Bersama Kepimpinan Ulama (1)

Multaqa

Sempena Multaqa Alumni Al-Azhar, USIM turut menghantar rombongan terdiri daripada para pensyarah dan pelajar-pelajar dari FSU, termasuk dua wakil dari tamhidi. Hari ini juga, Syeikhul Azhar, Imam Muhammad Sayed Tantawi dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dari pihak USIM dalam Bidang Dakwah dan Pengurusan Islam sebagai pengiktirafan khas atas sumbangan dan peranan ulama tersebut selama ini.

Awal tengah hari tadi, dua SMS masuk serentak. Kedua-dua daripada sahabat aku yang berada di KLCC. Membaca kedua-dua mesej mereka yang 'mendera hati' itu melucukan sekali. Bunyinya seakan sengaja mahu mengundang iri hati aku, haha tapi sayang nadanya sebaliknya menggelikan hati.

Sudah rezeki kalian hari ini. Bersalaman dengan Syeikh Wahbah Zuhaili, sudah memadai untuk diingati sebagai detik bermakna yang mengujakan. Sememangnya berdampingan dengan ulama tiada ruginya. Ulama itu pewaris Nabi. Moga-moga barakah ilmu beliau turut meresap dalam diri.

Selamat menangguk mutiara ilmu dan mengaut selaut pengalaman di sana. Apa yang diperoleh jangan lupa dikongsi bersama nanti, ya...

p/s: Pak Lah nampak mengantuk, terlelap beberapa kali ketika majlis perasmian Multaqa semalam. Letih sangat agaknya. Tak apalah, menantu dia kan ada...


Kempen : Memilih Pemimpin

Tuan Guru Nik Aziz. Siapa yang tak mengagumi kerendahan hati dan keunggulan peribadi beliau. Meski sering uzur kerana faktor usia, ketokohan seorang pemimpin Islam tetap terserlah.

Beliau, sesungguhnya, begitu dekat di hati rakyat hatta lawan sekalipun.

Mendekati kehidupan pemimpin tarbiyah parti gerakan Islam ini pasti membuatkan hati anda terdetik, 'kalaulah semua wakil rakyat sebegini akhlaknya..'

Baca tulisan FT : Makan, makan & tidur

Siap Siaga

Semalam 13 Februari, Pak Lah yang banyak berteka-teki sebelum ini akhirnya mengisytiharkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan pilihan raya umum ke-12 diadakan. Pembubaran Parlimen di bawah peruntukan perkara 55 Perlembagaan Persekutuan berkuatkuasa serta-merta semalam, disusuli pembubaran Dewan Undangan Negeri bagi setiap negeri.

Tarikh penamaan calon dan pilihan raya diadakan akan diumumkan oleh SPR tengah hari ini, sebaik selesai mesyuarat suruhanjaya tersebut. Cakap-cakap awal yang meramalkan, tarikh dijangka diadakan pilihan raya pada 1 Mac. Itu ramalan paling kuat di kalangan pemerhati politik dan jika tidak sekalipun, antara 8 Mac atau 15 Mac. Kebiasaannya(mengikut PRU 2004) bermula proses pembubaran Parlimen hingga hari membuang undi, tempohnya sekitar dua minggu sahaja. Terserahlah kepada Tok Rashid nak isytihar tarikhnya bila.

Apa yang jelas sekarang, musim hangat politik sudah terasa bahang. Suasana rancak akan dirasai. Jentera pilihan raya yang sudah lama dipanaskan enjin, kini menanti masa dipacu, mara untuk gerak kerja parti dan kempen habis-habisan. Perang poster. Ceramah sana-sini. Mereka yang bertanding, mula tersengih-sengih turun padang, berziarah dari rumah ke rumah walaupun sebelum ini susah benar nak nampak batang hidung. Maklum sahaja, adat orang politik.


Senario di Terengganu


Bukan aku nak beri komen sangat. Sekadar ingin menyatakan apa yang diamati dan diperhatikan setakat ini. Rumusan mudah aku boleh bagi, dua-dua pihak sekarang mempunyai peluang sama rata. Fifty-fifty kata orang ber'kecek' bahasa Inggeris. Hal ini barangkali disebabkan isu-isu yang berlegar di Terengganu agak berbeza berbanding negeri-negeri lain. Masing-masing punya modal tersendiri.

Maka, tumpuan penuh diberikan tidak kira dari pihak dacing(yang tak pernah seimbang) dan pihak bulan(harap-harap gerhana itu pergi..). Hatta pimpinan tertinggi negara kerap turun ke sini untuk memastikan kelancaran agenda mereka. Semestinya Terengganu adalah negeri sektor satu - skor utama untuk direbut bagi kedua-dua pihak.

Gerak kempen pun sudah dilancarkan, beberapa minggu lebih awal. Bendera-bendera parti sedia dipacak, dinaikkan bagi 'menakluki' sesebuah kawasan untuk menyatakan itu kubu buat parti X dan itu kubu kuat parti Y. Tak dinafikan, cara sebegitu paling berkesan dari sudut serangan psikologi.


Strategi

Daripada apa yang dikhabarkan dan dirisik-risik, ternyata strategi menarik pengundi dan penyokong parti masing-masing sudah dimulakan. Di daerah tertentu, pembangkang dilihat lebih menjurus kepada perang saraf.
Edaran risalah-risalah, akhbar alternatif dan video pendedahan isu berkait, seperti insiden Batu Burok, kepada masyarakat sekitar. Sasaran utama pastinya pengundi atas pagar. Tak termasuk program lain yang diadakan, antaranya culaan rumah ke rumah, program pemuda turun padang, dan siri ceramah berterusan.

Berlainan pula di pihak kerajaan. Tiga mesin hayat utama yang ada dimanipulasi habis-habisan. Machinery, media, money.

Di kampung aku misalnya, RM200 telah diagihkan kepada mereka yang sudah layak mengundi(21 tahun >), setiap seorang. Maka, tersenyum lebarlah sekalian pak cik dan mak cik yang menetap di penempatan nelayan dekat sini. Tak hairan, sekitar mukim aku dapat dilihat keris lebih melangit dan berkilau berbanding sinar rembulan. Politik cari makan...

Kedengaran juga khabar lain yang lebih 'menyeramkan'. Menurut suatu sumber, proses pencarian 'the phantoms' sudah giat dijalankan di luar Terengganu seperti sekitar Lembah Klang. Spesies ini dijangka dalam bilangan mencecah puluhan ribu yang akan diserap masuk ke Terengganu. Maka, berjaga-jagalah. Mungkin 'hantu' bermusim ini kembali menghantui hidup anda sepanjang musim 'panas' ini.

Semasa turun ke Kemaman baru-baru ini, aku difahamkan bahawa Nurul Izzah Anwar antara calon yang besar kemungkinan bertanding bagi kerusi parlimen.

Kemaman memang diberikan kepada Parti Keadilan Rakyat bagi parlimen, manakala Dun tetap kepada Pas, suatu bentuk perkongsian dan kerjasama yang ditonjolkan barisan alternatif.

Cuma, sedikit meragukan pula. Nurul Izzah kelihatan agak 'hijau'(bukan biru) untuk bertanding meski tak dinafikan dirinya tepu dengan semangat dan nafas perjuangan menuruti jejak ayahnya. Ditambah pula dengan maklumat terbaru, beliau diramal mewakili PKR bagi parlimen Wangsa Maju. Tunggu dan lihat...

Di tempat aku, desas-desus menyatakan, Dr Syed Azman yang dahulunya bertanding bagi Parlimen Kuala Terengganu akan berentap dengan seorang anak tempatan di sini,Senator Nordiana Shafie bagi merebut kerusi Dun Batu Burok. Nordiana juga merupakan Ketua Puteri UMNO negeri.

Batu Burok adalah salah satu daripada empat buah Dun di Terengganu yang dimenangi PAS pada PRU 2004 yang lalu. Wakil PAS iaitu peguam Haji Wan Mutalib Embong. Tidak pasti beliau bertanding lagi atau sebaliknya. Dua hari semalam, suara semangatnya masih lagi kedengaran dari tempat ceramah berdekatan. Sedia maklum, ahli politik...

Manakala bagi Parlimen Kuala Terengganu pula menampilkan Mohamad Sabu sebagai calon PAS. BN tak diketahui sama ada masih mengekalkan Dato' Razali Ismail untuk bertanding atau muka baru.

Setakat ini, reputasi Dato' Razali dilihat masih belum tercalar sesuai dengan diri beliau yang lebih membawa pendekatan dari sudut pendidikan dan pelajaran. Itu langkah konkrit yang berkesan bagi menawan kelompok terpelajar dan golongan pendidik yang 'atas pagar'. Apapun jangkaan yang dibuat, tunggu dan lihat...

Presiden Pas, Tuan Guru Haji Hadi(ayah Chik) pula tampil membuat penawaran untuk berlawan dengan Pak Lah di Kepala Batas. Kesungguhan beliau sebegitu pasti mengundang tafsiran pelbagai. Hal ini kerana Ayah Chik perlu juga mempertahankan kerusi yang dimenanginya di Dun Rhu Rendang.

Apa yang pasti, penamaan calon nanti(besar kemungkinan 20 Februari) akan menampilkan kejutan dengan jangkaan muka-muka baru dan muda bakal bertanding di peringkat Parlimen mahupun di peringkat Dun.


Kekal atau berubah

Setiap orang pasti ternanti-nantikan PRU. Di sinilah kita menyaksikan kemuncak senario politik tanah air. Adakah berkekalan sesebuah parti itu atau tewas. Manifesto hebat dan menarik dicanang kepada rakyat. Perjuangan bangsa. Perjuangan agama. Kebajikan rakyat. Pembangunan pesat. Bantuan kewangan. Penghapusan korupsi. Jaminan ekonomi.

Segala-gala dijanjikan. Mereka yang bergelar rakyat, akan menjadi penggerak dalam menentukan dan memilih kerajaan untuk memimpin negara. Jawapannya ada sebaik selesai pembuangan undi nanti. Tunggu dan lihat...

Kepada mahasiswa yang layak mengundi, jangan lupa untuk pulang menunaikan kewajipan. Bagi yang lain, sama-samalah mendokong dan menyokong pihak yang sewajarnya. Prioriti paling atas sebagai Muslim; membantu pihak yang ingin mendaulatkan Islam. Perjuangan ini berterusan, merentasi intelektual dan akta-akta. Usah gentar. Tidak rugi satu sen pun jika membantu perjuangan Islam. Itu pun jika anda sayangkan Islam dan mahu syiar Islam bersinar gemilang.

"Jangan dipersoalkan mengapa Islam tidak menang, tetapi persoalkan apa yang kita buat untuk membantu Islam untuk menang"


Allahuakbar !

# Baca manifesto Negara Kebajikan PAS

Habis Baca, Menonton Pulak...


Sebuah filem adaptasi yang dinanti-nantikan tahun ini. Kata kakak aku, tayangannya ditangguhkan dari pertengahan Disember lepas ke awal Januari tahun ini. Malangnya, hajatnya untuk menonton sebelum pulang bercuti ke Malaysia tak kesampaian. Dia sendiri ada bertanyakan kepada seseorang, ujarnya filem itu sudah tak ditayangkan di pawagam. Tidak pasti sama ada sudah tidak ditayangkan lagi atau masih belum ditayangkan. Hurm...

Tak mengapalah. Setidak-tidaknya penghasilan filem ini sudah cukup memberi signal baru kepada penggiat filem dengan aura sesebuah filem adaptasi novel. Kehadiran AAC The Movie pasti ditunggu-tunggu sekalian penggemar karya Kang Abik. Adakah sehebat layar kisahnya dalam novel atau sebaliknya. Rasanya agak berat juga tugas mengadaptasi novel setebal AAC. Sutradara yang bertanggungjawab ke atasnya pasti bukan calang-calang.

Filem islami sebegini yang diharap dapat diperhebatkan lagi pembikinannya. Tak semua senang untuk menikmati filem sesat-mengarut-tak islamik-takde mesej-lawak spastik seperti Anak Halal, Nana Tanjung, Pontianak, Gubra dan seangkatan dengannya. Makin jemu dan meluat filem-filem sekarang. Apa mereka fikir mentaliti semua rakyat Malaysia rendah - gemarkan lawak bodoh, hantu mambang, rempit dan drift. Tak semua ingin diperbodohkan dengan begitu mudah.
Bahkan, novel-novel tepu nafas Islami yang berkualiti dan berestetika makna tinggi berlambak-lambak sedia menanti masa diangkat martabatnya. Kerna wasilah sebeginilah sedikit sebanyak mampu menonjolkan wadah dakwah yang luas untuk khalayak umum. Manfaatkan medium dan platform yang ada, untuk menzahirkan kemurnian Islam kepada semua.

Agaknya, bila pula ya Kombat 1511 atau filem epik 1515 diangkat ke layar perak?

Cuti bersama Mawar

Pulang ke Terengganu, aku langsung ke Chukai dengan tujuan menghirup selaut pengalaman dan menyubur kematangan bersama-sama sebilangan sahabat dari serata IPT tanah air.

Selesai tiga hari memberangsangkan di sana, cuti sebenar aku pun bermula. Seminggu mendatang yang belum diatur perancangannya. Pulang ke kampung halaman, menjadi kelaziman banyak dugaan akan hadir menguji. Terus terang bagi aku, suasana di rumah bagiku bukanlah suatu kondisi yang sesuai untuk menelaah pelajaran. Entahlah, barangkali terlalu selesa kot...ish3x.

Apa jua sekalipun, tugasan akademik tidak dapat tidak tetap menjadi prioriti utama - menyiapkan bahan pembentangan assignments dan melunaskan ulangkaji bagi persiapan menghadapi exam yang menjengah sebaik selesainya cuti. Mudah-mudahan cuti ini diladeni dengan bijaksana sekali. Harap-haraplah aku macam tu....Ameen.

Ya Allah, bantulah hamba-Mu menguruskan amanah-Mu dengan adil. Sesungguhnya tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan izin-Mu yang Maha Tinggi dan Maha Agung.


VirusMawar.js

Virus terbaru yang sedang bermaharajalela di kampus aku sekarang. Boleh dikatakan hampir semua PC dalam lab di FSU sudah berjaya di'tackle' dengan romantis sekali oleh virus ni. Tengok namanya pun dah dapat dihidu ke'haruman'nya. Agaknya, pencipta virus ni memang dari kalangan spesies 'mat jambu'. (Gambar sebelah: ni sekadar hiasan semata-mata je..)

Ada yang mengatakan, penciptanya seorang lelaki bernama Yusof, pelajar dari sebuah IPT di Terengganu. Ada juga menebak yang virus ni asalnya dari tanah seberang sana. Tak kisahlah asal dari ceruk mana sekalipun. Apa yang jelas sekarang, external hard disc dan dua pendrive aku dah dijangkiti VirusMawar ni dengan jayanya.

Nasib baik laptop aku tak bawa ke Nilai. Kalau tak, habis mengarut melalut dengan virus-virus benci tu macam laptop kawan-kawan aku yang lain. Kesian pulak aku tengok keadaan laptop mereka yang tak bersalah tu . Terpaksalah mereka mengomel gila-gila bila mesej mesra alam seperti "Virus Mawar SEDANG MENGGANAS WARHAHAHAHAHAHAHA++++=====" terpapar cantik di skrin komputer.

Aku minta maaf banyak-banyak kepada sesiapa yang pinjamkan laptop dia kepada aku. Lupa nak beritahu, aku ni memang kurang bertoleransi dalam bab 'cucuk-mencucuk' ni. HuHu. Jadi, sorrylah ya kalau laptop anda sudah dijangkiti. Nanti kalau masih aktif lagi virus tu, aku cuba tolong 'rawat' setakat yang aku mampu. Pasal sekarang ni pun aku tengah sibuk melayan(baca: lawan) virus ni dengan laptop aku pulak. Inilah balasannya tak minta kebenaran guna laptop kawan...huhu.

Boleh tahan juga virusmawar ni. Cuba buang kat regedit pun tak berhasil. Aku pun tak mahir sangat nak teliti kelicikan virus ni. Sekadar tanya sahabat aku yang 'faqih' dalam hal ni. Setakat ni, aku sudah berjaya me'nyah-lenyap-terus'kan(baca: totally removed/deleted) virus ni dari ext hardisc dan pendrive aku.
Sini aku kongsi serba sedikit langkah-langkah nak lenyapkan virusmawar ni dari USB drive.

1. Buka USB drive melalui address bar yang letaknya di atas tetingkap.
2. Enablekan hidden dan super hidden file. (Klik pada Tools> Folder Options> View. Tandakan pada butang Show Hidden Files and Folders. Pastikan tidak ditandakan pada butang Hide protected operating systems dan Hide extensions for known file type.)
3. Klik Apply.
4. Bagi drive yang sudah dijangkiti, akan ada satu file yang samar-samar(attributes hidden) namanya autorun.inf. Klik dua kali padanya untuk mengetahui file virus. what.(buka guna Notepad).
Contoh yang akan keluar seperti ini:

[autorun]
Open = wscript.exe \VirusMawar.js
shellexecute = wscript.exe \VirusMawar.js
shell\Open\command = wscript.exe \VirusMawar.js
shell\Explore\command = wscript.exe \VirusMawar.js -Clicked
shell\AutoPlay\command = wscript.exe \VirusMawar.js
shell\Scan for Viruses\command = wscript.exe \VirusMawar.js
shell\Scan with Norton AntiVirus\command = wscript.exe \VirusMawar.js
shell\Scan with AVG\command = wscript.exe \VirusMawar.js
shell = Explore

5. Langkah terakhir, cari virus(VirusMawar.js) dalam drive, highlight kemudian tekan shift+delete.

Maka, berjayalah anda sebagai seorang wira untuk diri sendiri. Berhasil dalam tugasan yang cukup senang untuk menghapuskan penularan virus dalam usb drive anda. Semua ni pun aku dapat tutorial dari internet. Mungkin ada juga cara lain yang boleh digunakan. Terpulanglah pada ke'kompleks'an kepala masing-masing dalam menanganinya.
Ok, sekadar tu. Pandai-pandailah nak hidup ya kalau dah bermain psiko dengan teknologi nih...


# Hebahan dan sebarkan!

Program Habib Umar bin Hafidz(Ulama' Hadramaut) turun ke Semenanjung Malaysia, seperti berikut-
11 dan 12 Feb di Kelantan;
13 dan 14 Feb di Terengganu(Masjid Tok Ku Chabang Tiga);
14 Feb (Maghrib) Masjid Putrajaya;
15 Feb Khutbah Jumaat di UIA Gombak;
15 Feb (Maghrib) Rembau;
16 Feb 10 pagi di Masjid Wilayah Persekutuan;
16 Feb (Maghrib) Masjid Al-Falah USJ9.