyatakan itu kubu buat parti X dan itu kubu kuat parti Y. Tak dinafikan, cara sebegitu paling berkesan dari sudut serangan psikologi.


Strategi

Daripada apa yang dikhabarkan dan dirisik-risik, ternyata strategi menarik pengundi dan penyokong parti masing-masing sudah dimulakan. Di daerah tertentu, pembangkang dilihat lebih menjurus kepada perang saraf.
Edaran risalah-risalah, akhbar alternatif dan video pendedahan isu berkait, seperti insiden Batu Burok, kepada masyarakat sekitar. Sasaran utama pastinya pengundi atas pagar. Tak termasuk program lain yang diadakan, antaranya culaan rumah ke rumah, program pemuda turun padang, dan siri ceramah berterusan.

Berlainan pula di pihak kerajaan. Tiga mesin hayat utama yang ada dimanipulasi habis-habisan. Machinery, media, money.

Di kampung aku misalnya, RM200 telah diagihkan kepada mereka yang sudah layak mengundi(21 tahun >), setiap seorang. Maka, tersenyum lebarlah sekalian pak cik dan mak cik yang menetap di penempatan nelayan dekat sini. Tak hairan, sekitar mukim aku dapat dilihat keris lebih melangit dan berkilau berbanding sinar rembulan. Politik cari makan...

Kedengaran juga khabar lain yang lebih 'menyeramkan'. Menurut suatu sumber, proses pencarian 'the phantoms' sudah giat dijalankan di luar Terengganu seperti sekitar Lembah Klang. Spesies ini dijangka dalam bilangan mencecah puluhan ribu yang akan diserap masuk ke Terengganu. Maka, berjaga-jagalah. Mungkin 'hantu' bermusim ini kembali menghantui hidup anda sepanjang musim 'panas' ini.

Semasa turun ke Kemaman baru-baru ini, aku difahamkan bahawa Nurul Izzah Anwar antara calon yang besar kemungkinan bertanding bagi kerusi parlimen.

Kemaman memang diberikan kepada Parti Keadilan Rakyat bagi parlimen, manakala Dun tetap kepada Pas, suatu bentuk perkongsian dan kerjasama yang ditonjolkan barisan alternatif.

Cuma, sedikit meragukan pula. Nurul Izzah kelihatan agak 'hijau'(bukan biru) untuk bertanding meski tak dinafikan dirinya tepu dengan semangat dan nafas perjuangan menuruti jejak ayahnya. Ditambah pula dengan maklumat terbaru, beliau diramal mewakili PKR bagi parlimen Wangsa Maju. Tunggu dan lihat...

Di tempat aku, desas-desus menyatakan, Dr Syed Azman yang dahulunya bertanding bagi Parlimen Kuala Terengganu akan berentap dengan seorang anak tempatan di sini,Senator Nordiana Shafie bagi merebut kerusi Dun Batu Burok. Nordiana juga merupakan Ketua Puteri UMNO negeri.

Batu Burok adalah salah satu daripada empat buah Dun di Terengganu yang dimenangi PAS pada PRU 2004 yang lalu. Wakil PAS iaitu peguam Haji Wan Mutalib Embong. Tidak pasti beliau bertanding lagi atau sebaliknya. Dua hari semalam, suara semangatnya masih lagi kedengaran dari tempat ceramah berdekatan. Sedia maklum, ahli politik...

Manakala bagi Parlimen Kuala Terengganu pula menampilkan Mohamad Sabu sebagai calon PAS. BN tak diketahui sama ada masih mengekalkan Dato' Razali Ismail untuk bertanding atau muka baru.

Setakat ini, reputasi Dato' Razali dilihat masih belum tercalar sesuai dengan diri beliau yang lebih membawa pendekatan dari sudut pendidikan dan pelajaran. Itu langkah konkrit yang berkesan bagi menawan kelompok terpelajar dan golongan pendidik yang 'atas pagar'. Apapun jangkaan yang dibuat, tunggu dan lihat...

Presiden Pas, Tuan Guru Haji Hadi(ayah Chik) pula tampil membuat penawaran untuk berlawan dengan Pak Lah di Kepala Batas. Kesungguhan beliau sebegitu pasti mengundang tafsiran pelbagai. Hal ini kerana Ayah Chik perlu juga mempertahankan kerusi yang dimenanginya di Dun Rhu Rendang.

Apa yang pasti, penamaan calon nanti(besar kemungkinan 20 Februari) akan menampilkan kejutan dengan jangkaan muka-muka baru dan muda bakal bertanding di peringkat Parlimen mahupun di peringkat Dun.


Kekal atau berubah

Setiap orang pasti ternanti-nantikan PRU. Di sinilah kita menyaksikan kemuncak senario politik tanah air. Adakah berkekalan sesebuah parti itu atau tewas. Manifesto hebat dan menarik dicanang kepada rakyat. Perjuangan bangsa. Perjuangan agama. Kebajikan rakyat. Pembangunan pesat. Bantuan kewangan. Penghapusan korupsi. Jaminan ekonomi.

Segala-gala dijanjikan. Mereka yang bergelar rakyat, akan menjadi penggerak dalam menentukan dan memilih kerajaan untuk memimpin negara. Jawapannya ada sebaik selesai pembuangan undi nanti. Tunggu dan lihat...

Kepada mahasiswa yang layak mengundi, jangan lupa untuk pulang menunaikan kewajipan. Bagi yang lain, sama-samalah mendokong dan menyokong pihak yang sewajarnya. Prioriti paling atas sebagai Muslim; membantu pihak yang ingin mendaulatkan Islam. Perjuangan ini berterusan, merentasi intelektual dan akta-akta. Usah gentar. Tidak rugi satu sen pun jika membantu perjuangan Islam. Itu pun jika anda sayangkan Islam dan mahu syiar Islam bersinar gemilang.

"Jangan dipersoalkan mengapa Islam tidak menang, tetapi persoalkan apa yang kita buat untuk membantu Islam untuk menang"


Allahuakbar !

# Baca manifesto Negara Kebajikan PAS

2 ulasan:

nahwannur berkata...

alhamdulillah, bicara yg mantap menaikkan semangat..
moga tgnu dpt merampas kedudukan demi menjulang islam kembali..
desas-desus mengatakan pilihanraya dipercepatkan kerana takutkan cabaran Anwar Ibrahim..
kesian Pak Lah,tak senang duduk,tak lena tidur malam.. =D

irsyad berkata...

Semakim mantap MatZan sekarang!!!
hidup2